Mencari Naurah (Bab 29)

Novel | Mencari Naurah

“AWAK dah buang tabiat?” jerit Datin Khatty.

Dato’ Ghazali diam...

“Awak sudah malukan saya. Apa saya hendak cakap kepada datin-datin lain?” Tambah Datin Khatty. Dia tidak berpuas hati dengan reaksi Dato’ Ghazali.

Dato’ Ghazali tetap diam...

“Miang! Gatal!!!” Datin Khatty memandang suaminya dengan pandangan yang tajam, seperti mahu menerkam lelaki yang berusia lebih separuh abad itu. “Tidak pernah mahu memikirkan hati dan perasaan orang lain!!” jeritnya lagi. Dia sudah lupa dengan siapa dia tengah berkata-kata.

“Cuba awak beritahu saya. Apa yang harus saya khabarkan kepada mereka?” Datin Khatty mengulangi soalan itu.

“Hmm... beritahu sahaja datin-datin berkenaan bahawa suami awak baru sahaja mendapat pucuk muda.

Bukan itu sahaja bahkan umur madu awak seusia dengan anak teruna kita. Baru 26 tahun,” balas Dato’ Ghazali perlahan tetapi penuh dengan ketegasan. Matanya dibulatkan dan kelihatan wajahnya sudah bertukar warna. Mungkin sudah tidak tahan dengan perlakuan Datin Khatty yang tidak henti-henti memakinya.

‘Walau apapun keadaannya, saya tetap suami awak yang layak dihormati!!!’ bentak hati kecilnya.

“Dato’ Ghazali anak Tan Sri Hashim!!!! Awak tidak pernah fikir perasaan saya. Awak pun tahu saya memperjuangkan hak wanita yang dipoligami. Mereka dianiaya dan dizalimi. Saya tentang poligami sekeras-kerasnya...

Namun sekarang, suami saya pula yang mengikutinya. Tidak cukup dan tidak puas dengan seorang isteri,” luah Datin Khatty. Kali ini, suaranya dikendurkan. Mungkin mengharapkan sebuah pengertian.

“Apa salahnya dengan berpoligami?” Dato’ Ghazali merenung dalam-dalam anak mata isterinya. “Nabi juga berpoligami dan Islam sendiri tidak menghalang poligami. Awak mahu menentang hukum Islam?”

“Inilah lelaki! Bab kahwin, bab nikah ikut Nabi. Bab sembahyang, zakat ikut kepala sendiri,” Datin Khatty meninggikan suaranya kembali.

“Tak kuasa saya bergaduh dengan awak. Menyakitkan hati,” getus Dato’ Ghazali perlahan tetapi masih boleh didengari oleh Datin Khatty.

“Dewi, tolong buatkan saya Horlicks kurang susu,” arahnya pula kepada pembantu rumah yang sedang menyapu sampah. Cepat-cepat gadis yang berasal dari Medan itu meletakkan penyapu di tepi dinding.

“Diam di situ, Dewi. Aku belum habis lagi bercakap dengan orang tua yang tidak sedarkan diri ini,” jerit Datin Khatty apabila Dewi berjalan perlahan menuju ke dapur. Suaranya semakin serak.

“Awak tengok sendiri, datin! Awak marah, awak maki-hamun, awak mengamuk macam orang kurang siuman tetapi apakah peranan awak dalam rumah ini? Air pun bibik kena buat. Baju saya bibik kena basuh. Nasi bibik kena masak. Sampaikan bilik tidur saya pun bibik kena kemas...” Dato’ Ghazali meluahkan apa yang terpendam, mungkin sesuatu yang telah disimpan sekian lama.

“Saya mendambakan seorang isteri yang dapat memenuhi segala keperluan saya. Sayangnya, semua bibik yang buat. Sesuatu yang sepatutnya dilakukan oleh isteri kesayangan saya,” luahnya. “Saya ulang... isteri kesayangan saya!”

“Saya rasa awak memang sudah buta. Saya kenal isteri baru awak, Dato’ Ghazali,” Datin Khatty seakan mengejek. Mulutnya dimuncungkan. Tangannya digenggam erat... marah, geram, benci... semuanya ada.

“Namanya Melissa dari Kampung Jawa, Klang. Nama sahaja yang moden. Orang kampung yang awak tergila-gila?” tambahnya sambil tersenyum sinis. “Sudahlah kekampungan, kolot pula. Baju kurung dua puluh empat jam. Rasanya, sebelum kahwin dengan awak, pakaiannya semua dibeli di kaki lima Chow Kit...

Tidak, tidak... saya tahu. Awak sudah terpengaruh dengan ceramah yang awak dengar. Sejak akhir-akhir ini, rajin benar awak bersembahyang di surau. Kemudian, lepas isyak baru pulang ke rumah. Awak rasa sudah hendak mati ke? Kubur sedang memanggil-manggil ke? Atau budak kampung itu beri awak ubat guna-guna sampai sanggup berkahwin lagi dalam usia emas?”

“Astaghfirullah, Khadijah binti Khalid! Mengucap Khadijah. Nama sahaja cantik tetapi berakhlak buruk! Kita sudah tua Khadijah. Tempat kita bukan lagi spa atau salun. Benar, kubur sudah memanggil kita. Awak perlu ingat! Usia awak pun sudah sampai 50 tahun,” kata Dato’ Ghazali. Suaranya sedikit kecewa. Matanya memerhati akuarium yang terletak di tengah-tengah rumah.

“Aduhai, saya ingat awak pergi dengar ceramah sahaja. Rupa-rupanya awak belajar untuk berceramah juga,” ejek Datin Khatty.

“Saya keluar dahulu. Hendak bertemu dengan sang isteri yang menyejukkan mata bila memandang dan menenangkan jiwa,” kata Dato’ Ghazali seakan-akan mahu menaikkan amarah Datin Khatty. Dia benar-benar rasa tercabar. Tanpa berlengah, segera ditinggalkan isterinya yang semakin menggila itu terkebil-kebil sendiri.

“Pergilah orang tua tidak sedarkan diri!” jerit Datin Khatty lantas mencapai pasu yang baru dibeli. Pasu buatan Eropah itu dihempas tanpa ragu. Pang!!!

Kemudian, tangannya mencapai pula sebuah pasu lagi. Dia tidak kisah asal hatinya puas. Kalau boleh, dia mahu menghancurkan rumah ini. Pang... pecah berderai.

“Dewi, ambil penyapu. Sapu kaca yang bertaburan ini,” jerit Datin Khatty kepada pembantu rumahnya.

“Baik, bu,” Dewi cepat-cepat ke tempat pasu itu dipecahkan.

“Selepas ini, kau tidak payah buat air, basuh baju, masak untuk dato’. Biar dia buat di rumah bini mudanya,” Datin Khatty memberi amaran.

“Baik, bu,” jawab Dewi ringkas. Pasu yang pecah itu dikutip satu per satu. ‘Sayang sungguh. Pasti mahal harganya,’ fikirnya sendiri.

Datin Khatty masih tidak berpuas hati. Hatinya masih panas. Dia mahu memuntahkan cairan lava yang mendidih di dalamnya. Digapai bingkai gambar yang terletak di atas meja. Kelihatan dirinya sedang memeluk Dato’ Ghazali. Di samping mereka, anak tunggalnya sedang melambai-lambai sambil tersenyum. “Ah, siapa peduli!” katanya lalu menghempas bingkai gambar itu ke lantai. Pang... pecah lagi. Kali ini dia tersenyum puas.

“Assalammualaikum, mama.” Asyraf yang dari tadi berada di belakang pintu memberi salam. Dia tidak sanggup lagi melihat tindakan mamanya yang semakin jauh... jauh daripada diri seorang hamba. Sudah hilang kewarasan seorang manusia yang punya TUHAN.

Dia telah menyebabkan syaitan yang dilaknat ALLAH turut sama ketawa riang. Pertama, dia berjaya mendorong seorang isteri untuk menderhaka terhadap suami.

Kedua, dia membuatkan manusia itu lupa bahawa ia hanyalah hamba ALLAH yang kecil.

Akhir sekali, dia berhasil membakar api kemarahan dalam hati seorang makhluk ALLAH menyebabkan dia bertindak di luar kawal.

“Asyraf, jangan jadi macam papa,” kata Datin Khatty tanpa menjawab salam yang diberi. Dia diam sejenak. “Dunia semakin maju, teknologi semakin berkembang...

Tetapi... papa Asyraf semakin mundur, semakin kolot, semakin ketinggalan zaman, ” dia menambah.

Asyraf memegang bahu mamanya. Dia mengurutnya perlahan-lahan sambil berselawat ke atas Nabi SAW. “Mama duduk dahulu, Asyraf ambilkan air suam,” katanya lalu memimpin Datin Khatty ke sofa. Setelah Datin Khatty duduk, segera ia berjalan ke dapur.

“Asyraf! Suruh bibik yang...” jerit Datin Khatty.

“Tidak apa, ma. Biar Asyraf yang ambilkan,” Asyraf berkata sebelum sempat mamanya menghabiskan kata-katanya.

“Papa Asyraf sudah gila,” Datin Khatty masih belum berpuas hati. “Sanggup dia buat mama macam ini,” dia menambah.

“Papa sepatutnya berbangga. Mama cantik, bergaya dan mengikut peredaran zaman,” katanya lagi.

“Sampai hati...” Datin Khatty menangis teresak-esak. “Macam mana mama hendak jelaskan kepada kawan-kawan mama?” tangisannya semakin kuat.

Bibik yang sedari tadi memerhati melopong mulutnya.

Asyraf juga hanya membiarkan mamaanya menangis. Mungkin dengan menangis dapat mengurangkan kesakitan yang ditanggung oleh mamanya.

~bersambung~

0 Responses