Anak-anak zaman loni...
Monday, May 17, 2010
Assalammualaikum, semua. Apa khabar? Moga-moga sihatlah hendaknya.. Sihat anggota... sihat hati dan sihat segalanya. Kalau tubuh badan sihat, 'hati' sakit... tidak berguna jugak, bukan? Muthiah??? 'Ala kullihal Alhamdulillah. Muthiah serah hati Muthiah pada Allah. Kadang-kadang, ada perkara yang kita boleh kongsi dengan orang lain tetapi banyak juga perkara yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Jadi, hendak buat macam mana? Usah gusar... Bukankah ALLAH ada? DIA melihat dan mendengar. Kita tidak sendirian sebenarnya.
Hari ini, Muthiah ingin berbicara tentang 'anak-anak zaman sekarang'. Huhu... sekali renung, membikin hati panas. Berkali-kali tenung... entahlah. Moga-moga Allah lindungi Muthiah daripada sikap-sikap sebegitu.
Sahabat baik Muthiah yang bekerja sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi swasta bercerita...
Ada seorang pelajar yang membawa kenderaan sendiri ke kolej telah melanggar kenderaan seorang staf kolej. Oleh sebab maklumat tentang pelajar itu tidak diketahui, si staf tadi mencari datanya di .... Iyalah... kereta sudah kena langgar. Mestilah hendak minta ganti rugi.
Hendak dijadikan cerita, si ayah budak tadi datang kolej dan marah-marah pihak pentadbiran kolej. Marahlah sebab data anaknya 'dicerobohi' walhal... si anak 'lari' tidak mahu bertanggungjawab, tidak difikirkan pula. Siap mahu saman dan lapor pada pihak akhbar lagi. Adoi adoi adoi. Penyelesaiannya, staf tadi diminta tidak membuat apa-apa laporan (kepada mereka yang berkenaan). Maksudnya, tidak boleh claim apa-apa atas kerosakan keretanya yang telah dilanggar oleh pelajar tadi. Tidak mahu membesarkan berita. Maklumlah... apabila sampai ke dada akhbar, buruk reputasi kolej berkenaan nanti.
Hmmm... apa yang sahabat-sahabat fikirkan?
1- Muthiah simpati pada nasib staf kolej yang dilanggar keretanya tadi. Haknya seolah-olah dicabuli. Hendak melawan, silap hari bulan dibuang kerja. Manalah tahu. Lebih-lebih lagi kolej swasta. Sudahlah gaji tidak banyak mana... Apapun, bersabarlah. ALLAH ada..dekat sungguh dan serah segalanya pada DIA yang paling TELITI PENGHITUNGANNYA.
*** Muthiah pun...satu tahap jika tidak mampu bersuara... Muthiah akan serah 150% pada ALLAH. Muthiah semat dalam hati tentang keadilan dan kesaksamaan ALLAH. Muthiah tahu ALLAH pasti telah merencanakan sesuatu yang terbaik!***
2- Si anak ~ Alahai... kecil-kecil, sudah ada tertanam sikap tidak bertanggungjawab dalam diri. Macam mana hendak jadi pekerja... ibu/ bapa... anggota masyarakat (satu hari nanti) kalau sikap buruknya ini tidak mahu berubah? Dalam masa yang sama, Muthiah juga KASIHAN dan SIMPATI padanya. KASIH SAYANG yang diberikan si ayah sedikit sebanyak telah 'membunuhnya'. Menjadikan dia insan yang xxx (tidak boleh tulis, takut jadi doa. Hehe). Moga-moga, dia akan sedar satu hari nanti. Tidak pentingkan diri sendiri dan lebih peka terhadap segala sesuatu di hadapannya.
3- Hmmm... buat si ayah. Entahlah... Muthiah bukanlah orang yang selayaknya untuk berkata-kata. Namun bagi Muthiah, cara dia menyayangi anaknya mungkin tidak berapa kena. Bilamana anak itu salah, akuilah kesalahan anaknya. Kita tidak mahu wujud Sazali moden yang terlalu disayangi ayah tetapi akhirnya memusnahkan dirinya, juga orang yang berada di sekelilingnya. Pernah tengok fileh Anakku Sazali lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee???
Begitu juga dalam memenuhi kehendak si anak. Apa sahaja yang dia mahu, beri sahaja tanpa banyak tanya. Tidak tahu apa kepentingan barang itu baginya. Adakah satu kehendak mahupun keperluan? Kalau kehendak, adakah sesuai dengan masanya?
Dia hendak baju mahal... belikan baju mahal. Tidak cukup sepasang tetapi lima enam pasang! Dia hendak PSP... belikan PSP. Dia hendak telefon bimbit berjenama... belikan sahaja. Tidak salah menghadiahi anak-anak dengan barang-barang ini tetapi biarlah berpada-pada. (Lainlah kalau hendak bagi reward atas sesuatu yang dilakukannya tetapi pun kena fikir dan renung lagi.)
Contohnya... si anak, baru habis belajar. Bekerja pula sebagai jurujual.Si anak hendak kereta. Kita pun belikan kereta second hand murah. Si anak tidak mahu. Tidak ada kelas katanya. Dia lepasan U. Malulah naik kereta buruk (walaupun tidaklah seburuk mana). Dia mahu yang lebih baik. Oleh sebab sayangkan si anak, kita sanggup berhutang banyak deminya. Demi kegembiraannya. Sedang... fikirkah dia tentang diri kita???
Kesan!!! Bagaimana pula dengan kesannya?
Tidakkah kita terfikir bahawa tindakan kita ini boleh memberi impak besar pada dirinya kelak? Kalau dia anak gadis... tidak kita terfikir bahawa sikap yang dipupuk sekian lama itu boleh memberi kesan kepada suaminya kelak??? Hendak itu hendak ini. Kalau tidak dapat, masam mencuka. Waktu kita belikan kereta dahulu, dia tidak bersetuju. Kereta yang kita pilih tidak menepati cita rasanya. Dia pun... buat mukalah. Kita pula meraikan tindakannya.
Sesudah berkahwin nanti??? Si anak hendak rantai RM10,000. Si suami pula beli rantai yang berharga RM1,000. Akibatnya, si anak yang sudah terbiasa buat muka pada ibu bapanya tadi melakukan perkara yang sama pada suaminya. Aduh...bukankah tidak elok begitu? Silap hari bulan, dapat saham percuma masuk neraka. Nauzubillah. Jadi... fikir-fikirkan...
Muthiah : Sayang dan gembira bersama dia...