Mencari Naurah (Bab 26)
Novel | Mencari Naurah
MUNGKIN berkat doa mak yang tidak pernah putus buatku, aku kini sudah diterima bekerja di sebuah syarikat korporat terkemuka ibu kota. Sudah empat bulan aku berada di sini. Dunia baru yang banyak mengajar aku tentang kehidupan. Perjalanan hidup yang penuh dengan pancaroba. Andai tersilap langkah, tidak mustahil akan terjatuh, tersungkur malahan tidak dapat bangkit kembali. Dia akan terus berada di situ sehingga dihulurkan tangan kepadanya. Baru dia boleh bangun dan berdiri...
“Asha, boleh tolong carikan resume calon-calon baru?” Pinta Ying Pei.
“Baik. Beri saya masa dalam lima minit.” Aku menjawab pendek. Tanpa berlengah, aku segera ke rak yang menyimpan data-data pemohon yang ingin mencuba nasib di sini.
Bukan mudah untuk menjadi ahli keluarga Syarikat Big Four ini. Beruntunglah mereka yang terpilih menyertainya. Aku? Alhamdulillah... ALLAH memilihku untuk berada di sini.
Minggu ini ada sepuluh calon yang berada dalam senarai untuk direkrutkan. Enam daripada mereka terdiri daripada pelajar luar negara. Aku tercari-cari fail yang telah aku simpan semalam. ‘Jika tidak ada sesiapa yang usik atau alih, pasti ada. Insya-ALLAH,’ kataku dengan penuh yakin.
Nah, ada pun. Kalau tidak, terpaksalah aku membelek kembali fail-fail yang tersusun. Lebih kurang seribu semuanya. Mahu pengsan dibuatnya. Sudahlah aku berpuasa sunat Isnin hari ini.
‘Natasha, sesungguhnya ALLAH bersama orang yang sabar.’ Aku mengingatkan diriku sendiri.
Aku meneliti fail-fail yang kuambil. Ditanggung beres! Tidak ada kesilapan, insya-ALLAH. Hah! Mataku tertumpu pada satu nama calon yang memohon. Kenapa aku tidak perasan nama ini semalam?
Name : Asyraf Daniel bin Razali.
Age : 24 years old.
Oh! Silap, silap. Namanya Asyraf Daniel bin Ghazali dan dia berusia 26 tahun. Yang paling penting, dia merupakan doktor perubatan dan bukanlah doktor kewangan. Aku tergelak sendiri.
Sudah lebih enam bulan aku tidak bertemu dengannya. Aku hanya berhubung dengan Kak Rose. Dia kini menjadi guru di sebuah sekolah swasta. Memang padan dengan dirinya yang lembut dan memiliki ciri-ciri seorang ibu mithali. Siapalah yang paling beruntung dapat mencuri hati Kak Rose? Asyraf? Oh, tidak...
Menurut Kak Rose lagi, dia kini sedang memohon untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Katanya, jika diizinkan ALLAH dia ingin menjadi pensyarah. Mahu mendidik anak bangsa di samping menyebarkan dakwah di atas muka bumi ini. Dia mahu mengingatkan manusia tentang TUHAN dan keesaan-NYA.
Sedih melihat kemusnahan masyarakat hari ini. Arak, rokok, pakaian menjolok mata, pergaulan bebas merupakan mainan para pemuda dewasa ini. Kak Rose bercita-cita untuk menjadi salah seorang daripada penegak agama ALLAH yang kelak akan menemui-NYA sebagai syuhadah. Begitu optimis Kak Rose dalam menggapai impiannya. Moga dia akan berjaya dalam apa jua yang direncanakan.
“Asha, jangan lupa mesyuarat kita petang ini jam 4.00 petang di Bilik 4,” Preshnan mengingatkan aku.
“Baik, tuan,” balasku. Disusuli dengan kalimah, “Insya-ALLAH.” Perlahan-lahan kuungkapkan perkataan itu.
Cepat-cepat aku berjalan ke mejaku. Ada perkara yang perlu aku selesaikan sebelum perjumpaan petang ini. Aku mahu menonjolkan diri sebagai seorang Muslimah yang berketrampilan serta komited terhadap kerja.
Pada hari pertama aku menjejakkan kaki ke sini, hanya ada tiga orang pekerja Melayu yang beragama Islam. Seorang daripadanya adalah dispatch. Dua lagi merupakan kerani am. Jabatan lain, aku tidak pasti.
Aku mahu menunjukkan kepada semua bahawa Islam itu cantik dan tersusun. Seorang Muslim itu adalah seorang yang menjaga amanah, bersungguh-sungguh, tidak bersikap sambil lewa serta boleh dipercayai. Tidak seperti kaum Quraisy yang dilaknat ALLAH.
Walaupun sudah terang lagi bersuluh bahawa tidak ada siapa yang mampu menandingi kuasa ALLAH, mereka tetap alpa dan leka. Mereka tidak takut dengan balasan yang bakal mereka terima. Kalau tidak, masakan mereka berani mengkhianati perjanjian Hudaibiah. Nah! Perjanjian yang nampak tidak adil, namun sebaliknya menjadi pencetus kepada era kegemilangan Islam.
Hmm... aku tersenyum sendiri. Berbangga dilahirkan sebagai seorang Muslim. Aku bersyukur kerana dipilih ALLAH menjadi hamba-NYA yang tidak sambil lewa dan komited terhadap amanah yang ditaklifkan kepadaku. Dan pasti aku akan membuktikan bahawa aku tidak seperti mereka. Golongan munafik yang dihalang dirinya untuk memasuki syurga ALLAH.
Bukan itu sahaja, aku juga mahu memberitahu seluruh dunia bahawa tudung sama sekali tidak menghalang seorang Muslimah bergerak cerdas dalam melaksanakan tugasan yang diberikan. Mujur tidak ada birokrasi dalam syarikat ini.
Tidak dapat aku lupakan satu ketika dahulu, di sebuah syarikat yang aku kira masih baru bertapak dalam dunia perniagaan...
“Awak memang pakai tudung macam ini?” tanya salah seorang penemuduga.
“Ya, saya,” aku menjawab ringkas.
“Sebenarnya tidak sesuai jika bertudung begini,” katanya lagi. Aku lihat, dua orang penemuduga lain sekadar membisu.
“Okay, thanks. Assalammualaikum...” aku cuba menahan marah, sengaja berbicara dalam Bahasa Inggeris. Bukankah Bahasa Inggeris itu merupakan bahasa perantaraan utama dalam dunia perniagaan?
Aku memandang wajah penemuduga tersebut sambil tersenyum. Ya! Bibirku masih mengukir senyuman meskipun aku tahu wajahku telah bertukar warna. Merah mungkin! Segera aku keluar dari bilik temuduga tersebut. Tidak sabar rasanya untuk terus beredar. Dan pasti, aku tidak akan menoleh lagi ke situ. Aku marah... dan terlalu marah!
Masakan tidak marah. Yang berkata begitu adalah individu yang sama bangsa dan serupa agama anutannya denganku. Manakala dua orang penemuduga lain, aku kira beragama Kristian (jika dilihat pada tag nama mereka, Michael dan Ivon). Argh, umat Islam yang tidak sedar diri. Mujur tidak diterima bekerja di sana bahkan aku telah mendapat kerja yang lebih baik.
Benar, ramai yang mengungkapkan kalimah syahadah tetapi tidak banyak yang menghayati dan mengamalkannya. Tercatat pada kad pengenalan menyatakan bahawa polan bin polan ini beragama Islam, namun cara hidupnya begitu terpesong daripada jalan yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT.
Kadang-kadang dia malu dan tidak yakin terhadap agama anutannya menyebabkan dia begitu berani memperlekeh individu lain yang masih teguh dalam kepercayaannya. Dia mungkin lupa atau mungkin tidak tahu. Udara yang dia sedut boleh jadi diambil balik oleh TUHAN. Dia kemudian mencari-cari ruang udara di tempat lain.
Saat itu, barulah dia sedar bahawa dia sebenarnya begitu kerdil dan hina di hadapan TUHAN. Waktu itu jualah mulutnya akan terkunci, tidak mampu berkata apa-apa. Apatah lagi untuk memperlekehkan agama ALLAH. Tiada lagi suara sumbang yang menyebut bahawa tudung itu kolot, dara itu ketinggalan zaman. Entah apa hendak jadi dengan dunia hari ini. ‘Sudah akhir zaman agaknya,’ aku membebel sendiri.
~bersambung~