Mencari Naurah (Bab 73)

Novel | Mencari Naurah


Foto : Sekadar gambar hiasan


“Milo ini manis sangat!” jerkah Datin Khatty.

“Ada hati hendak kahwin tetapi buat air pun tidak pandai,” sambungnya lagi. Cawan yang dipegangnya dicampak ke lantai. 

Pang... pecah berderai bersama-sama air yang kubuat.

“Maaf, Mama,” ujarku perlahan. Cukup perlahan.

“Dewi, buatkan saya Milo. Ada menantu pun tidak boleh harap!” jerit Datin Khatty. 

Diam... 

Oh, ya. Dewi sedang menyidai pakaian di ampaian. Berkali-kali aku melarangnya tetapi ia tetap berkeras mahu membantuku. Sudah tentu ia tidak mendengar jeritan tuannya yang bengis itu. Mujur ibu mertuaku tidak menjerit lagi.

“Cuci terus lantai ini,” arah Datin Khatty. Aku hanya diam. Memandangnya sekilas dan berjalan perlahan ke dapur.

“Dewi, tolong bawakan air ini kepada ibu,” bisikku seraya menghulurkan secawan Milo kepada Dewi. 

“Baik, Bu,” balasnya sambil tersenyum. Hmmm... awal-awal pagi suasana di dalam rumah ini sudah kesuraman. Aku juga tidak tahu apa yang harus aku lakukan.

“Letak Milo di situ. Tengah hari ini, ajar budak kampung itu buat steak yang kau buat hari itu,” kata Datin Khatty tanpa memandang wajah pembantu rumahnya itu.

“Baik, Bu,” cepat-cepat ia kembali ke dapur.

“Ibu sudah minum?”soalku.

“Sudah, Bu,” jawabnya perlahan.

“Dia tidak cakap apa-apa?” aku bertanya lagi.

“Enggak ada,” balasnya. 

Nah, Datin Khatty memang sengaja mahu memakiku, mengherdikku. Mungkin ia akan berasa puas apabila berkelakuan begitu. Tidakkah ia sedar bahawa air yang diminumnya itu adalah minuman yang sama aku buatkan untuknya sebentar tadi? Sengaja aku buat lebih. Takut-takut tidak cukup tetapi bukan tidak cukup...

“Ibu...” Dewi merenung tepat anak mataku.

“Alah, Dewi. Bukankah saya sudah pesan, panggil saya Asha,” aku membalas renungannya. ‘Sasaran dakwah yang baik,’ getus hatiku. Aku perlu sentiasa optimis.

“Ibunya Khatty mahu makan steak. Saya enggak tahu membuatnya,” suaranya mendatar. Kecewa agaknya.

“Tidak apa, tidak apa. Nanti Asha buatkan, insya-Allah.” Aku memaut erat bahunya. 

Meskipun hanya orang gaji, Dewi adalah satu-satunya teman yang aku ada. Dialah pembantu rumah dan dia jua rakan karibku di dalam rumah besar ini.

“Natasha!!!” kedengaran suara Datin Khatty menjerit lagi. 

Sama sekali tidak mahu memberi peluang kepadaku untuk bernafas sejenak. Ada sahaja yang diingininya. Ada sahaja yang tidak kena.

“Ya, Mama.” 

Aku cepat-cepat berjalan ke arahnya yang sedang duduk melunjur bagaikan seorang permaisuri. Permaisuri yang kejam lagi jahat... umpama si Maharani dalam Cinta Sang Ratu.

“Dalam bilik aku, ada dua bakul baju yang tidak berbasuh. Kau basuhlah...” Datin Khatty merenung tajam mataku.

“Aku hendak ke salun sekejap. Pastikan semuanya sudah selesai bila aku pulang,” tambahnya.

“Satu lagi... pakaian dalam aku, aku tidak suka kau basuh guna mesin. Basuh guna tangan,” sambung Datin Khatty lagi.

“Baik, Mama,” balasku pendek. Aku segera menghulurkan tanganku untuk menyalaminya.

“Ah, tidak payah salam-salam,” ia menempis tanganku. Aduh...

“Dewi, kau jangan hendak memandai-mandai tolong budak ini,” Datin Khatty menjeling tajam ke arah Dewi yang berdiri tidak jauh daripadaku. Gadis itu sekadar membisu.

“Alias!!!” jeritnya pula. Pak Alias yang tadinya sedang mengelap kereta segera berlari mendapatkan Datin Khatty yang nampak begitu cengil.

“Saya tolong, Bu,” ujar Dewi separuh berbisik.

“Tidak apa. Asha boleh buat sendiri,” aku hanya tersenyum.

Uwek, uwek...

Kenapalah tekak ini mahu buat hal pada saat-saat begini? Kupegang perutku perlahan. Anakku nanti pasti menjadi pejuang agama Allah yang rela berkorban demi agamanya.

‘Sabar, Sha. Pahala percuma sedang menanti di hadapan mata...’

~bersambung~
0 Responses