Mencari Naurah (Bab 71)

Novel | Mencari Naurah


“Engkau fikir aku sudah terima kau?” jerkah Datin Khatty. Diam...

“Jangan kau anggap...” kata-katanya terhenti di situ. 

Oh, rupanya kereta Asyraf sudah memasuki perkarangan rumah. Tiga bulan pertama, Datin Khatty tidak mahu langsung memandangku tetapi setelah melepasi tempoh itu, lain pula caranya.

Datin Khatty acap kali menjerkahku. Tidak kira di hadapan sesiapa sahaja. Pak Alias, Dewi... semua sudah masak dengan tindak-tanduk Datin Khatty. Ada sahaja yang tidak kena di matanya. Menantu tidak guna, budak kampung tidak sedar diri... entah apa lagi gelaran yang mahu dilabelkan ke atas diriku. Aku sendiri tidak pasti.

“Assalammualaikum, Mama... Asha,” kedengaran suara Asyraf di muka pintu. 

Tanpa lengah, aku segera mendapatkannya. Kedukaanku sering kali berlalu pergi bilamana dapat menatap wajahnya. Hanya dia yang aku ada di sini. Eh, silap. Bukan... ada yang lagi dekat sebenarnya. Siapa lagi kalau bukan Tuhan yang satu. Dia sentiasa mendengar dan melihat segala kesulitanku.

Kulihat wajah suamiku berkerut namun senyumannya tetap setia di bibir. Aku tahu ia keletihan setelah sehari suntuk di hospital. Berhadapan pula dengan seribu satu karenah manusia. Aku yang mendepani karenah ibu mertua yang seorang ini pun sudah cukup menyesakkan jiwa. Inikan pula Asyraf.

Aku memandang Datin Khatty sekilas. Oh, ia sudah berubah wajah. Singa Lapar ini sudah menjadi bak gajah yang takutkan tikus. Ia besar tetapi menundukkan dirinya di hadapan seseorang yang amat dikasihinya. Bukankah manis senyum begitu? Datin Khatty berlagak biasa. Seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.

“Asha, ambilkan Asyraf air. Teh o limau panas,” arahnya lembut.

“Baik, Mama,” aku segera berjalan ke dapur. Rasa hatiku sungguh tidak keruan serta kurang stabil. Entahlah. Sebab kena marah lagi agaknya.

Hmmm...  macam tidak biasa.

“Mahu saya siapkan, Bu?” takut-takut Dewi bertanya.

“Tidak apa. Biar Asha buat sendiri,” ujarku sambil tersenyum. 

Mahu menangis sebenarnya mengenangkan sikap Datin Khatty. Ia begitu pandai berpura-pura di hadapan Asyraf. Aku pula mungkin sudah letih untuk mengenalpasti sikap sebenar ibu mertuaku ini. Justeru, akulah yang harus beralah. ‘Asha, kuat Sha,’ aku berkata sendiri. Cuba kukuatkan hati untuk tidak berundur apatah lagi berputus asa.

Berani menerima lamaran Asyraf bermakna sudah bersedia dengan segala kemungkinan. Bukan aku tidak tahu. Datin Khatty sememangnya tidak menyukaiku. Siap memperkenalkan calon menantu pilihannya lagi. Maka, aku perlu tabah serta tidak membiarkan diriku dihambat kesedihan. Ah, Asyraf ada. Dialah penyubat kedukaanku. Lagipun, begitu besar harapan Asyraf terhadap mamanya. Aku tahu...

Namun, apakah yang harus aku lakukan? Mengikut cara Abbas Assisi? Anggota Ikhwanul Muslimin yang memiliki lima cahaya mata ini memulakan dakwahnya dengan memijak kaki seseorang di dalam bas. Dari situ, perkenalan terjalin dan bermulalah tugasan dakwah. Kemudian, sentuhlah hatinya...
                                                                                                  Foto : Sekadar gambar hiasan

‘Bagaimana mahu menyentuh hati mama?’ aku berfikir sendiri.

“Macam mana kerja hari ini?” kedengaran suara Datin Khatty dari ruang tamu.

“Alhamdulillah. Semua O.K. cuma banyak pula pesakit berbanding hari biasa,” jawab Asyraf sambil tersenyum. Ia kemudiannya mengambil alat kawalan jauh yang terletak di atas meja.

‘Puh buka TV3,’ bisik hatiku. Sudah lama aku tidak menonton drama bersiri SpaQ. Al-maklumlah, ibu mertuaku begitu mengawal gerak-geriku tatkala Asyraf tiada di rumah. Ini salah, itu salah, semua salah. Membuatkan aku menjadi serba tidak kena. Rumah ini terlalu asing buatku.

“Dafi...” kedengaran suara Qistina memanggil anak sulungnya. 

Aku tersenyum sendiri. Watak utama siri SpaQ ini memang seorang wanita yang kental. Ia berhadapan dengan terlalu banyak masalah. Ia seolah-olah telah dilahirkan untuk menempuh segala cabaran itu. Bermula dengan karenah suami yang bermain kayu tiga, pertelingkahan dengan kakaknya, Marlia. Kini, Qistina berhadapan pula dengan anak terunanya yang jatuh cinta dengan Julia, adik kandung wanita yang pernah menjadi wanita simpanan suaminya. 

‘Macam-macam,’ omelku sendiri.

“Pesakit demam denggi semakin meningkat sekarang. Ditambah dengan adanya penyakit baru, chikugunya,” Asyraf bersuara.

“Kawasan rumah kotor, air bertakung. Sebab itu nyamuk banyak membiak,” sampuk Datin Khatty.

“Ya.  Kempen, iklan semua tidak jalan. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Tidak tahu di mana silapnya,” sambung Asyraf. Perlahan-lahan aku membawa dua cawan air. Satu untuk mama dan satu untuk suamiku.

“Minum, Bang...”

“Mama,” aku mempelawa perlahan.

“Rajin menantu Mama,” puji Datin Khatty sambil tersenyum. Senyuman yang lebih manis daripada senyuman tadi. Aku memandang Asyraf sekilas dan memandang kembali ibu mertuaku yang sedang menghirup air teh o yang kubawa.

“Kadang-kadang, tidak boleh salahkan mereka juga. Pemaju dan pihak pemerintah pun kena memainkan peranan. Pastikan sistem perparitan serta kumbahan tidak bermasalah. Ini tidak, macam-macam aduan diterima. Bukan itu sahaja, ada juga laporan menyebut bahawa sistem kutipan sampah terkumpul di kawasan perumahan  tidak dilakukan secara konsisten. Akibatnya, tempat tersebut menjadi kotor dan tidak menyelerakan.” Aku tersenyum melihat Asyraf yang begitu bersemangat berbicara. Mungkin sudah hilang lelahnya...

“Namun, tidak dapat dinafikan bahawa empunya diri yang bertanggungjawab atas kawasan yang diduduki...” ia menambah.

Betul segala apa yang diperkata Asyraf. Semua pihak harus memainkan peranan. Tidak boleh sekadar menuding jari. Bukankah satu jari yang menuding empat jari akan kembali kepada diri sendiri? Keindahan Islam kurenungi...

‘Hai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu menurut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu...’ Bilamana kita mengikuti Islam secara menyeluruh, amanlah dunia. 

Mengapa?

Daripada Abu Hamzah Anas bin Malik R.A., pelayan Rasulullah, bahawa Nabi SAW bersabda, “Seseorang di antara kalian tidak (dikatakan) beriman selagimana ia tidak mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri,” H.R. Bukhari dan Muslim.

Maka, setiap makhluk di dalam dunia ini akan menjadi insan yang tidak mementingkan diri sendiri. Dengan kata lain, kebahagiaanmu adalah kebahagiaanku jua, air matamu air mataku juga. Yang kaya tidak teragak-agak menolong si miskin, yang berkuasa pula tidak ragu-ragu memudahkan urusan mereka yang lemah. Tidak ada manusia yang hidup nafsi-nafsi. Sendiri-sendiri.

Jadi, apalah sangat bagi mereka yang berharta untuk menginfakkan sebahagiannya kepada mereka yang memerlukan. Ini tidak! Yang sudah sedia banyak ingin ditambah-tambah lagi. Habis semua mahu dibolotnya. Ia mungkin sekali lupa dan tidak ada pula yang mahu mengingatkan, bila-bila sahaja Allah boleh menjemputnya.

Kemudian, ia kembali kepada-Nya. Ingin membawa bersama wang berjuta tetapi apakan daya, ia tidak mampu. Tinggallah si anak, si isteri, dan si ibu ayah yang tidak duduk diam, asyik bertelingkah tentang harta yang ditinggalkan.

“Sha...” Asyraf menyebut namaku. Alamak, aku berkhayal lagi.

“Lepas Isyak Abang perlu kembali ke hospital. Kena ganti seorang doktor yang cuti kecemasan. Asha jaga Mama, boleh?” ia memberitahu.

“Insya-Allah,” balasku perlahan. Sebaknya rasa hati...

~bersambung
0 Responses