Mencari Naurah (Bab 69)

Novel | Mencari Naurah

Gambar hiasan


 “Ustaz, hati saya tidak tenang,” Efendy berterus-terang.

Syeikh Yusof pula sekadar tersenyum.

“Entah apa yang saya fikirkan tetapi saya benar-benar berasa gusar,” tambah Efendy lagi. Tiada kata yang keluar dari bibir ustaznya. “Solat saya tidak khusyuk. Macam-macam saya fikir,” mukanya merah. Seakan mahu mengalirkan air mata. Ah, ustaz itu masih belum mahu bersuara.

“Hati saya sentiasa berdegup kencang. Saya gugup dan menjadi kaku. Menyebabkan kadang-kadang saya lengah dalam melaksanakan sesuatu amanah.” Dia masih mahu meluahkan rasa. Mata si guru dipandang tepat. Dia tetap diam.

Dia menundukkan wajahnya ke tanah. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Sudah puas dia bermohon kepada TUHAN agar ditunjuki jalan yang benar tetapi sehingga kini dia tetap buntu. Semakin lama dia semakin hilang arah. Dirasakan seolah-olah ALLAH tidak mahu melihatnya lagi. Apakah salahnya sehingga diperlakukan begini? Adakah dia terlalu gopoh?

Ya, manusia itu sering kali gopoh. Makhluk yang terbatas fikirannya ini juga acap kali berburuk sangka terhadap ALLAH sedang ALLAH itu lebih mengetahui segala sesuatu kejadian...

“Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman; (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya; dan orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna; dan orang yang menunaikan zakat; dan orang yang menjaga kemaluannya ...” kata Syeikh Yusof perlahan. Diam seketika.

“Dan orang  yang memelihara amanah (yang dipikulnya) dan janjinya; dan orang yang memelihara sembahyangnya...” Dia menyambung kemudian diam lagi.“Al-Mukminin ayat satu hingga sembilan,” tambahnya.

Efendy masih lagi tunduk. Dia seperti malu untuk mendongak memandang ustaznya. Malu... dia malu dengan kelemahan sendiri. Dia merasakan dirinya telah gagal dalam pentarbiahan ini. ‘Aku tidak layak untuk berada di atas jalan ini,’ desis hati kecilnya sendiri.

“Setiap manusia ada khilafnya. Bila dia bergelar manusia, dia pasti seorang yang lemah. Dia perlukan kekuatan dan kekuatan itu hadir melalui tarbiah. Jika terjatuh, bangkitlah kembali kerana kamu tidak seorang. Kamu masih punya saudara seagama yang sentiasa bersama kamu. Paling utama, ALLAH itu sentiasa dekat denganmu...”Ustaz mengangkat kepala Efendy lalu memandang tepat anak matanya. Efendy perlu tahu yang dia hanyalah insan lemah yang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Di samping itu, anak muda itu juga harus tahu sesungguhnya pengampunan ALLAH itu sentiasa hampir dengan dirinya.

Benar! Dengan tarbiah seorang manusia yang berdosa mampu bangkit kembali. Bukankah tarbiah itu sendiri merupakan satu proses pembentukan peribadi yang merangkumi akal, jasad serta roh? Dengannya, Efendy akan menjadi sosok peribadi yang lebih baik daripada sebelumnya. Itulah yang dinamakan tarbiyah.

Dia diumpamakan sebagai pengecas bagi seorang pejuang. Seandainya bateri tidak dicas sehari-hari, semakin lama dia akan menjadi semakin lemah dan akhirnya mati alah. Dia sedar semua itu. Cuma kadang-kadang dia teralpa dek kelemahan diri sendiri. ‘Bangkit, bangkit!’ Dia berbisik perlahan. Hanya dia dan hatinya yang mendengar bisikan itu. “Saya mahu bangkit.” Tangan ustaznya digenggam erat.

“Silakan,” pendek jawapan ustaz. “Kejar kembali kemanisan iman itu.” Dia menambah.

“Bagaimana?” Efendy bertanya.

“Cintailah ALLAH dan Rasul melebihi cinta lainnya... Cintailah seseorang itu semata-mata kerana ALLAH...” genggaman semakin erat. “Bencilah untuk kembali kepada kekufuran sepertimana kamu membenci untuk dicampakkan ke dalam api neraka,” sambung ustaz itu lagi.

“Saya menyintainya kerana ALLAH,” akhirnya Efendy berterus-terang.

“Nazihatul Hanan?” tanya ustaz itu.

“Bagaimana ustaz tahu?” terkejut dengan kata-kata ustaznya, Efendy bertanya terus.

“Kamu tidak mampu menjaga pandangan... Sebab itu hati kamu menjadi gusar dan tidak tenang... Hati kamu sudah dipenuhi bintik-bintik hitam.” Ustaz itu memandang ke halaman. “Akibatnya, sukar bagi cahaya untuk memasuki hatimu.” Dia menambah. “Kahwinlah...” katanya lembut tetapi jelas ketegasannya.

“Maka aku (Nuh) katakan kepada mereka, ‘Mohonlah ampun kepada TUHAN-mu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun...’ Justeru, kembalilah mengharapkan keampunan TUHAN,” sambungnya.

~bersambung

Nota :
  1. Wah, baru perasan. Nazihatul Hanan sebenarnya salah satu watak dalam Mencari Naurah. Sewaktu mula-mula bergelar penulis, Muthiah memberi nama Siti Muthiah sebagai nama pena tetapi editor minta beberapa saranan nama. 
  2. Apa yang dikongsi di sini adalah sebelum manuskrip diedit oleh editor.

0 Responses