Alahai budak-budak U
Monday, May 24, 2010
Assalammualaikum, semua. Sihat? Muthiah… Huhuhu… ‘semangat’ untuk menulis agak kendur. Mungkin kerana Muthiah sedang menulis sesuatu yang baru dan masih tidak arif tentangnya. Apabila bertanya kepada yang lebih mahir dan berpengalaman, belum ada respon pula yang diterima. Diam seribu bahasa. Sibuk agaknya (bersangka baik).
Hmmm… Ikutkan hati, mahu sahaja berhenti di separuh jalan. Namun… Muthiah tidak mahu menjadi seorang yang gagal sebelum berusaha. Walaupun ‘bergerak’ agak perlahan… insya-Allah, Muthiah akan tetap cuba berjalan dan terus berjalan.
Baru-baru ini, Muthiah berborak dengan seorang teman lama yang bekerja di salah sebuah IPTS tempatan. Seorang pensyarah senior merangkap fellow. Ia meluahkan rasa hatinya kepada Muthiah. Alahai… Muthiah sendiri pun naik muak mendengar ceritanya. Adoi! Inikah pemimpin masa hadapan yang begitu berbangga kerana dapat masuk U tetapi hakikatnya… TIDAK ADA APA-APA!
Salah seorang pelajar di asramanya sakit. Jadi, menjadi tanggungjawab fellow bertugas untuk membawanya berjumpa dengan doktor. Asalnya, fellow berkenaan membawa pelajar itu ke klinik berdekatan. Namun, si ayah menghubunginya(sambil marah-marah) dan mengarahkan fellow tersebut membawa ‘anak kesayangannya’ ke hospital yang terletak di bandar SB. Perjalanan ke sana mengambil masa ½ jam. Si ayah menyalahkan si fellow kerana membiarkan anaknya berada dalam kesakitan. Bagi sisi fellow, mereka tidak dimaklumkan tentang pelajar yang sedang sakit itu. Dengan kata lain, si anak memberitahu si ayah sebelum meminta fellow menghantarnya ke hospital. Adoi…. Alahai, anak ayah yang bijak pandai.
Di hospital SB, sahabat Muthiah serta seorang temannya perlu menunggu pelajar tersebut diperiksa doktor. 1 jam… belum siap. 2 jam… belum siap. Setelah 5 jam menanti, akhirnya pelajar tersebut dibenarkan keluar.
Yang menyakitkan hati teman Muthiah ialah sikap pelajar berkenaan. Ia tidak bercakap walau sepatah perkataan. Hanya diam membisu. Sudahlah begitu… Apabila berjumpa di kolej atau fakulti pada hari lainnya, pelajar tersebut hanya buat tidak tahu dan endah tidak endah. Untuk mengukir senyuman apatah lagi.
Hmmm…
Salah siapa?
Di manakah akhlak anak muda masa kini?
Inikah pemimpin negara pada masa akan datang?
Susah sangatkah hendak menghormati orang yang lebih tua?
Hehe… Tidak ada yang menghairankan kerana Muthiah pun pernah bertemu dengan anak muda sebegini. Tidak tahu menghormati orang yang lebih tua! Sama baya, apatah lagi. Cuma nampak bersopan di hadapan insan terpilih sahaja.
Jadi… fikir-fikirkan…
Ijazah sahaja tidak cukup. Ada yang lebih penting daripada itu. Bilamana kita tidak mendidik diri dengan akhlak mulia, jangan marah andai ada yang menyamakan diri kita dengan sesuatu yang tidak sepatutnya…
Ayuh, wahai hati yang mengabdikan diri kepada Allah. Siapa yang mengabdikan diri kepada Allah? Ya! Kita semua… tidak boleh hanya menyuruh dan menuding jari kepada orang lain.
Didiklah diri ~ Mulakan dengan diri sendiri dahulu (tarbiyah dzatiyah)…
Didiklah mereka yang kita sayang ~ Ibu, ayah, kakak, abang, adik dan teman akrab…
Didiklah mereka yang berada di sekeliling kita ~ Bukankah ini adalah sebahagian daripada peranan kita selaku khalifah Allah???
Muthiah : Marah ~ tandanya sayang. Diam ~ tandanya tidak mahu ambil peduli.