Rasa bersalah tetapi... (i)
Sunday, May 02, 2010
Assalammualaikum.
Apa khabar, teman-teman yang Muthiah kasihi fillah? Muthiah... 'Ala kullihal Alhamdulillah. Masih dikurniakan dengan nikmat ISLAM dan IMAN. Nikmat yang tidak terhingga nilaiannya. Syukur kerana dilahirkan sebagai seorang MUSLIM dan moga-moga satu hari nanti... nikmat ini akan terus berkekalan sehingga ke hujung nyawa, insya-ALLAH.
Hmmm... Dua hari lepas, Muthiah menerima satu sistem pesanan ringkas (sms) daripada seorang teman yang jauh di mata tetapi dekat dalam jiwa, insya-ALLAH. Dia mengajukan Muthiah dengan satu soalan yang berbunyi :
Bagaimana hendak menghilangkan rasa bersalah kepada ALLAH tetapi tidak terus melakukan amal?
Contoh yang diberikan pula :
1) Kita berasa malu kepada seseorang kerana ada berbuat salah kepadanya. Maka, kita bertindak menjauhkan diri daripadanya.
2) Jadi, bagaimana pula jika hal sedemikian berlaku kepada ALLAH? Kita rasa bersalah kerana tidak berbuat amal lantas kita berhenti daripada melakukan ibadah terus?
Hmmm... Muthiah sebenarnya bukanlah orang yang selayaknya untuk berkata-kata di sini. Namun, Muthiah akan cuba sedayanya berkongsi apa-apa yang Muthiah tahu.
Pertamanya... kembali kepada soalan pokok :
a) Bagaimana hendak hilangkan rasa bersalah...
Hmmm... kita tanyakan kepada diri..
i) Apakah yang menyebabkan kita rasa bersalah pada ALLAH?
- Mengabaikan perintah-NYA.
- Membuat sesuatu yang dilarang.
- Atau merasakan diri kita lebih teruk dari sebelumnya.
Dengan kata lain, kita koreksi diri dari akar permasalahan utama.
ii) Kenapa kita hendak menghilangkan rasa bersalah itu?
Dari satu sisi, rasa bersalah itu penting kerana dengannya, kita bisa kembali kepada PENCIPTA. Khuatir, andai kita tidak berasa apa-apa, kita akan semakin lalai, alpa dan leka.
Namun permasalahannya...
Kita rasa bersalah tetapi tidak pula melakukan perubahan dalam beramal. Kita semakin jauh dan terus menjauh. Perasaan bersalah itu tidak memberi apa-apa kesan kepada kita. Sekadar rasa bersalah pada TUHAN tetapi tidak ada tindakan selanjutnya..
iii) Kenapa tetap tidak beramal?
- Malas.
- Tidak berdaya.
- Tidak punya kekuatan.
- Tidak termotivasi.
- Tidak tahu kenapa tetap tidak beramal.
iv) Solusinya?
- Bilamana kita berasa malas, kita perlu paksa diri menjadi rajin. Sepertimana kata-kata Abdullah bin Muhammad As-Syibli, "Jikalau engkau ingin merasai KEMANISAN berhubung dengan TUHAN-mu, engkau harus GARANG terhadap dirimu. Bilamana engkau telah merasai KEMANISAN perhubungan itu, tahulah engkau betapa PAHITNYA apabila berpisah dengan-NYA." Jadi ~ perlu GARANG pada diri sendiri dalam melakukan amal.
- Bilamana kita tidak berdaya, tidak punya kekuatan, tidak termotivasi, carilah DAYA, KEKUATAN dan MOTIVASI. Bagaimana? Tidak lain, carilah melalui/ daripada ALLAH. Merintih, merayulah kepada-NYA. Sesungguhnya DIA Maha Tahu, Maha Mendengar dan Maha Segalanya. Pasti!!! Hanya DIA jua yang boleh memberi kekuatan, motivasi dan daya itu sendiri. Malas untuk minta kepada-NYA? Berbalik kepada isi di atas yakni perlu garang kepada diri sendiri.
- Peranan orang sekeliling juga penting untuk menyedarkan kita. Kawan-kawan, suami/ isteri khususnya. Sebagai manusia, kita kadang-kadang lupa, teralpa dan leka. Sebab itu, pentingnya sahabat-sahabat untuk saling mengingatkan. Hadis Nabi SAW juga ada menyebut. 'Hendaklah menyintai saudara sebagaimana kita menyintai diri sendiri.' Bilamana kita peka terhadap diri kita, kita sama sekali tidak boleh melupakan orang di sekeliling kita. Sebagai contoh, kita hendak masuk syurga tetapi membiarkan mereka yang berada di kiri kanan depan belakang kita. Kita tidak peka terhadap mereka. Kita sangka, kita telah meninggalkan mereka namun hakikatnya... Merekalah yang akan menarik kita menjauhi syurga yang kita damba-dambakan. Kenapa? Kerana kita tidak pernah mahu mengajak mereka kepada ALLAH. Mereka pula menyalahkan kita apabila disoal ALLAH kelak.
Huh... panjang bangat. Baru intro... Belum menjawab keseluruhan soalan. Bersambung nanti, ya.
Boleh jadi, apa-apa yang Muthiah coretkan ini lari daripada tajuk namun harapan Muthiah, apa-apa yang baik dan boleh diambil iktibar. Yang silap, jadikan sempadan.
OK. Moga ketemu lagi.
Salam kemaafan daripada Muthiah.
Muthiah : GARANG...