Aku ~ Hamba Allah (i)
Tuesday, March 09, 2010
Assalammualaikum. Apa khabar semua? Muthiah? ‘Ala kullihal, Alhamdulillah. Masih seperti dahulu dan dahulu dan dahulu… Hehe.
Kalau sebelum ini, Muthiah ada menulis tentang misi dan visi. Insya-Allah, kali ini Muthiah ingin kecilkan lagi skop misi dan visi tersebut yakni :
Aku ~ Hamba Allah
Apakah peranan kita selaku hamba Allah?
Selaku khalifatullah di atas muka bumi ini, kita punya tiga peranan utama iaitu :
a) Mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah.
b) Menyeru manusia kepada Allah.
c) Memakmurkan alam.
Bagaimanakah caranya hendak mengabdikan diri kepada Allah?
a) Biarlah hidup dan mati ini hanya itu Allah ~ ‘Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam…’ Al-An’am ayat 162.
b) Beribadahlah dengan ikhlas ~ ‘Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia pun mengerjakan kebaikan, dan ia mengikuti agama Ibrahim yang lurus?...” An-Nisa’ ayat 125.
c) Beribadahlah dengan rasa ihsan ~ Beribadahlah seolah-olah kamu dapat melihat Allah. Sekiranya kamu tidak nampak Tuhanmu, yakinlah bahawa Dia sentiasa memerhatikan dirimu.
d) Buat yang Allah suka, tinggalkan yang Allah larang/ benci ~ Tanyakan pada diri, ‘Apakah yang disukai Allah?’ … Kemudian, tanyakan lagi, ‘Apakah yang dibenci Allah?’… Bilamana kita hendak melakukan sesuatu, fikirkan dahulu, ‘Allah suka atau tidak?... Mahukah kita melakukan sesuatu yang dibenci Tuhan?
e) Hiduplah secara wasatiah/ bersederhana ~ Berpada-padalah dalam sesuatu. Usah terlalu mengejar dunia sehingga memudaratkan diri sendiri. Usah terlalu mengejar nama dan pangkat sampai mengabaikan tanggungjawab selaku seorang isteri/suami/ anak/ anggota masyarakat. Redhalah dengan segala ketentuan Allah buat diri kita. Andai kita kaya, usah sekali-kali melupakan mereka yang berada di bawah kita. Sekiranya ditakdirkan kita hidup susah, percayalah bahawa Allah dekat untuk memberi pertolongan kepada kita. Apa yang penting, kita terus berusaha keras dalam menjalani kehidupan yang penuh pancaroba. Kejarlah akhirat... Manfaatkan kehidupan di dunia demi kehidupan yang kekal abadi.
f) Teruslah menuntut ilmu sehingga hujung nyawa ~ Penuhi diri dengan ilmu yang memanfaatkan diri sendiri serta orang lain. Hindari daripada menjadi seorang individu yang tertutup dan tidak tahu apa-apa tentang keadaan di sekelilingnya. Rasulullah SAW bersabda, ‘Jika kamu mahukan dunia, dengan ilmu. Jika kamu mahukan akhirat, dengan ilmu. Jika kamu mahukan dunia dan akhirat, dengan ilmu.’
g) Sentiasa mengislah diri untuk menjadi manusia yang lebih baik ~ Baik dari sisi peribadi mahupun dalam ibadah. Berakhlak dengan akhlak yang disenangi serta lakukan ketaatan dengan sebaik-baik kepatuhan.
h) Redha dan bersyukur dengan segala sesuatu ~ ‘Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.’ Ibrahim ayat 7.
Bersambung pada minggu akan datang, insya-Allah.
Muthiah : Allah ya Allah…
tuh gmbr kt maner eh.. mcm knal...
hmmm...masjid taiping, dpn ngn cimb...penah p? ada ceramah time nih...