Mencari Naurah (Bab 72)

Novel | Mencari Naurah

Foto : Sekadar gambar hiasan


 “Aku pun tidak tahu macam mana hendak sukakan kau...”

“Sebab hati aku sudah berasa amat benci. Terlalu benci...”

“Hakikatnya,  engkau paling layak menjadi bibik buat Asyraf dan Amalin,” Datin Khatty menambah.

“Jadi, aku tidak suka melihat engkau yang bagaikan puteri di dalam rumah mewah aku ini,” ia menyudahkan kata-katanya.

“Kau faham maksud aku?” ibu mertuaku ini menyambung kembali peringatannya. 

Aku hanya diam. Tidak berani untuk bersuara walau sepatah pun. Sekiranya tersilap bicara, padahnya di hadapan mata. Lebih baik menjadi abdi yang hanya mendengar arahan tuannya. Ya, ada baiknya jika aku menjadi abdi. Bukan kuli kerana kuli itu masih menerima bayaran daripada majikannya.

“Kau memang lembab,” Datin Khatty masih tidak berpuas hati merobek hatiku.

“Dewi!!!” jeritnya pula.

“Dewi!!! Kau sudah pekak?” intonasi suaranya ditinggikan.

“Maaf, Bu. Saya sedang cuci kain,” mengigil-gigil pembantu rumah ini memandang tuannya. Takut sungguh dia dengan Datin Khatty.

“Baik, Dewi. Mulai esok, kerja kau akan diambil alih oleh menantu kesayangan aku yang seorang ini. Apa kerja kau di dalam rumah ini?” Datin Khatty bertanya. 

Mulut Dewi melopong. Ia tidak menjawab pertanyaan yang diajukan kepadanya.

“Apa kerja kau di dalam rumah ini?” mata Datin Khatty semakin membulat.

“Sediakan makan pagi, tengah hari dan malam. Sediakan minum petang. Kemas seluruh rumah. Cuci pakaian dan pinggan kotor...” jawabnya terketar-ketar.

“Sudah, sudah... aku tidak mahu dengar. Nanti kau terangkan kepada pembantu baru kau. Aku lantik kau sebagai ketua bibik di dalam rumah ini. Perempuan ini akan buat semua kerja kecuali...” Datin Khatty kelihatan sedang berfikir jauh.

“... Apabila Asyraf ada di rumah, kau ambil alih semuanya,” ujar Datin Khatty perlahan.
“Tapi, Bu...” Dewi menyampuk.

“Kau hanya ada dua pilihan. Sama ada engkau mahu ikut arahan aku atau kau aku hantar balik Indonesia,” Datin Khatty semakin menyinga.

“Kalau engkau beritahu Asyraf, tahulah nasib kau dalam rumah ini,” tambahnya lagi. Hatiku berdegup kencang mendengar kata-kata Datin Khatty. Sehingga tahap ini ia sanggup memperlakukanku? Hina sangatkah diriku sehingga ia langsung tidak dapat menerima kehadiranku dalam hidupnya?

“Natasha binti Zulkarnain...” diam.

“Semua ini berkuatkuasa esok. Jika aku dapat tahu engkau mengadu kepada sesiapa sahaja, tahulah nasib kau,” Datin Khatty merenungku tajam. Aku hanya diam.

“Kau faham atau tidak?” ia menjerit kuat. Aku masih lagi diam. Lidahku kelu, hatiku mati.
“Pekak! Kau faham atau tidak?” Datin Khatty menjerkahku pula.

“Insya-Allah,” aku menjawab perlahan.

“Baik. Kau pergi tidur sekarang. Esok kau mulakan kerja kau. Hari ini kau rehatlah puas-puas,” ia terus meninggalkanku. Dari tingkap rumah, aku memerhatikan Pak Alias tidak berkelip memandangku. Mungkin ada rasa simpati di hatinya. Siapa tahu?

~bersambung
0 Responses