Mencari Naurah (Bab 53)

Novel | Mencari Naurah


“SIAPA hendak datang petang ini, Sha? Mahu merisik ke?” Risau benar mak tatkala aku memaklumkan bahawa ada orang hendak datang bertandang.

“Bukan merisik, mak. Kebetulan mereka sekeluarga melancong ke Kota Bharu. Singgahlah ke sini sekejap,” aku menjelaskan sambil tersenyum.

“Hmm... datang jauh-jauh untuk singgah sahaja? Tidak pernah dibuat orang.” Mak berterus-terang.

“Alah, mak. Mak tak perlu risau. Betul, mak. Mereka hendak datang berziarah sahaja. Tidak salah, bukan? Jadi, kita anggap macam ada saudara dari jauh datang bertandang...” aku memujuk mak. Tidak terkecuali hatiku sendiri. Perlu juga dipujuk dan ditenangkan.

“Kecut perut juga mak dibuatnya. Orang berpangkat, bukan?” wajah mak sedikit pucat. Terlalu risau agaknya.

“Kawan Asha. Namanya Anuar. Ayahnya pula Dato’ Baharin. Nanti, mak bolehlah panggil dato’,” ujarku serba salah. Pasti mak berasa kurang selesa dengan kehadiran orang besar ke teratak buruk kami. Hal ini sedikit sebanyak mengingatkan aku kepada Datin Khatty yang beria-ia mahu aku memanggilnya dengan gelaran datin.

“Huh... macam manalah hendak melayan mereka? Selesakah mereka nanti? Sudahlah kipas rosak. Kerusi pula bertampal-tampal. Mereka pasti tidak biasa dengan keadaan sebegini, Sha.” Mak nampaknya semakin menggelabah. Yang datang ke rumah kami bukanlah calang-calang orang. Dato’ Baharin merupakan tokoh korporat yang cukup disegani.

“Asha tolong mak pergi kedai Pok Nal dan belikan ayam seekor. Kemudian, cari daun limau purut dan serai di belakang rumah. Minta Pok Piji dapatkan. Nanti bila lalu kat gerai Milah, belilah kek dan kuih dalam empat lima ringgit. Kita sediakan apa-apa yang patut.” Mak sedikit mengarah.

Hatiku sebak melihat reaksi mak yang nampak tidak keruan. Betul kata Datin Khatty. Aku dan Asyraf umpama langit dengan bumi.

“Asha boleh ambil duit hasil jualan nasi minyak yang mak letak bawah bantal bilik tidur. Baru semalam Pak Samad bayar dalam RM20. Ayam dalam RM10. Kuih dan kek dalam RM5. Cukup, cukup. Lebih daripada cukup tu... Belikan juga Milo paket kecil dalam RM5.00. Cukup-cukup. Kalau tidak cukup, Asha guna duit Asha dahulu,” tambahnya lagi.

Aku terkedu. “Tak apa, mak. Kita sediakan sahaja apa yang ada. Duit mak dapat semalam, boleh simpan. Manalah tahu tiba-tiba Dilla dan Ady hendak pakai duit,” aku mencadangkan.

Tiba-tiba kedengaran bunyi SMS dari telefon bimbitku.

Salam. Maaf, Asha. Rupanya, ibu bapa saya akan berangkat ke Kuala Lumpur jam 2.00 petang ini. Boleh kami berziarah sekarang? Lagipun saya sudah berada di Kampung Kedai Lalat...

Hah! Anuar sudah berada di kampungku?

Tidak bersiap apa-apa lagi. Cuma ada kek yang saya buat malam tadi.

Aku perlu berterus-terang. Khuatir dia terkejut dan terkedu tatkala menjejakkan kaki ke rumahku.

Tidak apa. Lagipun, kami sudah bersarapan di hotel tadi. Kami sekarang sedang mencari SK Kedai Lalat...

“Mak, dato’ sudah dalam perjalanan ke rumah kita. Mak salinlah baju dahulu. Biar Asha buatkan air dan potong kek,” aku memberitahu mak.

Mak yang tadinya sedang menyapu sampah terhenti kerjanya. “Kata hendak datang petang?” Mak bingkas meletakkan penyapu di belakang pintu dan segera masuk ke dalam bilik.

“Tiket kapal terbang mereka pukul 2.00 petang ini,” jeritku dari luar bilik. Entah mak dengar ataupun tidak. Cepat-cepat aku melangkah ke dapur. Sambil membuat teh, bibirku tidak henti-henti berselawat ke atas Nabi. Moga-moga hatiku akan kembali tenang.

“Assalammualaikum.”

Kedengaran satu suara dari luar rumah. Macam kenal. Aku membatukan diri di dapur. Mengharapkan mak menyambut tetamu yang datang dari jauh.

“Waalaikumussalam. Masuklah, Dato’, Datin...” Mujur mak tidak membiarkan tetamu berdiri lama di luar rumah.

“Panggil Baharin sahaja, kak. Yang ini isteri saya, Kamariah dan anak teruna kami, Anuar,” bapa Anuar memperkenalkan diri.

“Masuk dahulu, masuk dahulu. Maaflah. Rumah tidak seberapa,” mak merendah diri.
“Kak Jarah, bukan?” Datin Kamariah bertanya mesra.

“Ya. Mak kepada Natasha...” Mak diam sejenak sambil menjenguk-jenguk ke arah dapur.

“Asha, keluarlah. Tetamu sudah sampai,” panggilnya.

Aku pun berjalan perlahan ke ruang tamu. Setelah meletakkan dulang di atas meja, aku menghampiri ibu Anuar lalu bersalaman dengannya.

“Datin apa khabar?” Terasa bibirku terketar-ketar. Maklumlah, penghinaan mama Asyraf tempoh hari sedikit sebanyak membuatkan aku menjadi trauma dan tidak senang hati untuk bertemu dengan mereka yang berpangkat. Tidak kira dato’ mahupun datin. Tan Sri ataupun Puan Sri.

“Panggil sahaja Aunty Yah. Hendak panggil Mama Yah pun tak apa,” Datin Kamariah ketawa kecil. Begitu juga dengan Anuar dan Dato’ Baharin. Mereka turut sama ketawa. Hanya mak yang kelihatan  seolah-olah tidak mendengar apa-apa. Ada baiknya begitu.

“Sambil melancong dalam negeri, sambil ziarah-menziarahi. Berkebetulan, temannya si Anuar berasal dari sini. Sambil menyelam, kita minum air. Dapat juga merapatkan hubungan,” Dato’ Baharin berbasa-basi. Dia memandang Anuar sekilas. Kemudian, menatap wajah mak yang sudah berkerut. Tidak lama. Dia kembali merenung isterinya yang duduk di sebelahnya.

‘Pasangan yang romantik,’ bisik hati kecilku.

“Oh, begitu. Risau juga Kak Jarah dibuatnya. Ingatkan, ada orang hendak datang merisik. Maklumlah, anak dara Kak Jarah ini pun bukannya muda lagi.” Mak berterus-terang. Sememangnya mak tidak pandai berselindung. Berkias-kias apatah lagi. Membikin wajahku berubah warna sahaja.

“Memang hendak datang merisik pun, mak cik. Tetapi, anak dara mak cik sahaja yang tidak izinkan,” Anuar menyampuk. Mereka semua ketawa terbahak-bahak. Mak juga tidak terkecuali.

Aku memandang Anuar tajam. Anuar mengenyitkan matanya ke arahku.

‘Hisy... sudah beri betis, dia ambil peha pula,’ omelku sendiri. Aku memuncungkan mulutku ke arahnya tanda protes. 

“Dato’, Datin...” ujarku perlahan.

“Bukankah Aunty sudah cakap, jangan panggil macam itu. Itu hanya gelaran. Kami tidak guna melainkan sewaktu upacara rasmi,” sampuk Datin Kamariah.

“Baik, aunty. Saya ke dapur dahulu. Siapkan makan tengah hari. Bolehlah makan di sini sebelum pulang ke Kuala Lumpur.” Jauh di sudut hati, aku sebenarnya mahu melarikan diri daripada Anuar yang tidak lepas memandangku. Walaupun sekejap-sekejap, tetap membuat jiwaku haru-biru.

“Tidak apa. Asha duduklah bersama-sama kami. Lagipun, aunty dan uncle hendak mengenali Asha dengan lebih dekat. Manalah tahu. Satu hari nanti kita berbesan, Kak Jarah,” Datin Kamariah memandang mak yang sedang tersenyum lebar. Terkesan dengan kata-kata datin ini agaknya. Mak hanya mengangguk.

Aku pula yang tadinya sudah berdiri, duduk kembali di sebelah mak.

Diam... aku hanya menjadi pendengar setia. Apabila ditanya sepatah, baru aku menjawab. Lagipun, mak pernah berpesan agar tidak menyampuk perbualan orang tua. Aku tidak ramah seperti Anuar yang begitu asyik berbual mesra dengan makku. Dia kulihat sama naik dengan ibu dan ayahnya. Kadang-kadang, mereka ketawa terbahak-bahak seperti ada sesuatu yang begitu menggelikan hati. Kadang-kadang, mereka nampak serius. Biarlah,  aku tidak mahu ambil pusing.

“Bila Asha nak balik ke Kuala Lumpur?” Dato Baharin memandangku mesra. Lagak seorang bapa yang begitu prihatin terhadap anak gadisnya.

“Malam ini, insya-ALLAH,” jawabku pendek sambil tersenyum.

“Memandu sendiri ke?” Datin Kamariah kelihatan terkejut.

“Mana boleh. Anak dara saya boleh bawa kereta dalam kawasan masjid sahaja. Belum dapat lesen lagi.” Mak tiba-tiba menyampuk.

Aku tersenyum malu. Argh!!! Anuar ketawa terbahak-bahak sehingga merah telinganya.

“Jaga diri baik-baik, Asha. Sekarang, bukan boleh percaya. Ada baca surat khabar tentang pelajar UKM yang hampir dirogol? Kecut perut aunty mengetahuinya,” pesan Datin Kamariah ramah. Membuatkan tanggapan negatifku terhadap golongan atasan ini meleset sama sekali. Tidak semua dato’ dan datin suka meninggi diri.

“Insya-ALLAH. Terima kasih, aunty,” ucapku.

Mereka terus berbual. Tidak tahu bilakah masanya mahu berhenti. Aku lihat, wajah mak sungguh ceria. Aku tumpang bahagia...

Mak mengiringi pemergian Dato' Baharin sekeluarga dengan senyum panjang. Selepas mereka hilang dari pandangan, mak memandangku lama.

"Baik budi bahasa budak tu," ujar mak perlahan.

"Pandai ambil hati orang tua," tambah mak lagi. Aku hanya tersenyum yang dibuat-buat. Walaupun mengakui kebenaran kata-kata mak, hatiku begitu berat untuk memuji Anuar.

"Ibu dan ayahnya juga begitu merendah diri," mak terdiam sejenak.

"Kalau dialah calon menantu mak, mak setuju sangat-sangat, Sha." Nah! Kata-kata mak membuatkan lidahku kelu. Calon menantu? Aku sendiri tidak tahu.

~bersambung~
0 Responses