Mencari Naurah (Bab 2)


“SERONOK bertemu janji dengan Tuan Presiden?” tanya Kak Rose sesudah dia menunaikan solat sunat maghrib.
Aku diam. Aku tahu Kak Rose hanya bergurau sahaja.
“Hati-hati. Akak risau timbul fitnah lagi. Cuba Asha tengok kertas ini. Apa yang Asha nampak?” kata Kak Rose sambil membuka buku catatan yang sering dibawanya ke mana-mana.
“Bintik hitam,” jawabku ringkas.
“Asha benar-benar pasti?” Kak Rose menyoal lagi, membuatkan keyakinanku sedikit terhakis.
“Insya-ALLAH,” balasku perlahan.
“Inilah perumpamaan pandangan manusia. Seringkali melihat sesuatu yang kecil... halus. Ia seolah-olah tidak nampak dengan keseluruhan kertas tersebut yang berwarna putih. Asha faham maksud akak?” Kak Rose menyoalku. Renungan matanya yang tajam membuatkan jantungku berdegup kencang. Aku seperti sedang berada di kandang pengadilan dan menanti saat dijatuhkan hukuman.
“Faham, kak.” Aku tertunduk kelu. Kemudian, mendongak kembali dan memandang Kak Rose yang masih setia merenungku. “Terima kasih, kak,” hanya ungkapan itu yang mampu kuucapkan.
Perlahan-lahan, Kak Rose mendekatiku. Lebih dekat dari tadi. Dia menggenggam erat jari-jemariku. Kemudian, tanpa dipinta Kak Rose mencium pipiku dengan penuh kasih sayang. Jiwaku melayang seketika. Umpama menerima ciuman daripada ibu tercinta.
“Akak sayang Asha kerana ALLAH, insya-ALLAH.”
Bisik Kak Rose perlahan lantas meninggalkanku. Mataku tidak berkelip memandangnya yang berjalan perlahan dan penuh tertib. Sememangnya aku berbangga mengenali insan dengan peribadi yang tiada tandingan ini.
Aku bangga mempunyai kakak secantik dan sebaik Kak Rose. Ditambah dengan kelembutan semula jadi dirinya. Bisa menggugat iman mereka yang kurang amalannya. Namun, Kak Rose sama sekali tidak menggunakan anugerah miliknya untuk menarik perhatian sesiapa. Katanya, kecantikan adalah satu ujian. Jika tidak dijaga sebaiknya, ia akan memusnahkan diri sendiri.

~bersambung~
0 Responses