Jus lobak susu

Assalammualaikum. Selamat malam, semua. GOMO KELATE GOMO. Haha... Padahal, Muthiah tidak minat bola sepak pun. Akan tetapi, berusaha meminatkan diri ke arah itu agar dapat SAMA dengan suami. Perlahan-perlahan deh.

Malam ini, Muthiah hendak bereskan satu urusan. Jadi, tidak dapat berceloteh panjang. Apa kata Muthiah berkongsi resipi jus lobak susu yang Muthiah buat tadi.

Jus lobak susu



Bahan-bahan

1 batang lobak merah (Muthiah ambil yang bersaiz kecil dan montok).
1 sudu gula
1 sudu susu tepung
1 cawan air

Cara membuatnya

  1. Potong halus-halus lobak merah. 
  2. Kemudian, masukkan semua bahan ke dalam alat pengisar.
  3. Dan... kisarlah.
  4. Kalau rajin, tapislah ya.
  5. Kalau ada alat pengisar buah, lagi baik.

Selamat mencuba.

Muthiah : Suami cakap, okey. Sedap! Muthiah cakap... huhu... tak manis pun. Mungkin lagi sedap kalau guna susu pekat manis.
Labels: 0 comments | | edit post

Sakit

Assalammualaikum. Apa khabar? Lewat mengemaskini blog hari ini. Ada beberapa perkara yang perlu Muthiah bereskan. Dahulukan yang penting... disusuli dengan yang kurang penting berbanding yang lebih penting tadi. Ini bermakna, semuanya masih penting. Apakah perkara yang paling penting dalam hidup kita?

  • Bahagia bersama keluarga tercinta?
  • Banyak duit, mewah harta?
  • Mempunyai pekerjaan yang stabil?
  • Dikelilingi oleh kawan-kawan yang baik belaka?
  • Berjaya mencapai cita-cita dan impian?
  • Dapat close sale?
  • Buku kita jadi best seller? Alhamdulillah.
  • Karya tersiar di media cetak?
  • Menjadi hamba ALLAH yang terbaik?
Hmm...

Semenjak berpindah tempat tinggal (dari Ipoh ke Dengkil), kondisi kesihatan Muthiah tidak cukup baik. Kata diri sendiri, culture shock di tempat baharu agaknya. Kata hati, mesti memuhasabah diri sendiri. Jauh daripada ALLAH mungkin. DIA mahu kita kembali mengharapkan DIA.

Sungguh...

Foto : Sekadar gambar hiasan.

Apabila sakit, segala yang berada di hadapan mata tidak terasa kenikmatannya. 
  • Nasi ayam penyet yang sedap terasa payau. 
  • Air jus oren yang manis terasa tawar. 
  • Bau yang wangi tidak terasa apa-apa. 
  • Blablabla...
Dengan kata lain... hatta kita punya duit yang banyak... harta berganda... kawan yang ramai... meski sedikit sebanyak bisa mengubat bebanan di dalam diri (ketika sakit), tetap tidak sama seperti mana ketika kita tengah sihat. 

Orang sakit...
  • Bermaknakah duit berjuta? - bermakna juga. Boleh cari rawatan yang terbaik. Sekurang-kurangnya mati nanti, adalah harta yang bakal ditinggalkan buat keluarga. 
  • Pengikut setia? - Boleh mendoakan yang baik-baik untuk kita.
  • Keluarga bahagia? - Setidak-tidaknya, kita tahu ada yang menyayangi kita.
Jadi, bagaimana?
  • Hargailah nikmat kesihatan yang ALLAH berikan kepada kita. 
  • Taati perintah ALLAH. Hindari larangan-NYA. ALLAH hendak bagi, sekelip mata kita dapat. ALLAH hendak tarik balik, pun sekejap sahaja. Jadi, jangan rasa kita memiliki semua kerana segalanya milik DIA.
Okey. Cukup untuk hari ini. Moga kita tergolong dalam lingkungan hamba ALLAH yang sentiasa bersyukur dan berusaha untuk mengislah diri... mendekat kepada-NYA. Maaf sekiranya terdapat unsur-unsur merapu di sini. Rasa lain macam pula catatan Muthiah hari ini :)

Muthiah : Sakit itu penghapus dosa. Kurangkan mengeluh, banyakkan beristighfar kepada-NYA.

Pandai atau rajin?

Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah... Alhamdulillah. Sedang berusaha untuk istiqamah dalam apa sahaja yang dilakukan. Sungguh! Hendak memulakan sesuatu memang mudah. Hmmm... tidak juga. Kadang-kadang, kena paksa diri untuk memulakannya. Pada peringkat awal setelah melepasi titik payahnya bermula, mungkin laju kerja kita. Namun sayang sekiranya tidak konsisten, lama-kelamaan jadi perlahan pula. Tidak mustahil akan berkubur tanpa pusara.

Facebook, oh Facebook.

Ada baik. Ada buruknya. 

  • Ada yang jatuh cinta di FB. 
  • Ada juga yang main kayu tiga di FB. 
  • Ada yang berkongsi ilmu, nasihat, motivasi dan pengalaman di FB. 
  • Ada yang menyindir, memfitnah, menyakitkan hati di FB. 
  • Ada yang cuba mengaibkan orang lain di FB. 
  • Ada yang hendak promote diri, barang dan syarikat di FB. 
  • Ada yang mencari kawan lama yang terpisah di FB. 
  • Ada yang menyebarkan ideologi sendiri atau yang disokong di FB.

Pendek kata, banyak benda boleh dijumpai di Facebook.

Muthiah pula, suka benar membaca post yang dikongsi. Ada yang positif. Ada juga yang negatif. Perkara yang menyakitkan hati (macam fitnah dan kata-mengata), Muthiah hide dari pandangan. Tidak suka tengok... cukup sekali TER tahu.

Satu pos yang pernah Muthiah baca di Facebook.

Manakah calon isteri pilihan :
Pandai masak @
Rajin masak?


Foto : Sekadar gambar hiasan.
Jawapan.

  • Nak yang rajin masak sebab kalau dia rajin, berasaplah dapur. Kalau pandai tetapi pemalas, kena makan di kedai, buat apa? - Betul juga. Apa guna banyak skill memasak tetapi masuk dapur pun jarang sekali. Eh, masuk tetapi ke dapur untuk menjamu selera sahaja setelah makanan tersedia. Cuba tanya pada diri sendiri. Berapa kali kita masak di rumah?
  • Nak dua-dua. Pandai dan rajin masak. - Satu bonuslah kalau dapat isteri yang sebegini.
  • Nak bini yang pandai dan rajin masak tetapi diri sendiri tu boleh ke jadi imam dalam solat? - Oh... ini adalah respons daripada kaum wanita.
  • Tak pandai dan tak rajin pun apa. Dah sayang. Boleh makan di kedai. Bantu mak cik restoran. - Tabik spring Muthiah pada mereka yang menjawab sebegini (walau hanya dalam hati). 
  • Cantik itu lebih utama. Tengok muka bini yang cantik, terus kenyang. - Ehe... apabila usia sudah lanjut, wajah pun berkedut... macam mana?
Okey. Cukup jawapan yang diberi. Anda pula bagaimana? Teringat pula perbualan Muthiah dengan seorang teman... 

Beliau tidak bersetuju dengan cara sang ibu yang mendidik anak perempuan dan lelaki sama rata. Kalau perempuan kena basuh pinggan, lelaki pun sama. Kalau perempuan kena tanak nasi, lelaki pun sama. Beliau gusar, hal ini kelak menjadi kebiasaan bagi anak gadis. Dengan kata lain apabila dewasa, sang gadis jadi pemalas, dan perkara begitu berlaku di hadapan matanya. Hmm... sekiranya dapat suami yang memahami, baguslah. Namun jika tidak?

Dari sisi Muthiah... No comment. Setiap pandangan, tidak ada yang salah. Tidak ada yang betul seratus peratus. Mungkin ada salahnya pada sisi orang lain. Setiap orang, ada alasan yang tersendiri. 

Baiklah. Cukup setakat ini. Lain-lain, renungkan sendiri ya. Yang baik, boleh amalkan yang tidak baik, jauh-jauhkan. 

Muthiah : Jom pupuk sikap rajin dalam diri. Jangan jadi rajin bermusim atau hanya mengikut masa dan tempat.

Kehidupan yang baik

Assalammualaikum. Apa khabar? Moga kita semua dirahmati ALLAH selalu, insya-ALLAH, Amiin.



Sudah dua kali Muthiah membaca kisah almarhum Adik Siti Hajar. Kagum dengan semangat yang ditunjukkannya. Moga roh adik Siti Hajar dicucuri rahmat, ditempatkan bersama orang yang beriman. Terbit juga sedikit rasa 'cemburu' padanya. Siti Hajar menghadap TUHAN dalam kondisi yang baik, cantik cara pemergiannya,  diri kita nanti macam mana? Siti Hajar syahid dalam perjuangan, kita kelak? Apabila nyawa sudah dicabut TUHAN, bermaknakah penyesalan yang meraja? Moga diri kita semua tidak sekali-kali berputus asa untuk menjadi insan yang lebih baik... turut meletakkan diri bersama mereka yang berjuang habis-habisan ke jalan-NYA. Method perjuangan? Tepuk dada, tanya diri sendiri... tidak tahu? Bertanyalah kepada yang lebih arif.

Okey. Berhenti seketika tentang Adik Siti Hajar. Jom kita renungkan kisah di bawah...


Kehidupan yang baik

"Kenapa??"


"Kenapa apa?"

"Aku dulu, tak pakai tudung. Sekarang dah pakai. Aku dulu, tak jaga solat. Sekarang dah solat. Aku dulu teruk. Sekarang, aku cuba jadi yang terbaik tetapi kenapa?"


"Kenapa apa?"

"Kenapa hidup aku macam ni?"

"Macam ni apa?"

"Orang lain, ada yang lebih teruk daripada aku. Dulu pakai tudung, sekarang free hair... seluar pendek... baju ketat. Dulu belajar kelas tercorot, sekarang hidup mewah... rumah besar... kereta besar... melancong sana sini... masa kahwin, jadi macam Puteri... kahwin dengan Tan Sri. Duda pun dudalah, janji ada duit. Tak rasa hidup tak berduit. Macam aku, hujung bulan, mula makan Maggi."

"Hmm... kau cemburu ke?"

"Tidaklah jelous tetapi..."

"Tetapi apa?"

"Susahlah nak cakap kalau kau tak faham. Tengok kau sendiri. Dulu best student, sekarang duduk rumah. Semua terbatas. Cuba kau banding dengan budak-budak lain yang hidupnya lebih baik?"

"Baik yang macam mana?"

"Dapat pakai baju mahal sampai nampak bentuk tubuh? Dapat kahwin macam puteri raja, tayang rambut yang cantik tu pada semua orang? Dapat kahwin dengan orang kaya, muda-muda dah jadi Puan Sri?"

"Mereka nampak bahagia..."

"Aku pun bahagia dengan kehidupan aku sekarang."

"Aku memilih untuk bahagia dan bersyukur dengan apa yang ALLAH kurniakan."

"Susahlah cakap dengan kau ni. Kau tak faham.."

"Ya, aku memang tak faham. Adakah kebahagiaan itu dinilai dengan kemewahan dan pangkat yang ada? Ya. Semua orang nak duit. Tak ada duit, macam mana nak beli itu dan ini tetapi..."

"Kalau kita dah berusaha sungguh-sungguh..."

"Tanpa mengabaikan syariat ALLAH..."

"Redha dengan ketentuan-NYA..."

"Insya-ALLAH, kita akan berbahagia di dunia dan akhirat."

Soalan
  1. Apakah yang dapat anda muhasabah daripada perbualan di atas?
  2. Apakah yang anda fahami dengan kehidupan yang baik?
  3. Kehidupan yang macam mana yang anda pilih?
  4. Siapakah yang paling beruntung?
  • Yang mengeluh dengan apa yang tidak dimiliki?
  • Yang redha dengan ketentuan TUHAN setelah berusaha dengan sungguh-sungguh?
  • Yang hidup mewah tetapi jauh daripada ALLAH?
Pesanan penaja
  1. Jom, kita sama-sama menanam rasa bersyukur dengan kurniaan ALLAH pada kita.
  2. Bersangka baik dan berdoalah kepada kawan-kawan kita andai kita melihat mereka jauh daripada landasan-NYA. Kaya tidak semestinya jauh daripada ALLAH. Tidak berduit tidak semestinya dekat dengan PENCIPTA. Islah diri sendiri menjadi lebih baik sebelum mencari kelompangan orang lain.
  3. Percayalah. ALLAH telah menetapkan rezeki setiap hamba-NYA. Yakinlah dengan keadilan ALLAH. Apa yang kita perolehi, itulah yang terbaik untuk diri kita. 

Konsert

Assalammualaikum. Mulakan harimu dengan muhasabah diri. Dalam masa yang sama, banyakkan beristighfar kepada ALLAH. Moga kesudahan hidup kita nanti adalah pengakhiran yang baik, insya-ALLAH, Amiin.

Sejak pandai buat watermark sendiri ni, Muthiah rasa seronok pula berkongsi gambar-gambar hasil kreativiti suami. Jom tengok...

Lokasi : Berhadapan dengan bangunan Perbadanan Putrajaya
Tarikh : 26 Januari 2013



Maaf. Muthiah sendiri tidak tahu program apakah ini. Muthiah yang baru balik dari membersihkan rumah yang bakal disewa singgah sekejap apabila terdengar suara-suara orang sedang menyanyi.

Ramli Sarip





Pemuzik





Raihan




Penutup - Selawat ke atas Nabi SAW






Balik, jom...


Okey. Muthiah beransur dahulu. Moga hidup kita hari ini lebih baik daripada sebelumnya, insya-ALLAH. Amiin.

Paya Indah Wetland, Dengkil


Assalammualaikum. Mulakan harimu dengan senyuman. Awasi perbelanjaan harian anda. Membelilah mengikut kemampuan sendiri. Ada RM10, jangan makan di hotel lima bintang. Sekiranya tidak, anda bukan sahaja bakal menyusahkan diri sendiri bahkan orang lain juga. Haha… Peringatan untuk diri sendiri.

Okey. Hari ini, Muthiah berkongsi lagi lokasi menarik yang boleh dilawati. Jeng jeng jeng…

Tarikh : 26 Januari 2013

Pengembaraan bermula

Selamat datang ke Paya Indah Wetland.

Apabila mula-mula sampai, Muthiah dikejutkan dengan kehadiran burung merak yang bersiar-siar ikut suka hati dia.

Selain burung merak, anda juga boleh berkenalan dengan Sang Kancil yang kecil molek.

 Jika ada rezeki, anda boleh melihat burung merak jantan mempamerkan kemachoannya.


 Oh, ya. Jangan lupa mendaftar di sini dahulu, ya. Tiada bayaran dikenakan.

Cantik tak ikan ini? Anda boleh melihatnya dekat dengan kaunter pendaftaran.


Selesai mendaftar, anda bolehlah berjalan-jalan di sekitar Wetland. Muthiah dapati, ada yang berjalan kaki. Bagi penduduk setempat, naik motosikal mungkin lebih menyenangkan. Muthiah dan suami pula memilih untuk menyewa basikal. Basikal couple ini disewa dengan harga RM10.00. Bagi single pula, harganya ialah RM5.00 setiap sebuah basikal. Basikal kanak-kanak pun ada. Anda boleh menyewanya dengan harga RM3.00 untuk 2 jam.

Dan… perjalanan pun bermula dengan senang hati. Lalalala…. Gambar menunjukkan seorang wanita sedang riang ria mengayuh basikal seolah-olah sudah terlalu lama meninggalkan aktiviti berbasikal ini. Gembira bangat! ‘Moga tidak jatuh tergolek, kak.’

Tempat parkir kenderaan di sini pun luas. Boleh bawa satu kampung. Logik?

Insya-ALLAH. Anda tidak akan berada di dalam kesesatan di sini. Ada papan tanda yang cukup jelas. Benar! Dalam kehidupan pun begitu. Apabila kita patuh pada suruhan dan menghindari larangan ALLAH, insya-ALLAH hidup kita akan sentiasa berada di atas jalan yang lurus. Moga ALLAH tunjukkan jalan.

Okey. Jom jengah Kolam Hippo. Pastikan anda mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Nampak tak dua ekor binatang yang sedang beristirahat ni. Kenal? Senang hidup, bukan? Tak payah berfikir pasal pembunuhan, kekejaman, rasuah, pecah amanah, kad pengenalan, blablabla…

Ehe. Inilah badak air. Nampak sahaja comel tetapi berupaya mengejar kita dengan mata terpejam sebelah tau (Oh, ini bohong semata-mata). Nak bagi makan? Boleh! Setiap hari dari jam 10.00 hinga 10.30 pagi. Tidak ada caj dikenakan.

Soalan : Apakah mamalia daratan pertama dan kedua terbesar di dunia?

Cantik sungguh ciptaan TUHAN. Kita sahaja acap kali lupa untuk bermuhasabah kembali.

Baiklah. Kita beralih melihat Kolam Buaya pula.

 Hati-hati… air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Sekali dia ngap, kita pun ‘ngot’. Hendak cuba bagi sang buaya makan? Bisa diatur. Setiap hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, dari pukul 11.00 hingga 11.30 pagi.

Kelihatan burung helang sedang melilau mencari mangsanya.

Bunga teratai yang cantik. Jangan jadi teratai layu di tasik madu, sudah.


Tidak jauh dari Kolam Buaya, kita akan dapat melihat Tasik Teratai. Hendak berkayak pun boleh, RM7.00/ unit/ setengah jam. Boleh tengok angsa dan itik juga.

Rumah Melayu ditutup. Mungkin buat sementara waktu. Berhadapan dengan Rumah Melayu, ada habitat landak yang berkongsi dengan kura-kura. Mereka terpaksa menjadi best friend.

Kura-kura ini sedang meninjau kawasan persekitaran. Bagus. Sesungguhnya, setiap kita akan dipertanggungjawabkan atas amanah yang diberikan. 

… yang ini pula, sedang terbongkang keletihan. 

Macam-macam ada. Kura-kura ini pula sedang menjamu selera dengan penuh berselera sampai tidak pandang ke kiri dan ke kanan lagi.

Menara Tinjau - Ditutup untuk tujuan penyelenggaraan.

Bagi yang ingin bermalam di sini, bolehlah duduk di tempat penginapan yang tersedia. Harga? Untuk chalet, RM120/ unit/ hari. Bagi yang hendak duduk asrama pula, RM9.00/ orang/ hari. Mahu berkhemah? Pun boleh, RM9.00/ tapak/ hari.

Kafe pun ada. Jadi jangan risau. Insya-ALLAH, anda tidak akan kelaparan. Harga? Milo ais RM1.70 manakala air mineral pula berharga RM1.30. Mahal ke murah?

Tandas awam yang disediakan. Hmm… seingat Muthiah, dekat dengan Rumah Melayu pun ada tandas awam juga. Tak perlu bayar untuk membuang air kecil mahupun besar.

Pusat Interpretasi - Muthiah pun tidak pasti tempat apakah ini. Sewaktu Muthiah sampai, tempat ini ditutup.

Jom tengok pemandangan di kawasan berdekatan (Pusat Interpretasi). Menenangkan hati? Sesungguhnya hati akan tenteram dengan mengingati ALLAH.

Lagi pemandangan…

Soalan : Bunga apakah ini? Muthiah pun tidak tahu sebenarnya.

Ehe. Bunga ini tentu semua tahu, kan?

Burung merak sedang bergosip. Entah isu apa yang dibangkitkan. Khusyuk belaka kesemuanya. Mungkin mereka tidak gusar untuk makan daging saudara mereka sendiri.

Burung merak jantan ini mengalu-alukan kami datang… mengharapkan juga agar kami cepat pulang kerana ia mahu berehat. Keletihan dek kerana menjadi talent tidak berbayar tadi. Terima kasih, bos.

Sekian untuk hari ini. Untuk info lanjut, boleh hubungi Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara di 03-90866800 atau Penguasa Paya Indah Wetland di 03-87687616.

Muthiah : Sejak bila jadi jurucakap pelancongan ni?