Mencari Naurah (Bab 54)
Sunday, September 23, 2012
Novel | Mencari Naurah
‘ASYRAF... Anuar... Asyraf... Anuar? Bagaimana dengan
Afzan Helmy?’ aku tersenyum sendiri. Ketiga-tiga calon suamiku mempunyai nama
yang bermula dengan pangkal ‘A’. Nama panggilanku juga bermula dengan abjad
ini.
‘Berkebetulan sungguh...’
|
Aku menyukai Asyraf tetapi ibunya tidak mengiktiraf diriku
sebagai calon menantunya. Aku siapa? Orang kampung yang rumahnya tidak mempunyai penghawa dingin. Anuar pula
begitu serius untuk menjalinkan hubungan denganku. Ditambah dengan restu ibu
bapanya. Perhubungan yang bakal tercipta itu nampak tidak ada cacat-celanya.
Sayangnya, aku pula tidak punya rasa hati terhadap lelaki ini. Bukankah cinta
itu sama sekali tidak boleh dipaksa?
“Kalau orang itu sayang kita, dia akan buat apa sahaja untuk
kita. Berbanding kalau kita yang tergila-gilakan dia. Sesudah berumah tangga,
kita sahaja yang akan berhabis-habisan untuk dia...” kata-kata Azmar satu ketika
dahulu terngiang-ngiang di gegendang telingaku.
“Kalau kita sahaja yang berhabis-habisan, dia pula tidak ada
apa-apa... lama-lama makan hati juga. Setahun dua, mungkin kita mengalah sebab
sudah sayang. Lebih-lebih lagi perempuan, cepat sangat cair dengan lelaki.
Kalau sudah lima enam tahun kahwin dan kita sahaja yang beria, pasti akan rasa
kecewa juga...” tambah pensyarah dari Universiti Industri Selangor ini
lagi.
Benar, kahwinilah orang yang benar-benar kasihkan kita tetapi
siapa? Helmy? Mungkin sehingga ke saat ini dia belum bertemu dengan calon yang
paling sesuai dengannya. Mungkin disebabkan umur yang semakin meningkat, dia
terus menerima sesiapa sahaja di hadapannya.
Atau mungkin dia sekadar mahu merapatkan hubungan
kekeluargaan dengan adik angkatnya sendiri. Perhubungan yang sedia akrab
didekatkan lagi. Nanti, Efendy bukan sahaja menjadi anak buah dalam halakah ilmu
yang dibawanya, bahkan bakal mendapat gelaran adik ipar. Segalanya mungkin.
Bagaimana pula dengan Asyraf Daniel bin Dato’ Ghazali? Datin
Khatty secara nyata menunjukkan kebenciannya terhadap diriku. Aku mengerti...
MALAM itu, sedang aku leka melayari
internet, Asyraf menyapaku melalui alam maya.
Shinichi :
Salam. Asha, ibu saya ingin menemui Asha. Boleh?
Natasha :
Salam. Untuk apa? ☹
Shinichi :
Untuk mengenali Asha dengan lebih dekat.
Aku hanya diam…
Tidak sampai 10 saat, telefon
bimbitku tiba-tiba berdering…
"Assalammualaikum,"
ucapku tidak bermaya.
"Waalaikumussalam,"
dia menjawab. Asyraf diam sejenak.
"Boleh?"
sambungnya pendek.
"Boleh apa?" aku
menyoalnya kembali.
"Jumpa dengan mama
saya," suara Asyraf sedikit bergetar.
"Buat apa? Bukankah sudah
jumpa, dahulu???" Kisah duka lama tiba-tiba menerjah.
"Maafkan mama saya
waktu itu. Kali ini, insya-ALLAH mama sudah berubah," Asyraf cuba
membujukku.
"Boleh?" Ia
bertanya lagi.
"Hmmm…" balasku.
Aku terdiam seketika.
"Bila? Di mana?"
soalku pendek.
"Hujung minggu ni, jam
10.00 pagi. Di rumah saya. Saya akan minta Pak Alias, pemandu peribadi keluarga
saya mengambil Asha di rumah," ucap Asyraf panjang.
'Hmmm…' aku hanya mampu
mengeluh di dalam hati.
Aku sendiri ragu-ragu dengan pertemuan kilat itu. Namun,
kegusaran hatiku terjawab bila bertemu empat mata dengan mama Asyraf. Ada
sesuatu yang tersembunyi di sebaliknya. Datin Khatty sebenarnya mahu meluahkan
rasa hati yang mungkin terpendam sekian lama. Mahu menasihati si anak, khuatir
anak itu akan merajuk lalu aku telah dijadikan mangsa. Kisah duka itu berulang lagi…
Kehadiranku di rumah mewah
Datin Khatty sebenarnya sama sekali tidak dialu-alukan. Aku kira, Datin Khatty
menjemputku datang ke rumahnya sekadar mahu mengambil hati anak teruna
kesayangannya sedang hakikatnya, dia tidak sudi langsung melihat wajahku.
"Awak tidak faham apa
yang saya katakan tempoh hari?" ujar Datin Khatty apabila Asyraf hilang
dari pandangan. Aku hanya diam.
"Lupakan anak saya.
Awak dan dia tidak sepadan langsung dan saya tidak bersetuju untuk menjadikan
awak sebagai menantu saya," tambahnya lagi. Aku tetap diam. 'Lamanya
Asyraf mengambil air suam buat mamanya,' aku berbisik di dalam hati.
"Simpanlah angan-angan
awak tu. Jangan sekali-kali menggangu anak saya lagi. Dan… jangan sekali-kali
awak mengadu dengan anak saya. Awak pergi bukan disebabkan saya tetapi awak
sendiri yang tidak mahu menjalin hubungan dengannya. Awak kena sedar diri.
Jangan jatuhkan maruah awak selaku seorang wanita. Tidak perlu hendak
terhegeh-hegeh …" Datin Khatty merenungku tajam. Cukup tajam membuatkan
jantungku berdegup kencang. Aku hanya tunduk memandang lantai.
"Saya tidak halalkan
awak menjejakkan kaki ke sini lagi. Berambus dari sini!!!" Kali ini, aku
tidak dapat menahan sebak. Meskipun datangku ke sini dengan jemputan, aku
seolah-olah menjadi tetamu asing yang tidak dikehendaki kehadirannya. Tanpa
lengah, aku segera bangun dan berlalu pergi.
"Asha…" kedengaran
suara Asyraf memanggilku.
"Cepat mahu
beransur?" dia bertanya lagi. Aku memandang Datin Khatty yang sedang
tersenyum. Aku tahu, senyumnya penuh dengan kepura-puraan.
"Maaf, Asyraf. Saya
terlupa… ada urusan penting yang perlu saya bereskan," aku berdalih.
"Lor… mama baru hendak
berkenalan dengan Asha," Asyraf menghampiri mamanya. Aku memandang mereka
sekilas. Datin Khatty tetap tersenyum tanpa bicara.
"Tidak apa… saya perlu
pergi sekarang. Assalammualaikum," ujarku lantas meninggalkan Asyraf dan
mamanya terkebil-kebil sendiri.
"Kenapa tu, ma?"
soal Asyraf.
"Entahlah…" jawab
Datin Khatty pendek. Aku meninggalkan rumah besar itu dengan linangan air mata.
Hina sangatkan diriku???
‘Natasha, simpanlah angan-angan itu!’ aku berkata sendiri.
Gambar oleh : En. Azim
Asyraf dan aku umpama langit dengan bumi. Era milenium sudah mengubah persepsi
masyarakat. Agama bukanlah kriteria utama. Yang penting... wang ringgit, kuasa dan pangkat menjadi sandaran. Tanpanya,
boleh jadi gila. Benarkah boleh jadi gila? Tidak mustahil kerana orang sanggup
melakukan apa sahaja untuk mendapatkannya. Bukankah gila dinamakannya itu?
Mungkin manusia ini telah lupa kepada Qarun yang ditelan bumi
bersama harta-hartanya. Satu ketika dahulu, dia (Qarun) begitu patuh dan taat
kepada PENCIPTA tetapi kesudahannya, dia tetap tersungkur di dalam emas yang
berkilauan indah. Dia lupa kepada TUAN PUNYA yang telah menganugerahinya harta
yang tidak terkira.
Namun, kuasa TUHAN tiada siapa yang mampu menghalangnya.
Qarun akhirnya pergi dan tidak kembali. Tunggulah sehingga tiba waktu dia
dibangkitkan. Sudah tentu berasa gusar untuk menerima kitab amalan daripada
TUHAN-nya. Entah berjalan, entah berlari dan mungkin juga merangkak-rangkak.
Neraca timbangan ALLAH pasti tidak akan silap. Yang taat
dengan riang menuju ke syurga dan nantikanlah azab yang dijanjikan ALLAH buat
mereka yang ingkar lagi derhaka. Saat itu, barulah dia menyedari kesilapannya.
Segala apa yang dimiliki bukanlah miliknya yang hakiki dan bukan juga
segalanya.
Hari ini, terdapat banyak Qarun yang semakin lupa diri. Dia
berkejar-kejar ke sana ke mari dan tiada tanda mahu berhenti. ‘BERHENTI! Ada
batu di hadapan!’ Biarkan... biarkan. Lalu dia jatuh terduduk dek batu yang
menghalang. ‘Mesti kuat! Ayuh, bangkit kembali.’ Batu yang menjadi wasilah
peringatan ALLAH itu dibiarkan ke tepi. Dia terus berlari bahkan semakin laju
untuk sampai ke destinasi. Sekejap dia memecut dan sekejap dia berlari anak.
Nah, akhirnya yang dicita-citakan sudah berada di dalam
tangan. Bukankah usaha itu tangga kejayaan dan tidak akan cemerlang orang yang
tidak pernah menempuhi kegagalan. Segalanya kini mampu dimiliki.
Kalau dahulu dia bukanlah siapa-siapa tetapi tidak kini.
Siapa tidak kenal Polan bin Polan? Harta yang melimpah menyebabkan kekuasaan
berada pada telapak tangannya. Dia semakin hanyut dan terus menjauh. Tidak tahu
ke mana mahu pergi...
Tiba-tiba, jantungnya berhenti berdenyut. Badannya
menggeletar kesejukan. Selimut yang baru dibeli di kota metropolitan, New York
tidak dapat mengurangkan rasa sejuk tubuhnya. Ah... dia mungkin terlupa mencari
alat yang boleh memanjangkan umur manusia. Dia mahu hidup seribu tahun lagi tetapi
alat yang paling asas itu tidak ditemuinya.
‘Aku mahu hidup lagi! Masih ada yang belum selesai!!’
Dia mahu membina sebuah mahligai indah. Manusia ini mahu
hidup di dalamnya bersama insan-insan yang dikasihi. Segala penat lelah selama
ini akhirnya membuahkan hasil dan dia mahu mengecapinya.
Aku tersedar dari lamunanku apabila terdengar bunyi SMS masuk
dari telefon bimbitku.
Kak Sha,
doakan Dilla. Peperiksaan akhir.
Aku segera membalas
SMS dari Adilla.
Insya-ALLAH,
adik akak mampu buat. Akak yakin. Doa akak dan mak sentiasa dekat buat Dilla
tersayang.
Mak... wajah mak dan Datin Khatty muncul bersilih-ganti.
Mereka sama-sama bergelar ibu. Ibu yang dikurniakan rasa kasih di dalam hatinya
oleh ALLAH SWT. Akan tetapi, rasa kasih itu tidak hadir di dalam hati Datin
Khatty. Memanglah, aku bukan anak yang dikandungnya. Begitu ketara dia
menunjukkan kebenciannya terhadapku. Dia mengusirku dalam diam. Dia mahu aku
pergi jauh dan tidak kembali...
Air mataku menitis sayu. Siapalah aku jika mahu dibandingkan
dengan Tengku Amalin, calon menantu kesayangan Datin Khatty. Aku mula berasa
rendah diri.
‘Salahkah aku kerana dilahirkan tanpa binti seorang dato’?’
aku menyoal diriku sendiri.
Benar, makku bukanlah seorang yang berpangkat bahkan bukan siapa-siapa.
Orang kampung hanya mengenalinya dengan nama Mek Jarah. Arwah ayahku pula belum
sempat mendapat gelaran datuk sebelum ajal menjemputnya. Aku redha dengan
ketetapan ILAHI, namun hati kecilku tetap berasa sayu apabila terkenangkan
penghinaan yang dilemparkan terhadap insan mulia yang telah membesarkanku.
“Jauh termenung. Ingatkan siapa?” Azmar menyapaku lembut.
“Tak ada ingat sesiapa pun,” jawabku pendek.
“Aik! Asha menangis?” Dahi Azmir dikerutkan.
“Tak adalah. Mata masuk habuk tadi,” kataku sambil tersenyum.
Bukan! Aku yang memaksa diriku mengukir senyum. Senyuman paling manis buatnya.
“Betul sangatlah. Mar hendak keluar sekejap. Apa-apa hal,
Asha mesej.” Azmar segera berjalan ke arah pintu yang terkatup rapat.
“Jaga diri,” jeritku perlahan.
“Asha pun sama. Jadi diri baik-baik,” Azmir diam sejenak.
“Jangan banyak berangan. Nanti cepat berkedut,” Azmir
mengenyitkan matanya lalu meninggalkanku. Mujur Azmar tidak banyak bertanya.
Penting agaknya sampaikan tidak punya masa untuk bersoal-siasat denganku
seperti biasa.
“Kalau staf baru di pejabat Asha hantar SMS, sampaikan salam
padanya,” Azmar yang tadinya sudah tidak kelihatan tiba-tiba muncul dari celah
jendela yang terbuka separuh.
“Aik, tak pergi lagi ke?” Aku berjalan perlahan ke muka
pintu. Pintu yang telah ditutup Azmar kubuka perlahan.
“Tidak. Ingatkan
dia dah sampai,” suaranya sedikit kendur. Kecewa agaknya. Insan yang
ditunggu-tunggu belum kunjung tiba. Bukankah penantian itu adalah satu
penyeksaan? Matanya tidak berkelip memandang jalan raya yang baru ditar di
hadapan rumah kami.
“Ada temu janji
dengan seseorang, ya?” aku cuba sserkap
jarang.
Azmir ketawa.
“Biarlah rahsia,” Dia hanya mengenyitkan matanya sambil mengalunkan lagu
nyanyian Datuk Siti Nurhaliza.
“Eh, itu pun dia.
Jangan lupa kirim salam pada Anuar.”
Mimpi apa pula
sahabatku yang seorang ini? Tiba-tiba menyebut nama Anuar. Ah, biarkanlah.
Biarkan?
Bayangan Anuar
pula menjelma. Azmar telah menyebabkan aku kembali teringatkan Anuar. Gayanya,
lagaknya, percakapannya tidak ubah macam Yang Berhormat. Senyumannya terus
menghantui diriku.
Dia semakin dekat
dan mendekat. ‘Astaghfirullah... adakah Khairul Anuar bin Dato’ Baharin ini
telah dicipta TUHAN untukku?’
Ah, aku buntu. Aku
bukanlah gadis sempurna yang menjadi dambaan setiap lelaki. Aku tidak seperti
Fahri yang digilai Aisya, Maria, Nurul dan Nourell. Sama sekali aku tidak layak!
‘Macamlah aku ini
baik sangat,’ ungkapku sendiri. Entah berapa kali aku berkata-kata sendiri.
Jangan jadi gila, sudah! Aku merenung kembali. ALLAH telah mengujiku dengan
kehadiran tiga teruna yang mengharapkan secebis kasihku. Bukan kerana aku
comel, bukan juga kerana aku berilmu tetapi mungkin kerana mahu menilai tahap
keimananku. Mampukah aku melepasinya?
Entahlah... aku
tidak sekuat Kak Rose yang begitu positif dalam perihal cinta dan perkahwinan.
Dia tidak pernah berasa gusar tatkala mendepani persoalan hati dan perasaan.
Kak Rose tidak pernah meletakkan syarat yang ketat buat bakal suaminya. Asal
lelaki itu seorang teruna yang beriman kepada ALLAH, sudah mampu membuka pintu
hati Kak Rose kepadanya.
Bakal pensyarah
ini juga berpendapat, perihal hati, perasaan dan cinta adalah persoalan nombor
dua. Walaupun tidak menafikan kepentingan aspek penerimaan dalam sesebuah
hubungan, Kak Rose tidak mahu menjadikannya sebagai batu penghalang dalam
mengejar cinta yang hakiki. Dia
pernah dan masih mencintai Asyraf. Namun, Kak Rose tidak mahu rasa cinta itu
membuatkan dia jatuh tersungkur daripada mencapai matlamat yang sebenarnya.
Bukankah hanya kehidupan akhirat yang kekal abadi? Sesungguhnya, mengasingkan
diri dalam tangisan kekecewaan sama sekali tidak dapat membantu!
Bilal sendiri
sudah kedengaran sepatunya di dalam syurga ALLAH. Jadi, adakah menjadi satu
keutamaan untuk meletakkan persoalan hati di tempat yang paling atas dalam
mencari cinta? Sedangkan cinta yang sejati dan hakiki itu hanyalah daripada
ALLAH yang satu. Bila ALLAH telah dicintai sepenuh hati, yakinlah bahawa ada
makhluk lain yang akan mencintai diri kita seluruh jiwa dan raganya. Menurut
Kak Rose lagi, apa-apa yang nampak cantik pada matanya boleh jadi tidak elok
pada pandangan TUHAN. Maka, dia pasrah menanti segala ketetapan-NYA.
Argh!!! Aku malu
sendiri. Kak Rose telah lulus dalam tarbiah yang diterimanya. Dia sentiasa tenang dan tidak terburu-buru.
Aku pun hairan. Macam mana Asyraf dan Anuar tidak nampak permata yang sudah
berada di hadapan mata? Mungkin ALLAH mahu memelihara Kak Rose dan mungkin juga
ujian yang diterimanya bukan dari sisi hatinya yang murni. Bukankah ALLAH itu lebih tahu akan makhluk
ciptaan-NYA? Semuanya sudah berada dalam genggaman.
~bersambung~