Chow Kit - Bukit Nanas - Dang Wangi - KLCC

Assalammualaikum. Akhirnya...

Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Selamat sampai di Ipoh sekitar jam 1.25 pagi semalam. Dari hari Isnin sampai Khamis, Muthiah menemani suami (padahal tidak mahu duduk sendirian di rumah) yang perlu menghadiri mesyuarat/ kursus/ majlis anugerah di Putrajaya. 

17/12/2012

Kami bertolak dari Ipoh sesudah menunaikan solat Maghrib. Namun sebelum itu, kami makan malam di Restoran Maxwell (dekat dengan pejabat Kastam Diraja Malaysia, Ipoh). Cakap pasal Restoran Maxwell... tempat makan ini merupakan salah satu lokasi menjamu selera kegemaran kami kerana :

1- Harganya berpatutan.
2- Nasinya banyak (terutama makanan bergoreng).
3- Rasa pula - bolehlah.

Kami sampai Putrajaya sekitar jam 12.30 pagi. 

18/12/2012


Tidak ada aktiviti menarik (untuk Muthiah) hari ini memandangkan suami terlibat dengan kursus/ taklimat/ mesyuarat AKRAB. Pada malamnya pula, suami perlu menghadiri Majlis Makan Malam dan Anugerah (tidak pasti nama khusus untuk anugerah berkenaan), Muthiah ke Kuala Lumpur International Hotel dahulu dengan teman sekerja suami.

Tahniah kepada suami serta warga kerja JKDM Perak. Untuk Anugerah Stor, Stor Ipoh telah mendapat tempat kedua (ada lagi anugerah lain tetapi Muthiah hanya tahu anugerah yang suami dapat). I'm happy for you, Abe.

Hmm...

Oleh sebab suami tidak ada,  Muthiah pun makan sorang-sorang; nasi lemak dibeli dari kedai berhampiran (Harga termasuk air teh o ais sebanyak RM4.50). Rezeki Muthiah, nasi lemak yang dimakan hampir basi. Terdapat pula unsur-unsur malas dalam diri, Muthiah tekad untuk berlapar sahaja (tidak mahu cari nasi lain). Hahaha... Alhamdulillah, suami balik bukan dengan tangan kosong. Ada KFC. Yeah!

19/12/2012

Hari yang dinanti dan ditunggu pun tiba. Suami balik awal. Ikut hati, Muthiah tidak mahu ke mana-mana pada malamnya. Iyalah. Muthiah sekarang tengah layan cerita di TV9 jam 8.30 malam. Akan tetapi suami ajak keluar juga. Oleh sebab yang mengajak itu adalah En. Suami, Muthiah pun menurut sahaja.

Perjalanan pun bermula...

Kami keluar dari hotel dalam jam 8.00 malam. Oleh sebab perut sudah berkeroncong minta diisi, kami memutuskan untuk makan di restoran di belakang KL International Hotel. Agak lama menunggu... 

AKAN TETAPI!

Sate yang dijual dekat kedai makan ini sangat sedap... amat sedap... oh, sedap. Harga sate ayam dan daging, masing-masing ialah RM0.80 dan RM1.00 sebatang. Cubalah, insya-ALLAH puas hati.

Selesai sudah...

Perjalanan yang lebih mencabar pun bermula...

Suami ajak pergi jalan-jalan dekat KLCC. Jadi, kami pun berjalan kaki dari hotel ke Stesen Monorel Chow Kit. Oh, ya. Kami memilih untuk menaiki pengangkutan awam kerana khuatir tidak ada tempat parkir kereta apabila balik nanti.

Jalan... jalan... jalan...

Akhirnya sampai ke Stesen Monorel Chow Kit, Alhamdulillah.


Untuk ke KLCC, kami perlu bertukar tren. Mula-mula, naik monorel. Kemudian, naik LRT Putra pula. Maka, kami pun membeli tiket monorel ke Stesen Bukit Nanas (sebab ada pertukaran tren LRT Putra dekat sana). Harga token ialah RM1.20 setiap seorang. Awalnya, suami minta kami beli terus token balik dari Bukit Nanas ke Chow Kit. Dalam hati, Muthiah tidak bersetuju. Manalah tahu, tidak sempat namun Muthiah tidak pula Muthiah bertegas dengan pendapat Muthiah.

Chow Kit --> Medan Tunku --> Bukit Nanas

Alhamdulillah, sampai. Kami kemudiannya berjalan kaki ke LRT Putra Dang Wangi. Dalam 5 minit kot. Suasana di sini agak sepi dan sunyi. Tidak banyak orang dan jarang nampak kereta lalu lalang. Maka, suami pun berkata, "Balik nanti, kita ke KL Sentral. Ambil monorel dari sana."

Muthiah hanya mengangguk seraya membalas, "Itulah. Kan dah cakap. Tak payah beli token lagi." 

Sampai di Stesen LRT Dang Wangi, kami dilayan mesra oleh petugas di kaunter. Terasa diri bagai pelancong dari luar Malaysia pula...

"Kami dah tersalah beli token. Boleh guna tak ke KLCC?" soal Muthiah.

Dalam senyum manis, petugas di kaunter berkenaan menjawab, "Kami tak beri refund tetapi nanti saya cuba tolong."

Agak lama kami di sana. Dipendekkan cerita, petugas di kaunter berkenaan membantu kami dengan menghubungi rakannya di kaunter Stesen LRT Putra KLCC. Jadi, apabila sampai di sana, Muthiah hanya perlu menambah sebanyak RM0.20 sahaja. Untuk pengetahuan semua, tambang token dari Dang Wangi ke KLCC ialah sebanyak RM1.30 untuk satu token.

Dang Wangi --> Kampung Baru --> KLCC

Sebaik sahaja sampai KLCC, jam sudah menghampiri pukul 11.00 malam. Muthiah bertanya kepada petugas di sana, "Kalau kami nak balik Chow Kit naik monorel dari KL Sentral, pukul berapa kami kena naik tren di sini?"

Petugas tersebut menjawab, "Lagi dekat turun dekat Bukit Nanas..." 

"Rasanya, baik naik jam 11.00. Tren terakhir pukul 11.45 tetapi kalau dari sini, dalam jam 11.30," beliau menambah lagi.

Muthiah terkedu. Cepat-cepat mendapatkan suami lalu berkata, "Be, jom balik. Dah pukul 11.00."

Suami hanya tersenyum. Ehe... inilah catatan perjalanan hebat kami pada hari ini. Juga... dating paling bermakna buat kami. Sangat mencabar.

Oh, ya. Sebelum terlupa. Suami sempat berkata, "Kan Abe kata beli token terus ke Chow Kit."

20/12/2012

Kami bertolak ke Ipoh setelah selesai makan malam di Restoran D'Dusun, Pinggiran Putra. Restoran ini juga merupakan salah satu tempat makan kegemaran kami kerana :

1- Harganya boleh tahu.
2- Rasanya okeylah.

Moga dapatlah serba sedikit maklumat daripada perkongsian Muthiah petang ini.

Muthiah : Terima kasih kepada petugas di kaunter Monorel Bukit Nanas dan LRT Putra KLCC. Moga ALLAH memurahkan rezeki dan mengurniakan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Labels: | edit post
0 Responses