Mencari Naurah (Bab 57)
Sunday, September 30, 2012
Novel | Mencari Naurah
AKU terkebil-kebil sendiri di dalam kamar. Benarkah peristiwa hari ini
merupakan satu realiti ataupun sekadar fantasi? Mimpi indah yang lazimnya sukar
menjadi kenyataan. Adakah aku berasa gembira? Ya! Aku cukup gembira kerana
menerima lamaran daripada seorang jejaka yang aku idam-idamkan selama ini.
Bohonglah jika aku katakan aku tidak teruja dan sukacita. Aku sudah hampir
menggapai pelangi. Pelangi?
|
Aku
tersenyum sendiri. Tidak lama. Bibirku muncung kembali. ‘Adakah aku benar-benar
gembira???’
Wajah
Anuar tiba-tiba muncul. Senyumannya tidak lekang dari bibir. Renungannya yang
tajam menggambarkan pengharapan dari dalam hatinya yang begitu tinggi. Anuar
seolah-olah yakin yang dia sudah hampir sampai ke puncak kejayaan. Penat lelah
serta usahanya selama ini nampaknya semakin membuahkan hasil. Pengorbanan dan
kesabarannya tidak sia-sia. Mungkin...
Ya!
Aku sebenarnya sudah punya jawapan buat lelaki itu. Jawapan yang bisa
membuatkan dia tidak tidur malam. Boleh jadi membikin hatinya riang...
teramat-amat suka. Namun, kehadiran Asyraf membuatkan hatiku kembali goyah. Aku
menjadi ragu-ragu dengan keputusan yang telah kuambil.
‘Ah!
kejam sungguh manusia yang bernama Natasha ini...’
PERISTIWA tempoh hari tiba-tiba kembali
menerjah pemikiranku. Ya! Saat tika aku hampir melafazkan kata suka kepada
Anuar. Saat tika aku hampir menerimanya menjadi teman hidupku…
“Beri
saya tempoh sebulan untuk jawapan yang
awak nantikan,” ujarku suatu hari.
“Saya
harap jawapan itu tidak menghampakan,” kedengaran suara Anuar begitu sayu.
“Lagipun,
ibu dan ayah saya amat menyukai Asha. Mak Asha juga ramah. Terpancar kejernihan
pada wajahnya yang tua.” Anuar berterus-terang.
Aku
hanya tersenyum-senyum mendengar butir bicaranya. “Akan tetapi...” kata-kataku
mati di situ.
“Saya
dan awak jauh berbeza. Ayah awak seorang yang dikenali. Begitu juga dengan ibu awak.
Realitinya, cara hidup kita tidak sama. Awak dengan dunia korporat awak dan
saya dengan hidup saya yang serba kekurangan,” aku berterus-terang.
“Asha,
ibu dan ayah saya sama seperti ibu dan arwah ayah awak. Mereka juga hamba
ALLAH. Satu hari nanti, mereka pasti akan dihisab TUHAN atas apa yang mereka
lakukan di atas muka bumi ini. Harta yang mereka miliki sama sekali tidak dapat
menghalang mereka daripada ditimbang di atas neraca pengadilan TUHAN...”
Diam
seketika.
“Ibu
saya selalu berpesan. Walau setinggi manapun kedudukan kita, kita sebenarnya
masih lagi rendah dan kerdil di hadapan TUHAN. Kadang-kadang, saya malu
terhadap diri sendiri. Mereka mungkin tidak mengikuti halakah ilmu secara
konsisten dan teratur, namun mereka punya pegangan agama yang kuat...” Anuar
terbatuk kecil.
“Awak
okey?” aku kerisauan.
Anuar
memandang tepat mataku lantas berkata, “Sayang juga awak pada saya?”
Aku
hanya tersenyum sipu. Malu-malu kucing...
“Mereka
punya kemahuan untuk belajar dan terus belajar. Saya nampak kesungguhan
hati-hati mereka untuk mendekatkan diri kepada ALLAH dan saya bersyukur kerana
telah dipilih-NYA untuk berada dalam keluarga yang begitu memahami. Ibu faham
saya mahu menerapkan unsur-unsur Islam dalam rumah. Ayah pun sama. Kalau awak
hendak tahu, ayahlah yang mengajak kami anak-beranak solat berjemaah
bersama-sama. Saya? Saya ada keinginan tetapi masih belum punya kekuatan untuk
memulakannya,” cerita Anuar panjang lebar.
“Saya
suka keluarga awak,” celahku.
“Insya-ALLAH.
Sebulan sudah cukup bagi saya membuat keputusan. Kalau ada jodoh, pasti tidak
akan ke mana-mana.” Kulihat wajahnya bercahaya. Aku juga tumpang gembira.
~bersambung~