Cara terbaik jimatkan petrol
Thursday, September 08, 2011
Assalammualaikum. Apa khabar? Baik, hari ini Muthiah ingin menjadi pengacara rancangan...
'Sayangi kenderaan anda'
Terima kasih kepada Saudara Zed Ajid kerana mengizinkan Muthiah berkongsi informasi ini di blog/ teratak Muthiah.
Jom.. kita sama-sama memanfaatkannya ^^
Pengguna kenderaan bermotor akan berusaha mengurangkan kadar penggunaan bahan bakar ke tahap paling rendah. Keadaan ini perlu kerana penggunaan bahan api paling minimum dapat menjimatkan perbelanjaan petrol. Sehubungan itu, adalah penting bagi anda memerhatikan kadar penggunaan petrol bukan sekadar harganya yang tinggi tetapi penggunaan bahan itu secara berlebihan menandakan enjin kereta anda mengalami kerosakan.
Jika anda mendapati penggunaan petrol pada kenderaan secara berlebihan, periksa puncanya sebelum membeli sebarang alat bantuan mengurangkan penggunaan petrol yang banyak terdapat di pasaran. Ini kerana pembelian alat berkenaan mungkin tidak memberi kesan sepatutnya jika keadaan enjin kereta anda mengalami masalah sehingga menyebabkan penggunaan petrol bertambah. Cara terbaik menjimatkan petrol dan mengekalkan tahap penggunaan petrol ialah dengan melakukan pelarasan enjin. Selain itu, perkara penting yang perlu diketahui pengguna ialah sikap dan cara pemanduan kerana ia banyak mempengaruhi penggunaan petrol kereta.
Antaranya, menggunakan gear dua atau tiga terlalu lama sebelum menukar ke gear seterusnya, tabiat menekan pedal minyak terlalu kuat ketika pemanduan mendatar atau menuruni bukit boleh menyebabkan penggunaan petrol yang berlebihan. Sehubungan itu, apabila anda melakukan pelarasan enjin, ia membantu mengurangkan penggunaan petrol sehingga 15 peratus. Teknik memandu yang salah juga menjadi punca penggunaan petrol melebihi 20 peratus.
Di samping itu, anda juga perlu mengetahui, apabila membawa bebanan yang lebih daripada kadar yang sesuai juga menyebabkan kadar penggunaan petrol melebihi dari tahap biasa.
Oleh itu, anda perlu perhatikan dalam but kereta anda, mungkin terdapat banyak barang yang tidak sepatutnya berada di dalam but tetapi dibawa ke sana ke mari. Ia pasti menambah beban enjin. Anda harus membawa barang yang perlu saja seperti alat membaiki kereta dan alat yang dapat membantu ketika kecemasan. Karier (alat membawa barang atas bumbung kereta) juga boleh menambah penggunaan petrol pada kadar lima peratus.
Harus diingatkan, jangan sekali-kali memasang karier sekiranya anda tidak bercadang membawa barang berlebihan atas bumbung kereta. Karier menghalang udara berlepas ke belakang dengan sempurna ketika kereta memecut. Enjin dalam keadaan panas normal juga boleh membantu meningkatkan perbatuan dan prestasi kereta anda. Biarkan enjin panas sebelum memulakan perjalanan dan jangan sekali-kali memulakan perjalanan tanpa terlebih dahulu merancang jalan mana untuk ke destinasi. Jangan mengambil jalan singkat ke sesuatu destinasi jika jalan lebih jauh satu atau dua kilometer dipastikan lebih elok. Ini kerana anda perlu kerap menukar gear jika menggunakan jalan kurang elok.
Selamat menjimatkan petrol.
Muthiah : Guna NGV ^^