Teman tetapi mesra


Best friend atau kekasih? Kekasih atau teman tapi mesra? Entahlah, Zaliza tidak punya jawapan yang pasti. Menyesal rasanya terjebak dengan persoalan cinta. Datang tak diundang, tiba-tiba tercegat di hadapan mata. Biarkan biarkan… Zaliza tidak mahu ambil peduli.

“Za, aku tak ada apa-apa dengan pompuan tu,” kata Zul suatu hari. Diam…
“Betul, aku tak ada apa-apa dengan dia,” terangnya lagi.
“Dia cakap apa kat ko Za?” Zul masih belum berpuas hati. Zaliza pula tunduk membisu. Hatinya betul-betul sakit. Ya, jiwanya meronta-ronta tatkala mendengar berita itu. Masakan Rozi berbohong sedang mereka bertiga bukannya orang lain, sama-sama menuntut di fakulti yang sama. Bukan itu sahaja, mereka juga acap kali membuat perbincangan bersama-sama. Bukan itu sahaja, yang paling utama mereka adalah best friend.

“Pakcik, got to go. Petang ni, pakcik buat discussion dengan Rozi je la ye. I have something to do,” Zaliza memberi helah. Sebenarnya, tidak sanggup berhadapan dengan mereka berdua. Tidak boleh ia bayangkan perasaan yang sedang berbunga mekar di hati-hati mereka sedang dirinya???? Makan hati sendiri. Kan lebih enak kalau boleh kunyah hati ayam ka, hati lembu ka? ‘Argh! Hatiku sakit, hatiku terluka, hatiku… entahlah sukar diungkap dengan kata-kata,’ Zaliza membentak sendiri.
“Wei, mana boleh buat discussion dua orang je. Nanti ada ‘orang’ ketiga. Dosa sedia ada pun ko tak tertanggung, inikan pula dosa aku yang sedia banyak ni plus si budak Rozi tu. Ish ish ish,” Zul memulakan lawaknya. Zaliza masih lagi memuncungkan bibirnya yang kemerahan. “Comel, macam Mak Enon,” usik Zul sambil tersenyum.
“Malas layan la,” tanpa lengah, Zaliza segera meninggalkan Zul terkebil-kebil sendiri. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan. Zul pun keliru dengan sikap Zaliza yang cepat benar naik angin. Kalau diikutkan usia perhubungan mereka, sudah menjangkau empat tahun tetapi gadis ini tetap sahaja misteri. Entahlah, naik pening memikirkan best friend-nya yang seorang ini. ‘Za, Za…’ Zul berkata perlahan sambil tersenyum.

Beep…
‘Aiyaa, siapa pula sms ni,’ Zul mencebikkan bibirnya. Segera ia mencapai telefon bimbit jenis Nokia yang terletak di dalam saku seluar jeans yang dipakainya. Masih ada bau kedai lagi. Al-maklumlah, baru disarung hari ini. ‘Rozi…’ mata yang sedia bulat dibulatkan.

Woi… ko kat mana? Aku dah tunggu berjam kat bilik T03 ni. Aku call Adik pun tak berangkat.

‘Alamak! Lupa daaa… ada discussion petang ni,’ Zul segera berjalan laju menuju ke bilik tutorial yang terletak di blok C fakulti. Tiba-tiba, langkah kakinya terhenti. Mana mungkin membuat perbincangan di bilik itu sekadar berdua. Silap hari bulan, kena tangkap khalwat. Nasib tidak baik, masuk paper. Lagi malang kalau dipaksa kahwin. Tidak… tidak… ‘Zul masih muda mak,’ Zul menggelengkan kepalanya.

Woi anak Pak Dollah. Tukar plan. Kita buat discussion kat library. Adik tak datang daaa… dia ada ‘projek’ lain. Satu lagi, ko tak reti ke nak bagi salam? Kita ni Muslim, Melayu… kan budi bahasa budaya kita. By the way, jumpa aku kat library, tingkat tiga dalam 15 minit. Kita uji kelajuan ko berlari. Kah kah kah…

Zul tersengih sendiri. Macam kerang busuk bahkan lebih lebar daripada sengihnya si kerang busuk.

Ye la anak Pak Borhan. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Set, jumpa kat library within 15 minutes.

Segera Rozi bergerak ke destinasi yang dijanjikan. Apabila tiada mata yang memandang, ia akan berlari-lari anak dan bilamana ada pelajar lain di sekeliling, ia control ayu. Itulah Rozi, berbeza sekali dengan Zaliza yang tidak pernah belajar ilmu control. Kalau dia rasa nak berlari, ia pasti akan berlari. Kalau dia rasa nak tidur hatta di dalam dewan kuliah, ia akan tidur. Lantak apa orang kata asal dia tidak mengganggu-gugat rumahtangga insan lain. Rumahtangga??? Rumah yang ada tangga daaa.

“Ko lambat tiga minit,” kata Zul tatkala Rozi sampai ke perpustakaan utama.
“Ko ingat aku ni robot ka?Aku gadis Melayu la. Bukan macam Adik… asal capai matlamat, habis dihentamnya…”
“Oooo, ko kutuk dia ya? Aku report nanti,” Zul menyampuk sambil tersenyum menampakkan giginya yang putih melepak. Entah ubat gigi apa yang digunakan, tidak ada siapa yang tahu. Boleh jadi Colgate, Darlie… ah, biarkan dia dengan giginya.
“Just kidding. But then, Adik ada ‘projek’ apa?” Rozi bertanya perlahan.
“Hmmm… nanti ko tanya la dia. Dia ada kat meja hujung sana. Aku nampak, sorang je. Tak ada pula ditemani mana-mana kayu jati,” kata Zul sungguh-sungguh. Sebenarnya, ia sudah pun membuat tinjauan, mencari-cari ke manakah minah brutal itu menyembunyikan diri.
“Adik apasal sebenarnya?” Rozi mengerutkan dahinya yang lebar. Ada sebiji tahi lalat hidup di tepi matanya yang bundar.
“Aku pun tak tahu daaa… misteri. Jomlah, kita buat discussion dulu. Siap awal, ko pergilah interview dia,” Zul memberi cadangan.
“Wokeh,” Rozi mengenyitkan mata.
“Woi, insya-Allah la. Kita ni orang Islam, jangan terikut dengan Barat sangat. Kita ni sudah cemerlang, gemilang dan terbilang,” tanpa memandang wajah Rozi yang sudah kemerahan, Zul segera duduk di atas kerusi lalu membuka majalah Apo yang baru sahaja ia beli.
“Wei, ko nak buat discussion ke… ko nak baca majalah?” Rozi berpura-pura marah.
“Dua-dua… kalau boleh empat-empat lagi baik,”Zul menjawab sambil tersenyum sumbing. Mereka kemudiannya sama-sama ketawa.

Dari kejauhan, Zaliza melihat kemesraan yang terjalin di antara Rozi dan Zul. Betul kata Rozi, Zul punya agenda untuk memikat hatinya. Siapalah Zaliza jika hendak dibandingkan dengan ‘Gadis Melayu’ itu. Rozi mempunyai ciri-ciri wanita idaman lelaki. Tutur katanya halus namun bagi Zaliza, bukan halus namanya tetapi control! Penampilannya bisa membuatkan mata-mata yang memandang tertawan. Bukan macam Zaliza… bak kata Zul satu ketika dahulu, “Kalau ko jadi pompuan, mesti banyak kayu jati datang…” diam sejenak.
“Bukan kayu jati je. Kayu pokok getah, pokok kelapa sawit, pokok durian mesti tergila-gilakan ko,” jujur Zul mengemukakan pandangannya.
“Assalammualaikum Pakcik! Kite perempuan aaaa,” Zaliza membulatkan matanya yang sedia sepet.
“Pompuan la sangat,” Zul tersenyum sinis. ‘Argh…. tak habis-habis nak menyakat,’ Za berkata perlahan namun jauh di sudut hati, ia memang nantikan kemesraan sebegitu.

Salah siapa? Zaliza bertanya sendiri. Boleh jadi dia yang bersalah kerana menyimpan perasaan itu. Bukankah deklarasi yang dibuat antara dia dan Zul menyebut bahawa mereka adalah ‘best friend’ @ teman tapi mesra. Huhu… air mata Zaliza hampir sahaja jatuh ke bumi. Cepat-cepat Zaliza menguatkan volume walkman yang didengarinya.

Tiada Tuhan selain Allah
Nabi Muhammad pesuruh Allah

Layan lagu Raihan rupanya. Ingatkan brutal…

Zaliza memandang lagi ke arah ‘merpati dua sejoli’ itu. Sakit hati dibuatnya. Takkan Zul tidak sedar langsung? Lembab sangatkah jejaka itu sehingga sukar menafsir sesuatu yang tersirat? Sem lepas, Zul dapat anugerah dekan. Mustahil kaki buku ini tidak dapat menangkap apa yang terkandung di dalam lubuk hatinya.

Ya, dalam diam Zaliza menyintai Zul. Walaupun acap kali Zul mengutuk dirinya, Zaliza tetap sukakan lelaki itu. Ia punya karisma seorang bapa dan suami (Alahai, jauh sungguh Zaliza terbang). Bukan itu sahaja, jauh di dalam diri Zul terpancar cahaya yang bisa menerangi mereka yang berada di sekelilingnya. Zul mampu membaca hati orang yang berada di hadapannya. Ia tahu kesusahan dan keperitan yang ditanggung teman-temannya lantas tanpa lengah, ia akan berusaha keras membantu mereka yang memerlukan.

‘Mustahil ia tidak dapat membaca apa yang tersirat di dalam hatiku,’ bentak Zaliza. Memang, ia sama sekali tidak pernah meluahkan perasaan terhadap Zul tetapi lelaki itu seharusnya sedar, Zaliza hanyalah seorang gadis yang punya rasa malu. Bukankah malu itu adalah sebahagian daripada iman? Zul sendiri pernah berkata bahawa bunga yang paling berharga ialah bunga yang tidak pernah disentuh dan diusik. Mungkin sahaja luarannya tidak indah sebagaimana bunga lain, menyebabkan tidak ada siapa yang sudi membelainya tetapi hakikatnya, bunga itu punya nilai yang begitu tinggi.

Kali ini, air mata Zaliza yang begitu mahal akhirnya jatuh ke bumi. Begitu payah bermain rasa dan ia berjanji kepada dirinya sendiri bahawa inilah kali terakhir ia bermain dengan perasaan. Lebih baik main guli atau congkak. Sekurang-kurangnya, tidak terasa sakit. Ia memandang lagi ke arah Rozi dan Zul yang masih lagi berbual mesra. Argh…. sakitnya hati! Segera Zaliza menundukkan kepalanya ke meja. Tidak sanggup menonton ‘drama’ itu lagi.

“Assalammualaikum,” tiba-tiba kedengaran sayup-sayup satu suara.
“Ada orang tak?” Katanya lagi. Zaliza kenal pemilik suara itu tetapi ia enggan mengangkat mukanya yang sedang kebasahan dek tangisan yang boleh jadi sia-sia. Malu dibuatnya apabila diketahui umum, ia menangis kerana cinta… ia menangis kerana seorang lelaki. Kerusi di hadapan Zaliza ditarik.
“Tak jemput pun, aku duduk dulu ya,” Zul memerhati Zaliza yang masih tidak mahu mendongakkan kepalanya.
“OKlah kalau ko tak mahu jumpa aku…” diam sejenak.
“Zie, jom kita makan. Aku belanja sempena hari jadi aku yang ke-25,” Zul mengajak Rozi lantas meninggalkan Zaliza menangis sendiri. Kali ini, esakan Zaliza semakin kuat. Ia betul-betul kecewa… kecewa dengan cintanya yang tidak mendapat perhatian.

Setelah dirasa Zul dan Rozi sudah berlalu pergi, Zaliza segera mendongakkan kepalanya dengan mata yang kemerahan. Ia tekad! Ia tidak mahu lagi berkawan dengan Zul. Biarpun hatinya meronta-ronta tidak bersetuju dengan kata putusnya, Zaliza tekad. Lebih baik putus kawan daripada asyik memendam rasa.

Assalammualaikum wbt. Pakcik Zul, Za rasa Za tak boleh nak teruskan persahabatan kita. Pakcik carilah orang lain sebagai pengganti. Mungkin sahaja Rozi paling cocok… untuk menjadi teman istemewa dan juga best friend. Kan lebih baik begitu?Apapun, maafkan Za atas luahan ini. Za sayangkan Pakcik dan Za …. CINTAKAN Pakcik ~ Budak brutal tapi comel : Zaliza.

Zul menggeleng-gelangkan kepalanya. ‘Sejak bila minah ni pandai emo ni?’ bisik hatinya. Zul terkedu dengan tindakan Zaliza yang terburu-buru.
“Zie, sejak bila kita ada affair ni?” Tanya Zul kepada Rozi tatkala gadis itu masuk ke makmal komputer fakulti, tempat Zul sering lepak dan chatting. Diam…
“Aku rasa, kita ni kawan je kan. Aku pun tak ada cakap aku suka ko. Pergi suruh mak aku masuk meminang ko pun tak pernah…” diam seketika.
“Ko nak tahu satu benda Zie?” Tanya Zul. Rozi kaku tanpa suara. Mungkin sedang berfikir dan mungkin sahaja terkejut dengan kata-kata Zul yang terlalu berterus-terang. ‘Kias-kiaslah sikit,’ bentak hatinya.
“Sejak sem satu lagi aku suka Adik. Memang dia brutal, tak ayu, cakap pun ikut sedap mulut dia tapi aku tahu, hati dia tulus. Dia ikhlas dan dia tahu dia seorang MUSLIM. Brutal brutal juga tapi jangan sampai langgar hukum Tuhan…” diam lagi.
“Aku bukan ustaz tapi aku tidaklah jahil sangat. Aku tahu batas-batasnya. Adik betul-betul menepati ciri wanita idamanku… Oooo Azizah,” kali ini, Zul mendendangkan lagu Oh Azizah yang dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Rozi terkejut dengan pengakuan Zul. Wajahnya yang keputihan sudah bertukar warna. Argh! Malu dibuatnya. Bermakna, selama ini ia hanyalah bertepuk sebelah tangan ke udara… tiada bunyi. Tanpa memandang wajah Zul yang serius, cepat-cepat Rozi berjalan meninggalkan Zul yang terkebil-kebil sendiri. “Zie…” jerit Zul tapi tiada jawapan.

‘Ahhhh! Inilah pompuan,’ bentak hati kecil Zul. Dahulu, ia ditinggalkan Zaliza terkebil-kebil sendirian tetapi kini, Rozi pula buat hal. Sah! Perempuan memang penuh misteri dan sukar diselami. Sekejap-sekejap, ia OK dan sekejap-sekejap, ia menjadi orang asing yang langsung tidak dapat diduga hati dan perasaannya. Zul buntu, tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Dia bukan sahaja kehilangan Zaliza yang telah mencuri hatinya tetapi juga Rozi. Rozi adalah teman belajarnya yang paling cocok. Rozi rajin dan kerjanya tersusun. Tidak macam Zaliza yang tulisannya cakar ayam bahkan mungkin lebih teruk daripada itu. ‘Hmmm… sebagai lelaki aku tak boleh lemah!’ Zul memotivasikan dirinya. “Gambatte,” kata-kata Zaliza sewaktu mereka sama-sama hendak menduduki peperiksaan terngiang-ngiang di dalam kotak pemikirannya.’Hm…’ Zul mengeluh lagi.

“Ko ni apasal Zul?” Tanya Ijan, teman sebilik Zul.
“Aku OK. Apasal?” Zul bertanya kembali.
“OK apanya? Ko tak buat discussion dengan awek-awek jambu tu lagi?” Sungguh-sungguh Ijan bertanya.
“Adik dan Rozi???” Zul diam sejenak.
“Pompuan ni kompleks la. Payah nak faham hati diorang. Malaslah aku nak fikir,” Zul meluahkan rasa hatinya.
“Suka hati ko la Zul…” Ijan mengeluarkan sesuatu daripada poket bajunya.
“Zaliza bagi aku tadi. Dia suruh sampaikan kat ko. Siap dapat upah lagi tu,” tambahnya lagi.
“Hmmm…” Zul sekadar memerhati kertas berwarna-warni yang diberikan Ijan.
“Thank you bro,” ucapnya perlahan. Kemudian, kertas tersebut dibuka dengan teliti.

Assalammualaikum Pakcik. Kite rasa tak bolehlah kalau tak jadi best friend pakcik. Rasa sunyi dan sepi saja. So, kalau Pakcik sudi maafkan kite, kite nak kawan balik dengan pakcik. Huhu… dengan tak malunya kite nak cakap, ‘ Kite sayangkan pakcik dan akan tetap sayang pakcik,’.

Zul tersenyum sendiri. Akhirnya, Zaliza kembali kepadanya. Perit rasanya menahan rindu tetapi sebagai lelaki, Zul punya egonya sendiri. Tidak macho kalau tunduk kepada wanita dan akhirnya, ia berjaya merendahkan keegoan milik gadis sunti itu. ‘Kalau ada jodoh, tak akan ke mana dude,’ bisiknya. Zul mengambil telefon bimbit yang terletak di atas katilnya yang bersepah.

Assalammualaikum… Za, kan Za pernah berjanji dahulu bahawa tidak akan berlaku perpisahan dalam persahabatan kita? Tengok, sekarang Za mungkir janji. Bukankah manusia berpegang pada janji dan lembu berpegang pada tali? So, Za sekarang ni pegang tali pula ye. Za, ketahuilah sesungguhnya Zul menyayangi dan mengasihi Za sebagaimana Za sayang dan kasih kepada Zul. Moga kan kekal hingga sampai waktunya.

Segera sistem pesanan ringkas itu dikirimkan kepada empunya diri. Zul tercari-cari nama Zaliza di dalam telefon bimbitnya, tiada! ‘Nama apa ya?’ Ia bertanya sendiri. ‘Zaliza? Za brutal? Za macho?’ Ia berkira-kira di dalam hati. Tiba-tiba, ia terpandang satu nama dan ia familiar dengan nombor telefon tersebut. ‘013-XXXXXXX…’ Oooo, ‘Myluv’ rupanya. Zul tersenyum lagi.
Labels: | edit post
0 Responses