Salam sejahtera


Pening! Pening dibuatnya. Nak kata tak faham Bahasa Melayu, dilahirkan sah-sah sebagai anak jati Tanah Melayu. Nak kata tak dengar maki cerca, rasanya sudah berbakul sumpah-seranah kutujukan kepadanya. Aku sudah buntu! Buntu aku buntu, sudah tidak tahu apa yang harus kulakukan. Yang pasti, cintaku bukanlah untuknya. Ada insan lain terlebih dahulu mencuri, merompak, merampas hatiku yang sering kali bergelora. Oh, tidak…
“Kau ni apsal Sa? Berkerut dari pagi tadi….” Diam sejenak.
“Bukan-bukan… dari semalam, kelmarin, minggu lepas muka kau macam anak dara tua yang tak laku tetapi kepingin nak berlaki,” sambung Mas. Kawan baikku yang seorang ini memang tidak punya insuran mulut. Apa sahaja yang terlintas di benaknya, itulah yang akan diungkapkan. Kadang-kadang, bikin jiwaku yang sedia panas semakin panas. Aku hanya membisu. Sudah bosan mendengar bebelannya yang mengalahkan Mek Tom Pot Pet yang kerjanya pot pet pot pet.
“Ni mesti pasal budak Nik tu. Apa pula dia buat hari ni?” Suaranya dikendurkan sambil melihat-lihat ke luar tingkap. Lazimnya pada waktu-waktu begini, Nik akan memainkan lagu kegemaranku, ‘Kuucapkan salam sejahtera…’dengan suaranya yang sumbang semacam. Aik, tidak ada pun. Nik masuk ICU ke? Mana mungkin ia tidak melepak bersama-sama teman setianya.
“Pukul berapa sekarang Mas?” Tanyaku tanpa menjawab persoalannya sebentar tadi. Buat apa tanya aku? Aku bukanlah bibik anak Pak Khalid, bukan juga bininya sepertimana yang diwawar-wawarkan. Aku hanyalah seorang gadis yang tidak jelita tetapi comel dan menawan. Hehe… kalau bukan aku yang tekan lif, siapa lagi? Aku tersenyum sendiri.
“Pukul 4.30!” Jerit Mas sambil menepuk bahuku. Inilah Mas Ernie anak Pak Su Noor. Hobinya ialah menepuk bahuku yang tidak bidang. Aku tahu, ia punya cita-cita memiliki anak yang ramai untuk dibelasah sehari-hari namun apakan daya, setiap kali menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki, pasti terputus di pertengahan. Aku pun musykil. Nak kata tak lawa, ada rupa juga walaupun tetap tidak dapat melawan kelawaanku. Nak kata tak ada gaya, kadang-kadang kalah artis-artis karpet merah AIM, ABPBH… entahlah.
“Kau ni khayal la. Kau ingat siapa sebenarnya? Nik ke Sidi? Sampai sakit tekak aku menjerit,” Mas membulatkan matanya yang sedia bulat. Rambutnya yang seakan-akan rambut penyanyi Ezlyn diikat ketat, lebih ketat daripada sebelumnya.
“K k k… aku dengar. Saja nak buat cerdik. Jap, pukul berapa sekarang?” Aku bertanya lagi. Blur sebenarnya.
“Dengar la sangat,” ia mencebikkan bibirnya yang kemerahan. Hai, budak Mas ni sudah mula buat perangai. Nak merajuklah tu. Selain mempunyai hobi luar biasa menepuk bahuku, ia juga gemar merajuk. Mengalahkan adik bongsuku yang bernama Acap.
“4.30,” katanya tanpa memandang wajahku. Matanya melilau-lilau ke luar tingkap. Sah! Dia sedang mencari seseorang.
“Seman tak ada, jam 5.30 baru diorang lepak kat situ. Kenalah solat Asar dulu kalau nak lepak sekalipun,” aku memandangnya sambil tersenyum. Kali ini, sudah hilang rajuknya dan ia turut tersenyum bersama-samaku. Inilah sebuah persahabatan murni, tidak perlu mengambil masa yang lama untuk berlapang dada dengan sahabatnya meskipun kawan yang dekat dengannya itu begitu gemar menyakat dan mengenakannya. Akulah tu…jangan mare. Aku tersenyum sendiri.
*****
ILU…
Sekeping kertas pink terselit di dalam majalah Remaja yang baru kubeli dua hari sudah. Aku tahu, tak lain dan tak bukan ini mesti kerja Nik yang tidak faham bahasa. Bukan itu sahaja bahkan seawal pagi, telefon bimbitku menjerit-jerit membangunkan aku daripada lena. Pabila kuangkat, tiada pula suara yang kedengaran dan tidak sampai seminit selepas itu, sms yang tidak kuundang pula datang menyusul. Niklah tu… sekadar mahu mengucapkan, ‘ILU’ as known as ‘I love you’.
Aku pula, tanpa pertimbangan terus membalas, ‘Pergi blahlah lu…’Lantaklah apa yang ingin ia fikirkan. Aku brutal ka, aku kasar ka atau aku apa-apalah yang penting…jangan! Jangan lagi mengganggu hidupku kerana hatiku diciptakan bukan untukmu wahai Nik anak Pak Khalid.
Semalam, aku menerima sekuntum bunga ros berwarna merah daripada Nik. Katanya, sempena meraikan hari jadiku yang ke-23. Hm… aku pun confuse. Tahun ini, genap usiaku 22 tahun. Tua sangatkah rupaku sehingga ia menganjakkan umurku daripada yang sepatutnya. Bukankah tarikh lahirku telah berlalu beberapa bulan yang sudah? Pabila aku mempersoalkannya, ia hanya ketawa. Katanya, ia tertukar dengan tarikh kelahiran neneknya yang sudah lama meninggal dunia. Huh! Alasan yang sama sekali tidak boleh diterima. Kalau masuk court, sudah pasti kalah.
“Sa, janganlah jual mahal,” katanya sewaktu aku menghantar teh o’ limau ais yang dipesannya. Oh ya, sebelum aku terlupa, bapaku yang bernama Pak Salim dan ibuku yang dikenali sebagai Mak Limah nasi dagang sebenarnya memiliki sebuah gerai makan. Tugasku sehari-hari ialah membantu ibu dan bapaku di gerai tersebut. Kerjaku mudah! Tidak perlu mengopek bawang merah dan tidak perlu juga menyiang ikan, yang perlu kulakukan adalah menghantar pesanan pelanggan.
Nik pula merupakan pelanggan tetap kami. Sehari-hari, dia pasti datang minum petang di gerai makan ibu bapaku. Menu favourite-nya, tak lain dan tak bukan teh o’ limau ais. Kadang-kadang terfikir juga di benakku, tidak bosankah minum air yang sama setiap hari? Aku kira, sejak bapaku membuka gerai makan dua tahun lepas, dalam tempoh itu jugalah Nik akan datang dan memesan teh o’ limau ais.
Eh, sebelum aku terlupa. Ibu Nik juga berniaga. Nak tahu berniaga apa? Jangan terkejut, jangan panik dan jangan pengsan! Ibunya yang dipanggil Mak Jarah nasi kerabu juga membuka gerai makan bersebelahan dengan gerai makan keluargaku. Aku ulang, ‘Sebelah gerai makan keluargaku!’ Ha ha ha… bertuah punya anak. Mak punyalah penat-penat buka gerai makan, si anak teruna pula senang-senang minum di luar. Aku tersenyum sendiri.
“Teh ‘o limau ais RM1.20. Tak mahal pun…” aku diam seketika.
“Minyak naik, gula naik, beras naik… teh ni maintain RM1.20 sejak dari dulu lagi…” diam lagi.
“Buktinya, dua tahun lepas, teh o’ limau ais ni RM1.20 dan hari ini, harganya tetap sama,” kataku tanpa memberi peluang ia bersuara. Aku tahu, Nik akan sedaya-upaya mencari helah untuk mengenakanku. Minggu lepas, ia datang ke gerai makanku untuk membeli gula-gula. Yang menyebabkan aku naik berang, setiap botol gula-gula ditanya harganya tetapi yang dibeli, hanya sepuluh sen. Habis kubazirkan air liurku dan dia pula hanya pandai tersenyum macam kerang busuk. Aku kira, kerang itu sudah bertahun-tahun terperap di situ sehingga bau hapaknya menusuk hidung mancungku.
“Sa…” Nik lebih serius. Mataku direnung tajam. Aku masih lagi mencebikkan bibir yang original merah tanpa sebarang lipstick.
“Nik serius ni. Sa pun dah masuk 23 tahun. Kenalah kawan dengan lelaki. Nanti 24 tahun, nak kahwin kan?” Sungguh-sungguh ia memberi cadangan. Hello cik abang! Umurku baru 22 tahun daaa… kurang asam punya lelaki tua tak handsome yang mengaku macho tapi macam mana dia tahu rancanganku untuk mengakhiri zaman bujang pada usia 24? Ish, mesti Mas punya kerja ni.
“OK…” diam sejenak.
“Boleh…” aku memandangnya sambil tersenyum.
“Boleh blah,” aku dan ia berkata serentak. Mata kami berpandangan. Alamak! Apa pasal jantungku berdegup kencang? ‘Oh Tuhan tolonglah aku…’ bait-bait lagu Perjalanan Duka Min Malik kuungkapkan di dalam hati. Nik pula berlagak selamba menghabiskan minuman kegemarannya. Cepat-cepat aku berjalan menuju ke kaunter. Eh silap, tugasku bukanlah menjaga kaunter. Segera aku ke belakang. Dup dap dup dap…jantungku berdenyut kencang.
*****
“Saliza ya?” Aku ditegur seseorang. Gadis manis itu aku pandang atas bawah. ‘Cantik,’ bisik hatiku. Mesti anak orang kaya. Al-maklumlah, handbag-nya berjenama Polo. Baju pun, ala-ala artis. Boleh jadi best friend Mas ni.
“Ya saya,” kataku perlahan.
“Duduklah dulu,” Ia terus menghulurkan tangannya yang lembut. Ya, jemarinya lembut bak sutera. Tidak macam aku yang kasar bak…. bak apa ya? Apa-apalah, aku sendiri tidak tahu. ‘Cantik handbag, ori ke beli kat Mydin?’ Aku berbisik sendiri. Nakal juga gadis manis bernama Saliza ni.
“Ya,” kerusi plastik berwarna hijau itu segera kutarik. Segan pula rasanya duduk bersama gadis yang nampak educated ini. Macam langit dengan bumi. Sudahlah berjemari lembut lagi halus, mesti guna lotion Johnson & Johnson. Aku pakai juga, lotion asli yang diperbuat daripada kunyit. Adoi, sempat lagi aku mengelamun.
“Saya Marina… Marina binti Tan Sri Baba…” ia diam seketika.
“Tunang kepada Abang Sidi, Nor Hisyaidi bin Dato’ Che Teh,” gadis ini berkata dengan tenang. Sidi mana ni? Adakah Sidi yang dimaksudkan adalah sama dengan Sidi pujaan hatiku… jantung, paru-paru, usus dan ginggalku? Tetapi…
Anak dato’? Bila masa Sidi dilahirkan sebagai anak dato’? Argh! Aku tak percaya. Masakan anak dato’ kerjanya menjaga cyber cafĂ© di kedai komputer anak Pak Mat Tote. Tidak tidak… aku tidak percaya. Lidahku kelu tanpa suara, tidak tahu apa yang harus kuungkapkan.
“Ini kad kahwin saya dengan Abang Sidi,” Marina menambah sambil menghulurkan sekeping kad berwarna emas kepadaku. Aku kira, kad ini berharga RM5 hingga ke RM10 sekeping. Kalau tempah banyak, mungkin boleh diskaun. ‘Cantiknya, macam kad kahwin Mawi dan Ekin,’ aku berbisik sendiri. Aku masih lagi membisu.
“Sebenarnya, mama dan papa kami yang merancang menyatukan kami berdua…” diam lagi.
“Of course, saya juga sudah punya pilihan hati sendiri sepertimana Abang Sidi,” ia memandang tepat anak mataku.
“Abang Sidi sudah ceritakan semuanya dan saya faham apa yang ia rasai,” kali ini, air matanya mengalir di pipinya yang gebu. Aku menjadi kaget, apakah tujuannya yang sebenar hadir menemuiku?
“Mama saya menghidap kanser payudara manakala papa diancam kanser paru-paru…”
“Cuma satu harapan mereka agar saya dan Abang Sidi bersatu…” air matanya mengalir semakin deras. Aku pula diam membisu. Mungkin juga kaget atau mungkin terkesima dek berita ‘panas’ ini.
“Saya tekad memutuskan hubungan dengan kekasih hati saya kerana saya tahu, tanpa mama dan papa siapalah saya di atas dunia ini,” sambungnya.
“Tapi…” kali ini esakannya semakin kuat kedengaran. Huaaaa, aku pula teresak-esak di dalam hati.
“Abang Sidi tekad untuk tidak menikahi saya dan ia setia menanti awak…”
“Walaupun awak tidak berpelajaran tinggi, saya tahu awak begitu istimewa di hatinya,” jemarinya menggesel-gesel hujung meja di hadapannya.
“Jadi….” Marina mahu meneruskan ungkapannya tetapi dengan segera kusentuh bibirnya yang kemerahan. Alaaa… macam dalam cerita ‘Cinta untuk Ain’ tu. Que Haidar tidak membenarkan Nabila Huda bersuara lantas berkata, “Saya cinta awak… saya cinta awak.’ Oh romatiknya.
Berbalik kepada respon aku kepada Marina, bibirnya yang kemerahan kusentuh perlahan. Eh silap, bibirnya berwarna pink. Mesti gadis ini menggemari warna merah jambu. Kalau tidak, masakan ia memilih menyarungkan kasut, skirt dan baju yang berwarna pink.
Sambil tersenyum, aku menganggukkan kepalaku. Meski perit menerima hakikat ini, aku perlu tabah dan kuat. Biarlah aku yang berundur. Lagipun aku dan Sidi seperti enggang dengan pipit. Terbangnya tinggi menggapai awan dan aku??? Untuk hinggap di atas atap rumah usangku pun belum pasti aku mampu. Maklumlah, sayapku koyak. Hu hu hu… kami tidak sekufu. Mana mungkin aku dapat melayari bahtera kehidupan bersamanya.
Petang itu, aku tidak membantu ibu dan bapaku di gerai. Aku lebih senang sendiri. Izinkan aku menenangkan diriku tanpa gangguan siapa-siapapun. Jam 6.00 nanti, biarlah ibuku pula menghantar pesanan teh o’ limau ais buat Nik. Aku mahu berehat…
*****
“Dah seminggu Sa tak jaga gerai. Pi mana?” Tanya Nik tatkala memesan minuman kepadaku. Aku hanya diam.
“Hari-hari saya datang tapi Sa tak ada. Teh o’ limau ais rasa tak sedap je. Tak macam biasa,” tambahnya lagi. Mahu tergelak dibuatnya tetapi aku tetap berlagak selamba. Selama ini pun, bukan aku yang menyediakan minuman kegemarannya itu. Tugasku hanyalah menghantar minuman tersebut kepadanya. Tiba-tiba…
Tiada secantik bahasamu
Kugubah lalu menjadi lagi
Tidak standing paras wajahmu itu menjadi rindu
…..
Sejauh mana pun berpisah
Kau di hatiku dan kusama
Dalam tidur dalam terjaga kuucapkan salam sejahtera
Aduh aduh, enggak ada perasaan malu bah? Aku memandang tepat anak matanya. Hm… handsome juga. Selama ni, buruk semacam saja. Aku yakin lagi pasti, Maslah yang membocorkan segalanya. Lagu ‘Salam Sejahtera’ nyanyian kumpulan Samudera ini memang lagu favourite-ku sejak aku menjalin cinta dengan Sidi tetapi sayang lagu ini dinyanyikan orang lain buatku.
“Saya beri tempoh satu bulan Sa membuat keputusan. Sudikah Sa menjadi suri di hati saya?” Kata Nik lalu menyerahkan sekuntum bunga ros berwarna merah kepadaku. Di samping bunga itu, ada sebuah bungkusan yang berwarna hijau.
“Bukalah,” katanya.
Tanpa control ayu, segera kubuka bungkusan tersebut. Nah! Satu set VCD Detektif Conan. Aku yakin lagi pasti Maslah yang membocorkan rahsiaku. Memang Shinichi Kudo adalah teman gelapku. Hah! Teman gelap? Tidak tidak tidak.
Aku hanya tersenyum. Meskipun cara lamaran Nik tidak kena pada tempatnya, ia sudah cukup menghiburkan hatiku yang sedang luka. Macam drama swasta dan aku adalah pelakon utamanya. ‘Terima kasih, terima kasih kerana mengundi saya,’ kataku mewakili Dynaz yang memenangi Anugerah Pelakon TV Popular dalam ABPBH baru-baru ini. Aku tersenyum lagi.
“Nak lamar, datanglah rumah…” kataku lalu meninggalkannya terkebil-kebil sendiri. Baru semalam aku terluka tetapi hari ini sudah sembuh. Mujur lukaku tidak lama dan sama sekali tidak meninggalkan parut pada tubuhku. Langkahku terhenti lantas aku berjalan kembali menuju ke arahnya.
“Pas ni, jangan nyanyi-nyanyi macam ni. Kita orang Melayu, kaya dengan adab dan budaya. Kita orang Islam, cantik dengan peraturannya,” aku mengakhiri kata-kataku sambil tersenyum nakal. Setelah dua tahun ia berjaya menyakatku, hari ini tiba masa bagiku untuk mengenakannya kembali. Nik Nik…
‘Andai ada jodoh kita tak akan ke mana-mana... pastikan sempurna harapan bersama…’ lagu ‘Flora Cinta’ nyanyian Min Malik aku nyanyi perlahan.
Labels: | edit post
0 Responses