Mencari Naurah (Bab 25)

Novel | Mencari Naurah

Novel Islamik, Sesuci Kasih Bonda aku tatap helaian demi helaian. Sememangnya kasih seorang ibu itu sungguh suci dan murni, tidak ternilai harganya. Sedang ralit membaca, tumpuanku terganggu dengan kehadiran mesej yang entah daripada siapa. Kotak mesej kubuka malas. Tiba-tiba, senyumku terukir tatkala membaca sistem pesanan ringkas yang baru aku terima.

BAGAIMANA dengan perkembangan di kampung?

Alhamdulillah, segalanya bertambah baik.

“Senyum seorang diri ke kak? Nasib baik Dilla dah kenal akak. Kalau tidak mesti ingat orang dot dot dot,” sapa Adilla sambil tersenyum sumbing.

Aku sedikit terkejut dengan sapaan Adilla. “Tidak adalah. Mana ada akak senyum.” Aku menafikan.

“Hmm... Akak dah ada teman lelaki, ya?” tanya Adilla lagi. Soalan cepu emas y

ang tiba-tiba jatuh ke bumi. Lebih spesifik, ke dalam rumahku... betul-betul mengenai mukaku.

“Teman dan kawan lelaki banyak. Satu kursus, satu kolej...” aku menjawab sambil lewa.

“Seriuslah, kak.” Adilla membulatkan matanya. Rambutnya yang panjang mengurai diikat tocang.

“Belum lagi agaknya,” aku memberi respons ringkas.

“Di universiti, tidak ada orang kacau akak ke?” Adilla masih menyoal siasatku.

“Err... tidak ada agaknya.” Aku menjawab lagi. Tidak pasti dengan jawapan yang kuberi. Entah kenapa aku perlu berasa ragu-ragu sedangkan aku benar-benar solo dan tidak ada halangan bagi sesiapa untuk cucuk jarum. Adoi! Tiba-tiba badanku terasa gatal.

“Hmm... buruk sangatkah kakak Dilla yang seorang ini?” Adilla menjelirkan lidahnya. “Bila akak hendak cari yang sesuai?”

Argh... Adilla tidak henti-henti bertanya. “Kenapa tiba-tiba tanya soalan macam ini?” Aku menyoal kembali tanpa menjawab persoalannya.

“Saja-saja sebab nampak akak senyum seorang diri,” Adilla tersenyum penuh makna.

“Mana ada,” kataku sambil mengeletek pinggangnya. “Makin berisi Dilla sekarang.” Aku cuba mengubah topik perbualan kami. Aku tahu, Adilla begitu khuatir andai berat badannya bertambah. Sanggup tidak menyentuh nasi sekiranya ada yang menegurnya semakin ‘sihat’. Lebih tepat... jika dikatakan semakin bulat!

“Mana ada,” Adilla menyentuh pipinya yang gebu.

Aku ketawa.

“Betul ke makin tembam?” Adilla nampaknya tidak berpuas hati.

“Hehehe...” aku pura-pura mentertawakannya.

“Mak... mak tengok Dilla makin gemuk ke?” Adilla berjalan ke arah mak yang sedari tadi memerhatikan gelagat kami. Mak hanya tersenyum.

“Betullah kalau begitu. Bukankah diam itu tandanya bersetuju?” Aku mengangguk-angguk. Macam penari dalam cerita Hindustan.

“Alah, padahal akak hendak tutup kes. Sebab itu kata Dilla gemuk.” Adilla menyangkal kata-kataku.

“Tutup kes? Akak tak fahamlah. Cakap biar terang.” Aku masih lagi ketawa. Entah apa yang begitu menggelikan hatiku, aku sendiri tidak tahu tetapi jiwaku sedikit terhibur tatkala melihat Adilla yang kemerahan mukanya.

“Akak sedang dilamun cinta... Walau di mana berada, ingatku dalam doamu...” Selepas itu Adilla mendendangkan lagu Aku Cinta Padamu nyanyian Datuk Siti Nurhaliza.

“Tengok, mak. Muka Kak Sha sudah berubah warna. Jadi hijau, mak. Incredible Hulk, takut...” Dia menambah. “Tidak lama lagi mak dapat menantulah,” katanya lantas memuncungkan bibirnya ke arahku.

Kami adik-beradik kemudiannya ketawa bersama-sama. Tidak terkecuali, mak yang sedikit ternganga mulutnya. Lega rasanya melihat perubahan mak.

Kugerakkan kaki menuju ke ruang tamu, tempat mak sedang duduk-duduk lalu berkata, “Mak doakanlah jodoh Sha dengan lelaki yang baik dan beriman.”

“Insya-ALLAH, sayang,” balas mak perlahan.

“Sayang mak,” ucapku lalu mencium pipi mak.

“Mana aci akak cium mak seorang!” jerit Adilla perlahan lalu menolak aku ke tepi. Cepat-cepat dia mencium pipi mak yang semakin berkedut itu.

Aku ketawa. “Aci-aci buka pintulah.” Aku masih mahu bergurau dengannya. Sudah lama rasanya tidak melalui saat sebegini.

“Mana ada. Achik sekarang di rumahnyalah.” Mak menyampuk.

Aku dan Adilla saling berpandangan. Kemudian kami ketawa terbahak-bahak dengan jenaka yang baru diperkatakan oleh mak.

"APA perancangan akak sekarang?" Adilla tiba-tiba bersuara dalam gelak tawa yang masih tidak surut.

"Maksud Dilla?" Dahiku berkerut. Begitu juga dengan mak yang terangkat keningnya mengalahkan Ziana Zain.

"Akak kan dah habis belajar…" Adilla terdiam sejenak. Dia mengukir senyuman penuh makna.

"Jadi???" aku menatap wajahnya dengan satu persoalan yang masih tidak terungkai dari dalam benakku.

"Alahai… kata sudah habis belajar. Konvo esok lusa," rungut Adilla perlahan.

"Hmmm…" aku mengetip bibirku.

"Dilla nak tanya, bila Asha nak mula kerja? Betul, Dilla?" mak menyampuk tiba-tiba.

"Haaaa… Mak yang duduk terperuk di kampung pun boleh buat soalan ramalan. Inikan akak yang lepasan U. Malu, malu," Adilla menggeleng sambil tersenyum.

"Eh… Oooo…" aku seolah-olah baru dikejutkan daripada lamunan. Tidak pun… baru terjaga dari mimpi yang panjang.

"Tengok! Tengah angaulah tu," adik bongsuku ini ketawa yang dibuat-buat. Semakin lama, semakin kuat hilaiannya, membuatkan aku geram sendiri. Aku membulatkan mataku yang tidak cukup bulat.

"Asha nak rehat dulu ke, macam mana?" mak juga nampaknya berminat untuk ambil tahu.

"Hehe… Sebelum peperiksaan akhir, Asha sudah mula hantar resume, mak. Semua syarikat Asha hantar. Tengoklah macam mana. Insya-ALLAH, ada rezeki, adalah tu…" jawabku sungguh-sungguh. Mak tersenyum manis. Begitu juga dengan Adilla. Senyum sumbingnya jelas kelihatan.

"Tak ada orang nak masuk meminang, kak?" Adilla mengenyitkan matanya ke arahku.

"Kalau tak ada, kenapa?" segera aku membalas.

"Hehe… takut jadi andartu," kata Adilla spontan.

"Andartu?" Mak mencelah membuatkan aku terpaku.

"Anak dara tu…." Adilla semakin galak mengusikku.

"Anak dara tunggu orang masuk meminang, mak," aku cepat-cepat memintas kata-katanya. Tidak mahu memanjangkan cerita. Khuatir terpaksa bersoal jawab dengan mak sedang aku tidak punya jawapan yang pasti.

"Hah?" Mak nampaknya semakin keliru. Aku menjeling Adilla tajam. Dia yang memulakan isu ini dan dia perlu mengakhirinya.

"Maksudnya, sebelum dapat kerja ni… Kak Sha kena mula belajar berhias. Nanti bila dah kerja, mudahlah nak pikat mana-mana anak dato' ataupun tan sri. Tidak pun, pikat dato' terus!!!" Hah! Adikku yang seorang ini nampaknya sudah semakin merapu.

"Sudah, sudahlah. Pening kepala mak melayan karenah kamu berdua. Hmmm…

Apa yang penting, mak mahu anak-anak mak bahagia. Buat pilihan yang terbaik untuk masa depan.

Dilla… belajar sungguh-sungguh. Ikut jejak langkah Kak Sha dengan Abang Ady.

Asha… sementara dapat kerja tetap, kerja dengan mak dulu buat kuih dan nasi minyak," mak nampaknya sudah bosan melayan fiil kami adik beradik yang mengalahkan budak sekolah rendah.

"Baik, Puan," ujar aku dan Adilla sambil tabik hormat kepada mak. Mak hanya tersenyum.

'Oh, kerja… cepatlah datang menjemputku,' hatiku berbisik penuh harap.

"Oh, abang… datanglah meminangku segera," Adilla merenungku penuh makna. Aku hanya buat tidak tahu…

~bersambung~

0 Responses