Pahit sebuah perpisahan
Wednesday, August 29, 2012
Assalammualaikum. Apa macam? Sudah berjaya kembalikan mood bekerja setelah agak lama bercuti? Payah juga kan. Teringat pula dengan petikan kegemaran Muthiah satu ketika dahulu...
'Jika kamu ingin merasa betapa manisnya berhubung dengan TUHAN-mu, maka engkau harus garang terhadap dirimu. Bilamana engkau telah merasai kemanisan perhubungan itu, tahulah engkau betapa pahitnya apabila berpisah dengan DIA.'
Muhammad bin Abdullah as-Syibli.
Muthiah suka mengambil contoh begini. Kita mahu akrab dengan ALLAH. Kita mahu jadi kekasih ALLAH. Hukhuk... teringat nama pena Muthiah ketika muda-muda dahulu (Muthiah Habibatullah). Maka, kita buat apa sahaja untuk menghampirkan diri kepada ALLAH.
Apa yang mendekatkan kita pada ALLAH? Tanyakan pada diri, jawablah dalam hati...
- solat pada awal waktu? - Kerja banyak tetapi kita mahu akrab dengan ALLAH. Maka, yuk solat dahulu. Kita luangkan masa untuk ALLAH, insya-ALLAH DIA ada mempermudah segala urusan kita. YAKIN!
- solat tahajud? - Aduh, mengantuknya tetapi... ya! Aku mahu jadi kekasih ALLAH. Bangun, wahai diri. Aku mesti buat!
- puasa sunat? - Puasa Nabi Daud jom. Apabila perut lapar... mata, mulut dan telinga, boleh jadi dapat dijaga. Lagipun, dengan berpuasa dapat mengawal nafsu.
- membaca al-Quran? - Kalau Polan binti Polan boleh baca 1 muka surat sehari... aku mahu jadi lebih baik daripadanya. Maka, aku baca 1 juz sehari. Caiyok!
- berinfaq ke jalan ALLAH?
- _______________
- _______________
- _______________ (maknanya banyak perkara yang boleh dibuat untuk mendekatkan diri dengan ALLAH)
Matlamat kita satu. Kita lakukan semua ini untuk mendekat dengan ALLAH. Kita mahu menikmati kemanisan iman. Kita hendak mengecapi rasa 'zuk' berhubung dengan TUHAN. Kita bukan setakat mahu tahu yang ALLAH maha hampir tetapi kita ingin merasai adanya DIA di sisi kita (padahal ALLAH memang ada... sangat dekat... lebih hampir daripada urat merih kita sendiri).
Apabila DIA dekat, membuatkan kita takut untuk bermaksiat kepada-NYA. Kita bekerja keras melakukan kebaikan secara berterusan. ALLAH suka dengan hamba-NYA yang sabar. Maka kita pun mendidik diri menjadi insan yang sabar. ALLAH suka kita berlapang dada dan mudah memberi kemaafan. Maka, kita cuba untuk membuat apa yang ALLAH suka.
ALLAH suka... ALLAH suka... ALLAH suka...
Kita buat... kita buat... kita buat...
Kerana apa? Kerana ALLAH...
Dan sekiranya kita tersalah langkah, kita cepat kembali. Kita percaya. Hati yang dekat dengan ILAH akan tidak tenteram dengan dosa yang dilakukan. Tidak tenang? Kita koreksi diri. Di manakah silap kita? Ya, jumpa! Tanpa bertangguh, kita terus bertaubat, menyesali keterlanjuran yang telah kita lakukan.
Sesungguhnya, ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
Kita buat...
kita paksa diri...
kita berusaha keras untuk itu...
Segalanya untuk dan kerana ALLAH.
Akhirnya...
Kemanisan iman yang dicari dapat kita rasai. Kita bahagia dalam melakukan ketaatan kepada RAB. Kita tenang dalam mengabdikan diri pada-NYA. Kedekatan ini membuatkan kita selalu menghisab diri. Hasilnya, wujud satu rasa yang tidak dapat kita huraikan dengan kata-kata di dalam sanubari kita.
Namun satu hari...
Kita sedikit alpa. Ah!
- malasnya hendak bangun qiam. Esoklah..
- kerja banyaklah. Nanti-nantilah solat..
Sekali kita tinggalkan. Rasa something wrong somewhere tetapi...'Tidak apalah. Baru sekali.'
Kali kedua kita tinggalkan. Rasa tersebut semakin berkurang tetapi masih ada... 'Tidak apalah.Esok usaha untuk kembali.'
Kali ketiga, keseterusnya dan lagi... kita sudah tidak merasa apa-apa.
Apabila terjaga, barulah kita menyesali. Kita sebenarnya telah kehilangan. Kita merenung semula. Kita bersungguh-sungguh untuk meraih kemanisan yang entah ke mana perginya itu tetapi aduh payahnya.
Saat itu baru kita sedari...
BETAPA PAHITNYA APABILA BERPISAH DENGAN DIA.
"Tidak ada yang lebih manis dalam kehidupan ini melainkan tatkala berjaya mencapai kemanisan iman dan mengecap cinta Ilahi," Muthiah Habibatullah, insya-Allah.