Mencari Naurah (Bab 24)
Novel | Mencari Naurah
SEDANG asyik aku mengelamun, pintu rumahku diketuk kuat seseorang.
“Tidak ada orang ke? Atau semua dalam rumah ni sudah mampus!!!” Jerit satu suara.
Aku kenal benar dengan suara itu.
“Arul,” mak segera mendapatkan Nasrul di muka pintu. Dipeluknya dan dicium Nasrul dengan bersungguh-sungguh. Diusapnya rambut Nasrul yang semakin panjang. Gembira benar mak.
“Alah, orang sudah besar panjang. Tak perlulah peluk-peluk.”
Kasar benar bicara Nasrul. Hatiku menggelegak mendengar kata-kata Nasrul yang sentiasa keterlaluan terhadap mak, namun kudiamkan diri kerana tidak mahu berbalah dengan Nasrul dan menyebabkan mak yang baru pulih daripada kesedihan kembali bersedih hati.
“Bila keluar?” Aku bertanya dengan lembut. Cuba mempamerkan rasa kasih dari dalam sanubari. Bukankah api itu lawannya air, sepertimana yang pernah diberitahu Asyraf satu ketika dahulu? Aku menjenguk ke luar rumah. Kelihatan seorang gadis kecil molek sedang duduk di atas tangga.
“Saya kawan Nasrul. Nama saya Farrah,” ujarnya penuh sopan.
“Dia yang jamin aku. Hendak harapkan kakak, tidak boleh diharap langsung. Lebih baik kalau tidak ada kakak. Buat sakit hati sahaja,” Nasrul menambah.
“Farrah naiklah dahulu. Akak buatkan air,” aku mempersilakan dia masuk ke dalam rumah. Tidak pula Nasrul membantah. Dia segera memasuki biliknya. Kemudian, keluar kembali menuju ke bilik air.
“Woi, cepatlah sedikit. Aku hendak mandi!” tengking Nasrul. Pintu bilik air diketuknya dengan kuat.
Hmm... perangai macam ini pun masih ada yang sudi berkawan dengannya? ‘Farrah, Farrah,’ aku berkata di dalam hati.
“Dilla, keluar sekejap. Abang Arul hendak mandi dahulu.” Kedengaran suara mak dari luar bilik air.
“Cepat buka pintu!” Jerit Nasrul lagi.
“Dilla sayang...” suara mak sedikit bergetar.
Tiba-tiba, pintu bilik air dibuka. Tanpa memandang wajah Nasrul yang kemerahan, Adilla segera berlalu ke biliknya. Masih marah agaknya dengan abangnya yang seorang ini.
Aku memandang Adilla dari ruang tamu. Begitu juga dengan Farrah. Tidak berkelip memandang Adilla yang masam mencuka.
“Farrah tinggal mana?” tanyaku lembut. Seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.
“Rumah datuk Farrah di simpang Kampung Salor,” jawabnya sambil menghirup air teh yang aku sediakan.
“Belajar lagi?”
“Ya, di Kolej LimKokWing. Buka semester ni, masuk tahun dua.” Farrah memandangku sambil tersenyum manis.
“Ooo...”
Aku melihat mak di tepi pintu. Dia diam, sekadar memerhati aku dan Farrah. Matanya yang kemerahan itu terkebil-kebil.
“Farrah hendak keluar dengan Nasrul?” Perlahan-perlahan aku bertanya.
“Ya, Farrah hendak bawa Nasrul jumpa kawan daddy di Kota Bharu,” mujur gadis ini tidak kepala angin sebagaimana adikku, Nasrul.
‘Lurus...’ Aku tersenyum sendiri. “Ooo... nak buat apa?” aku cuba mengorek rahsia.
“Jom, sayang,” ajak Nasrul. Dia nampak kemas dengan baju kemeja berpetak-petak dan celana hitam. Aku tersenyum lagi. Maki-maki pun, baju pemberian aku juga yang disarungnya.
Setelah bersalam dengan aku dan mak, Farrah berjalan perlahan ke tempat dia memarkir keretanya. Wah! Anak orang kaya. Kalau tidak, masakan memandu BMW.
“Anak Dato’ Azmi,” kata Adilla menjawab persoalan yang bermain di mindaku.
“Asal Kuala Lumpur. Baru masuk kampung. Tidak tahu kenapa Dato’ Azmi hantar dia ke sini,” ia menambah.
“Hantar?” aku mengerutkan dahi seribu.
“Haah. Dato’ Azmi dan Datin Azizah masih di Kuala Lumpur. Dia pun belajar di sana. Entah masalah apa yang dia buat sampai kena hantar balik kampung. Sesuai sangat dengan Abang Arul,” terang Adilla sinis.
“Macam mana kenal Arul?” aku bertanya lagi.
“Alah, kak. Bukankah adik akak yang seorang tu kacak orangnya. Muka ala-ala Tom Cruise. Siapa tak berkenan?” Adilla mencebikkan bibirnya. “Harap muka sahaja tampan. Perangai???” tambahnya lalu masuk kembali ke dalam rumah.
Benar, Nasrul memang agak tampan. Mukanya keanak-anakan dan nampak seperti bintang filem. Kalau masuk peraduan Hero Remaja, tidak mustahil akan terpilih. Pernah juga aku terbaca surat yang dihantar peminat-peminat misterinya. Akhirnya, dia memilih Farrah. Benarkah Farrah ini gadis pilihannya? Entahlah, aku sendiri tidak tahu dan tidak berani serkap jarang.
~bersambung~