Tidak ada orang suka ....


Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah, 'ala kullihal Alhamdulillah.

Hmmm...

Sepanjang menjadi 'pekerja' sementara di warung nenek Muthiah (sewaktu Muthiah pulang ke kampung baru-baru ini), banyak juga perkara baru yang Muthiah pelajari. Antaranya ialah perihal manusia...

....

Kisah seorang mak cik tua yang kebiasaannya sehari-hari ialah membawa berita buruk tentang orang lain. Mengumpatkah? Jika dilihat kepada definisi mengumpat itu sendiri, YA! Dia sedang mengumpat.

Muthiah? Geram juga rasanya. Iyalah... tidak sampai beberapa langkah si Polan bin Polan itu beredar, ada sahaja kisah yang bakal dikhabarkan oleh mak cik ini. Ada sahaja yang tidak cantik dan tidak elok pada matanya Bukan seorang dua yang kena tetapi sesiapa sahaja yang lalu/ berjalan di hadapannya.

Muthiah tidak banyak bicara. Cuma sampai satu tahap, Muthiah memberitahu apa yang terbuku di dalam hati kepada nenek Muthiah. Maklumlah...rasa bersubahat pula. Lagipun, bilamana dia gemar berbicara tentang orang lain di hadapan kita, belum tentu dia tidak akan berbicara tentang kita di hadapan orang lain...

O.K. Itu dari satu sisi...

Dari sisi yang lainnya...

Muthiah lihat, sebenarnya... banyak yang tidak suka dengan mak cik itu. Hmmm... pelik juga sebab rata-rata melayan dia berbicara. Semua sudah maklum dan masak tentang perangainya. Sampaikan ada yang cakap, "Dia memang mulut hodoh..."

Satu hari... sampai khabar daripada seseorang kepada mak cik berkenaan. Katanya, Anu binti Anu berkata tentangnya. Dengan kata lain, mengumpatlah. Reaksi mak cik ini? Huhuhu... marahnya tidak usah cakap. Tidak puas hati? Lagi-lagilah...Siap cakap,"Si Polan tu memang mulut hodoh..." Muthiah? Muthiah hanya tersenyum sendiri..

Apakah pengajaran yang boleh diambil?

1) Sesungguhnya, mengumpat merupakan perbuatan yang sia-sia. Tidak ada manfaatnya bahkan dibenci ALLAH SWT serta manusia lainnya. Sukakah diri kita menjadi bahan umpatan? Tepuk dada tanya iman ;)

2) Jom kita pakat tidak melayan si kaki umpat ini. Macam mana? Bilamana dia datang membawa berita, abaikan sahaja. Buat-buat tidak dengar. Memang... kadang-kadang, kita sekadar mahu mengisi masa lapang... tidak pun, mahu meraikan kesungguhannya bercerita namun percayalah... hal sedemikian akan membuatkan dia lebih teruja untuk bercerita. Mungkin juga akan ada tokok tambahnya.

3) Tidak ada orang suka kepada si pengumpat. Walaupun kita lihat orang gembira mendengar cerita kita... hakikatnya... hmmmm.... Mungkin sekali dua kita bercerita membuatkan orang lain berasa seronok mendengarnya namun tidak bagi kali kelima mahupun keenam. Sebenarnya, bisa membuat orang merasa jelik terhadap diri kita.

4) Takutlah kepada ALLAH. Takutlah kepada azab api neraka.

Fikir-fikirkan... renung-renungkan...

Muthiah : Ya, ALLAH. Peliharalah aku serta insan yang aku sayang daripada dosa mengumpat.
Labels: | edit post
0 Responses