Mencari Naurah (Bab 70)

Novel | Mencari Naurah


“Bila Ady habis belajar?” Asyraf memandangku sekilas. Kemudian, meneruskan suapannya sedikit demi sedikit.

“Insya-Allah, dua tahun lagi,” aku membalas pandangannya sambil tersenyum.

“Dewi, datin tidak balik lagi?” Asyraf berkalih pula ke arah pembantu rumah.

“Belum, Pak,” jawab gadis Indonesia itu pendek.

“Entah ke manalah mama pergi malam-malam begini,” rungut Asyraf perlahan. 

Kasihan aku melihat suamiku ini. Asyraf mahu mamanya berubah tetapi ia sendiri tidak punya jalan untuk mengajak wanita itu. Kadang-kadang, menyeru orang asing kepada kebaikan itu lebih mudah daripada mengajak keluarga sendiri. Apatah lagi jika melibatkan ibu dan bapa. Mereka masih merasakan si anak yang pernah dibesarkan itu masih mentah tentang kehidupan.

“Lepas ini, kita tadarus sama-sama, Sha.” Begitulah Asyraf tatkala kerunsingan. Membaca ayat-ayat Allah adalah salah satu cara untuk mendapatkan ketenangan hati.

“Insya-Allah...” ujarku perlahan.

“Papa mana?” soal Asyraf lagi.

“Papa ke rumah Mama Melissa,” jawabku benar-benar yakin. Ibu tiri Asyraf yang seusia dengannya itu agak akrab denganku. Mungkin kerana kami sama-sama dianggap musuh oleh Datin Khatty, menyebabkan kami semakin rapat.

“Papa mesti gembira di sana. Mama Melissa melayan papa bagaikan raja,” Asyraf sedikit mengeluh. Hanya itu yang mampu dilakukannya. Setakat mengeluh...

“Pukul berapa mama akan balik, Dewi?”Asyraf berkalih semula ke arah Dewi yang masih tercegat di hadapan kami.

“Enggak tahu, Pak. Siang-siang lagi sudah keluar dengannya Pak Alias,” ia mengerutkan dahinya yang sudah naik dua biji jerawat batu. Mungkin mahu mengingat-ingat kembali.

“Abang O.K.?” aku menyentuh peha Asyraf perlahan. Kerisauannya turut sama merunsingkanku.

“Insya-Allah ,O.K.. Alhamdulillah.” Asyraf diam sejenak.

“Ada apa-apa yang Asha hendak kongsi dengan Abang?” lelaki ini merenung tepat ke dalam anak mataku.

“Tiba-tiba, Asha teringatkan mak...” kata-kataku terhenti di situ.

“Sudah telefon mak?” soal Asyraf lagi.

“Sudah. Mak sihat. Sekarang Adilla cuti semester. Jadi, ada di kampung menjaga mak,” aku menceritakan serba ringkas.

Foto : Sekadar gambar hiasan

“Asha hendak balik kampung?” Asyraf seolah-olah tahu apa yang sedang bermain di dalam hatiku.

“Tidak apalah, Bang,” ujarku perlahan. Cukup perlahan.

Jauh di sudut hati, aku sebenarnya kepingin untuk pulang ke kampung. Bertemu dengan Adilla dan ibu yang sudah lama tidak bersua muka. Sudah lama rasanya tidak menerima usikan adik bongsuku yang nakal itu. Rasa rindu yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata.

Namun, apakan daya. Aku kini sudah bergelar isteri. Tidak mahu menyusahkan suami dan tidak sanggup meninggalkannya di kota mencari rezeki berseorangan. Aku pula bersenang-lenang di kampung halaman. Jika aku ada, pasti boleh menyambutnya di muka pintu tatkala ia pulang dari tempat kerja. Pasti terubat hatinya. Penat lelahnya dihargai sang isteri. Eh, akulah itu. Isteri kepada Dr. Asyraf Daniel Ghazali.

“Kalau Asha mahu balik kampung, jangan segan-segan beritahu. Kalau Asha tidak maklumkan, Abang pasti tidak tahu. Hanya Asha sahaja yang tahu dan Abang sememangnya tidak tahu,” Asyraf berseloroh. Aku memandang ke arah Dewi yang sedang terlopong mulutnya. Terkedu dengan kata-kata puitis Asyraf, mungkin. Puitis??? Aku hanya tersenyum.

“Insya-Allah,” balasku dengar tidak dengar. Air sirap kuhirup perlahan.

‘Kurang manis,’ desisku sendiri tetapi Asyraf suka begini. Untuk kesihatan katanya. ‘Skema betul Dr. Asyraf ini,” bisik hatiku lagi.

“Senyum sorang-sorang... Teringatkan kenangan di PCB?”

“Memori daun pisang di PCB?” ulang Asyraf mengusikku.

“Eh, tidaklah. Bukankah senyum itu sedekah,” senyumku semakin melebar.

“O.K., jom. Kita selesaikan misi kita yang kedua,” Asyraf yang baru siap makan buah anggur segera membasuh tangannya dengan air yang sudah tersedia.

“Misi yang kedua?” aku masih keliru. Asyraf hanya tersenyum nakal.

“Baik, Tuan,” aku mengangkat tabik hormat kepadanya.

“Dewi, Asha tidak dapat membantu malam ini,” aku berbisik kepada pembantu rumah yang sedang tersenyum simpul. Membuatkan aku malu sendiri.

“Enggak apa, Bu. Sememangnya tugasan saya,” ujarnya lembut.

~bersambung~
0 Responses