Mencari Naurah (Bab 28)


“ASSALAMMUALAIKUM,” salam diberi.

Aku yang dari tadi membaca majalah Reader Digest terpaku apabila mendengar suara itu. Macam kenal. “Waalaikumussalam,” jawabku. Lidahku kelu untuk meneruskan kata-kata. “Buat apa di sini?” aku bertanya ragu-ragu.

“Nama saya Khairul Anuar Baharin. Menurut Cik Sook Kuan, saya perlu menemui Cik Natasha binti Zulkarnain,” tenang sungguh bicara Anuar.

“Apa???” Aku hampir menjerit. ‘Kembar’ Preshnan bakal bekerja satu bumbung denganku? ‘Oh, tidak!’

“Kenapa, Asha?” soal Preshnan lantas segera mendapatkanku.

“Tidak ada apa-apa. Dia ingat, cicak itu hendak melompat ke arahnya,” Anuar memandang tepat wajah Preshnan yang sudah berada di hadapanku. Lagaknya sungguh selamba. Macholah kononnya.


“Baiklah. Hati-hati, Asha. Jangan cuai sangat,” pesan Preshnan lagi. Dia diam sebentar. “Nama saya Preshnan. Awak Khairul Anuar, bukan?” Dia memperkenalkan diri.

“Betul. Gembira dapat bertemu dengan awak,” balas Anuar sambil menghulurkan tangannya kepada Preshnan. Mereka saling bersalaman.

“Selamat datang ke dalam keluarga kami. Kenalkan... nenek tiri kami, Natasha binti Zulkarnain,” Preshnan memandangku sekilas sambil mengenyitkan matanya.

Aku diam... tidak mahu melayan Preshnan. Nampaknya, buku sudah bertemu dengan ruas!

Anuar ketawa yang dibuat-buat.

“Maaf. Saya perlu beransur dahulu. Ada sesuatu yang perlu saya bereskan...” Preshnan diam sejenak. “Asha, jalankan tanggungjawab anda selaku nenek tiri yang peka dan prihatin.” Dia berseloroh tetapi dalam nada yang lebih serius. Kemudian dia berjalan laju ke arah Ying Pei yang sedia menanti. Ada mesyuarat lagi agaknya.

“Baik,” suaraku kedengaran lesu. Hilang tumpuan jadinya. “Jom...” ajakku, berusaha untuk menjadi profesional.

‘Asha, jangan terlalu ikutkan perasaan,’ aku memujuk hati sendiri. Hmm...

“Asha macam tidak suka saya kerja sini aje,” kata Anuar.

“Tak adalah. Terkejut sahaja,” jawabku pendek.

“Rose cakap Asha kerja sini, jabatan sumber manusia. Jadi, saya cubalah nasib di sini. Tak sangka dapat pulak,” jelas Anuar tanpa diminta. “Jodoh kita agaknya,” katanya lagi.

Aku hanya diam. Kak Rose!!! Kenapa bongkarkan rahsia ini? Aku memang merancang untuk merahsiakan tempat kerjaku daripada Anuar. Khuatir dia datang mencariku.

“Mana meja saya?” tanya Anuar.

‘Hisy... baru masuk kerja sudah bertanya tentang meja,’ rungutku.

“Ini tempat duduk saya. Tempat Anuar di hadapan sana.” Aku masih belum bersemangat. Tidak bermaya. Semacam baru pulih daripada demam campak.

“Wow, ini sudah bagus. Memang kita berjodoh.” Anuar tersenyum riang.

‘Tolonglah... awak datang sini untuk bekerja, bukan mencari calon isteri,’ rungutku di dalam hati.

“Asha, makan tengah hari dengan saya, boleh?” Anuar separuh berbisik.

“Saya sibuklah. Esok saya kena temu duga calon baru.” Aku memberi alasan.

“Alah, bukan lama pun. Saya belanja,” pinta Anuar lagi.

“Tengoklah dahulu,” kataku ringkas.

“Saya masih baru. Raikanlah saya,” Anuar sedikit mendesak.

“Asha, Anuar... nampak macam sudah lama kenal sahaja,” Ying Pei tiba-tiba mencelah. Aik, ingatkan ada mesyuarat. Ini bermakna...

“Senior Asha di UM,” ujarku dengar tidak dengar.

“Apa???” Jerit Sook Kuan pula. “Ooo... Bukankah saya sudah katakan. Jadi, makin mudahlah untuk memulakan sebarang perhubungan,” sambungnya lagi.

“Kemudian... kahwin!!!” sampuk Preshnan.

Entah bila dia sudah berada di belakang kami. Tepat telahanku! Bilamana Ying Pei berada di sini, bermakna Sook Kuan dan Preshnan pasti akan muncul seketika nanti.

Ying Pei, Sook Kuan, Preshnan dan Anuar sama-sama ketawa.

“Tidak lawak pun,” kataku perlahan.

“Jom, kita makan tengah hari sama-sama,” ajak Ying Pei.

Aku sekadar mengangguk.

“Tengok! Kita betul-betul ada jodoh bersama,” Anuar bersuara perlahan... benar-benar perlahan.

Aku sekadar mencebikkan bibir.

“Andai ada jodoh kita, tidak akan ke mana-mana... pastikan sempurna harapan bersama...” Anuar tersenyum penuh makna.

Aku mendengus perlahan. Kehadiran Anuar betul-betul menyesakkan nafasku, membuatkan jantungku terpaksa bekerja lebih keras menghantar oksigen ke paru-paruku. Datangnya dia ke sini sama sekali tidak kupinta tetapi aku bukanlah seorang yang begitu zalim sehingga sanggup mengusirnya pergi jauh dari pandanganku.

~bersambung~

0 Responses