Pilihlah untuk berubah (i)


Assalamualaikum, sahabat-sahabat yang Muthiah kasihi fillah. Apa khabar? Imannya pula bagaimana? Apapun, Muthiah berharap agar jasad dan jiwa kita sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Usah sekali-kali biarkan ia sakit … kerana sakit itu kelak membawa kepada mati. Apabila hati sudah mati… dikhuatiri sukar bagi cahaya untuk masuk dan tembus ke dalamnya.

:) Hmmm.. mulakan harimu dengan senyuman. Maafkanlah segala salah dan silap orang terhadap diri kita. Lapangkan dada dan titipkan pengharapan pada Allah yang satu.

‘Ya, Allah… aku tidak cukup kuat untuk mengharunginya…’
‘Ya Allah… aku tidak cukup tabah untuk mendepaninya…’


Mengadulah kepada-Nya kerana sesungguhnya Allah itu Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha mengetahui setiap sesuatu yang tersembunyi mahupun terlahir dari hati setiap hamba ciptaan-Nya.

‘… Sesungguhnya Allah Mendengar lagi Maha Melihat,’ Al-Mujadilah ayat 1.
‘… Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat-Nya) lagi Maha Mengetahui,’ Al-Baqarah ayat 115.


Wahai teman…

Pernahkah kita berasa buntu dan dukacita?

Buntu kerana dihadapkan dengan 1001 permasalahan yang kita kira… tidak mampu untuk mendepaninya.

Buntu kerana tidak ketemu jalan keluar di sebalik musibah dan kecelaruan dalam kehidupan kita…

Buntu dalam membuat pilihan… kita sukar membezakan… mana yang baik dan mana pula yang bertentangan dengan syariat Tuhan.

Usah gusar wahai teman kerana kita sama sekali tidak sendiri. Allah dekat… sungguh-sungguh dekat dan lebih dekat daripada urat merih kita sendiri. Pernahkah kita mencari-Nya saat kita berasa memerlukan seseorang untuk mendengar segala isi hati kita? Ya! Benar… Allah sedia maklum atas sesuatu namun sebagai hamba yang tidak sombong… seharusnya kita merendahkan diri mencari Dia dan merintih merayu kepada-Nya.

‘Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya..’ Qaaf ayat 16.

Pilihlah untuk mengejar cinta Ilahi.

Pilihlah untuk menjadikan Dia sebagai teman paling akrab dalam hidup kita.

Pilihlah untuk tidak berputus asa tatkala dihambat dengan permasalahan yang tidak terpikul oleh bahu kita. Ketahuilah, sesungguhnya Dia yang Maha Tahu itu tidak akan menzalimi kita dengan sesuatu yang tidak dapat kita harungi…


‘Tidak Aku bebani seseorang sesuai dengan kesanggupannya…’ Al-Baqarah ayat 286.

Jadi… ayuh bangkit wahai teman. Usah biarkan diri terus terkapai-kapai dalam dosa dan noda. Usah biarkan luka dalam diri itu menjadi nanah yang tidak mahu didekati oleh siapa-siapa.

Allah ada…
Allah dekat…
Allah bersama mereka yang sabar….


Muthiah : Hmmmm…. teringatkan seorang teman. Moga-moga ia kan bahagia dengan pilihan hidupnya.
Labels: | edit post
0 Responses