Mencari Naurah (Bab 52)

Novel | Mencari Naurah


TIGA bulan telah berlalu dan aku masih sendiri. Malam semalam, aku menerima kiriman e-mel daripada Efendy yang sudah berada di Mesir. Dia menantikan jawapan daripadaku. Aku sendiri tidak tahu sebenarnya. Meskipun telah mengosongkan hatiku daripada rasa cinta terhadap makhluk ALLAH, masih sukar untuk menemui jalan. Mungkin bintik hitam di dalam jiwaku terlalu banyak sehingga tidak mampu membenarkan cahaya memasukinya.
Anuar? Masih kekal sebagai Anuar yang pernah aku kenali satu ketika dahulu. Tidak ada erti putus asa mahupun kecewa dalam kamus hidupnya. Keazaman dan keyakinannya begitu tinggi. Bukan itu sahaja bahkan dia terlalu optimis terhadap masa depannya untuk hidup bersamaku. Entahlah...

Bulan sudah dia menghadiahi aku sebuah buku tulisan Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj. Buku yang bertajuk Membina Imaginasi Cemerlang itu banyak mengemukakan tip-tip serta panduan untuk menjadi seorang yang cemerlang, tidak kira dalam apa jua lapangan. Anuar tahu aku minat menulis. Katanya, dia mahu aku menjadi seorang penulis yang terbilang! Entahkan jujur entahkan tidak ungkapannya. Atau sekadar mahu mengambil hati.

‘Anuar, Anuar...’  Aku sendiri tidak pasti di manakah letaknya keegoan lelaki ini? Sejak berada di dalam kampus, dia cuba menarik perhatianku. Sejak itu jugalah aku buat tidak endah atas kehadirannya. Paling nyata... aku sama sekali tidak pernah mempamerkan penghargaanku terhadapnya. Bukan mudah sebenarnya untuk setia. Bukan mudah juga untuk menjadi penunggu kepada cinta. Boleh jadi cinta yang dikejar-kejar tidak akan kesampaian. Sesungguhnya, cinta yang tidak bermata itu sentiasa membutakan hati-hati manusia. Menjadikannya angau dan tidak keruan.

‘Adakah ini yang dinamakan cinta yang sebenarnya?’

Asyraf??? Hmmm.. Anak tunggal Datin Khatty ini ada mengirimkan e-mel buatku. Dia memohon maaf atas apa yang telah dilakukan mamanya. Katanya lagi, dia tetap mahu melamarku sebagai suri di hatinya. Tengku Amalin bukanlah individu yang sesuai  untuk dijadikan isteri. Isteri yang bakal melahirkan zuriat buatnya. Isteri yang akan sama-sama membantunya mengejar syurga ALLAH yang kekal abadi. Aku hanya membisu. Tidak tahu apa yang harus aku perkatakan.

Namun pasti! Mamanya tidak menyukaiku. Aku dan anak Dato’ Ghazali ini bolehlah diumpamakan sebagai langit dengan bumi. Bukan itu sahaja bahkan dapat disamakan seperti pipit dan enggan. Mana mungkin boleh bersatu. Akan tampak kecacatan dan ketidak elokannya. Benarkah kata-kata Amalin? Aku selayaknya menjadi bibik buat dirinya dan juga Asyraf. Hmm...

‘Adakah ini juga yang dinamakan sebagai cinta yang sebenarnya?’

Bagaimana pula dengan Afzan Helmy? Dia memiliki peribadi yang baik. Tambahan lagi, senior adik lelakiku ini turut berasal dari tempat kelahiranku, Kelantan. Pasti tidak akan menimbulkan masalah tatkala tiba musim perayaan. Kelebihan Helmy terletak kepada statusnya sebagai seorang al-hafiz. Subhanallah, dia berjaya mengingati 30 juzuk al-Quran, sedang aku? Juz Amma pun masih merangkak-rangkak. Bukankah satu penghormatan kepadaku apabila bersuamikan dia?

Aku masih buntu dan keliru...

‘Ya, ALLAH. Berilah aku petunjuk dan jalan kerana sesungguhnya aku tidak tahu...’

“ASHA, boleh tak kalau mak dan ayah saya hendak jenguk keluarga Asha?” tanya Anuar sewaktu aku sedang bersiap-siap untuk pulang.

‘Aku memandangnya sekilas, “Nak buat apa datang rumah saya?”

“Tidak ada apa-apa. Lawatan sambil belajar sahaja,” jawab Anuar ringkas. Matanya yang kuyu menggambarkan pengharapannya.

“Rasanya tidak sesuai. Nanti apa orang kata,” aku membantah lembut. Khuatir akan terjalin perhubungan dan aku belum bersedia dengannya.

“Alahai, bukan ada apa-apa pun. Sekadar mahu berziarah. Lagipun, mak dan ayah saya ingin melancong ke Kota Bharu. Sudah bosan melawati negara asing sedang negara sendiri turut punya khazanahnya yang tersendiri,” Anuar sedikit mendesak. 

“Boleh beri alamat penuh?” soalnya tanpa menanti persetujuanku. Kediktatorannya terserlah.

“Tetap tidak boleh!!!”

Kelihatan wajah Anuar berkerut. Mungkin terkejut dengan reaksi luar kawalku. Mana pernah kutinggikan suaraku sebelum ini. Lidahnya tiba-tiba kelu. Mukanya berubah warna. Mungkin kerana malu dengan tindakanku...

‘Ah, Anuar mana tahu erti malu,’ bisik hatiku. “Maaf, Anuar. Saya tidak boleh izinkan keluarga awak datang,” ujarku dalam intonasi yang lebih lembut. Aku ingin meneutralkan suasana yang semakin tegang. Dia masih lagi diam.

“Rumah saya tidak ada penghawa dingin. Mak saya kerja kampung. Saya bukan orang senang,” aku memberi alasan yang kukira munasabah. Teringat kata-kata nista Datin Khatty terhadap keluargaku. Mana mungkin aku lupa.

“Tentang itu, Asha tidak perlu risau. Mak dan ayah saya pun berasal dari kampung. Memang saya tidak pernah merasai kesusahan hidup tetapi ayah selalu bercerita tentang keperitan hidupnya sebelum sampai ke tahap ini...” Anuar memandangku sekilas kemudian tunduk ke lantai kembali.

“Ayah saya pernah ditipu oleh orang yang paling dekat dengannya. Mak juga pernah menggadai barang kemasnya untuk menebus tanah kami yang dilelong.” Dia berterus-terang. Suaranya mendatar.

Timbul rasa bersalah terhadap dirinya. Anuar begitu bersungguh-sungguh. Sejak menuntut di kampus sehinggalah setelah berkerjaya, Anuar tetap berusaha keras menambat hatiku. Ya! Tanpa kenal erti putus asa.

“Baiklah. Malam ini saya mesej awak jawapannya...” ungkapanku sedikit sebanyak memberi harapan kepadanya. Sebenarnya, aku agak buntu untuk memberi kata putus petang ini. Lebih-lebih lagi, aku sudah berjanji dengan Azmar untuk menikmati hidangan KFC bersama-sama. “Saya akan maklumkan sama ada jawapannya positif atau negatif,” sambungku lagi.

“Baik, Asha. Saya tunggu...”

Aku segera berjalan ke lif. Jam sudah menunjukkan pukul 6.30 petang. Aku pasti Azmar sudah menantiku. Kami berjanji untuk bertemu di hadapan Maybank  Sogo. Temanku ini sememangnya seorang yang sentiasa menepati masa serta begitu menitik-beratkan persoalan waktu. Macam Anuar.

Cuma sayang, solat tidak pula diberi perhatian. Aku sering melihatnya sembahyang pada akhir waktu. “Boleh terus sembahyang isyak,” kata Azmir tanpa berselindung. Aku pun sudah tidak tahu bagaimana hendak menasihatinya.

Walaupun kelihatan agak B.L.U.R.U.L (brutal dan blur), dia sebenarnya memiliki hati yang baik serta sanggup berkorban untuk orang lain. BLURUL? ‘Apa punya istilah daa?’ aku tersenyum sendiri.

Harap-harap Dewan Bahasa dan Pustaka tidak mengenakan tindakan tatatertib terhadapaku kerana dengan sengaja telah merosakkan bahasa ibunda.

‘Ah, istilah kecapaian pun boleh diguna pakai dalam tema hari kemerdekaan,’ aku masih mahu menegakkan benang yang basah.

Abaikan persoalan bahasa. Aku sudah mendapat A1 dalam subjek Bahasa Melayu, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Diri teman akrabku ini kurenungi...

Ya! Azmar juga bijak menyusun kata dalam memberi nasihat. Kadang-kadang, mengalahkan Ustazah Siti Bahiyah. Akan tetapi, dia selalu melengahkan solatnya sedangkan ALLAH pernah berfirman bahawasanya orang Mukmin itu merupakan orang yang memelihara solatnya.

Moga-moga, ALLAH akan memilihnya menjadi hamba yang taat dan patuh terhadap perintah-NYA. Aku hanya mampu mengajak tetapi ALLAH-lah yang menentukan sama ada dia mahu mengikuti ajakanku atau sebaliknya.

Sedangkan Nabi junjungan tidak dapat membawa orang yang paling dikasihinya kepada Islam, aku apatah lagi. Aku hanya mampu mengajak dan berseru. Hidayah itu hanya daripada ALLAH yang Maha Besar lagi Adil. Sebagimana firman-NYA dalam surah an-Nahl ayat 82 yang bermaksud, ‘Jika mereka tetap berpaling, maka sesungguhnya kewajiban yang dibebankan ke atasmu (Muhammad) hanyalah menyampaikan (amanat ALLAH) dengan terang.’

“Lambat lima minit,” Azmar berpura-pura marah. Dalam senyum, dia memuncung panjang.

“Assalammualaikum. Maaf, Mar. Ada masalah teknikal di pejabat tadi. Baru hendak gerak, telah dihalang seseorang yang sudah diketahui umum banyak songehnya.” Aku menjelaskan. Aku yakin Azmar akan faham.

“Ooo... Alasan yang munasabah. Jadi, kelewatan dimaafkan. Budak baru hari tu ke?” Dahi Azmar berkerut. Sememangnya, pensyarah muda ini amat mudah untuk berlapang dada. Meskipun tidak mendapat tarbiah dari mana-mana halakah ilmu, cara dia bertindak seolah-olah telah diasuh dengan ilmu agama yang mantap.

‘Tolak bab solatlah,’ omelku sendiri.

“Baru? Oh, tidak! Sudah beberapa bulan jadi staf baru... Siapa lagi kalau bukan si Anuar, senior sewaktu di UM dahulu.” Aku menjawab tanpa berselindung. Gadis yang sedang berdiri di hadapanku ini sewajarnya boleh dipercayai.

“Apa dia mahu?” Azmar memandangku sekilas. Kemudian, kami sama-sama berjalan ke medan selera dalam Sogo.

“Dia hendak bawa ibu bapanya jumpa mak Asha di kampung.”

“Hmm... satu perkembangan yang baik. Memang serius budak itu.” Azmar mengemukakan pandangannya.

“Asha tidak izinkan. Asha tidak bersedia. Lagipun, tidak terdetik sebarang perasaan kepadanya. Rasa biasa-biasa sahaja.” Aku berterus-terang.

“Asha...” Azmar diam sejenak. 

“Yang penting, ada orang sayang kita. Sebagai perempuan, sebaik-baiknya carilah orang yang betul-betul cinta kita. Sebab...”

Aku lihat mukanya berkerut memikirkan sesuatu.

“Kalau orang itu sayang kita, dia akan buat apa sahaja untuk kita. Berbanding kalau kita yang tergila-gilakan dia. Sesudah berumah tangga, kita sahaja yang akan berhabis-habisan untuk dia...” kata-kata Azmar terhenti apabila kami sudah berdiri di hadapan kaunter menjual makanan.

“Nasi ayam cendawan, dua. Tidak mahu telur,” pesan Azmar kepada seorang gadis yang mengenakan tudung putih di kepala itu.

“Makan nasi ayam cendawan juga?” soalku ragu-ragu. Bukankah Azmar lebih menggemari mee kari?

Azmar ketawa. “Hendak ubah cita rasa. Sekali-sekala,” balasnya ringkas.

Kemudian dia menyambung kembali kata-katanya yang terhenti seketika tadi. “Kalau kita sahaja yang berhabis-habisan, dia pula tidak ada apa-apa... lama-lama makan hati juga. Setahun dua, mungkin kita mengalah sebab sudah sayang. Lebih-lebih lagi perempuan, cepat sangat cair dengan lelaki. Kalau sudah lima enam tahun kahwin dan kita sahaja yang beria, pasti akan rasa kecewa juga,” katanya lagi.

“Jadi, apa pandangan, Mar?” aku bertanya. Semacam seorang adik sedang mengemukakan permasalahan kepada kakaknya.

“Jumpa, tunggu dan lihat...” jawab Azmar pendek tetapi tersirat maksud yang mendalam.

Allahu Akbar Allahu Akbar...

Kedengaran azan berkumandang dari telefon bimbitku. Inilah masanya aku mengajak Azmar sembahyang awal bersama. ‘Alamak, aku uzur daa...’ aku memuncungkan mulut.

“Lepas makan, Azmar solat dululah. Asha tunggu di sini. Asha cuti hari ini,” kataku.

“Samalah kita...” balasnya sambil tersenyum.

Tiba-tiba terdengar bunyi SMS.  Aku segera mencari telefon bimbitku. Alamak... mesej dari Anuar.

Salam. Apa macam? Boleh ibu bapa saya jumpa keluarga Asha?

Aku membalasnya...

Orang panggil mak Mek Jarah. Kampung dekat dengan Kota Bharu, Kampung Kedai Lalat. Cari SK Kedai Lalat. Rumah berhadapan dengan sekolah.

Aku segera mematikan telefon bimbitku...

~bersambung~
0 Responses