Mencari Naurah (Bab 2 - samb.)

~sambungan Bab 2~

Aku lihat Kak Rose begitu asyik melayan karenah adik-adik junior yang mengerumuninya. Aku pasti, mereka juga terkesan dengan kelembutan dan kecantikan milik Kak Rose. Sejuk mata yang memandang. Aku ingin mengaji sementara masuknya waktu isyak, namun kata-kata Kak Rose sebentar tadi menggamit perasaanku. Membuatkan aku berfikir dan terus berfikir. Memang ada betulnya...

Benar! Mata-mata yang melihat pasti menyalahkanku kerana bercakap-cakap dengan Anuar tetapi mereka tidak pernah mahu ambil tahu. Apakah yang dibualkan? Siapakah yang memulakan? Sejauh mana aku berusaha untuk menghindari situasi petang tadi???

Argh... aku hanya pandai memberi alasan untuk melepaskan diri. Kalau bukan aku yang mendatangkan fitnah, sudah pasti tidak ada yang akan berbicara.

Allahu Akbar Allahu Akbar...

Kedengaran suara Asyraf melaungkan azan. Entah kenapa jantungku bergelora kencang tatkala mendengar suara itu. Setiap kali aku melihatnya, membuatkan mindaku tidak keruan. Pengarah program Minggu Tautan Kasih ini acap kali menjadikan tidurku tak lena dek memikirkannya sehingga terbawa-terbawa ke alam mimpi.

Allahu Akbar...

Astaghfirullah, jauhnya aku mengelamun. Sudah mula solat rupanya. Tidak sempat untuk menunaikan solat sunat rawatib. Argh!! Jiwa yang berkarat ini acap kali berasa sepi. Mengapa? Kerana hati di dalamnya punya ruang yang masih kosong dan perlu diisi. Dengan apa??? Alahai... masih sempat aku berfalsafah di dalam rumah ALLAH ini...

“Nanti kita jumpa di dewan makan. Akak nak balik bilik sekejap,” kata Kak Rose lalu berlari anak menuju ke biliknya.

Tidak sempat aku bertanya lanjut. ‘Baik,’ aku menjawab sendiri.

~bersambung~

0 Responses