Mencari Naurah (Bab 68)

Novel | Mencari Naurah

Gambar hiasan

DI MESIR…

Efendy nampaknya benar-benar telah menyediakan diri untuk menempuh alam baru. Alam yang baru sahaja dilalui oleh kakaknya, Natasha. Efendy sudah tidak sanggup bermain dengan panahan api dari dalam hatinya. Jiwanya sakit. Hatinya meronta-ronta. Dia tidak cukup kuat untuk itu…

“Kamu bersedia?” tanya Syeikh Yusof.

“Insya-ALLAH, Ustaz,” jawab Efendy perlahan.

“Bagaimana pula dengan keluarga di Malaysia?” Ustazah Aidawati pula bersuara.

“Mak tiada halangan. Lagipun, kakak sulung baru selesai walimah. Jadi, ibu lebih berlapang dada untuk ini (kahwin),” balas Efendy bersahaja. Cukup tenang.

“Kalau begitu...”

Saat yang ditunggu-tunggu semakin hampir. Bukan apa, semakin lama hati semakin sakit dek gelora perasaan. Ada sahaja yang tidak kena sehingga tidak khusyuk jadinya solat yang dikerjakan. Tidak fokus jadinya pekerjaan yang dilakukan. Semuanya disebabkan oleh panahan cinta.

Entahlah. Boleh juga dikatakan sebagai panahan iblis yang sentiasa mahu membinasakan hamba ALLAH yang lalai. Benci benar dia dengan manusia yang telah menyebabkannya tersungkur dari dalam syurga. Dirasakan dirinya lebih mulia daripada insan yang dijadikan ALLAH daripada segumpal tanah yang kotor sedang dia berasal daripada cahaya.  Dendamnya membara, tekadnya padu.

‘Manusia ini perlu aku sesatkan,’ jerit musuh kepada orang yang beriman ini.

“Tahniah, kak. Maaf kerana tidak dapat menghadiri majlis kesyukuran akak,” kedengaran suara Efendy serba salah.

“Oh, tidak apa-apa. Sudah mengerti kondisimu. Paling penting, semuanya sudah beres,” aku cuba berbahasa Indonesia. Maklumlah, bakal adik iparku berasal dari sana.

“Akak sudah bincang dengan mak?” Efendy bertanya lagi.

“Dah. Mak tiada halangan. Asal Ady tahu membahagikan masa. Mak juga mengerti rasa hatimu, dik,” aku sengaja membunga-bungakan bahasa. Sudah lama aku tidak mengusiknya. Rindu rasanya kepada adik lelakiku yang seorang ini.

“Alhamdulillah. Doakan segalanya berjalan lancar. Sampaikan salam Ady buat abang ipar,” kata Efendy. “Kak,  duit Ady kurang. Lain kali Ady hubungi akak lagi. Jaga diri baik-baik. Jadi isteri solehah mukminah, boleh? Assalammualaikum,” ia menambah.

“Waalaikumussalam,” balasku perlahan. Aku berbangga memiliki adik sepertinya. Dia begitu teguh dengan pendiriannya. Tidak sia-sia mak menghantarnya ke Timur Tengah. Permata yang tertanam di sana dikutipnya. Dia sama sekali tidak membenarkan permata itu dibiarkan bersepah merata-rata.

Selain itu, adik lelakiku ini juga amat tega dalam menegakkan hukum ALLAH. Bukankah  yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas? Maka, tidak ada alasan bagi setiap manusia yang bergelar Muslim untuk memandang ringan ke atasnya. Dengan kata lain, usahlah sekali-kali mengambil ringan terhadap ketetapan TUHAN.

“Siapa telefon?” soal Asyraf tatkala melihat aku masih lagi memandang telefon bimbitku.

“Ady. Dia kirim salam pada abang,” jawabku sambil tersenyum manis. Butang bajunya aku buka perlahan. Lazimnya, dia akan berehat sebentar setelah pulang dari tempat kerja.

“Dia dah okey?”

Bersungguh-sungguh benar suamiku ini ingin tahu ‘perkembangan’ adik iparnya. “Alhamdulillah. Macam dah makin tenang,” balasku lalu berjalan ke muka pintu.

“Asha hendak ke mana? Marilah duduk dengan abang,” panggil Asyraf.

“Mahu ambil air. Abang nak macam biasa, ke?” aku memandang anak matanya.

“Tak apa. Abang tak dahaga lagi. Jom, temankan abang sekejap.” Asyraf menepuk-nepuk katil bilik kami sambil tersenyum.

Aku melemparkan senyuman manis buatnya. Lebih manis dari tadi. Mungkin... “Hendak borak-borak ke?” aku segera berbaring di tepinya. Diam...

“Ya, sayang,” Asyraf menjawab pendek. Mungkin keletihan. “Mama pergi mana?” soalnya lagi.

“Entahlah. Tadi, mama minta Pak Alias hantar ke spa. Spa yang mana satu, Asha tidak pasti,” ujarku yakin tidak yakin. Aku pun tidak pasti ke mana Datin Khatty pergi. Dia sama sekali tidak mahu berbicara denganku. 

Pernah beberapa kali kucuba untuk berbaik-baik dengannya tetapi tidak berhasil. Seolah-olah aku ini tidak wujud. ‘Macam kena cool treatment sahaja,’ bisikku sendiri.

“Bila Ady hendak kahwin?” Asyraf mengusap-usap jemariku lembut.

“Insya-ALLAH. Akan tiba waktunya nanti.” Aku tersenyum.

“Baguslah kalau begitu...” balas Asyraf. “Abang hendak baring sekejap. 15 minit sebelum Isyak, kejut abang, boleh? Abang hendak solat di surau, insya-ALLAH,” tambahnya.

“Insya-ALLAH...” kataku sambil memandang wajahnya yang tampak keletihan. Kemudian, senyap-senyap aku bangkit dari katil. Pintu bilik kubuka perlahan. Tidak mahu mengejutkan suamiku yang seharian berpenat-lelah.
“Dewi, tolong Asha panaskan lauk.” Aku mencari-cari Dewi di dapur.

“Sudah, bu,” jawab Dewi pendek. “Ibu...” Dia memanggil namaku perlahan. “Bapak tidak marah Ibu masak di dapur?” takut-takut dia bertanya.

“Tidak apa. Lagipun, Asha yang hendak masak, bukan? Lepas ini, biar Asha seorang yang masak. Dewi buat kerja rumah yang lain.” Aku menyusun pinggan di atas meja makan. Rasa puas kerana dapat menyediakan santapan buat suamiku. Ya. Semuanya kubuat sendiri sejak pertama kali menjejakkan kaki ke banglo mewah ini. 

~ bersambung
0 Responses