Hati seorang ibu



MATA Mek Besah terkedip-kedip memandang Pak Saad yang asyik benar menghisap rokok berjenama Dunhill dekat beranda rumah. Mulutnya memuncung macam itik serati. Kedutan pada wajahnya juga terserlah jelas. Nampak tua dan tiada seri. Maklumlah, umur Mek Besah bukan muda lagi. Sudah enam puluh tiga tahun. Zaman lalunya, dia menikah dengan pilihan orang tua. Perbezaan usia hampir dua puluh tahun dengan Pak Saad sama sekali tidak menghalang dua jiwa disatukan. Tahan lama pula. Mek Besah percaya. Redha ibu ayah membawa bahagia sampai ke syurga. Itu pun kalau taat kepada perintah-NYA.

“Awak tengok saya macam nak telan orang hidup-hidup,” ujar Pak Saad dengan tidak semena-mena. Dia terus mencampak baki rokok Dunhill yang sudah tinggal sesuku ke tanah. Senyumnya terukir nipis. Kemudian, Pak Saad mencapai pula air kopi yang masih panas di hadapannya.

Dia mengerling Mek Besah buat kesekian kali. Wajah satu-satunya isteri Pak Saad itu tampak masih menyinga. Pak Saad menelan air liur. “Kenapa ni?” soalnya pendek seraya menghirup air kopi yang dibuat Mek Besah. Sedap…

Mek Besah mendengkus perlahan. “Abe weh…” kata-katanya terhenti di situ. Dia mengintai puntung rokok yang dibuang suaminya sekilas kemudian menambah, “Paginya, awak Solat Subuh di madrasah. Maghrib dan Isyak pun awak solat di surau…”

“Jadi, apa masalahnya, Mek Besah oi? Bukan ke ustaz dah cakap. Solat berjemaah tu lebih afdhal daripada solat bersendirian? Awak nak biar rumah kita kena bakar?” sampuk Pak Saad serius.

Bukan dia tidak kenal dengan Mek Besah. Apabila angin tidak eloknya datang, semua benda akan jadi tidak kena. Itu salah… ini salah. Salah orang sahaja yang dia nampak. Silap hari bulan, salah pertimbangan, boleh perang dingin jadinya. Mujur masing-masing tidak gagah mengangkat senjata. Kalau tidak… boleh cetus perang dunia ketiga, nauzubillah.

Mek Besah menceber. “Tahu pula awak baik buruk. Rokok tu, bila nak campak ke sungai? Bukan ke ustaz ada cakap yang hisap rokok tu haram? Sia-sia saja awak solat tunggang tungging tapi dosa tu buat juga,” balasnya bersahaja tetapi sinis.

Pak Saad menepuk beranda kuat. Pantang benar dia apabila persoalan dosa pahala dibangkitkan. Bukan Pak Saad tidak tahu. Merokok itu membahayakan diri dan kesihatan tetapi…

Ah! Susah hendak memahamkan orang yang tidak pernah menjadi perokok tegar ini. Syoknya, sampai terlupa duit yang dibakar begitu sahaja.

“Yang awak nak marah-marah ni, kenapa?” Pak Saad menarik nafas panjang-panjang, kemudian menghembusnya perlahan.

Dia merenung tepat anak mata Mek Besah seraya menambah lagi, “Sejak Hanis kahwin lari, sejak itulah awak berubah. Bercakap dengan tok laki, tak reti nak berlembut. Dah empat tahun, Mek weh. Dah empat tahun saya sabar dengan awak. Kalau awak marahkan anak kita, jangan sampai jadi isteri derhaka pula. Nak nasihat, ada caranya.” Panjang lebar Pak Saad meluahkan rasa hatinya yang mungkin sudah terpendam sejak sekian lama. Boleh jadi sudah dekat empat tahun.

Mata Mek Besah membulat. Mulutnya ternganga separuh. Tanpa membalas kata-kata Pak Saad, Mek Besah terus berlari masuk ke dalam rumah. Air matanya berderai laju membasahi pipi. Rawan hati Mek Besah mengenangkan satu-satunya puteri kesayangan yang sekarang sudah menyepi tanpa berita.

Pak Saad menggeleng perlahan. Dia mengeluarkan sebatang rokok Dunhill dari kocek hadapan baju kemejanya. Pak Saad mendengus lagi. Begitulah Mek Besah. Setiap kali rasa rindu terhadap Hanis menerpa, setiap kali itulah dia mencari pasal dengan suaminya. Ada sahaja yang tidak kena. Kemudian, setiap kali itu jugalah dia berlinangan air mata.

MEK Besah terus berdiam di dapur. Hendak berkurung di dalam bilik, khuatir dikatakan buang tabiat pula. Dia bukannya anak dara. Sudah menopaus pun. Walaupun telah menikah lebih lima puluh tahun, anaknya hanya seorang. Rezeki TUHAN, tidak ada siapa yang layak membuat pertikaian. Noktah!

“Sampai bila awak nak duduk macam ni, Mek? Dulu, awak yang halau dia. Awak juga yang tak bagi dia balik rumah sebab nak menikah dengan orang luar. Bukan luar mana sangat pun. Orang Terengganu… sama-sama makan petai, jering dan budu…” kata-kata Pak Saad terhenti di situ. Dia cuba mengintai wajah isterinya yang menunduk ke lantai tetapi tetap tidak berjaya.

Sah! Mek Besah menangis lagi. Hanya esakan yang tidak kedengaran.

Hilang sabar dengan Mek Besah yang berperangai mengalahkan anak dara putus tunang, Pak Saad bersuara lantang, “Sudah! Saya dah letih tengok awak macam ni. Redhalah. Anak kita dah tak ada. Dulu, awak sendiri cakap yang dia dah mati…”

Mek Besah serta-merta mendongak. Bicara Pak Saad cukup menghiris hatinya. Mati? Mana mungkin dia membiarkan Hanis kembali menghadap ILAHI sebelum sempat dia mengampuninya di hadapan mata. Tidak! Tidak sama sekali.

“Saya ni mak. Saya marah bukan sebab saya benci. Bukan sebab saya dah tak sayang. Saya marah sebab…”

Belum sempat Mek Besah menyudahkan kata-katanya, “Awak marah sebab awak ikut kata hati? Cakap ikut sedap mulut. Awak sedar tak, Mek? Kata-kata seorang emak tu doa untuk anak dia. Awak halau dia. Awak tak mengaku dia anak awak padahal sah-sah si Hanis tu keluar dari rahim awak…”

Pak Saad menelan air liurnya sekali. Tidak cukup! Dia menelan air liurnya sekali lagi seraya menyambung, “Bila Hanis tak balik, mulalah menggelupar macam orang tak ada agama. Penat dah saya… penat layan awak ni. Lagi penat daripada menoreh getah dekat kebun Pak Leman tu. Sudahlah. Kita doakan yang terbaik untuk dia. Busuk-busuk dia pun, anak kita juga. Kalau awak duk bercakap benda yang tak elok memanjang, saya takut rumah tangga anak kita jadi kacau bilau. Awak kena sedar. Awak tu ibu. Mulut awak tu masin. ” Titipan Pak Saad tetap berjela.

Mek Bedah mengangguk lesu. Kata-kata lelaki itu memang ada benarnya. Sekiranya bukan dia yang mendoakan kebahagiaan Hanis, siapa lagi? Baru sahaja Mek Besah hendak bersuara, pintu rumahnya diketuk dari luar.

“Siapa?” soal Pak Saad keras sambil mengerling pergelangan tangannya. Pak Saad menggeleng laju. Dia mana ada jam tangan! Tanpa lengah, Pak Saad pun meluru ke ruang tamu. “Siapa?” Pak Saad mengulangi soalannya lagi.

Selak pintu pun ditarik perlahan. Siapa pula yang datang pada waktu-waktu begini? Namun sebelum sempat dia berbuat apa-apa, pintu ditolak kuat dari luar. Mujur lelaki tua itu sempat mengelak. Kalau tidak, boleh terjatuh ke lantai. Benjol kepalanya nanti.

“Mak!” jerit Hanis lalu berlari ke arah Mek Besah yang terpinga-pinga di belakang suaminya. Begitu juga dengan Pak Saad. Kakinya mengkaku. Mata Pak Saad tidak berkedip memandang anak perempuannya yang sudah empat tahun menghilang. Betulkah apa yang dilihatnya ini?

“Maafkan Hanis, mak… ayah. Hanis tahu Hanis salah dan banyak dosa dengan mak dan ayah. Hidup Hanis terseksa, mak. Hanis tak bahagia. Hanis dah tak tahan lagi duduk dengan Abang Nordin…”

Pak Saad segera mendekati Hanis. Dia hendak berkata-kata tetapi bicaranya terlekat di kerongkong. Baru sekarang Pak Saad menyedari, dia sebenarnya merindui Hanis. Sangat rindu. Macam Mek Besah juga cuma tidaklah pula dia meracau macam isterinya.

“Mana tok laki kamu?” Pak Saad bertanya dengan suara yang terketar-ketar.

Hanis menunduk. Esakannya semakin jelas kedengaran. Dia memandang emak dan ayahnya bersilih ganti. Hanis tahu… dia salah. Dia berdosa namun nasi telah menjadi bubur. Moga dua sosok yang sudah tua itu sudi memaafkannya.

“Abang Nordin dah ceraikan Hanis dengan talak tiga, yah…” tergagap-gagap dia memberitahu.

Pak Saad dan Mek Besah saling berpandangan. Dengan tidak semena-mena, air mata keduanya mengalir deras. Mek Besah terus mendakap Hanis erat. Walaupun dia marah kepada Hanis, Mek Besah tidak mahu anaknya menderita. Mek Besah tidak ingin mendengar khabar buruk tentang kehidupan anak perempuannya. Air matanya terus merembes laju.

Pak Saad pula tidak berhenti menggosok matanya. Dia perlu lebih kuat daripada Mek Besah. Kata-kata Ustaz ‘Azim tempoh hari tidak semena-mena menjengah benaknya, “Redha ibu ayah membawa bahagia…”

Benar…
4 Responses
  1. Saya telah menge-mel gambar cerpen tersebut. Harap akak semak.


  2. Terima kasih dauh keladi,
    Nak bodek ori confirm tak bagi :)

    Akak dah dapat.

    Insya-ALLAH sedikit masa lagi nak kongsi di blog. Tengah berusaha keras edit Bab 21 manuskrip ni. Target 3 bab 1 hari. Ikutkan... macam nak berputus asa tetapi...

    KENA TABAH!

    Doakan ya.


  3. Hahahaha.... cantik nampak pantunnya. Kena tunggu saya buat lelongan dulu kot. huhuhu

    manuskrip novel baru ke? Tajuk apa? Dengan siapa pula nk terbit?


  4. Okey. Nak buat lelongan, maklum akak dulu ya. First priority tau :)

    Ya. Manuskrip terbaharu. Sudah siap dan telah dinilai editor tetapi kena edit (tambah, tolak dll). Pening sikit kali ni. Idea tak ada. Jalan cerita nampak kaku. Feel pun kurang. Semua ada 56 bab. Baru siap 21 bab edit. Dah siap semua, nak semak sekali lagi.

    Moga-moga diterima terbit. Hmmm... akak menulis hanya dengan Grup Buku Karangkraf dan mungkin DBP. Nak juga cuba di ITBM (cerpen) tetapi tak yakin.