Cabaran dakwah (i)


Satu peristiwa telah berlaku menyebabkan Muthiah terkenangkan satu kisah lalu… Kisah dalam dunia dakwah yang berlaku di hadapan mata Muthiah. Ceritanya begini…

Seorang teman berbicara…

Watak :

1) A – Murabbi kepada B
2) B – Mutarabbi kepada A
3) C – seorang junior

A mengarahkan B untuk bertaaruf dengan C. C pula adalah anak kepada salah seorang pimpinan dalam gerakan Islam (kira orang besar). Nama lagi anak pimpinan. Tentu sahaja si bapa mahu anaknya turut sama dalam gerakan dakwah ini…

Maka, bermulalah sesi seruan dakwah…

B menghubungi C dan saling menetapkan waktu untuk bertemu.O.K…. Deal! Tarikh, masa dan tempat telah dipersetujui. Buat apa hendak jumpa? Hmmm… kenal dan jentik hati. Bukankah dari situ kan bermula satu ikatan dan persefahaman?

C tinggal di kampus manakala B sudah bekerja dan tinggal di luar. Jarak perjalanan dari tempat B untuk bertemu dengan C mengambil masa dalam 1 jam menaiki LRT dan bas. Sampainya di kampus, tempat C belajar… B pun menghubungi C…

1 kali…tidak ada jawapan…
2 kali… diam seribu bahasa…
3 kali… tetap membisu…

Alahai…sudah sampai waktu bertemu tetapi kelibat C tidak kelihatan lagi. B terus sabar (mungkin inilah yang dikatakan sebagai cabaran dalam dakwah). B hubungi dan terus menghubungi C. Setelah lebih dua jam menunggu… B cuba pula menghubungi C menggunakan telefon awam. Nah! Ada jawapan...

Namun sayang… apabila ditanya tentang janji yang telah dibuat, C menjawab. Ada kerja!!! Aduh aduh… inikah sikap anak sang pemimpin? Betullah yang diperkata Raihan, ‘Iman tidak dapat diwarisi.’ B berusaha untuk berjumpa juga dengan C. Iyalah… kalau tidak, semacam tidak berbaloi penantian. Tiba-tiba… telefon terputus. B cuba menghubungi lagi tetapi sampai ke sudah, tidak ada jawapan yang diperolehi.

B pulang dengan rasa kecewa. Namun, apabila ia menghisab diri dan merenung kembali perjuangan Rasulullah… hatinya kembali tenang. Pada hari lainnya… begitulah fiil C terhadap B. Layanannya acuh tidak acuh. Mesej yang dihantar sama sekali tidak dibalas. Temujanji tidak boleh dibuat. B tetap bersabar…

Namun… lain pula pandangan A. A menganggap B tidak buat kerja sebaiknya. Maklumlah, dari apa yang B lihat… dengan A, C nampak komited. Nampak sempurna. B hendak buka mulut… Huhu… takut dikatakan hanya pandai menuding jari dan memberi alasan. Jadi, B pun hanya berdiam diri. Walaupun A tidak nampak, B yakin Allah tahu apa yang dilakukannya.

Kini… B tidak tahu perkembangan terkini C. B sudah maafkan salahnya dan serahkan segalanya pada penghitungan Allah. Tidak perlu mengharapkan sesuatu yang buruk terhadap orang lain. Cukuplah kepercayaan yang tersemat dalam jiwa bahawasanya Allah Maha Tahu… Maha Adil lagi Saksama…

….

Hmmm… dapat tangkap apa yang ingin Muthiah sampaikan? Ya! Tidak mudah untuk mengajak manusia kepada kebaikan dan tidak mudah juga untuk memiliki hati manusia lainnya. Apa yang penting, kita tahu peranan kita sebagai khalifah Allah. Kita sudah berusaha dan kita sudah cuba melakukan yang terbaik. Persetan segala pandangan dan kata-kata orang lain (tetapi jangan sampai menutup pintu hati mendengar teguran dan pandangan yang yang membawa kepada sesuatu yang positif). Yang penting, Allah tahu apa-apa yang tersimpan di dalam hati kita. Kalau kita salah, perbaikilah… Kalau orang lain salah, berlapang dada dan maafkanlah…

1- Sukarnya menjadi A
~ Manakan tidak sukar. Berhadapan dengan 1001 karenah manusia. Bukan mudah menjadi murabbi kepada banyak mutarabbi. Kadang-kadang, bisa terlepas pandang tetapi percayalah… bilamana kita ikhlas melakukan kebaikan ke jalan Allah, Dia pasti akan terus memelihara kita daripada sesuatu yang bisa menjerumuskan kita ke dalam api neraka. Kita salah… kita sedar … beristighfarlah…

2- Sabarlah, wahai B
~ Hanya ini yang mampu diungkapkan. Sesungguhnya, dakwah bukanlah semudah yang disangka. Banyak cabaran yang harus dilalui… boleh jadi cabaran itu datang dari luar dan tidak mustahil andai mehnah itu sebenarnya dekat dalam diri. Mungkin, masih banyak lompang dalam diri kita yang tidak ditutup lagi. Berlapang dada dan maafkan mereka yang telah menyakiti. Bayangkan syurga Allah yang sedang menanti. Kita hidup di dunia ini tidak lama kerana panggilan maut boleh datang bila-bila masa. Ikhlaskan hati, betulkan niat. Kita tidak mengajak manusia kepada Allah disebabkan oleh orang lain. Kita lakukannya semata-mata kerana Allah. Banyakkan beristighfar dan memohon petunjuk daripada Allah agar terus dipelihara daripada sesuatu yang boleh merugikan diri sendiri.

3- Didiklah diri untuk menghormati orang lain, C sayang
~ Ya! Jadikan kelaziman untuk sentiasa merenung diri. Tidak ada seorang pun manusia di atas muka bumi ini yang sempurna termasuk diri kita (melainkan Nabi yang maksum). Bimbinglah jasad dan hati untuk menjadi seorang manusia yang tidak menjelikkan ~ pada mata manusia lainnya serta Allah. Percayalah… andai kita menyayangi orang … menghormati orang… peka terhadap orang… akan ada yang bisa menyayangi, menghormati serta peka terhadap diri kita. Kalau tidak ada… yakinlah bahawasanya Allah ada untuk terus mencintai kita. Namun… andai kita berterusan dengan akhlak jelik dan buruk… siapakah lagi yang mahu menyayangi kita dari dalam hati? Hmmm… mungkin ada tetapi berapa banyak yang mampu bertahan dengan sikap kita? Paling malang bilamana Allah tidak lagi mahu memandang kita dengan sifat rahim-Nya.

Renung-renungkan…

Muthiah : Moga-moga kan diterima amal oleh Allah SWT.
Labels: | edit post
0 Responses