Akhirnya cinta
Monday, December 03, 2012
“JAUH mengelamun!” sergah Aireena yang
muncul secara tiba-tiba.
Batrisya
menelan air liurnya sekali. Hampir luruh jantungnya mendengar suara Aireena
yang kuat, cakapnya macam duduk jauh beribu-ribu batu. Batrisya memandang
Aireena atas bawah dengan kepala digeleng perlahan. “Kalau iya pun, berilah
salam dulu. Dapat juga pahala percuma sebab menghidupkan sunnah,” ujar Batrisya
lembut tetapi serius.
Aireena
hanya mampu tersenyum sumbing. Dayanya tiada untuk membalas kata-kata Batrisya
yang memang tepat. ‘Serangan’ kawan baiknya yang masih solo dan available itu
betul-betul terkena pada batang hidungnya. Mujur hanya ‘tembakan’ dalam
imaginasi. Jika tidak… pasti Aireena sudah menjadi arwah lalu bergelar
Allahyarhamah.
Mata
Aireena serta-merta membulat. ‘Tidak! Aku belum berlaki lagi,” hati kecilnya
menjerit nyaring. Huh! Macamlah soal mati boleh diminta tangguh. Seperti main game.
Boleh tekan butang ‘Pause’ apabila tidak bersedia menempuh saat
genting.
“Hei,
siapa yang berkhayal sekarang?” Batrisya menepuk belakang Aireena pula.
Senyumnya terukir lebar. Aireena seakan-akan sedang hanyut di dalam dunianya
sendiri.
Aireena
tunduk memandang lantai dengan mulut yang mengeroncong. “Tengah ingat mati.
Aireen mahu menggolongkan diri dalam golongan yang cerdik pandai. Bukankah
manusia yang paling bijak itu adalah mereka yang ingat kepada kematian?” dia
terdiam sejenak. Anak mata Batrisya direnung tajam.
“Risya
pula. Jauh termenung. Teringatkan mesyuarat aset petang inikah, atau
terkenangkan Tuan Norman yang kacak macam Shun Oguri?” tambah Aireena lagi
sebelum sempat Batrisya membalas kata-katanya.
Wajah
Batrisya berubah mendadak. Salah satu serkap jarang Aireena memang mengena.
Macam Nujum Pak Belalang pula. Batrisya sememangnya tengah teringatkan Norman . Namun, lelaki itu
tidaklah tampan macam pelakon Jepun yang diperkatakan. Sipi-sipi Norman Hakim pun tidak ada. Iras
Norman KRU jauh sekali.
“Risya!
Kenapa? Aireen tengok, asyik mengelamun saja. Is there something wrong
somewhere anywhere?” Aireena bertanya lagi apabila Batrisya hanya diam
seribu bahasa. Sahabatnya ini macam ada masalah tetapi apa?
Batrisya
mendengus kecil seraya memandang Aireena sekilas. “Risya terfikir. Adakah sikap
Risya sendiri yang telah menimbulkan fitnah…”
“Maksud,
Risya?” Aireena mencelah lagi. Wajahnya semakin serius.
Batrisya
mengeluh kecil. Wajah Norman hadir dengan tidak semena-mena. Batrisya
cepat-cepat menggeleng. Astaghfirullah. Dia tidak mahu mengingati lelaki
itu! “Risya khuatir, salah itu datang daripada Risya sampai Norman…”
“Tergila-gilakan
Risya?” Aireena menjampuk separuh menjerit.
Batrisya
menunduk. Tidak ada patah kata yang terungkap dari bibirnya. Terasa diri bagai
sedang syok sendiri pula.
Aireena
tersenyum lebar. “Aireen pun tak tahu nak cakap apa, atau salah siapa tetapi…”
dia terdiam sekejap. Dahinya berkerut. “Lelaki…” tambah Aireena pendek.
Perbualan terhenti di situ. Noktah!
NORMAN
berjalan laju masuk ke
bilik dengan dahi berkerut. Fail bertimbun di atas meja. Pen dan pensel
berselerak di tepi skrin monitor. Pagi esok, ada latihan kebakaran dengan pihak
bomba. Hrmis pun belum siap diisi. Pening! Pening! Pening!
“Ka…”
Baru sahaja Norman hendak mengomel sendiri, pintu biliknya diketuk.
Norman
mendengkus kuat. “Macam mana kerja nak siap kalau dalam sehari, berpuluh-puluh
kali orang ketuk pintu bilik?” Terluah juga isi hatinya yang terpendam sekian
lama. Norman terus membatu tanpa suara.
Pintu
bilik Norman diketuk lagi. Matanya serta-merta
membulat. Keserabutan berganda. Dari tahap 3 meningkat ke tahap 6. Jika membuat
pemeriksaan kadar gula dalam badan, pasti doktor akan mengesahkannya berisiko
mendapat diabetes. Masakan tidak.
Peningkatan kadar gula naik mendadak sampai 6 milimol per liter
(mmlo/L)!
“Masuk,”
ujar Norman serius. Renungan matanya tetap tajam memandang pintu bilik yang
masih terkatup rapat.
Batrisya
sudah berdiri di hadapan meja. Norman yang tadinya serius hampir terloncat ke
belakang. Batrisya tampak ayu dengan baju kurung longgar berwarna hijau muda.
Tudungnya pula dilabuhkan melepasi paras dada. Cantik…
“Tuan
Norman,” kata Batrisya. Suaranya tidak dilunakkan tetapi tetap lembut.
Jantung
Norman berdegup kencang. Keserabutannya menghilang mendadak. “Ada apa, Risya?” soal Norman
pendek.
Batrisya
terus menghulurkan memorandum yang perlu ditandatangani Norman seraya berkata,
“Ada beberapa memo yang Tuan perlu tandatangan. Nanti, Tuan tengoklah
kalau-kalau ada yang terlepas pandang.”
Norman
menghembus nafasnya perlahan. “Awak ni, Risya. Kalau masuk bilik saya, mesti
nak minta tandatangan. Tak pun, nak bagi fail dan surat. Boleh tak kalau sekali
dua kala awak masuk ke sini, awak tanya khabar saya. Tanya, saya dah makan ke
belum. Sihat ke tidak? Lagi afdal kalau awak kemaskan fail dan pen yang
berselerak ni. Berserabut kepala otak saya melihatnya. Sudahlah minit mesyuarat
belum siap. Hrmis pun tidak setel. Bertambah celaru saya dibuatnya…”
Dahi
Batrisya berkerut. Mulutnya ternganga sedikit. “Saya letak memo ni di sini. Siap
tandatangan, Tuan letak atas meja, saya ambil sendiri,” sampuk Batrisya sebelum
sempat Norman memanjangkan bicaranya. Kemudian, dia berundur setapak lalu keluar
dari bilik itu.
Norman
terkesima. Matanya membulat mengekor langkah Batrisya sehingga kelibat gadis
itu hilang dari pandangan. Norman menggeleng perlahan. Payah betul hendak
berbicara mesra dengan Batrisya. Mahalnya, sungguh-sungguh!
WAJAH
Batrisya mencuka
memandang Aireena yang sedang asyik membuat kira-kira. “Buat apa, Aireen?” soal
Batrisya dengar tidak dengar.
Aireena
terus mendongak. Senyumnya terukir kelat dengan dahi yang masih berkerut.
“Aireen tengah buat claim untuk kursus di Sungai Petani hari tu.
Sayangkan jabatan sayang juga, tetapi duit sendiri lebih disayangi,” dia
berterus-terang.
Batrisya
yang mencuka tadi tersenyum sedikit. Kata-kata Aireena memang ada benarnya.
“Risya pula, kenapa mencuka macam orang tak dapat claim OT saja? Tidak
pun…” dia terdiam sejenak.
“Ni mesti sebab baru jumpa dengan Tuan Norman kita
yang kacak tu,” ujar Aireena bersahaja.
Wajah
Batrisya serta-merta berubah. Memang tepat! Batrisya mendengus perlahan.
Bebelan Norman yang macam nenek kebayan tadi tidak semena-mena terngiang di
benaknya. Setiap kali berurusan dengan lelaki itu, ada sahaja perkara yang mahu
diperkatakan. Malangnya, ‘sesuatu’ itu tidak pula punya keberkaitan dengan
kerja yang sedang dilakukan.
“Memang
baru jumpa nenek kebayan tu tetapi tolong sikit. Tuan Norman kita tak kacak
langsung. Perasan bagus sahaja yang lebih,” balas Batrisya sungguh-sungguh.
Mulut
Aireena ternganga luas. Matanya juga membulat. “Wah, tak pernah Cik Risya marah
macam ni. Memang meletup sungguhlah…”
“Hisy,
Aireen. Gunung berapi pun boleh meletus, inikan pula manusia…” kata-kata
Batrisya terhenti di situ. “Risya dah kerja di sini lebih setahun. Bayangkan.
Dalam seminggu, lima
hari kena berhadapan dengan Tuan Norman yang suka benar merapu. Orang minta
tandatangan memo, dia suruh kita tanya khabar dia. Orang minta semak laporan,
dia suruh buatkan air. Dia ingat, Risya ni bini dia ke?”
“Insya-ALLAH,
sampai masa jadilah bini saya. Boleh?” sampuk Norman sambil tersenyum lebar.
Batrisya
menelan air liurnya sekali. Matanya membulat tanpa kerdipan. Batrisya mengkaku
mendadak.
“Aireena,
teruk sangat ke saya ni sampai susah sangat nak berkawan dengan teman baik awak
yang seorang ni? Bukan buat apa-apa pun. Berkawan saja,” tambah Norman lagi bersahaja.
Batrisya
segera menoleh ke arah Norman .
Anak mata lelaki itu direnung tajam. Rasa geram dan sakit hati pada pegawai
atasannya itu membuak-buak. Agak lama…
“Ehem,
ehem…” Aireena berdehem.
Batrisya
menelan air liurnya sekali. Jantungnya tidak semena-mena berdegup kencang, dup
dap… dup dap. Tubuhnya mengeras lagi. Batrisya langsung tidak berdaya untuk
bergerak. Pandangan dari mata ke mata itu sudah turun sampai ke hati, Astaghfirullah.
“Ri…
Risya nak ke pantri sekejap,” kata Batrisya tergagap-gagap lalu berjalan laju
ke hadapan.
Norman
dan Aireena saling berpandangan. Senyum mereka terukir nipis. “Pantri sebelah sana , Cik Kak oi,” laung Norman separuh menjerit.
Batrisya
berhenti melangkah. Dia tunduk memandang lantai. Tangan kanannya memegang
perlahan atas dadanya. Jantungnya masih lagi bergelora kencang. Tidak lama, dia
pun membelok ke arah yang dimaksudkan Norman .
Wajahnya sudah berubah kemerahan.
Aireena
yang masih tidak berganjak dari situ memandang Norman
atas bawah. “Tuan sukakan dia betul-betul ke?” soalnya separuh berbisik.
Dahi
Norman berkerut. Dia memandang Aireena sekilas, kemudian melihat memo yang
dipegangnya. Norman diam, tidak menjawab apa-apa.
“Dah
setahun Tuan mencuba. Kalau benar-benar suka, hantar sahaja rombongan meminang.
Kalau kena tolak, ambil borang minta bertukar negeri lain. Kalau Tuan asyik
menyakat macam ni, sampai bila-bila pun tak selesai. Saya yang menengok pun semput.
Lagipun, Tuan bukannya muda lagi nak mengayat macam budak umur 25 tahun,”
Aireena menyatakan pandangannya panjang lebar.
Norman
mengagguk perlahan. “Cadangan yang bernas tetapi saya tidak akan masukkan dalam
pengiraan penilaian prestasi kerja kamu,” katanya perlahan lalu beredar masuk
ke dalam biliknya.
Norman
mengeluh lagi. Fail-fail yang bertimbun kembali menyerabutkan benaknya. Tidak
lama selepas itu, dia pun mengeluarkan telefon bimbit dari celana hitamnya.
Mesej ditaip laju…
Salam,
Risya. Pukul 11.00 nanti, saya ada mesyuarat dengan jabatan kewangan. Jika awak
nak pahala lebih, tolong kemaskan bilik saya. Terima kasih.
Mulut Batrisya ternganga luas. Kiriman mesej
yang dikirim Norman dibaca berulang kali.
Hisy! Astaghfirullah… Baru sahaja
Batrisya hendak menambah air sejuk ke dalam gelas, telefon bimbitnya berbunyi
lagi. Mulut Batrisya serta-merta memuncung.
… sebagai praktikal awal sebelum awak jadi
suri di hati saya.
Batrisya mendengus kuat. Dia terus mematikan
telefon bimbitnya. Degupan jantungnya tetap kencang seolah-olah tidak mahu
berhenti lagi. Terasa bintik-bintik hitam menyelubungi jiwanya yang semakin
berkarat.
PAGI esok, ada mesyuarat di ibu
pejabat. Namun, masih banyak laporan yang belum dibereskan. Jadi, terpaksalah Batrisya bekerja lebih
masa. Jam sudah menunjukkan pukul 8.30 malam tetapi anak dara ini masih
menghadap komputer di pejabat.
“Tak rasa nak balik lagi ke, Cik Kak oi?
Awak tu anak dara. Tak elok bekerja sampai lewat malam. Berseorangan di pejabat
pula tu…” terjah Norman dari arah belakang.
Mata Batrisya membulat. Mulutnya memuncung
panjang macam Daisy Duck. Suara itu cukup sumbang pada pendengarannya. Batrisya
segera memandang sekeliling. Jantungnya yang tenang tadi berdegup kencang dengan
tidak semena-mena. Hanya dia dan Norman !
Bukankah apabila lelaki dan perempuan duduk berdua-duaan di tempat sunyi, yang
ketiganya adalah syaitan?
Norman mendengkus perlahan. “Baliklah. Esok,
saya yang buat pembentangan. Bukannya awak. Saya yang perlu menjawab soalan. Baik
awak balik sekarang. Kalau jadi apa-apa, lagi payah. Banyak sangat kes sekarang
ni. Rompak, ragut, bunuh, rogol… awak tak takut?” tambah Norman
serius.
Batrisya menelan air liurnya buat kesekian
kali. Kata-kata Norman yang terlalu
berterus-terang itu sedikit sebanyak menggerunkan hatinya. Bukan dia tidak tahu
tetapi hari ini… Batrisya terpaksa. Kerjanya belum siap!
Tanpa lengah, Batrisya pun bersiap-siap
untuk pulang. Sudah pukul 9.30 malam. Alahai, Batrisya sudah lewat benar.
Norman menggeleng laju. Berbuih dia
bercakap, satu patah kata pun tidak terpacul dari mulut Batrisya. Norman
merasakan bagai sedang berbicara dengan tunggul kayu yang telah disumpah
menjadi batu konkrit.
“Terima kasih, Tuan atas keprihatinan,” ucap
Batrisya tiba-tiba lalu beredar dari situ menuju ke lif.
Mata Norman membulat. ‘Boleh pula bercakap,’
dia mengomel sendiri. Norman terus tercegat di situ dengan mulut yang ternganga
separuh.
JAM sudah menunjukkan pukul
10.30 malam tetapi tayar bas RapidKL pun masih belum kelihatan. Batrisya
mendengus kecil. Kecut perut juga dia berdiri berseorangan di perhentian bas yang
sunyi ini. Sudahlah tidak banyak orang yang lalu-lalang, bunyi nyamuk pun tidak
kedengaran. Batrisya yang sudah letih berdiri duduk semula.
“Hai,
Cik Adik manis. Beraninya jalan malam-malam. Tak takut orang kacau ke?” sapa
seorang lelaki lembut.
Batrisya
tersentak kecil. Jantungnya bergelora kencang. Dia memandang lelaki bermata
kuyu yang berdiri di tepinya itu atas bawah. Kemudian, Batrisya bergerak
beberapa tapak menjauhinya.
“Alahai,
Cik Adik. Janganlah takut. Saya bukannya nak buat apa-apa. Mahu berteman dan
bermesra saja. Nama saya Ridzuan,” tambah Ridzuan sungguh-sungguh.
Mata
Batrisya serta-merta membulat. Sah! Lelaki yang bernama Ridzuan ini sedang
mabuk. Batrisya menelan air liurnya sekali. ‘Ya, ALLAH…’ desis hati kecil
Batrisya sendiri.
Senyum
Ridzuan semakin melebar. Dia terus mendekati Batrisya. Namun, baru sahaja dia
hendak menyentuh bahu gadis itu…
“Tak ada
kerja lainkah yang kamu nak buat?” sergah Norman
lalu menolak Ridzuan kuat.
Batrisya
terkesima lagi. Begitu juga dengan Ridzuan. Masing-masing terkedu melihat
Norman yang sedang menyinga. Macam Boboi Boy yang datang menyelamatkan mangsa.
“Suka
hati akulah. Aku bukan kacau awek kau pun,” balas Ridzuan kasar seraya berkalih
ke arah Batrisya. “Cik Adik manis, teman abang malam ni, boleh?” ujarnya
sungguh-sungguh.
Norman
hilang sabar. Tanpa memberi sebarang amaran, dia terus menampar muka Ridzuan.
Kuat… sampai terteleng mukanya.
“Hei,
kau apa pasal? Aku tak kacau kau, kau jangan sibuk hal aku. Awek ni siapa, kau gelabah
sangat? Mak kau? Adik kau?” jerit Ridzuan seperti orang hilang kewarasan.
Norman
menghembus nafasnya kuat. Wajah Batrisya yang masih lagi ketakutan dikerling
sekilas. Tidak lama, dia pun memandang Ridzuan semula. “Memang aku kena sibuk
dan jadi penyibuk. Awek ni bakal isteri aku. Kau sentuh dia, aku tibai kau
sampai tak boleh kacau anak dara orang lagi!” balas Norman
serius.
Ridzuan
terpana. Dengan tidak semena-mena, dia berasa kecut perut pula. Ridzuan
menggosok matanya berkali-kali. Baru sekarang Ridzuan tersedar, dia hanyalah
bersaiz 3S. Lawannya pula bersaiz XL. Tanpa cakap banyak, Ridzuan terus angkat
kaki.
Norman
memandang Batrisya atas bawah. “Awak tak apa-apa?” soal Norman
sungguh-sungguh.
Batrisya
mengangguk lesu, masih lagi terkejut dengan peristiwa sebentar tadi.
Norman
menarik nafas lega. Senyumnya terukir nipis. “Biar saya hantar awak balik.
Itulah. Tak elok anak dara balik kerja malam-malam. Awak pula guna pengangkutan
awam. Lagi-lagilah tak terjamin keselamatannya. Lain kali paling lewat pun,
baliklah sebelum pukul 7.00. Orang banyak lagi. Kalau nak siapkan kerja, memang
kerja tak akan habis,” pesan Norman panjang
lebar.
Batrisya
turut sama mengukir senyum. Dia terus mengekor langkah Norman dari belakang menuju
ke tempat dia memarkir keretanya.
“Saya
duduk di belakang, boleh? Tak biasalah duduk depan,” Batrisya bersuara
tiba-tiba.
Norman
segera menoleh ke belakang seraya membalas, “Awak nak duduk dalam bonet pun
boleh…” kata-katanya terhenti di situ. “Awak jangan risau, saya tak akan jual
awak di mana-mana,” tambah Norman lagi
berseloroh.
Batrisya
tergelak kecil lalu masuk ke dalam kereta. Dia duduk betul-betul di belakang
kerusi pemandu, sedikit menyorok agar Norman tidak dapat melihatnya melalui cermin
pandang belakang. “Terima kasih,” ucap Batrisya dengar tidak dengar.
Norman
mengangguk-angguk. “Lain kali hati-hati. Ja…”
Belum
sempat lelaki itu menyudahkan kata-katanya, Batrisya mencelah. “Jangan kerja
sampai lewat malam. Bahaya.” Tawa kecilnya kedengaran sayup-sayup.
Suasana
sepi seketika…
Norman
terus fokus memandu. Batrisya pula duduk membatu tanpa suara. Batuk pun tidak.
Batrisya melihat jam pada pergelangan tangan. Sudah pukul 11.15 malam? Hati
Batrisya terus menjadi tidak keruan. Waktu-waktu begini, dia masih berada di
luar rumah? Dengan ajnabi pula. Huh!
“Saya
serius untuk memperisterikan awak. Saya juga sungguh-sungguh nak masuk meminang
awak. Awak suka saya tak? Awak sudi jadi isteri saya tak?” Norman terdiam
sejenak.
Belum
sempat Batrisya berkata apa-apa, Norman
menambah lagi. “Saya suka awak sejak pertama kali saya kenal awak. Saya nak
berbaik-baik dengan awak, awak jual mahal sangat. Tak ada diskaun langsung. Saya
nak bergurau dengan awak, awak serius macam tengah bermesyuarat dengan Tuan
Pengarah…” kata-kata Norman
terhenti si situ. Suasana sepi lagi.
“Awak
suka saya tak?” Norman mengulangi soalannya.
Batrisya
tunduk memandang alas kaki kereta. Jantungnya terasa berdegup semakin kencang.
“Awak…”
Norman tidak putus asa mendapatkan kepastian.
Batrisya
menarik nafas, kemudian menghembusnya perlahan. “Saya suka awak tetapi…”
tergagap-gagap Batrisya melontarkan bicara.
Norman
tersenyum lebar. Persoalan kepada sesuatu yang tersimpan lama di dalam benaknya
sudah terjawab. “Tetapi apa?” soal Norman
sungguh-sungguh.
Batrisya
mendengus perlahan. “Saya suka Tuan tetapi saya tetap perlu memelihara diri
saya selaku seorang muslimah. Saya tidak boleh semberono berbual mesra dengan
Tuan tanpa hala tujuan. Fitnah itu dekat dengan saya. Jika Tuan benar-benar
serius, datanglah ke rumah. Jumpalah ibu dan ayah saya,” balas Batrisya panjang
lebar. Halus dan bergetar suaranya sampai dengar tidak dengar sahaja.
Mulut
Norman ternganga luas. Tidak pernah Batrisya seberani itu dalam berbicara.
Tidak lama, dia terus mengukir senyum lebar. Pedal minyak pun ditekan. Hati
Norman berbunga ceria.