Merajuk


‘Assalammualaikum salam sejahtera kepada anda semua moga bahagia…’ Hehe… bernasyid pula pagi-pagi begini. Suka nasyid? Hmmm… Muthiah pun suka nasyid tetapi, tidak ada satu lagu pun lagu yang Muthiah ingat/ hafal 100%. Mesti ada lompangnya. Pasti ada sumbangnya…

Merajuk???

Pernah merajuk?
( ) Ya.
( ) Tidak.

Dengan siapa?
( ) Suami/ isteri.
( ) Ibu/ ayah.
( ) Teman lelaki/ teman wanita.
( ) Kawan-kawan.

Apakah perasaan kita tatkala merajuk?
( ) Sedih.
( ) Kecewa.
( ) Marah.
( ) Biasa-biasa sahaja. Lagipun, saja-saja hendak memancing perhatian. Huhaa…

Hmmm… renungkan kembali. Apakah sebab utama kita merajuk?

Muthiah ada seorang teman. Dia selalu bercerita dengan Muthiah perihal masalah ‘rumah tangganya’. Perbalahan besar acap kali berlaku. Merajuk sampai berhari-hari. Teman Muthiah tertekan sampai menangis tidak henti-henti. Macam-macam bermain dalam hatinya ; marah, kecewa, sakit hati membuatkan dia tidak dapat fokus dalam pekerjaannya. Kalau dia menghantar sistem pesanan ringkas menceritakan masalahnya, berjela-jela. Kalau dia menelefon Muthiah, berjam lamanya, menunjukkan betapa ‘besar’nya permasalahan yang dihadapinya.

Muthiah bertanya, “Apa masalah sebenarnya?”
Dia menjawab, “Aku telefon dia berkali-kali tetapi tidak jawab….”
Dahi Muthiah berkerut. “Kemudian???”
“Dia cakap dia sibuk di pejabat. Ada mesyuarat. Aku tahu bukan salah dia. Aku tahu masalahnya kecil tetapi aku geram!!!”

Aloha…. Muthiah hanya mampu menggeleng. Disebabkan masalah ‘besar’ itu, perbalahan yang lebih besar berlaku. Si lelaki menyatakan sahabat Muthiah tidak memahami kerjanya yang banyak. Sudahlah tertekan di pejabat, di‘serang’ pula bertalu-talu dengan tuduhan yang tidak berasas.Teman Muthiah pula menyatakan bahawa si lelaki tidak peka dan prihatin. Susah sangatkah hendak menjawab panggilan telefon? Hmmm….

Tidak salah merajuk. Muthiah juga pernah merajuk, berkecil hati, sedih. Kalau tidak, bukan manusia namanya. Itu lumrah. Emosi kadang-kadang mendahului rasional dalam diri. Namun, jangan sampai menghancurkan diri sendiri. Jangan sampai perang dingin menjadi ‘perang dunia’ ke… Siapa yang sakit? Diri kita juga. Siapa yang dirundung duka? Keluarga kita juga. Jadi…

1) Carilah masa/ tempoh bertenang. Beri ruang kepada hati untuk ‘berehat’ seketika ~ Apabila rasa marah menguasai diri, jarang sekali kita dapat berfikir dengan sewajarnya. Duduk dahulu… baring dahulu… ambil wuduk… solat sunat. Kalau Muthiah, Muthiah suka melakukan solat sunat taubat kerana mungkin bagi Muthiah… keresahan hati ini disebabkan oleh dosa yang tidak Muthiah sedari. Apa-apa yang berlaku, pasti ada hikmah-NYA. ALLAH mahu Muthiah kembali kepada DIA. Mungkin Muthiah terlupa dan terlalai daripada mengingati-NYA. ALLAH SAYANG…

2) Usah merajuk lama-lama. Khuatir memberi kesan terhadap sesuatu hubungan. Kalau sekali dua kita merajuk, orang mungkin boleh tahan. Kalau hari-hari? Takut orang bosan. Orang pun malas hendak layan. Akibatnya, kita merasa diri tidak lagi disayangi pula. Walhal tidak! Bilamana merasakan diri tidak dikasihi, mulalah fikir yang bukan-bukan. Setelah itu… emosi yang tidak menentu pun mula menjengah. Tertekan… sedih… kecewa… marah yang sedikit bertambah berganda-ganda. Hendak buat kerja pun tidak menjadi. Jadi, bagaimana?

3) Sakit hati? Marah? Kecewa? Kembalilah kepada DIA yang mencipta hati setiap manusia. Pohon kepada-NYA agar diberi kekuatan. Mohon agar ‘rajuk’ dan ‘kecelaruan’ ini tidak berpanjangan, tidak terlalu lama. Mohon agar hubungan sesama manusia tidak terjejas dek rajuk kita.

4) Berbincanglah… Kalau boleh berbicara dari hati ke hati, berbicaralah. Bincang dan cuba selesaikan masalah yang dihadapi tetapi ingat… pastikan diri sudah bersedia untuk melakukan perbincangan. Khuatir… apabila emosi masih lagi menguasai diri, perbincangan yang diharapkan dapat menjernihkan keadaan tidak membantu apa-apa bahkan menjadikan masalah lebih teruk lagi. Perang yang sedia besar bertambah besar. Sama-sama tidak mahu mengalah. Sama-sama berusaha mempertahankan diri dan ego sendiri. Perlukan orang tengah???

5) SENYUM-lah… Boleh jadi dengan senyum ikhlas hati akan menjadi tenang dan pasti!!! “Dengan mengingati ALLAH hati kan tenteram.”

Muthiah : Kadang-kadang merajuk…
Labels: | edit post
0 Responses