Mencari Naurah (Bab 5 - Samb.)


“ASSALAMMUALAIKUM. Mak, Asha dah balik,” jeritku dari muka pintu. Kelihatan tingkap rumah telah dibuka menandakan ibu sudah bangun. Setiap pagi, seawal jam 3.00 pagi, ibu sudah terkocoh-kocoh di dapur. Sesudah subuh, dia perlu menghantar kuih-muih dan nasi minyak ke beberapa buah kedai makan sekitar kampungku.

Untuk berniaga sendiri, mak tidak mampu. Kudratnya tidak mengizinkannya menjadi seperti dahulu... waktu muda-muda dahulu. Mak dan arwah ayah sama-sama berniaga. Tidak kira pagi mahupun malam. Waktu pagi, mak akan menjual nasi di pasar pagi. Malamnya pula, dia akan berniaga di pasar malam.

“Asha... bila sampai?” Mak menyapa dari arah belakang.

“Assalammualaikum, mak. Asha baru aje sampai.” Aku ulangi salam yang diberi lantas mencium tangan makku yang semakin lanjut usianya. Terasa kedut-kedut pada jari-jemari tua itu.

Tahun ini, genap usia mak 51 tahun. Meskipun sudah melebihi usia setengah abad, mak nampak masih bertenaga walaupun kudratnya tidak sekuat waktu muda-muda dahulu. Baju yang dipakai mak kelihatan lusuh. Sayu hatiku dibuatnya. Aku tahu, baju itu telah dihadiahi arwah ayah sebelum dia kembali ke rahmatullah. Sebab itulah mak sentiasa memakainya.

Mungkin untuk melepaskan rasa rindu di dalam jiwanya. Ditambah dengan putera puterinya yang berada jauh di perantauan. Aku di Kuala Lumpur. Lapan jam perjalanan untuk sampai ke rumah. Jadi, jarang sekali dapat bertemu dengan ibu. Adik bongsuku, Adilla pula melanjutkan pelajaran di Politeknik Ungku Omar manakala Efendy merantau jauh ke Timur Tengah. Aku begitu kagum dengan kekentalannya berada di negara orang.

~bersambung~

6 Responses
  1. novel ek kak?

    dah diterbitkan"?


  2. Siti Muthiah Says:

    Alhamdulillah, dik. udah terbit pertengahan bulan 6 thn lepas ~ http://siti-muthiah.blogspot.com/2010/06/mencari-naurah-nazihatul-hanan.html


  3. Ummu Naurah Says:

    assalamualaikum....apa makna naurah?


  4. Ummu Naurah Says:

    assalamualaikum.....apa makna naurah mengikut pandangan ukhti?

    nurul br terjumpa tajuk buku ni bila acsess MPH on9 semalam..


  5. Siti Muthiah Says:

    Waalaikumussalam. Naurah = Bunga ;)


  6. Siti Muthiah Says:

    Waalaikumussalam.

    Ukhtie Nurul yang dirahmati ;)

    Naurah membawa maksud bunga. Mencari Naurah pula bererti mencari 'bunga'. Dalam erti kata lain... bunga yang 'cantik' luar dalamnya. Sukar tetapi ada...