Mencari Naurah (Bab 11)

ALLAHU Akbar Allahu Akbar...

Kedengaran azan berkumandang. ‘Ramai sungguh jemaah hari ini, Alhamdulillah,’ aku berkata di dalam hati. Kulihat Kak Rose sedang khusyuk membaca al-Quran. Begitu juga dengan Emelda, Marjan, Nurul Izzah, Noni, Yana dan Mimi. Aku tersenyum sendiri.

Sesudah berbuka puasa tadi, aku dan adik-adik solat berjemaah di dalam bilikku. Khuatir tidak sempat sembahyang berjemaah bersama imam, kami memutuskan untuk solat bersama-sama di dalam bilik. ‘Asalkan dilakukan secara berjemaah, ganjarannya tetap 27 kali ganda,’ fikirku. Hatiku menjadi sayu tatkala Fatishah mengalunkan ayat suci al-Quran pada rakaat kedua solat maghrib. Tanpa sedar, air mataku gugur ke bumi. Betapa kerdilnya aku di sisi TUHAN.

Kalimah ALLAH itu terngiang-ngiang dalam pemikiranku, ‘Bukankah Kami telah melapangkan dadamu? Dan Kami telah menghilangkan bebananmu. Yang memberatkan pundakmu. Dan Kami tinggikan sebutan namamu. Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.

Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Maka, apabila kamu telah selesai sesuatu urusan, kerjakanlah dengan bersungguh-sungguh urusan yang lain. Dan hanya kepada TUHAN-mu hendaknya kamu berharap...’

Di dalam surau, mataku tertumpu pada satu susuk tubuh yang sering aku perhatikan. Itulah Fasha. Gadis kacukan dari Pulau Pinang ini sememangnya menjadi bualan para pelajar di kolej mahupun kampus. Siapa tidak kenal anak Dato’ Khairy? Kecantikannya tiada tandingan. Ditambah dengan penampilannya yang agak kebaratan, membuatkan dia mudah dikenali. Alhamdulillah... dia masih sudi menjenguk surau yang serba kekurangan ini. Manis sungguh dia mengenakan baju kurung. Lagi manis jika ada tudung yang menutupi kepalanya.

Entahlah... manusia sering kali melupakan TUHAN tatkala merasa senang dan berjaya. Namun, apabila memerlukan TUHAN-nya, dia tidak malu untuk mencari PENCIPTA. ALLAH sekadar diingati saat sukar dan dibuang jauh-jauh setelah memperolehi apa yang diidamkan.

Tahun sudah juga begini. Tatkala tiba musim peperiksaan, penuhlah surau. Sayu-sayu kalimah ALLAH dialunkan. Jika tidak, untuk memenuhkan satu saf pun agak sukar. Lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Kadang-kadang, hanya aku dan Kak Rose yang menjadi makmum. Yang lain, entah ke mana...

Sedih dibuatnya. Syaitan pasti ketawa riang melihat umat Muhammad yang semakin lupa dan lalai. Jika Israel menggunakan kekuatan senjata untuk menzalimi umat Islam Palestin, iblis yang dilaknat ALLAH tidak memerlukan bala tentera yang besar untuk menghancurkan musuhnya. Hanya perlu berusaha keras menjadi teman akrab buat makhluk yang bernama manusia. Dia perlu membuatkan hamba ALLAH ini alpa terhadap peranan mereka yang sebenarnya di atas muka bumi ini. Peranan? Ya... setiap hamba ALLAH memikul amanah sebagai khalifah ALLAH. Mereka bertanggungjawab memakmurkan alam, mengabdikan diri kepada-NYA serta mengajak manusia lainnya kepada PENCIPTA.

‘Astaghfirullah al-azim,’ aku beristighfar. Hidayah itu daripada ALLAH. Aku seharusnya bersyukur kerana dipilih-NYA untuk terus mendapat tarbiah ILAHI. Mana boleh aku beranggapan yang bukan-bukan terhadap orang lain.

Tanpa izin ar-Rab, sudah tentu aku tidak akan menjejakkan kakiku ke sini. Tanpa izin-NYA juga, belum tentu aku akan berada di atas jalan ini. Jalan yang benar untuk pergi kepada-NYA. Argh! Aku sering kali lupa terhadap kekuasaan-NYA.

‘Jika ENGKAU menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba ENGKAU. Dan jika ENGKAU mengampuni mereka, maka sesungguhnya ENGKAU Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana...’ aku merintih sendiri.

“Assalammualaikum...”

Aku ditegur seseorang. Macam kukenal suara ini. Senyuman terukir di bibirku.

“Waalaikumussalam, adik akak,” jawabku lantas mencium dan memeluk Ifti. “Sihat ke?” aku memulakan bicara.

“Alhamdulillah... dah baik sikit tetapi tetap tidak dapat fokus belajar lagi. Ifti cuma rasa tenang,” jawabnya.

“Baguslah kalau begitu. Ada berapa kertas lagi?” aku menepuk-nepuk bahunya perlahan.

“Lagi tiga kertas. Esok, hari Selasa dan Jumaat hadapan,” dahi Ifti sedikit berkerut,mengingati jadual peperiksaan.

“Hmm... masih ada ruang. Tak apa, ambil masa dan tenang. Bahagikan masa untuk belajar dan bertemu TUHAN. Tahajjud macam mana?” Tidak henti-henti aku bertanya. Moga-moga tidak menimbulkan tekanan buatnya. Aku bukannya mahu menekan.

“Hmm...” Ifti diam seketika.

“Mungkin sebab itu agaknya Ifti rasa stres. Sebenarnya sudah lama Ifti tidak bangun tahajjud. Ifti berjaga malam untuk belajar sampai jam 3.00 pagi. Kemudian, baru tidur dan lewat mengerjakan solat subuh. Sejak dua minggu ini, memang Ifti hentikan ibadah-ibadah sunat, buat yang wajib-wajib sahaja,” Ifti berterus-terang. Dia nampak kesal dengan apa yang berlaku.

“Tak apa. Nama lagi manusia. Kadang-kadang kita terlupa. Sebab itulah pentingnya kehadiran teman-teman yang boleh mengingatkan. Alhamdulillah.... Ifti pun dah sedar, bukan?” pujukku lembut. Anak matanya kupandang tepat.

“Mungkin sebab Ifti takut sangat dengan peperiksaan. Lagipun, ini kali pertama... tidak sama peperiksaan waktu sekolah dengan universiti...” tambah Ifti lagi.

“Harapan ibu terlalu tinggi. Lebih-lebih lagi, dalam keluarga Ifti seorang yang berjaya belajar sampai ke menara gading. Mungkin sebab itu Ifti jadi semakin stres,” terpamer kedukaan pada wajah Ifti yang lesu.

Aku tunduk sebentar. Setelah ayah dan ibunya berpisah dua tahun lalu, kehidupan keluarga Ifti mulai goyah. Dua orang abangnya ditangkap sewaktu mengedar dadah manakala kakaknya pula ditemui sedang khayal bersama teman lelakinya. Mereka ditemui positif dadah jenis syabu dan heroin. Seorang adik lelakinya bekerja di Seven Eleven dan tiga orang lagi masih bersekolah rendah.

Begitu perit penderitaan yang ditanggung, namun Ifti nampak tabah mengharungi ujian. Dia redha dengan ketentuan TUHAN. Pertama kali bersua muka dengan Ifti sewaktu Minggu Tautan Kasih awal semester lalu, sudah terdetik rasa kasih dan sayang kepadanya. Aku sendiri tidak tahu mengapa tetapi rasa cinta ini hadir sendiri. Hatiku berkobar-kobar untuk mendekatinya.

Begitu besar kasih TUHAN. Dia sama sekali tidak akan membiarkan makhluk-NYA hidup keseorangan. Aku dihadirkan dalam hidup Ifti sebagai wasilah bagi ALLAH mencurahkan kasih sayang-NYA buat manusia ciptaan-NYA. Agar ia terus berada di atas landasan yang benar. ALLAH itu Maha Adil terhadap sesuatu. Hanya kita yang tidak dapat menilai keadilan dan kesaksamaan-NYA.

Kita merasakan ALLAH itu tidak adil, tidak memakbulkan doa, tidak dan tidak. Kita lupa dengan apa yang telah ALLAH berikan kepada kita. Kita tidak berpuas hati dengan mata yang kita kira tidak cantik tetapi kita lupa bahawa kita masih boleh melihat. Kita tidak berkenan dengan kulit yang tidak gebu namun kita lupa bahawa kita telah diberi ruang oleh ALLAH untuk hidup di atas muka bumi ini. Itulah manusia yang sering kali lupa dan alpa.

“ALLAH itu Maha Dekat denganmu, sayang.”

Ifti memandangku sekilas lalu tersenyum dan meneruskan bacaannya.

“Akak betul-betul sayang Ifti kerana ALLAH,” aku berkata lagi lantas memeluk dan mencium pipinya.

Ifti hanya tersenyum.

~bersambung~

Atau dapatkan Mencari Naurah di pasaran segera ^^
0 Responses