Mencari Naurah (Bab 27)

Novel | Mencari Naurah

‘ALHAMDULILLAH, selesai akhirnya,’ bisik hatiku sambil mengambil laporan mingguan di atas meja. Ingin kutunjukkan kepada Preshnan dan mahu kubuktikan kepadanya bahawa hasil kerjaku adalah lima bintang!

“Hellooo...” tegurku. Sengaja aku panjangkan loonya.

“Ya, puan. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Preshnan berlagak persis seorang pegawai khidmat pelanggan.

“Hmm... Saya ada masalah besar! Sangat-sangat besar!!!” Aku berpura-pura gelabah, cuba menahan senyum daripada terukir. Sudah lama aku tidak mengenakan lelaki berketurunan India ini.


“Kenapa? Apa yang berlaku?” Wajah Preshnan berubah.

Aku ketawa. “Tak ada apa-apa,” jawabku bersahaja sambil menyerahkan laporan mingguan yang telah kusiapkan. Mata Preshnan yang sedia bulat itu dibulatkan. Dia membelek laporan yang kuberi sambil mengangguk.

“Bagus, Asha. Adakah hari ini giliran saya untuk membentangnya?” Preshnan tersenyum kambing.

‘Hisy... sudah gaharu cendana pula. Sudah tahu, bertanya pula,’ aku mengomel sendiri.

“Ya, tuan. Menurut perjanjian kita, tuan perlu membentangkan laporan ini tanpa sebarang bantahan dan kompromi...”

“Apa?” Preshnan tersenyum menampakkan giginya yang putih.

“Janganlah main-main. Hari ini giliran Preshan!” Sambil mengajuk lagak Phua Chu Kang, aku berkata sedikit tegas tetapi masih tersenyum. Bekas graduan UKM ini gemar sungguh mengusikku. Macam...

“Baiklah, tuan puteri. Saya akan lakukan apa sahaja demi tuan puteri. Tuan Puteri Gunung Ledang, tuan puteri kecintaan saya. Jiwa saya. Payung saya...” Preshnan ketawa dan kami sama-sama berjalan ke bilik mesyuarat. Dia membuka pintu bilik tersebut dan mempersilakan aku berjalan dahulu.

“Terima kasih, Presh,” aku memandangnya sekilas.

“Sama-sama, coklat,” jawab Preshnan.

“Coklat?”

“Bukan, bukan... payung. Intan payung... nyawa...” Preshnan ketawa lagi.

“Menyampah,” sambungku lalu ketawa kecil. Tidak faham sebenarnya dengan jenaka yang ingin dia sampaikan.

Ketawa Preshnan semakin menggila.

“Preshnan!!!” jeritku. Kali ini, aku menjeling tajam ke arahnya.

“Alahai. Saya hanya bergurau, Sha,” Preshnan akhirnya mengalah. Aku tersenyum puas.

‘Satu kosong,’ aku berkata di dalam hati.

MESYUARAT kali ini berlangsung agak lama. Banyak perkara yang dibangkitkan. Bukan sahaja perihal kemasukan staf baru bahkan isu bonus tahunan pun dimasukkan di dalam agenda perbincangan.

Entahlah, aku pun keliru. Sudah terang lagi jelas bahawa kumpulan kami (aku, Preshnan, Ying Pei dan Sook Kuan) bertanggungjawab menguruskan staf-staf baru yang menjadi ahli keluarga syarikat ini tetapi masih ada yang tidak berpuas hati dengan kerja kami. Persoalannya, kenapa isu bonus tahunan yang dibangkitkan? Bukankah jabatan kewangan yang sepatutnya bertanggungjawab? Hmm... Entahlah.

“NATASHA, awak masih baru. Jangan banyak melawan,” tegur Sherry atau nama sebenarnya Syarifah Hasanah binti Syed Azhar.

Aku hanya diam, tidak mahu melawan.

“Awak ingat awak hebat sangatkah?” Sherry memandangku sinis.

Aku masih diam. Rasanya, tidak perlu untuk berlawan bicara dengannya, buang masa! Aku terus berjalan keluar dari bilik mesyuarat. Tidak mahu melayan fiilnya yang bukan bukan. ‘Tidak profesional langsung,’ getus hati kecilku.

“Mari kita pergi, Sha.” Tiba-tiba, tanganku ditarik seseorang. Aku segera berlalu meninggalkan Sherry yang kelihatannya masih belum berpuas hati denganku. Aku juga tidak mengerti mengapa. Adakah kerana anugerah kecemerlangan yang aku peroleh bulan lepas? Menurut katanya, aku tidak layak kerana masih terlalu baru di sini. Entahlah.

“Abaikan dia,” ujar Sook Kuan setelah kami memasuki pantri. Hendak minum sebentar. Dahaga... panas....

“Jangan risau, Asha okey,” kataku sambil tersenyum.

Sook Kuan mengambil air kosong buatku.

“Terima kasih,” ucapku lalu meneguk air tersebut.

‘Alamak! Aku puasalah.’ Cepat-cepat aku meluahkan air yang sudah masuk dua teguk ke dalam kerongkongku.

“Asha okey?” Preshnan bertanya, agak terkejut.

“Jangan risau. Asha tidak apa-apa. Terlupa pula. Asha puasa sebenarnya hari ini.” Aku berterus-terang.

“Maaf,” bisik Sook Kuan. “Saya tidak tahu Asha puasa,” tambahnya.

“Eh, bukan salah Sook Kuan. Saya yang salah.” Aku cuba memujuknya. Tentu dia berasa serba-salah.

Kami kemudiannya sama-sama ketawa.

Tiba-tiba, namaku dipanggil seseorang

“Asha!!!” jerit Ying Pei.

“Ya, sayang,” balasku tetapi tidak menjerit sebagaimana dirinya.

“Jangan lupa beri penerangan kepada rakan sekerja baru kita esok pagi.” Ying Pei mengingatkan.

“Staf baru? Tidak ada orang maklumkan pun.” Dahiku berkerut seribu.

“Maaf, Sha. Saya terlupa hendak beritahu, ” celah Sook Kuan.

Aku ketawa. “Siapa namanya?” Aku memuncungkan bibirku.

“Namanya Khairul. Graduan dari Universiti Malaya. Tampan juga dan berusia 26 tahun. Selamat maju jaya! Gunakanlah peluang keemasan ini untuk memperkenalkan diri dan seterusnya memulakan sebarang perhubungan...” jawab Sook Kuan panjang lebar.

“Kemudian... kahwin!!!” tambah Preshnan pula lalu ketawa terbahak-bahak.

“Preshnan!!!” Kali ini, aku turut sama menjerit.

~bersambung~

0 Responses