Mencari Naurah (Bab 55)
Monday, September 24, 2012
Novel | Mencari Naurah
“APA yang Asyraf telah lakukan?” Air mata Datin Khatty yang hakikatnya
begitu mahal luruh jua ke bumi. Dia menangis teresak-esak. Kesedihan dan rasa
malu yang dialami sudah tidak tertahan.
“Disebabkan budak kampung itu, Asyraf sanggup memalukan mama.”
Dia
merenung tajam ke arah anak terunanya yang tetap membatu.
|
“Tidak
tahu di mana lagi mama hendak letak muka. Bukan sahaja mama bahkan papa, Datin
Azira dan keluarganya. Sanggup Asyraf buat kami begini,” isteri Dato’ Ghazali
ini masih tidak puas meluahkan rasa hatinya.
“Maafkan
Asyraf, ma. Asyraf betul-betul tidak...” Asyraf terdiam sebentar.
“Natasha
bukanlah penyebabnya. Asyraf sendiri tidak dapat menerima gadis semoden Amalin
sebagai teman hidup,” ungkapnya perlahan.
Dato’
Ghazali pula hanya menjadi pemerhati setia. Dia sendiri tidak menduga. Sama
sekali tidak menyangka bahawa Datin Azira akan mengadakan majlis besar-besaran
bagi mengumumkan pertunangan Amalin dan Asyraf. Ada Dato’ Khalid, Dato’ Samad
bahkah Dato’ Sanusi pun turut hadir dalam majls tersebut.
Terimbau
kembali di ingatannya
peristiwa di rumah Datin Azira sebentar tadi.
“HARI ini, saya akan membuat satu pengumuman
tergempar,” Datin Azira tersenyum manis. Baju kebaya yang dipakainya
betul-betul menampakkan susuk tubuhnya yang semakin berisi.
“Amalin,
Asyraf... ke sini sebentar.” Dia memandang kedua teruna dara itu dengan
senyuman yang semakin dilebarkan.
Asyraf
yang sedang asyik menikmati puding terpaku seketika tatkala namanya disebut.
‘Apa kaitannya aku dengan majlis ini?’ bisik hati kecilnya. ‘Argh... mama
bohong!’ bentaknya lagi. Menurut Datin Khatty, dia hanya perlu menghadiri
majlis hari jadi Tengku Amalin. Namun, kalau sekadar majlis hari jadi, mustahil
namanya dipanggil.
“Sebenarnya,
saya dan Datin Khatty telah bersetuju untuk menyatukan puteri kesayangan saya,
Tengku Amalin dengan putera tunggal Dato’ Ghazali, Asyraf Daniel,” umum Datin
Azira dengan penuh bersemangat.
Semua
yang hadir bertepuk tangan sebagai tanda meraikan bakal pengantin.
“Macam
mana dengan anak mama? Setuju tak?” Datin Azira memandang Amalin yang tersenyum
gembira.
“Saya
setuju, ma” jawab Tengku Amalin lantas mencium pipi Asyraf yang berdiri tidak
jauh daripadanya.
Tidak
sempat Asyraf mengelak dari dicium Tengku Amalin. Kedengaran tepukan yang kian
gemuruh. ‘Ingat agama Kristiankah?’ marahnya. Wajahnya sudah bertukar warna.
Dia begitu marah dan malu dengan apa yang berlaku. Dia memandang mamanya yang
dari tadi tersenyum panjang.
‘Mana
mungkin Asyraf sanggup memalukan dirinya sendiri. Cadangan Amalin diterimanya
bulat-bulat. Sudah tentu Asyraf tidak mampu berbuat apa-apa setelah pengumuman
dibuat,’ bisik hati Datin Khatty.
Asyraf mencari-cari kelibat papanya. Nah, itu dia. ‘Apa
yang patut Asyraf lakukan, pa?’ Dia bertanya dari kejauhan. Papanya hanya menganggukkan kepala sambil menggenggam jari.
‘Asyraf
tahu apa yang patut Asyraf lakukan!’
Desis Dato’ Ghazali penuh yakin.
“Assalammualaikum
warahmatullahi wabarakatuh,” Asyraf menundukkan kepalanya ke lantai pentas.
Gambar oleh : En. Azim
Datin
Khatty yang sedari tadi tersenyum panjang tiba-tiba bangun dari tempat
duduknya. ‘Apa yang Asyraf mahu lakukan?’ hatinya berdebar-debar. Khuatir...
“Datin
Azira, Tengku Amalin, Datin Khadijah binti Khalid yang saya hormati,” sambung
Asyraf lagi. Suaranya perlahan tetapi bibit katanya jelas kedengaran. Dia tidak
mahu dianggap biadap jika bertindak melulu tetapi dia tidak punya pilihan. Dia
perlu menyatakan haknya.“Dengan rendah diri, saya ingin berbicara...” diam
seketika.
“Saya
kira, saya bukanlah insan yang selayaknya untuk berkongsi hidup dengan Tengku
Amalin...” Dia memandang tepat wajah papanya yang sedang tersenyum bangga.
“Amalin memiliki segalanya. Dia cantik dan mampu memikat setiap mata yang
memandang...” Kali ini, matanya beralih kepada mamanya yang sudah tidak senang
duduk.
“Apa
yang Asyraf cuba katakan?” jerit Datin Khatty dari kejauhan. Semua mata
tertumpu kepadanya. Teman baik Datin Azira ini sudah berubah rupa seperti singa
betina kelaparan.
“Sekarang
bukanlah masanya untuk Asyraf berpuisi atau bermadah,” tambah Datin Khatty lagi.
“Ini
bukan drama swasta. Diam dan duduk!” arah isteri Dato' Ghazali ini kepada anak terunanya.
Asyraf
berjalan perlahan ke arah Dato’ Ghazali. Dia kira, semua orang sudah mengerti
apa yang ingin disampaikannya.
“Tunggu,
Asyraf. Apa yang ingin awak sampaikan?” Tengku Amalin segera menarik lengan
Asyraf.
Terkesima
dengan tindakan luar kawal Tengku Amalin, Asyraf menepisnya kuat. Dia
kemudiannya merenung Amalin sekilas. Diam...
“Awak
tidak sudi berkahwin dengan saya?”
Kelopak mata Tengku Amalin mula berair.
Sepanjang hidupnya, tidak pernah dia diperlakukan begitu. Mana pernah seorang
lelaki menolak ajakannya. Dia berasa begitu terhina. Hina kerana kalah kepada
seorang gadis kampung yang lebih layak dijadikan bibiknya.
Asyraf
tidak membalas kata-kata Tengku Amalin. Biarlah dia dengan jawapan yang sedia
ada...
“AWAK pun satu!” jerit Datin Khatty.
Dato’
Ghazali yang tadinya begitu ralit mengimbas kejadian malam tadi tersedar
daripada lamunan. Dia diam. Tidak mahu berlawan kata dengan isterinya yang
sedia cengil itu.
“Disebabkan
anak teruna awak, peluang saya untuk memajukan diri terbantut!” Datin Khatty
meluahkan rasa hati. Marah!!!
“Awak
sudah cukup berpengaruh,” balas Dato’ Ghazali pendek.
“Berani
awak sindir saya begitu!” Datin Khatty semakin menyinga.
“Macam
mana awak boleh berkelakuan sebegini terhadap suami awak sendiri? Sudah terlalu
banyak amalkah sehingga awak tidak takut kepada TUHAN?” Tiba-tiba, hati Dato’
Ghazali menggelegak. Isterinya yang seorang ini memang sukar diajar.
“Hmm...
kita tunggu dan lihat sahaja. Asyraf pasti menyesal dengan apa yang telah
Asyraf lakukan. Begitu juga dengan awak, Dato’ Ghazali... Pergilah masuk
meminang gadis kampung itu.” Datin Khatty menjeling tajam mata suaminya.
“Okey...
Asyraf, esok petang kita pergi rumah Natasha,” cadang Dato’ Ghazali. Tercabar
benar dia dengan ungkapan dan perlakuan isterinya itu.
Asyraf
hanya diam. Dia tidak mahu lagi mengeruhkan keadaan yang sedia keruh sejak
semalam. Wajah Natasha tiba-tiba muncul dalam kotak pemikirannya.
~bersambung~