Kalau iya pun, biarlah logik…
Assalammualaikum, dan salam sejahtera. Moga kita semua dirahmati dan diberkati ALLAH hendaknya. Muthiah… Tidak sabar menghitung hari, setel perpindahan ke Ipoh. Bukan apa. Hendak kembali menghadap manuskrip yang sudah ditinggalkan agak lama. Terasa diri bagai penganggur sementara. Huhu. Encik Suami baca, silap hari bulan kena ‘kok kepala’. Walhal, tidak pernah kena pun. Hanya fitnah semata-mata. Muthiah bukannya penganggur. Muthiah bertanggungjawab menguruskan rumah dan tangga.
Waktu kecil dahulu, hobi Muthiah ialah menyanyi. Meskipun suara Muthiah tidaklah sedap, Muthiah tetap suka benar berangan-angan mendapat trofi ~ “Terima kasih kerana memilih saya.” Muthiah nyanyi lagu Bapaku pulang dari kota… Lalala…
Meningkat remaja, Muthiah tetap suka menyanyi. Lokasi utama Muthiah mendendangkan suara yang lemak merdu, disukai ramai adalah di dalam kereta. Lebih-lebih lagi apabila berperjalanan jauh. Ahli keluarga, sudah masak dengan hobi Muthiah yang satu ini. Lagu pilihan setelah meningkat remaja ialah Untukmu, ibu nyanyian kumpulan Exist.
Sekarang, pun sama. Satu hari…
Muthiah berkata kepada suami, “Rasanya, lagu ini pun kena dengan tema cerita Air Mata Siti Hajar.” Dengan penuh penghayatan, Muthiah pun mendendangkan lagu Perjalanan Duka, Min Malik.
Suami yang sedang memandu berkalih ke arah Muthiah seraya membalas, “OK juga tetapi cuba nyanyi lagi UM. Rasanya kena juga dengan jalan cerita.”
Apa lagi? Tanpa memproses maklumat yang diberikan suami, Muthiah pun mendendangkan pula lagu tersebut…
Universiti Malaya… kebanggaan kita semua… blablabla…
Mulut suami ternganga luas. Kebetulan, ada langau hijau di tepinya. Sikit lagi hendak masuk ke dalam kerongkongnya. Aduh. Ini pun fitnah semata-mata.
Suami lantas bersuara, “Kalau iya pun, biarlah logik. Tidak akan hendak jadikan lagu UM tu sebagai lagu tema. Bukankah lagu yang Muthiah biasa nyanyi ialah lagu Ukays…”
Muthiah yang tadinya penuh dengan semangat patriotik terpaku seketika. Mata Muthiah yang ‘sememangnya bulat’ membulat <- Ini syok sendiri.
“Iyalah…” ujar Muthiah selamba. Bukankah ada satu lagu yang Muthiah selalu dendangkan di dalam kereta? Lagu itu pula digunakan sebagai lagu rasmi sewaktu haluan siswa.
Pengajaran
1- Kadang-kadang (kalau boleh selalu… lagi baik), proseslah dahulu sebarang maklumat yang kita terima. Contoh : Orang kata Polan bin Polan ini teruk. Kita tidak boleh terima 100%. Tapislah dahulu. Siasat. Tukar profesion jadi detektif sekejap.
2- Isteri… dengarlah cakap suami selagi kata-katanya tidak melangkaui syariat TUHAN. Redha ALLAH pada kita adalah atas redhanya.
3- Buat lawak juga bagus untuk menceriakan rumahtangga. Jadi, jom buat lawak. Tidak ada orang hendak gelak, kita paksa pasangan kita gelak. Jika tidak.. jom mogok lapar <- ajaran sesat?
Muthia : Lokasi kini ialah Kuala Lumpur. Lalalala ^^