Mencari Naurah (Bab 50)

Novel | Mencari Naurah



"ASSALAMMUALAIKUM," kedengaran suara orang memberi salam dari muka pintu. Diam…

"Assalammualaikum," ucapnya lagi. Aku yang berada di dapur berlagak seperti tidak mendengar apa-apa. Adilla pula sudah menjenguk dari celah pintu.

"Mak mana?" aku bertanya kepada Adilla.

"Entah," jawabnya pendek.

"Akak, keluarlah. Ada tetamu tu," Adilla menggesaku.

"Pergi pakai tudung dan ambilkan tudung akak dalam bilik," arahku. Aurat perlu dipelihara!

"Eh, terlupa. Kita tidak pakai tudung. Hehe…" Adilla segera berlalu memasuki bilik kami yang terletak bersebelahan dengan bilik Efendy.

"Assalammualaikum," suara itu kedengaran lagi.

"Cepatlah, kak. Sudah tiga kali dia beri salam tu. Nanti, balik sia-sia. Abang Ady tengah sembahyang," Adilla menarik tanganku.

"Iyalah…" aku menurutinya dalam paksa. Aku… bukannya tidak mahu meraikan tetamu. Akan tetapi, setelah diberitahu Efendy tentang abang angkatnya yang ingin mencari isteri, membuatkan aku tidak bersemangat dan tidak mahu ambil tahu.

"Waalaikumussalam. Masuklah. Maaflah. Ady sedang sembahyang. Mak cik pula tengah cari barang dalam bilik," Mek Jarah menerangkan panjang lebar.

'Selamat…' hatiku berbisik kecil.

"Tidak apa, mak cik. Saya Helmy," baik juga budi bahasa teman adikku ini.

"Ooo… duduklah dahulu. Nanti mak cik minta anak dara mak cik buatkan air." Mek Jarah segera berlalu ke dapur.

"Hai… orang bagi salam, tak ada yang sambut?" mak membebel perlahan.

"Salah Kak Sha, mak," Adilla menuding jarinya ke arahku. Aku hanya tersenyum.

"Dilla pergi hantar keluar," aku sedikit memerintah. Dulang yang berisi air teh dengan jemput-jemput kuhulurkan kepadanya.

"Kenapa Dilla?" Adilla membulatkan matanya.

"Saja…" jawabku pendek.

"Sudah! Biar mak yang bawa keluar." Mak segera mengambil hidangan tersebut dan berjalan perlahan ke ruang tamu.

"Akak ni… menyusahkan mak sahaja," Adilla mencebik.

"Hmmm…" aku diam seribu bahasa.

“Apa khabar?” Efendy menghulurkan tangan untuk bersalaman.

“Alhamdulillah,” jawab Afzan Helmy pendek sambil tersenyum manis.

“Jadi, tadi datang naik motor ke?” Efendy bertanya lagi.

“Ya, dalam 30 minit,” balasnya sambil menghirup air teh yang dihidangkan.

“Siapa nama anak tadi? Mak cik lupa. Maklumlah, sudah tua.” Tiba-tiba mak menyampuk.

“Afzan Helmy, mak tetapi orang biasa panggil Helmy,” Efendy menjawab bagi pihak sahabatnya itu.

“Kak Sha, Dilla... jomlah minum sama-sama,” kedengaran suara Efendy memanggilku dan Adilla dari ruang tamu.

Diam... Aku hanya mendiamkan diri di dapur. Adilla pula, sedari tadi aku lihat begitu asyik mengintai Helmy dari celah pintu. Apa yang diperhatikan, aku sendiri tidak tahu. Namun, tidak aku nafikan bahawa Helmy nampak begitu segak dengan baju ‘Help Palestin’ yang disarungnya.

“Siapa lebih kacak? Kawan Abang Ady atau kawan akak di UM?” soal Adilla separuh berbisik.

“Tak mahu komen,” aku memandangnya sekilas. Adilla masih lagi tersenyum sumbing.

“Boleh tahan juga kawan Abang Ady. Lagipun, Dilla solo lagi.” Adilla berkira-kira sendiri.

Aku menjelingnya sejenak tetapi tetap tidak menunjukkan sebarang reaksi. Buku tulisan Stephen R. Covey pemberian Anuar aku belek setiap helaian. Pada muka hadapan buku tersebut, tertulis ucapannya buatku, ‘Selamat menjadi rakan sejawatan. Semoga Natasha akan sentiasa bahagia di dunia dan akhirat.’ ‘Anuar, Anuar,’ aku tersenyum sendiri.

“Kak!!!”

Jeritan Adilla mengejutkan aku daripada khayalan. “Ya,” wajahnya yang berkerut seribu kurenung tajam. ‘Buat orang terkejut sahaja. Mujur tidak ada penyakit jantung,’ omelku sendiri.

“Angau. Kawan Abang Ady sudah hendak baliklah. Jomlah kita keluar. Dilla segan hendak tunjuk muka seorang.”

“Sejak bila adik bongsu kesayangan akak ini jadi pemalu?” aku mencubit pinggangnya perlahan. Sekadar mahu mengusik.

“Tidak adalah. Bukankah tetamu hendak balik. Jomlah,” Adilla masih berharap.

“Ya, ya... jangan tengok lama-lama. Tidak baik! Lagipun, tidak manis anak dara pandang anak teruna. Jatuh saham, dik,” pesanku sejujurnya.

“Baik, tuan.” Adilla segera memberi tabik hormat kepadaku.

Kami pun berjalan ke ruang tamu.

Aku lihat, Helmy menyerahkan sesuatu kepada Efendy sambil berbisik. Kemudian, dia menepuk perlahan bahu adik lelakiku itu.

“Insya-ALLAH.”

Efendy turut sama bercakap perlahan tetapi perkataan ‘Insya-ALLAH’  masih dapat aku dengari.
‘Senyum kambing yang sumbing,’ aku membebel sendiri.

“Ada masa, datanglah rumah mak cik lagi,” pelawa mak. Aduh, mak semacam sudah berkenan. Aku hanya tersenyum. Namun, senyumku tidaklah sumbing sepertimana senyuman adik-adikku.

~bersambung~

Mencari Naurah (Bab 49)

Novel | Mencari Naurah



SEDANG aku dan Adilla rancak ketawa, kedengaran rumah kami dimasuki orang. "Eh, siapa kat luar?" aku sedikit terkejut. Pencurikah?

"Hmmm… mak memang buka pintu luas-luas. Adylah tu…" Mak memberitahu. Membuatkan kegusaranku kembali kendur.

"Hah! Abang Ady dah sampai," mulut Adilla ternganga. Cepat-cepat dia berlari menuju ke ruang tamu di hadapan rumah.

"Eh, anak dara. Runtuh rumah nanti," aku menjerit perlahan. Adilla berkalih ke arahku lantas menjelirkan lidahnya tanpa rasa malu.

"Molek sangat buat macam tu," omelku sendiri. Mak hanya tersenyum. Cepat-cepat mak mengekori langkah Adilla dari belakang. Wajahnya ceria. Tidak sabar agaknya menanti kepulangan putera bongsu yang sungguh jauh di mata tetapi begitu dekat dalam jiwa.

"Abang Ady…" bergema suara Adilla memanggil abangnya. Aku tersenyum mendengar keriangan suara adik perempuanku. Tanpa lengah, aku pun turut sama menuju ke ruang tamu.

"Assalammualaikum, mak. Dilla…" kata-kata Ady terhenti.

"Eh, Kak Sha pun ada…" setelah bersalaman dengan mak, Efendy segera berjalan ke arahku.

"Sihat?" soalku pendek.

"Alhamdulillah. Akak cakap kerja banyak. Tak boleh balik jumpa Ady," dahi Efendy berkerut dan matanya mengecil.

"Hehehe… Surprise…" ucapku lantas menampar perlahan bahunya.

"Sudah, sudah. Boleh berbual lepas ini. Mari kita makan dulu. Jie, makan sekali," mak yang diam dari tadi tiba-tiba bersuara.

"Saya kena ikut Pak Leman tebas lalang di kebunnya, Kak Jarah. Sudah lewat ni. Lagipun, sudah pekena dua bungkus nasi minyak pagi tadi," ujar Pok Piji panjang lebar.

"Oooo… Kalau begitu, tidak apalah. Terima kasih banyak-banyak sebab ambilkan Ady," kata mak lagi.

"Sama-sama. Baik. Saya beransur dahululah. Assalammualaikum."  Cepat-cepat Pok Piji beredar dari rumah kami. Hmmm… nampaknya, pak cikku yang seorang itu benar-benar hendak cepat!

"Pok Jie nak cepat. Pak Leman sudah tunggu depan warung Pak Abu tadi," terang Efendy.

"Jom makan. Dinosaur masak," pelawa Adilla.

"Dinosaur???" Mata Efendy membulat.

"Hehe…" Adilla tersenyum sumbing.

"Abang… Apa cerita terkini?" Adilla nampaknya tidak sabar-sabar untuk menemubual abangnya.

"Sudah, Dilla. Abang Ady baru sahaja sampai. Bagilah dia rehat. Marilah kita makan. Lepas tu, pergi mandi dahulu. Kalau nak tidur, mak dah siapkan tempat tidur," kata mak.

"Baik, puan." Adilla pun berlalu ke dapur. Begitu juga dengan mak dan Efendy. Aku pula mengangkut beg pakaian adik lelakiku masuk ke dalam bilik. Mak ai, beratnya…

“SELAMAT hari lahir, kak,” ucap Efendy ketika kami sama-sama membersihkan halaman. Silap! Efendy sekadar memerhati. Hanya aku dan Adilla menyapu dan mengutip daun-daun di perkarangan rumah.

Aku ketawa. “Hadiah mana?” aku berhenti menyapu lalu memandang Efendy sambil tersenyum.

“Petang ini, insya-ALLAH,” kata Efendy sambil mengenyitkan matanya.

“Sudah tamat tempoh kalau begini. Hari jadi akak pagi semalam. Bersamaan jam 5.30 pagi,” aku membalas.

“Petang ini, Ady tunjukkan hadiah istimewa buat akak. Kalau akak rasa hadiah itu sesuai dengan akak, akak terimalah. Kalau tidak, Ady redha.” Efendy tersenyum lagi... senyuman penuh makna.

“Mestilah terima hadiah adik akak,” balasku.

Sungguh tenang hatiku berada di kampung halaman. Meskipun rumahku tidak punya penghawa dingin, aku berasa nyaman berada di dalamnya. Sejuk hati melihat mak yang sentiasa murah dengan kasih sayang.


Benar. Mana ada kasih yang lebih hebat daripada kasihnya seorang mak. Dia yang  mengandung. Dia juga yang melahirkan. Di samping itu, mak jua yang membesarkan aku sehinggalah aku mengecap kejayaan. Tidak terbalas jasa dan budi mak. Ditambah dengan pemergian ayah menghadap ILAHI. Maklah mak dan maklah jua ayah.

‘Terima kasih, mak,’ bisik hatiku.

“Jauh termenung. Ingat bakal abang ipar?” teguran Adilla menyedarkanku daripada lamunan.

Aku ketawa. “Mana ada,” aku memuncungkan bibirku. Adoi! Sejak kantoi dengan Adilla semalam, tidak henti-henti dia mengusikku.

“Akak sudah ada calon?” Efendy tiba-tiba menyampuk.

“Ada. Semalam kantoi dengan Dilla.” Adilla seperti mahu membuka cerita. Lagaknya, punya bakat menjadi pengacara Melodi.

“Dilla, tolong mak ambilkan pucuk paku di belakang rumah,” panggil mak.

 Aku memandang Adilla sambil berpura-pura senyum kanyur. Mujur mak ada untuk menyelamatkanku dari terus diserang kata-kata oleh Adilla.

“Baik, mak,” jerit Adilla.

“Kong, kong, kong...” ejekku sambil menjelirkan lidah. Macam kanak-kanak Ribena.

Adilla hanya tersenyum. Kemudian dia mengaturkan langkahnya ke dapur.

“Akak sudah ada calon?” soal Efendy lagi. Kali ini, mukanya nampak serius.

Aku hanya tersenyum.

“Kak...” Efendy menyambung. Perlahan sahaja suaranya.

“Ya, sayang,” jawabku tanpa memerhatikan wajahnya.

“Petang ini, senior saya akan datang. Dia baru habis pengajian dan sekarang tengah sambung master di UKM, Fakulti Pengajian Islam... Namanya Afzan Helmy. Orang Pasir Mas...” Efendy terdiam sejenak. “Umur 28 tahun. Anak sulung daripada enam adik beradik...

Dulu, dia abang angkat Ady. Sangat baik budi pekertinya walaupun tidaklah macam Aidil dalam Nur Kasih...”
Mentang-mentanglah aku menggemari drama bersiri arahan Kabir Bhatia itu.

“Selalu jadi imam dan hafaz al-Quran,” terang Efendy tanpa henti.

“Okey,” aku memberi respons yang pertama.

“Dia sedang mencari isteri. Ikutkan, adalah beberapa orang Muslimah yang hendakkan dia tetapi tidak tahulah Ady... senyap sahaja. Ady rasa, dia sangat sesuai dengan akak,” Efendy menambah.

“Seorang lelaki yang ingin berkahwin perlu mengenali bakal isterinya terlebih dahulu,” aku mengutarakan pandanganku.

“Maaf, kak.  Ady dah tunjukkan gambar akak kepadanya,” Efendy berterus-terang. Ada riak kesal pada wajahnya.

‘Betul-betul kesal atau mahu menagih simpati?’ aku menyoal sendiri. “Apa?” mataku yang sepet kubulatkan. Mana boleh begini! Hakku telah dicabuli.

“Akak pun sudah habis belajar, bukan?” Efendy memujukku dengan lembut.

Bersungguh-sungguh dia mahu mengenengkan aku dengan abang angkatnya. Abang angkat? “Tengoklah dahulu,” jawabku acuh tidak acuh. Sebenarnya, sejak bertemu dengan mama Asyraf tempoh hari, hatiku sudah kurang berminat untuk berbicara ataupun berfikir hal-hal sebegini.

“Akak istikharahlah. Ady tak memaksa. Cuma sebagai adik, Ady mahu yang terbaik untuk akak,” katanya penuh harapan.

“Insya-ALLAH,” balasku.

“Lagipun, dia baik. Jadi, paling sesuai untuk akak.” Efendy merenung dalam mataku.

“Ady, terbaik tidak semestinya bermakna paling sesuai. Dia mungkin baik dan sempurna pada mata Ady tetapi mungkin tidak sesuai atau serasi dengan Akak. Tidak ada manusia yang sempurna di atas muka bumi ini melainkan Nabi SAW yang maksum,” aku berkata lembut.

“Namun, lainlah ceritanya kalau sudah ada jodoh. Kita perlu berusaha untuk mewujudkan keserasian dalam rumah tangga yang telah kita bina. Yang penting sebelum diijab kabul, perlu sentiasa bermohon dan berdoa kepada ALLAH agar dikurniakan insan yang paling baik buat diri kita. Kerana, bila kita sudah meminta kepada-NYA, DIA pasti tidak akan mensia-siakan kita. Kalau ada masalah, biasalah asam garam rumah tangga. Itu tandanya ALLAH sayang,” khutbahku panjang lebar.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan dia amat baik bagimu. Dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu sedangkan ia amat buruk bagimu; ALLAH mengetahui sedang kamu tidak mengetahui...” Efendy menyambung.

“Surah apa? Akak lupalah.” aku bertanya tanpa berselindung.

“Al-Baqarah ayat 216 tetapi kak, Ady rasa dia memang sesuai untuk akak,” ujar Efendy lagi sedikit mendesak.

“Hati Dy...” aku membalas penuh makna. Bayangan Asyraf tiba-tiba muncul dalam kotak fikiranku. Entah apa yang dilakukannya kini dan bagaimana dia menghadapi persoalan hati yang bertamu.

Argh, persetankan perasaan itu! Semakin dilayan, semakin menjadi. Iblis yang dilaknat ALLAH tidak henti-henti menggoncang hatiku. Tidak tahu bagaimana untuk menghindarkan diri daripadanya kerana dia tetap mendekat. Musuh manusia yang paling jelas ini tidak pernah kenal erti kecewa dan putus asa dalam menyesatkan umat manusia.

Benarlah sepertimana amaran ALLAH, ‘... Syaitan itu adalah musuh yang paling nyata...’. Hanya manusia kadang-kadang lupa dan teralpa. Teman dari neraka itu sama sekali tidak boleh dihampiri. Tidak sama sekali!!! Namun sayang, kita yang sedia jahil ini tetap mahu menjadikannya sebagai kawan. Bukan sekadar teman bahkan sahabat yang paling akrab.

~bersambung~

Entah mengapa

Assalammualaikum. Pejam celik, pejam celik... hari Jumaat menjelma. Pasti ramai yang tersenyum suka. Esok cuti, yeay! 


Bagi yang cutinya pada hari Jumaat dan Sabtu, hari ini sudah boleh merehatkan diri di rumah. 


Bagi suami isteri yang duduk berjauhan, yahu... boleh ketemu malam nanti. Bertabahlah, ya. Syurga ALLAH menanti mereka yang reda dan sabar.  <- Cakap senang, dia dulu pun PJJ tiga bulan sahaja. Kemudian, jadi surirumah!


Okey. Jom layan...




Entah kenapa
hati ini tidak keruan
adakah dek kerana dosa menggunung
atau bintik hitam yang menyelubungi jiwa.

Entah kenapa
hati terasa jauh dari TUHAN
adakah dek kerana berterusan membuat noda
sampai terkatup sudah ketenangan.

Entah kenapa, entah kenapa
di manakah solusinya
apakah tindakannya
sampai kini tidak ketemu jalan

Kembalilah, kembali
pada TUHAN yang Maha ESA
mengharap keampunan dari sudut hati
moga diterima taubat mensuci diri.

Hati, ingatlah hati
hindari larangan, patuhi perintah
melangkahlah di jalanan dengan penuh hati-hati
moga tidak berulang menerpa murka ILAHI.

Pesanan buat diri yang sentiasa lupa. 

Yuk... kita perbanyakkan berfikir tentang kesalahan diri sendiri. Menghisab jasad dan jiwa di hadapan ILAHI. Moga dengan itu menjadikan diri ini lebih akrab dengan DIA. Persetankan sesiapa yang tidak disenangi. Biar jiwa tegar dari gurisan dan kelukaan. Sebab kita tahu... hidup ini tidak sendiri. Kita punya ALLAH yang Maha Kuasa, lagi Maha Teliti Penghitungan-NYA. 
Labels: 0 comments | | edit post

Jualan buku | 2 Julai 2012


Alhamdulillah ^__^


Untuk rekod

Judul buku : Mencari Naurah
Bil : 1 buah
Pembeli : Dr. SAK
Jualan pada : 2 Julai 2012 
Cara penghantaran : Pos laju, Kos : RM6.00
No. rekod : EM 2611 89570 MY
Lokasi : Ampangan, Negeri Sembilan

Yuk. E-mel Muthiah untuk dapatkan stok ini.

1) Mencari Naurah RM17
2) Air Mata Siti Hajar RM22
3) Antologi Orang Berdosa RM14

Nota : Jualan buku di atas tidak termasuk kos penghantaran.

Ah! Serah sahaja pada penghitungan-NYA

Assalammualaikum. Mulakan kerjamu dengan keceriaan. 
  • Bangun awal... solat sunat Tahajud. 
  • Menanti subuh... solat sunat dan solat Subuh.
  • Bagi yang tidak berpuasa, sarapan pagi dengan sumber makanan yang halal.
  • Bergerak ke tempat kerja... berhati-hati ketika memandu. Doa, pak :)
  • Oh, baru pukul 7.45 pagi... thumb print sudah. Ada 15 minit sebelum memulakan kerja. Yuk solat Dhuha :)
Moga ALLAH merahmati pekerjaan dan hidup kita hari ini :) Amin...


Sejak seminggu ini, ada rasa ____________?
Banyak perkara bermain di dalam minda.
Banyak kata-kata muncul kembali.
Banyak dan banyak benda menerjah hati.


Akibatnya, ___________?


Muhasabah balik...


KENAPA JADI BEGINI?
  • Hati tidak cukup bersih?
  • Banyak sifat mazmumah dalam diri?
  • Tidak cukup ikhlas dalam beribadah atau melakukan kebaikan?
  • Buat sesuatu bukan semata-mata kerana ALLAH?
Muhasabah lagi...
dan lagi...
dan lagi...


POSITIF!
  • ALLAH ada, lebih dekat dari urat merih kita sendiri.
  • ALLAH melihat, mendengar dan mengetahui.
  • ALLAH sangat teliti penghitungan-NYA.


Kita merancang, ALLAH merancang. DIA-lah sebaik-baik perancang.


Maka...
  • Jalan saja... tengok kiri dan kanan... ada duri, melangkahlah dengan penuh hati-hati. Itulah takwa. Takut terjatuh kepada kemurkaan ALLAH.
  • Persetankan imbauan yang tidak memanfaatkan. Serah sahaja penghitungan itu pada TUHAN. Bukankah segalanya sudah terbukti di hadapan mata? Yakin sahaja pada Yang ESA! Bertabahlah, wahai jiwa ^__^
Moga kita menjadi hamba yang...
  • Bersabar dengan segala ujian-NYA. Ujian ini banyak jenis; manusia, harta, ilmu, diri sendiri dll. Semua itu hadir dengan izin ALLAH.
  • Lebih berlapang dada. Buat sesuatu kerana ALLAH. Insya-ALLAH, hati kita menjadi lebih kental dalam meneruskan kehidupan. Kerana kita tahu... kita buat... kita katakan... kita lakukan bukan disebabkan oleh sesiapa. Maka apabila tidak dihargai, meski hati kecil terasa hati (normallah... manusia) ... kita tahu ALLAH ada, melihat dan mengetahui. PASTI! Penghitungan-NYA amat teliti, adil lagi saksama.
Panjang sudah. Peringatan buat diri dan teman-teman yang dikasihi. Pilihlah... mahu positif atau negatif. Apa jua pilihan, akan kembali kepada diri sendiri. Tepuk dada, tanya iman. Jadi...

Muthiah : Tunggu dan lihat. Kemudian, senyum seorang diri. Dan penantian itu sebenarnya memerlukan satu kesabaran :)

Sabarlah..solatlah (al-Baqarah, 2:153)

Assalammualaikum. Apa khabar? Moga dirahmati ALLAH selalu dan ceria sokmo. Macam Muthiah yang suka  ^_____^.


Di Facebook, sahabat-sahabat bercerita tentang malam Nisfu Syaaban yang akan kunjung tiba Maghrib nanti. Apapun hujah dan pertikaian tentangnya, moga kita menjadi lebih baik dari hari sebelumnya.



  • Jom ganda amalan kebaikan.
  • Jom memaafi mereka yang mengguris hati.
  • Jom berlapang dada.
  • Jom banyakkan infak dan sedekah.
  • Jom kurangkan bercakap sesuatu yang lagha/ sia-sia.
  • om rapatkan ukhwah sesama kita.
  • Jom hindari mengumpat, mengata, fitnah dan buruk sangka.
  • Jom dan jom ___________________.



Nota : Catatkan perkara yang boleh menambah pahala... bisa mempositifkan diri. Yeah!


Okey. Ada masa 11 minit lagi sebelum ke dapur...


Bagaimana kondisi hati kita saat ini?






Takut?
Gementar?
Kecewa?
Putus asa?
Sedih?
......


ALLAH kan ada? ALLAH ada mendengar, melihat dan pasti! DIA Maha Mengetahui. Setelah berusaha, serahkan sahaja pada ALLAH. Ya. Serahkan segala PENGHITUNGAN pada DIA kerana sesungguhnya DIA-lah yang lebih arif...



  • mana-mana yang terbaik untuk diri kita.
  • tentang kita pada kemudian hari.



Firman-NYA yang bermaksud, 'Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya ALLAH beserta orang-orang yang sabar.' (al-Baqarah, 2:153)


Moga kita menjadi hamba yang tidak berputus asa dengan ujian-NYA. 


Okey. Beransur dahulu. Sayang buat semua <3

Jualan buku | 1 Julai 2012


Alhamdulillah ^__^


Untuk rekod

Judul buku : Antologi Orang Berdosa
Bil : 5 buah
Pembeli : En. MNZ
Jualan pada : 1 Julai 2012 (Pos pada 2 Julai 2012)
Cara penghantaran : Pos parcel, Kos : RM7.00
No. rekod : CD 177 8222 18 MY
Lokasi : Setiu, Terengganu.

Yuk. E-mel Muthiah untuk dapatkan stok ini.

1) Mencari Naurah RM17
2) Air Mata Siti Hajar RM22
3) Antologi Orang Berdosa RM14

Nota : Jualan buku di atas tidak termasuk kos penghantaran.

Jom berbekam

Assalammualaikum. Apa khabar? Mengantuk sebab tengok bola malam tadi? Ehe. Muthiah sokong Itali tetapi Muthiah tidak berjaga malam pun. Bersorak dalam mimpi sahajalah. 
Sepanyol VS ITali (4-0)
Okey.


Hari ini, Muthiah ingin berkongsi tentang BEKAM. Aik... tetiba? 


Oh, sebenarnya tempoh hari, Muthiah menziarahi saudara di Kampung Melayu Subang. Beliau yang mencadangkan kaedah kesihatan alternatif ini; untuk penjagaan kesihatan. Kata beliau lagi, bekam ini sunnah Nabi. 


Maka pada 24 Jun lepas, Muthiah dan suami pun pergi ke Pusat Rawatan Alternatif yang terletak di Rapat Setia, Ipoh. Satu poin bersamaan RM5. Kami buat 10 poin setiap seorang. Siap berbekam, Muthiah ditanya oleh Dr. Nurlinah, "Bagaimana rasanya?" Jawab Muthiah, "Biasa-biasa saja." Hukhuk... Muthiah memang terlalu berterus-terang.


Pada 29 Jun, Muthiah ke Pusat Rawatan tersebut sekali lagi. Hukhuk... sebenarnya sepanjang minggu sebelumnya, Muthiah kurang bahkan TIDAK menjaga pemakanan. Ore Kelate ghoyak, 'Make kokse'. Puncanya ialah malas masak sementelah suami ada 5S dan bekerja di luar daerah. Akibatnya, kepala jadi pening. Maka, Muthiah pun berbekam buat kali kedua. Oh, kali ini hanya 6 poin di kepala. Alhamdulillah, rasa ringan dan lega berbanding sebelumnya. 


Malamnya, Muthiah mencari-cari info tentang bekam. Jom Muthiah kongsikan di sini.


Apa itu bekam?
Gambar diambil dari web HPA

Proses mengeluarkan darah toksik dari badan seseorang menggunakan jarum tajam/ pisau/ tanduk dll. 


Jenis bekam :

  • Bekam kering 

Hisap permukaan kulit tanpa mengeluarkan darah toksik.

  • Bekam basah

Dilakukan dengan melukai permukaan kulit dengan jarum tajam. Darah toksik (disebut juga sebagai darah kotor) kemudiannya dikeluarkan menggunakan alat pengamal bekam. Prosesnya antara tiga hingga lima minit. 


Nota : Dinasihati agar tidak mandi selama 3 jam selepas berbekam. 


Dalil tentang bekam


'Kesembuhan itu ada pada 3 perkara iaitu; minum madu, sayatan pisau bekam, dan sundutan dengan api (kay). Sesungguhnya aku melarang umatku berubat dengan kay.' Hadis Sahih al-Bukhari)


Waktu bekam 


Seeloknya dilakukan...

  • Sewaktu musim/ cuaca panas.
  • Pada pertengahan bulan Hijrah (17, 19 dan 21) - Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa berbekam pada hari ke 17, 19 dan 21 (tahun hijrah), maka dia akan sembuh dari segala macam penyakit.' (Sahih Sunan Abu Dawud, karya Imam al-Albani).
  • Pada hari Isnin, Selasa dan Khamis.
  • Pada waktu tengah hari (cuaca panas)
Nota : Dinasihati tidak makan (makanan berat) 2 hingga 3 jam sebelum berbekam.

Siapa dilarang berbekam?

  • Mereka yang mempunyai masalah tekanan darah rendah.
  • Pesakit kudis.
  • Wanita mengandung.
  • Ketika mengalami haid.
  • Mempunyai masalah kulit yang serius.
  • Dalam keadaan yang sangat letih, lapar dan kenyang.
Nota : Bahagian tubuh yang dilarang untuk berbekam; mata, telinga, hidung, alat kelamin dan dubur.

Kelebihan berbekam
  • Menghilangkan pening dan migrain.
  • Membuang angin dalam badan, melegakan pernafasan dan sistem perkumuhan.
  • Memecahkan lemak, peluh dan melegakan demam.
  • Memulihkan ketegangan urat leher, belikat, pinggang dan urat sendi di kaki.
  • Mencegah kebas kaki dan membantu meredakan serangan angin ahmar.
  • Mengeluarkan darah toksik dan melancarkan peredaran darah yang tersumbat.
  • Meringankan tubuh. 
  • Menajamkan penglihatan. 
  • Dikatakan mampu merawat pelbagai penyakit. Dianggarkan sebanyak 72 jenis penyakit dapat disembuhkan seperti ketegangan urat, darah tinggi, jantung, kolesterol, masuk angin, migrain, sakit mata, angin ahmar, sakit gigi, jerawat, sembelit, tekanan dan buah pinggang.
Sumber utama : pmr.penerangan.gov.my

Cukup setakat ini perkongsian Muthiah tentang bekam. Sekiranya ingin mengetahui dengan lebih lanjut, Muthiah sarankan agar teman-teman dapat bertanya kepada mereka yang lebih arif. Info ini Muthiah cari di beberapa laman web ~ untuk pengetahuan diri sendiri asalnya. Moga mendapat manfaat daripadanya. 

Tanya Muthiah... insya-ALLAH, ada rezeki Muthiah ingin mengamalkan sunnah ini.

Isu?!

Muthiah bertanya dengan Dr. Nurlinah berkenaan penggunaan jarum sewaktu bekam. Iyalah. Khuatir bisa mendatangkan mudarat apabila dikongsi dengan ramai pesakit. Jawab beliau, "Satu jarum, seorang pesakit." Okey, lega. Moga ALLAH memelihara diri dari sebarang kemudaratan. 

Jom ^____^

Mencari Naurah (Bab 48)

Novel | Mencari Naurah



AWAL-AWAL pagi aku sudah berada di dapur. Mahu membuat nasi kerabu buat adik lelaki bongsu kesa-yanganku. Mesti dia suka. Maklumlah, duduk di tempat orang... pasti sukar untuk mencari makanan tradisional rakyat Malaysia ini.

“Akak buat apa?” tanya Adilla.

“Masak makanan kegemaran Abang Ady,” jawabku sambil tersenyum memandang Adilla yang baru sahaja bangun dari tidur. Tiba-tiba dia menguap. “Aik, anak dara. Masih tak cukup tidur? Sudah pukul berapa ni, sayang?” aku berpura-pura marah.

“Ingat hendak qada tidur tetapi tidak dapatlah. Ada anak dara tua buat bising di dapur,” Adilla tersenyum. Matanya dibulatkan. “Mak mana?” soal Adilla apabila dia tidak melihat kelibat mak di dapur.

“Mak pergi ambil ubi kayu di belakang rumah. Ady suka makan ubi kayu, kan?” Tanganku masih lagi memotong halus daun kesum yang baru kuambil di hadapan rumah. Aku melihat bahan-bahan yang tersedia. Serai, timun, taugeh... Okey... sudah cukup semuanya.

“Alah,  semua orang pentingkan Abang Ady daripada Dilla. Dilla balik, mak tak buat macam ni pun.” Muka Adilla masam mencuka. Sering kali beranggapan bahawa aku dan emak melebihkan Ady dan Nasrul berbanding dirinya.

Aku memandang tepat anak matanya sambil tersenyum, “Akak sayang Dilla. Bukankah Abang Ady sudah lama tidak balik kampung? Mesti dia rindu. Rindu dengan mak, Dilla, Nasrul, rumah kita, ayam kampung, lembu, serai belakang rumah...” Diam sejenak. Aku cuba menghiburkan Adilla dengan lawakku  yang tidak menjadi.
“Biarlah kalau macam itu. Dilla tahu siapa Dilla. Belajar pun setakat politek sahaja. Akak masuk UM, Abang Ady sambung belajar di Mesir.” Mata Adilla mula berkaca.

Aku meletakkan pisau di atas meja lalu berjalan ke arah Adilla yang semacam mahu melarikan diri daripadaku. “Adik akak yang seorang ini, tidak sabar betul,” aku segera menarik tangannya masuk ke dalam bilik. “Duduk sekejap,” arahku. Mataku tercari-cari beg pakaianku. ‘Itu dia...’

“Tahniah sebab dapat anugerah dekan semester lepas. Akak ingat hendak buat kejutan.” Aku menggeleng sambil menghulurkan sebuah bungkusan yang dibalut dengan kertas minyak. Ia tersenyum...

“Nah, politik menjadi. Dilla bergurau sahaja.” Adilla terus membuka hadiah yang kuberikan. “Dilla tahu, Akak mesti bagi Dilla hadiah sebab dapat anugerah dekan.” Dia menambah.

“Kurang asam jawa punya adik.” Aku membulatkan mataku sambil mencubit pipinya perlahan. “Jom, nanti lewat masak,” sambungku.

Kami pun berjalan ke dapur. Alamak, ibu sedang menyambung tugasanku.

“Tak apa, mak. Biar Asha buat. Anak bongsu kesayangan mak ini buat hal tadi,” ujarku.

“Dah siap pun. Tolong mak hidang di atas meja hadapan aje,” mak berkata perlahan sambil tersenyum.
“Dilla punya pasallah,” aku berpura-pura marah.

“Mak, nanti mak beritahu Abang Ady bahawa Kak Asha yang sediakan nasi kerabu ini. Kasihan dia. Pagi-pagi buta sudah buat bising di dapur sampai terjaga Dilla daripada tidur. Ingatkan gempa bumi tadi. Rupanya dinosaur masuk dapur.” Adilla masih belum puas mengenakanku.

“Mak... baik mak kahwinkan anak dara mak yang seorang ini. Sudah kahwin, matanglah nanti. Siapalah lelaki malang yang akan kahwin dengan adik kesayangan aku ini?” balasku.

“Betul, mak. Kahwinkan Dilla. Mak, Dilla sudah ada calon. Nama dia Asyraf dari UM,” kata Dilla dengan selamba.

Mataku terbeliak. “Asyraf mana?” Aku memandangnya sekilas.

“Adalah...” usik Adilla lagi.

“Akak serius, Dilla,” kataku.

Adilla ketawa. “Pagi esok, akak kena masak nasi dagang untuk Dilla...” Dia diam sebentar. “Tidak cukup, tidak cukup. Akak kena panjat pokok rambutan belakang rumah. Dilla hendak makan rambutan satu bakul.” Dia tersenyum.

“Iya, iya. Nanti Akak dapatkan,” cepat-cepat aku mengiakan.

“Panjat pokok rambutan pun ke?” Adilla mahukan kepastian. Matanya yang sedia bulat itu dibulatkan.
“Insya-ALLAH,” balasku teragak-agak.

“Tidak boleh ambil dengan galah, tangga atau minta tolong Abang Ady panjatkan.” Dia meletakkan syarat lagi.

“Insya-ALLAH...” aku merenung tajam anak matanya. ‘Alah, akak suruh Pok Piji panjat,’ bisik hati kecilku.

“Tidak boleh suruh Pok Piji panjatkan.” Adilla menambah.

Aik, macam mana dia tahu kata-kata hatiku?

“Insya-ALLAH,” jawabku. Terpaksalah aku memanjat pokok rambutan tersebut. Sudah lebih lima tahun aku tidak bergayut di atasnya.

“Tengok, mak. Dilla sebut nama Asyraf, terus Kak Asha bersemangat. Mak ingat ya nama bakal menantu mak tu,” kata Adilla kepada mak yang sedari tadi begitu asyik memerhatikan gelagat kami adik-beradik.
“Hmm... yang akak cetak e-mel akak dengan Abang Asyraf tu kenapa? Siap letak atas meja lagi. Dilla bukan curi-curi baca. Memang terdedah kepada orang awam,” kata Adilla sambil mengenyitkan mata. Dia tersenyum...

Alamak, aku terlupa untuk menyimpannya kembali. Nasib badan, Adilla sudah membaca e-mel yang dihantar Asyraf kepadaku.

“Oh, e-mel itu. Tidak ada apa-apa pun. Kalau tidak, sudah pasti akak simpan dalam peti besi,” aku membuat helah.

“Betullah sangat, siap cetak lagi.” Adilla masih tidak berpuas hati. Masih mahu menyakatku.

“Okey... okey... Akak mengaku kalah, Dilla menang,” aku mengangkat kedua belah tangan. Kemudian, kuturunkan tangan kananku dan mencapai kain putih yang terletak di atas dapur. Aku mengambil kain putih tersebut dan mengibar-ngibarkannya ke udara. “Akak mengalah, Akak mengalah,” kataku lagi.

Adilla dan ibu sama-sama ketawa. Tidak lama selepas itu, aku pun turut ketawa bersama mereka.

~bersambung~