Air Mata Siti Hajar (Bab 1)
Friday, January 30, 2015
MOD : Cinta dalam diam.
SIAPA kata gosip dan usikan kawan-kawan tidak bisa
memberi kesan kepada seseorang, sila angkat kaki? Lebih-lebih lagi, bila mana
yang diusik itu adalah seorang anak gadis yang masih muda, single and available. Sedikit sebanyak, tetap terasa getarnya.
Tentu terasa debarnya. Dup dap dup dap… jantung berdegup kencang.
Kadang-kadang, si teman hanya mahu
memeriahkan suasana. Iyalah. Serius memanjang boleh membikin jiwa yang sedang
berserabut bertambah tertekan. Seorang manusia yang normal, pastinya mahukan
sesuatu yang dapat menghiburkan hati walau sekejap cuma. Tambahan lagi, dirinya
sentiasa dihambat oleh kerja yang tidak pernah surut.
Dan… inilah yang terjadi kepada si pemilik
hati yang bernama Siti Hajar binti Sulaiman. Usikan yang sekadar suka-suka itu
tanpa sedar telah menumbuhkan bibit-bibit cinta di dalam hatinya. Kepada siapa?
Begini ceritanya…
‘Al-kisah… Al-kisah maka tersebutlah
kisah… sang kancil datang beramai-ramai mengadap ke bawah duli yang Maha Mulia,
Sultan Firaun…’ Mana Firaun pakai sultan. Bukan!!! Itu syair yang disampaikan
Ajis dalam filem Pendekar Bujang Lapok. Bukan itu ceritanya…
JAM telah menunjukkan pukul 10.30 pagi. ‘Lewat sih.
Lambat 15 minit,’ bisik hati kecil Hajar. Dia cepat-cepat bergegas ke bilik
mesyuarat yang terletak di tingkat tiga, bangunan Fakulti Sains Komputer dan
Teknologi Maklumat. Semakin lama, langkahnya semakin laju.
Pintu bilik tertutup rapat. Menandakan
mesyuarat sudah pun bermula. Sampai sahaja di muka pintu, Hajar terdiam sekejap.
Dia menadah tangan ke langit lalu berdoa. "Ya ALLAH. Aku tahu, aku sudah
terlewat. Aku tahu, aku tidak menepati masa. Aku akui silap dan khilafku, ya
ALLAH. Hijablah hati-hati mereka daripada menyedari kelewatanku ini…"
kata-kata Hajar terhenti di situ.
"Biarlah ada insan lain yang datang
lebih lambat daripadaku," tambahnya lagi. Pintu bilik mesyuarat dibuka
perlahan. Nafas Hajar masih lagi turun naik. Dia berasa gusar sebenarnya.
Minggu lepas pun dia terlewat juga. Akan tetapi, waktu itu… ada yang lebih
lambat daripadanya. Adakah bisa dia bernasib baik seperti hari itu lagi?
Sebaik sahaja Hajar memasuki bilik
tersebut, semua mata memandangnya tanpa berkelip. Dia terkesima. Dia
cepat-cepat berjalan laju ke arah Aisyah yang tersenyum memerhatikannya.
“Lewat. Nasib baik Prof. Umar belum tiba.
Kenapa ni? Fan sekat lagi?” soal
Aisyah bertubi-tubi. Minggu lepas, rakan serumahnya ini terlewat dek melayan
kerenah pelajar-pelajar yang banyak sungguh songehnya. Minggu ini, mungkinkah
sejarah itu berulang?
Hajar mengangguk perlahan. Dia menarik
nafas lega. Mujur mesyuarat masih belum bermula. Kalau tidak, pasti dia akan
mendapat malu kerana dengan kesekian kalinya terlewat lagi.
Aisyah menggeleng-geleng seraya menambah.
“Adik jangan risau. Ada yang lagi lewat daripada adik.” Dia memberitahu
sungguh-sungguh.
Hajar yang sedang meneliti minit mesyuarat
minggu lepas terpana seketika. Dia mendongak ke arah Aisyah yang tersenyum
sumbing ke arahnya. “Siapa?” Gadis sunti ini bertanya pendek.
Aisyah berpaling ke arah pintu bilik
mesyuarat lalu mengangkat jemarinya. Bermula dari ibu jari… jari telunjuk… jari
hantu… jari manis dan jari kelingking. “Satu, dua, tiiii…” kata-katanya
terhenti di situ.
Pintu bilik mesyuarat terbuka luas. Sah!
Tepat jangkaan Aisyah. Zulkarnain akhirnya muncul di hadapan mata. Seperti yang
diduga, lelaki itu masih lagi memakai baju yang sama warna dengan Hajar, macam
minggu lepas. Mereka sama-sama lewat dan sama-sama memakai baju yang serupa
warnanya. Adakah terdapat makna tersirat di sebalik kebetulan itu?
“Along rasa, adik dengan Zulkarnain memang
ada jodoh,” kata Aisyah separuh berbisik. Namun, bisikan yang sepatutnya hanya
didengari mereka berdua turut mendapat perhatian Sumayyah, Asma’ dan Khaulah.
Dengan lain perkataan, Aisyah tidak berbisik sebenarnya.
“Betul, betul, betul.” Sumayyah menyampuk.
Macam Ipin dalam siri animasi Upin dan Ipin pula.
Asma’ yang sedari tadi menjadi pendengar
dan pemerhati setia mengukir senyum lebar sampai ke telinga. “Minggu lepas pun
sama-sama datang lewat. Sama-sama pakai baju yang serupa warnanya. Kebetulan
yang sungguh menakjubkan. Mungkin ada sesuatu dan hanya hati yang berbicara.
Sangat sesuai. Lagipun, En. Zul kita bukannya buruk sangat. Cuma kadang-kadang
sahaja suka berlagak lebih,” sambungnya sedikit mengutuk.
Hajar mencebik. Bertubi-tubi dia diserang.
Kurang ajinomoto punya teman. Kata, sudah cukup mengenali. Adakah ini yang
dinamakan memahami?
Zulkarnain? Mungkin tidak. Lelaki itu
selalu sahaja berlagak bagus walaupun pada hakikatnya dia memiliki ciri-ciri
seorang teruna yang selayaknya dibuat laki. Dia tidak berminat. Sememangnya,
semua ini adalah kebetulan. Tidak ada kaitan antara yang hidup dengan yang
mati.
- bersambung...