At driving school (i)


Sabtu lepas bersamaan 10/9/09, Muthiah menghadiri kursus kelas memandu yang pertama. Huhu… paginya, Muthiah menemui najis anak kucing pada toto dan tilam bilik tetamu. Mula-mula, hilang mood untuk menghadiri kelas tetapi… suami suruh pergi juga. Hehe….

Apa pengalaman yang dikutip? Hmmm… mula-mula, Muthiah perlu menjalani satu ujian yang diberi nama ‘Ujian warna’. Muthiah dapat 22/23, soalan nombor satu salah. Tidak ada yang menarik di sini tetapi… ada satu cerita/ peristiwa telah membuatkan suami berhari-hari menggelakkan Muthiah. Tidak apa… ada lori ada bas ;)

Muthiah diberi dua kertas yakni kertas jawapan serta kertas (bukti) menduduki ujian. Dalam kertas yang kedua, Muthiah perlu mengisi data peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan dan lain-lain. Panduan mengisi kertas berkenaan turut ditulis di atas papan putih.

Contoh di atas papan putih :

Nama : Polan bin Polan
No. K/P : 820309-14-5896
Alamat : Di dalam negeri Perak…


Muthiah pun menulis sepertimana yang ditunjukkan di atas papan putih. Setelah selesai, tanpa lengah Muthiah menghantar kedua-dua kertas (jawapan ujian dan bukti menduduki ujian) kepada ‘pakcik’ yang menjaga calon. Tiba-tiba, Muthiah dipanggil.

“Alamat mana?” Ia bertanya.
“Sudah tulis,” jawab Muthiah yakin.
“Kalau macam itu, macam mana hendak cari?”

Tahu apa yang Muthiah tulis???

Alamat : Di dalam negeri Perak.

Adoi… adoi… adoi…. Entah kenapalah Muthiah blur sangat hari itu.

Muthiah : Sememangnya menetap di dalam negeri Perak.
Labels: 0 comments | | edit post

Murabbi (ii)


Assalammualaikum. Sambung sedikit lagi tentang murabbi… Hmmm… macam lama pula Muthiah tidak berceloteh panjang. Bukan apa…. hendak ‘test’…. Mana lebih baik… menulis panjang lebih atau menulis isi (ringkas) tetapi boleh jadi padat atau… huhu tergantung…

Insya-Allah, kelapangan… Muthiah akan bercoret lagi, dari dalam hati…

Kepentingan murabbi :

1-Kewajipan syar’ie – “…Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan Al-Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya,” surah Al-Imran ayat 79.

2-Patuhi sunnah Nabi – “Sebagaimana (Kami telah menyempurnakan nikmat Kami kepadamu) Kami telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan mensucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al-Kitab dan Al-Hikmah, serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui,” surah Al-Baqarah ayat 151.

3-Mendapat pahala yang berlipat ganda.

4-Mencetak peribadi unggul.

5-Dapat mempelajari pelbagai ketrampilan secara praktikal.

6-Dapat meningkatkan iman dan taqwa.

7-Dapat merasai kemanisan ukhwah – Dakwah itu tidak dilakukan secara sendirian.

Kriteria seorang murabbi :

1-Memiliki ilmu :

Nabi SAW bersabda, “Jika kamu mahukan dunia, dengan ilmu. Jika kamu mahukan akhirat, dengan ilmu. Jika kamu mahukan dunia dan akhirat, dengan ilmu."

a)Ilmu syar’ie:

i)Membawa manusia untuk beribadah kepada Allah.
ii)Berkait dengan akidah, syariah dan akhlak.

b)Ilmu pengetahuan – ‘general knowledge’ dan ilmu semasa dunia Islam dan tempatan.

c)Psikologi:

i)Tahu mengenai karektor manusia.
ii)Tahu tentang motivasi naluri dan potensi manusia.

d)Seorang murabbi yang berilmu itu perlu bersiap-sedia, tahu kemampuan dan potensi mutarabbi – tidak kenal maka tidak cinta.

e)Seorang murabbi harus peka terhadap lingkungan tempat tinggal mutarabbi – lingkungan tersebut sedikit sebanyak mempunyai pengaruh yang besar terhadap keperibadian mutarabbi.

2-Memiliki kualiti yang lebih daripada mutarabbi –
Contohnya, dari sudut ilmu.

3-Mampu mentranformasi apa-apa yang dimiliki :

a)Miliki ilmu tetapi tidak mampu menyampaikan – dek pengalaman yang cetek/ tidak memiliki pengalaman langsung dalam medan dakwah/ tarbiyah.

b)Miliki teori tetapi tiada praktikal.

4-Memiliki kemampuan memimpin
– Mampu memimpin orang lain.

5-Memiliki kemampuan mengevaluasi :

a)Sesungguhnya, proses tarbiyah itu bersifat berterusan dan berkesinambungan. Maka, tarbiyah memerlukan penilaian/ evaluasi untuk mengetahui keberhasilan sesuatu proses tarbiyah.

b)Merangkumi evaluasi diri, manhaj, wasilah, media, kaedah dan mutarabbi.

6-Memiliki kemampuan melakukan penilaian :

a)Menilai peserta tarbiyah – untuk mengetahui kemampuan/ potensinya.

b)Menilai peserta tarbiyah – untuk mengetahui sejauh mana pencapaian muwashafat diri serta pengaruh dalam kehidupan sehariannya.

c)Menilai program, tugas, permasalahan dan penyelesaian.

d)Menilai masalah tarbawiyah dan menyelesaikannya secara profesional.

Seorang murabbi itu perlu menilai secara ilmiah dan objektif – bukan terhasil daripada kesan peribadi mahupun emosi.

7-Memiliki kemampuan untuk membangun hubungan emosional – Hubungan murabbi dan mutarabbi dilandasi rasa kasih, sayang dan cinta kerana Allah.

Muthiah : Rindukan sang murabbi…
Labels: 0 comments | | edit post

Murabbi (i)

Assalammualaikum. Apa khabar? Hmmm… puasa sunat hari ini? Alhamdulillah… moga-moga kita semua akan istiqomah dengan segala kebaikan yang kita lakukan.

Hari ini, Muthiah ingin berkongsi tentang murabbi. Siapakah murabbi? Kenapakah murabbi itu penting… Hmmmm…. sampaikan walau seayat. Harapan Muthiah, agar kita semua tidak berputus asa menyampaikan kalimah Allah di atas muka bumi ini.

Definisi murabbi :

1-Seseorang yang melaksanakan proses tarbiyah / individu yang menumbuhkan potensi.

2-Seorang murabbi memberi fokus ke atas pembentukan peribadi Muslim yang soleh yang merangkumi aspek pemeliharaan, pengembangan, pengarahan dan pembentukan.

Fungsi murabbi (menurut Al-Quran):

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 151 yang bermaksud, “Sebagaimana (Kami telah menyempurnakan nikmat Kami kepadamu), Kami telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan mensucikan kamu, dan mengajarkan kepadamu Al-Kitab dan Al-Hikmah, serta mengajarkan kepada kamu apa-apa yang belum kamu ketahui.”

1-Rasul diutus kepada umat manusia sebagai murabbi.

2-Rasul dalam melaksanakan fungsi tarbiyah, dibekali dengan manhaj dan penguasaan yang benar lagi utuh.

3-Proses tarbiyah rasul merangkumi aspek :
a)Menyucikan jiwa – ruhiyah.
b)Mengajarkan ilmu – fikriyah.
c)Mengajarkan cara beramal – amaliyah dan harakiyah.

Penyucian jiwa didahulukan kerana perubahan dan pembaikan itu perlu dimulai dengan perubahan dan pembaikan jiwa.

Fungsi murabbi (proses tarbiyah) :

1-Walid – orang tua yang memiliki hubungan emosional bak ibu dan bapa.

2-Syeikh – memiliki aspek spiritual dalam penyucian rohani.

3-Ustaz – guru dan pemimpin yang mengajarkan ilmu.

4-Qoid – pemimpin yang bertanggungjawab dalam kebajikan umum.

Muthiah : Tetap diam di rumah… namun... tetap mahu menyampaikan...walau seayat.
Labels: 0 comments | | edit post

Mengumpat (ii)


Assalammualaikum. Jom sambung sedikit lagi tentang mengumpat…. Fikir dan renung…

Sebab (pendorong) suka mengumpat :

1-Ikut-ikutan , bertujuan hendak menyesuaikan diri – Hmmm… apabila ada orang mengumpat, kita meraikannya (jadi pendengar, jadi penambah bla bla).

2-Menghapuskan penyakit marah – Kita sedang marah dan mahu melepaskan kemarahan dalam diri. Jadi, kita berkongsi dengan orang lain (termasuk dengan mereka yang tidak sepatutnya).

3-Merasai ada orang hendak mengumpat kita – Sebelum diumpat, baik mengumpat dahulu. Di sinilah pentingnya bersangka baik.

4-Mahu melepaskan diri – Jadi, salahkan orang lain untuk menutup kelemahan diri sendiri.

5-Berasa bangga terhadap diri sendiri – Memperlekeh serta meremehkan orang lain.

6-Memiliki sifat dengki – Moga-moga dengan umpatan kita dapat menjatuhkannya.

7-Bertujuan bersenda gurau – Mengajuk seseorang yang sengau untuk tujuan suka-suka.

8-Menghina orang – memandang kecil orang lain.

Yang dikatakan bukan mengumpat :
1-Permintaan untuk mencegah kemungkaran – Namun, carilah orang yang betul.

2-Untuk mendapatkan fatwa – Tidak tahu? Maka tanyalah mereka yang mengetahui.

3-Gelaran kepada seseorang – Orang yang digelar itu tidak marah dan memang terkenal dengan panggilan tersebut. Contohnya… Ibrahim Pendek.

4-Apabila dipanggil sebagai saksi dalam kes mahkamah – Ucapkanlah yang benar-benar sahaja.

5-Ingin bertanya tentang seseorang – Mahu cari calon suami/ isteri contohnya. Perlulah risik-risik dahulu ;)

6-Apabila berhadapan dengan seseorang yang sememangnya jahat – Tahu dia penipu? Tipu melalui skim cepat kaya? Jangan biarkan orang lain turut terpedaya.

Hmmm… ada dua lagi isi tetapi… Muthiah tidak berapa jelas dengan penerangan yang Muthiah tulis sendiri. Hehe….

Rawatan :

1-Ilmu – gunakan akal – akan tahu (umpat itu salah dan dimurkai Allah).

2-Iman – serapkan dalam hati (tanam keyakinan baik/ buruk) – akan mahu (jauhi umpat).

3-Nafsu – kebaikan – mampu (tahan hawa nafsu)


Muthiah : Kata-kata, tingkahlaku dan tulisan yang berbisa..
Labels: 0 comments | | edit post

18 Oktober 1957 ...



Al-Fatihah.


Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Muthiah : Genap usia mama 52 tahun.
Labels: 0 comments | | edit post

Mengumpat (i)


Assalammualaikum. Bagaimana hujung minggu? Ada baik? Insya-Allah, hari ini Muthiah dan suami akan menghadiri satu majlis perkahwinan di Ipoh. Hmmm… tetapi, menulis tetap kena menulis. Mana tahu… pergi tidak kembali… sekurangnya, ada juga ilmu yang bermanfaat dapat disampaikan ;)

Mengumpat!!!

Hehe… tanyakan pada diri, “Pernahkah aku mengumpat???” Setiap hari… seminggu sekali… sebulan sekali… setahun sekali atau… bilamana ada isu bagus yang boleh diperkatakan.

Jom kita selusuri serba-sedikit tentang MENGUMPAT …

Pengertian :

1-Bilamana kita menyebut sesuatu tentang seseorang dan perkara yang disebut itu tidak disukai apabila didengar (orang yang diperkata tentangnya).

2-Sesungguhnya, mengumpat merupakan ‘pekerjaan’ seseorang yang hatinya berpenyakit.
a)Bercakap benar – orang yang diperkata tentangnya marah – MENGUMPAT.
b)Bercakap bohong – BERDUSTA.
c)Bercakap bohong – melampau-lampau dalam perkataan – FITNAH.

3-Bahawasanya, FITNAH itu lebih teruk daripada MEMBUNUH!!

Bagaimana yang dikatakan mengumpat? :

1-Mulut – berkata-kata (tentang orang lain) di sini dan di sana.

2-Isyarat – siku, mulut, anak mata ~ “Alaaa… jangan pandang. Tu… itulah. Tengok anak mata aku,” kata Milah kepada Timah.

3-Mengajuk seseorang – Meniru gaya seseorang yang berjalan senget.

4-Tulisan – Melukis gambar teman kita yang gemuk.

5-Mengajuk suara – Sudahlah mengajuk suara polan yang sengau, mentertawakannya lagi.

Kisah :

1-Aisyah RA telah menunjuki Nabi seorang wanita yang pendek dengan tangannya. Berkata Muhammad, “Aisyah, sesungguhnya kamu sedang mengumpat.”
2-Di dalam suatu majlis yang dihadiri Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar, di antara mereka terdapat seorang lelaki berkata kepada temannya, “Si Anu banyak tidur.” Kemudian, Abu Bakar RA dan Umar RA ingin meminta daging daripada Nabi SAW. Berkata Muhammad, “Kamu sudah makan daging.” … “Bila?” … “Bilamana kamu mendengar seseorang mengumpat, kamu diam.”

Jadi… renung-renungkan. Mahukah kita makan daging saudara kita sendiri? Memang! Berasa seronok apabila dapat berkongsi cerita namun…

Muthiah : Selalu bercerita apa-apa dengan suami.
Labels: 0 comments | | edit post

Tips khusyuk solat


Assalammualaikum. Sudah solat? Hehe…

1-Di awal waktu atau pada penghujung waktu?
2-Berjemaah atau bersendirian?
3-Di masjid atau di rumah?
4-Khusyuk atau…

Sukar benar mahu khusyuk. Ada sahaja yang mengganggu. Ada sahaja yang difikirkan. Kadang-kadang, lawak yang tidak dipinta juga turut mengganggu-gugat fokus kita dalam menunaikan solat. Kita mungkin terlupa bahawasanya saat itu kita sedang menghadap Raja daripada sekalian raja.

Jom kongsi tips untuk khusyuk :


1-Tidak menggunakan sejadah yang terdapat banyak gambar padanya.
2-Tidak menghadap tempat yang boleh dibaca.
3-Tidak memakai pakaian yang pelbagai rupa (berupa gambar/ pelik).
4-Mengurangkan pergerakan anggota.
5-Berwuduk dalam keadaan tenang dan sempurna.
6-Tidak solat dalam keadaan lapar.
7-Iqomat terlebih dahulu.
8-Jauhi dari tempat yang bising.
9-Memelihara mata daripada sesuatu yang dilarang/ terlarang.

Jadi, ayuh sama-sama kita memperbaiki solat kita… menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Muthiah : Terkenangkan hari itu… Jumaat bersamaan 2 Oktober 2009 jam 1.30 petang ;) Hanya mereka yang mendepaninya mengetahui…hehehe…
Labels: 0 comments | | edit post

Maafkan aku kerana tidak sempurna



Assalammualaikum dan salam sejahtera. Pertama-tamanya, Muthiah ingin memohon sejuta kemaafan andai…

1-Ada tersalah kata sehingga terguris perasaan yang sedia terluka.
2-Ada tersalah laku sehingga menyakitkan jiwa yang memandang.
3-Ada terselit rasa benci di sebalik kecintaan.


Chewah, jiwang karat ;) Hmmm… saja-saja sebenarnya. Baru-baru ini, sewaktu memasuki yahoo messenger , Muthiah terbaca status seorang teman… Katanya, “Maafkan aku kerana tidak sempurna…”

Tiba-tiba, terngiang-ngiang ungkapan berkenaan. Semoga teman Muthiah yang seorang ini berada dalam keadaan yang sejahtera serta bahagia di samping insan yang tercinta.

Jika tidak ada siapa yang mahu mencintai dan menyayangi, yakinlah bahawa Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang itu begitu luas kecintaan-Nya buat diri kita. Sesungguhnya, kita sama sekali tidak sendiri.

Nobody is perfect! Pasti punya banyak kelemahan… sama ada dalam sedar mahupun tidak. Kita bukanlah seorang Nabi yang maksum. Sebagai manusia yang terbatas (dalam segenap aspek), kita pastinya tidak akan dapat memenuhi kehendak semua orang… tidak akan dapat menggembirakan hati setiap manusia. Kerana… kadang-kadang kita terlupa dan acap kali juga kita teralpa.

Kita mahu lakukan yang terbaik tetapi sering kali nampak hodoh di mata mereka yang memandang… ada sahaja yang tidak kena… banyak sangat buruk dan salah kita…

Kita mahu memenuhi kemahuan mereka yang kita kasihi tetapi sering kali tidak mencapai piawai yang dikehendaki… masih lagi tidak elok,tidak cantik, tidak sempurna…

Kita mahu sentiasa menggembirakan hati insan yang kita cintai tetapi sering kali juga membuatkan ia marah dan berdukacita.

Jadi, bagaimana? Di manakah silapnya???

Teman…

Usahlah berasa rendah diri selagimana kita telah berusaha melakukan yang terbaik!
Usahlah berasa dukacita selagimana kita memusatkan segala tindakan kita kerana Allah!
Usahlah usah… usahlah memilih untuk jauh dan terus menjauh.


Pilihlah,

Untuk sentiasa ceria (macam Muthiah, hehe)…
Untuk mengejar / mendambakan sesuatu yang pasti tidak akan mengecewakan…

Tidak lain dan tidak bukan… pengharapan… kasih sayang daripada Allah yang Esa.

Huhu… terlebih jiwang pula Muthiah hari ini. Hmmm… sebenarnya, baru sahaja menyiapkan P-1MRDPU. Jadi, mamai-mamai lagi. Yang baik, jadikan panduan. Yang tidak elok, jadikan sempadan. Selamat membuat pilihan :)

Muthiah : Tidak mengejar kesempurnaan tetapi cuba lakukan yang terbaik!

Kemanisan iman (ii)


Assalammualaikum. Hmmmm… biasalah… menulis blog bilamana sudah berasa tepu untuk menyiapkan P-1MRDPU. Jom, sambung sedikit perihal iman…

Untuk meningkatkan iman (semuanya dengan izin Allah) :

1-Solat di awal waktu ~ Ciri-ciri orang beriman : “… dan orang-orang yang memelihara solatnya,” Al-Mukminun ayat 9.
2-Banyakkan melakukan solat sunat ~ rawatib, hajat, taubat, tahajjud, dhuha..
3-Banyakkan bertilawah ~ “… dan bacalah Al-Quran itu dengan perlahan-lahan,” Al-Muzammil ayat 4.
4-Berzikir dan bertafakur ~ “Hai orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya,” Al-Ahzab ayat 41.
5-Mengingati mati ~ “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati (pula),” Az-Zumar ayat 30.
6-Menziarahi kubur ~ boleh mengingatkan diri kepada kematian.

Kelemahan iman :

1- Lebih banyak bersantai dan bermalas-malasan.
2- Lalai daripada hari akhirat.
3- Banyak angan-angan.

Baiklah. Pendek tetapi untuk mengamalkan yang satu pun, mungkin payah. Jadi… jom kita mengislah diri :)

Muthiah : Cinta Allah cinta hakiki... sedarkah kita?
Labels: 0 comments | | edit post

Kemanisan iman (i)



Assalammualaikum. Ingin merasai kemanisan iman? Hmmm… bagaimanakah caranya? Jom kongsi…

Untuk mendapatkan kemanisan iman :

1-Mencintai Allah dan Rasul melebihi cinta kepada selain daripadanya.
2-Mencintai seseorang hanya kerana Allah SWT.
3-Benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana ia membenci untuk dicampakkan ke dalam api neraka.

Mudah untuk mengungkap, “Aku cintakanmu kerana Allah…” tepuk dada, tanya iman ;) Fikir-fikirkan, renung-renungkan…

Mencintai Allah dan Rasul :

1-Allah merupakan Pencipta yang paling berhak pada cinta.
2-Letakkan diri 150% kepada Allah ~ Hidupku dan matiku hanya pada-Mu.
3-Mengakui bahawasanya Rasul merupakan utusan Allah.
4-Mencintai risalah (dan mengikutinya) yang dibawa Nabi SAW.

Mencintai seseorang kerana Allah :

1-Fitrah insani, ingin mencintai dan dicintai.
2-Namun, sekiranya kita mengkehendaki hati (cinta) seorang manusia, ketahuilah bahawasanya kita tidak akan dapat memilikinya melainkan dengan izin Allah SWT yang telah mencipta dan mengawasi hati tersebut.

Bencikan kekufuran :

1-Ikhlaslah kepada Allah dalam setiap gerak dan tingkah.
2-Jauhi terus sesuatu yang dilarang Allah.

Justeru, ayuh koreksi diri…
1-Sejauh manakah kita berusaha untuk mencapai kemanisan iman?
2-Di manakah letaknya Allah dalam hati kita? Hanya ketika kesempitan?
3-Setakat mana penghayatan kita… sesungguhnya, hanya cinta Allah yang kekal abadi… bukan cinta sang suami… si isteri… ibu atau ayah serta anak-anak yang kita kasihi :)

Muthiah : Menggapai cinta suami demi mengejar syurga yang hakiki. Suka duka ditempuh dengan hati tega. Terima kasih atas kebahagiaan…
Labels: 0 comments | | edit post

CC lebih besar daaa…


Assalammualaikum. Hmmm… hendak kata tepu… enggak tetapi mahu merehatkan minda seketika. Sebenarnya, Muthiah dalam proses menyiapkan P-1MRDPU. Muthiah target, dapat siap selewat-lewatnya Jumaat ini. Doakan ya;)

Huhu… sebenarnya, sewaktu pulang berhari raya baru-baru ini, suami telah meminta Muthiah memandu kereta ~ dari Tasik Kenyir ke rumah Muthiah, di Pengkalan Merbau dan dari rumah Muthiah ke Cabang Aring.

Pengalaman manis :

1-Muthiah berjaya memotong sebuah motosikal sewaktu di Pelong. Penunggangnya ~ wanita :) Sepanjang perjalanan, banyak kereta yang pintas Muthiah. Kira rekodlah…
2-Muthiah belajar menggunakan gear tinggi dan gear rendah.
3-Pertama kali Muthiah memandu melebihi 20km/jam ~ dalam 80km/jam. Selalunya, paling tinggi 20km/jam (dekat kawasan rumah).
4-Belajar ~ apa hendak buat apabila berhadapan dengan lubang.

Pengalaman pahit :

Satu sahaja iaitu sewaktu dimarahi tok guru sewaktu di Aring. Bagi sesiapa yang pernah melalui tempat ini, tentu tahu keadaan jalannya. Sudahlah sempit, berlubang-lubang pula. Berbanding di Tasik Kenyir, jalannya besar. Jadi, mudah bagi kereta lain untuk memintas Muthiah tetapi tidak di Aring, jalannya sempit. Hendak dijadikan kereta. Banyak pemandu yang terpaksa stres memandu di belakang Muthiah. Muthiah pun lagi stres sebenarnya.

Jadi, Muthiah cuba memandu lebih laju tetapi tiba-tiba… ada lubang besar dan jalannya pula sempit di hadapan. Dalam kegabraan dan ketidakselesaan, Muthiah tidak dapat mengawal kereta dan akhirnya, kereta yang Muthiah naiki pun mati di tengah jalan (betul-betul dekat lubang). Mujur tidak ada kenderaan lain pada arah bertentangan. Muthiah sudah tidak ada mood untuk drive tetapi tok guru tetap suruh Muthiah pandu. Katanya, “lagi susah, lagi baik.”

Cerita lawak :

Muthiah beritahu suami, “Tengok, semua kenderaan pintas Muthiah. Perlahan sangatkah Muthiah pandu…”

Apabila Toyota pintas, suami kata, “Itu Toyota, cc besar. Sebab itu boleh pintas.” Lega Muthiah. Maknanya, tidaklah teruk sangat pemanduan Muthiah.

Seterusnya, adalah Honda dan kereta-kereta ‘besar’ lain memintas. Jawapan suami tetap sama, “Itu kereta polan, cc besar. Sebab itu boleh pintas.”

Tiba-tiba, ada sebuah kereta yang sama jenis dengan kereta yang Muthiah naiki memintas Muthiah. Muthiah pun berkata, “Tengok, kereta sama pun boleh pintas.”

Suami menjawab, “Kereta sama tetapi enjin berbeza bla bla bla…” Baik… Muthiah boleh terima.

Namun, akhirnya… sebuah motor kapcai pintas Muthiah… Hmmmm… suami tetap memberi alasan yang sama tetapi tidak sama sekali dapat membohongi Muthiah yang sudah nampak kebenaran. Chewah, bahasa…

Inilah serba-sedikit pengalaman manis, pahit dan lawak yang Muthiah harungi sewaktu cuti perayaan baru-baru ini.

Muthiah : Moga-moga selepas ini markah pemanduan Muthiah meningkat. Asyik-asyik bawah 50%. Berilah tinggi sedikit, baru termotivasi.
Labels: 0 comments | | edit post

Argh... stres!!!


Assalammualaikum. Muthiah sebenarnya hendak berehat tetapi tidak dapat lelapkan mata. Suami pula perlu membereskan kerjanya yang belum selesai. Jadi, baik menulis.

Hmmm… Stres… pernah rasa tertekan atau segala sesuatu yang seangkatan dengannya???

Sewaktu muda-muda dahulu… bilamana Muthiah stres, Muthiah akan hubungi papa Muthiah. Haha… paling ketara sewaktu bekerja di bank. Hari-hari telefon. Mungkin kerja tidak serasi dengan Muthiah. Bukannya tidak dapat buat pun bahkan mendapat pujian senior dan bos lagi tetapi itulah (huhu… sebab itulah dilantik menguruskan billing).

Bilamana berpindah tempat kerja di YMH… kerja banyak dan multi-tasking juga tetapi tidak stres ;) Mungkin kerana minat dan persekitaran yang baik. Telefon juga papa di kampung tetapi tidak sekerap dahulu ~ hari-hari.

Hmmm… selain papa, Muthiah bercerita juga dengan orang yang Muthiah percaya dan sayang. Siapa ek? Hasilnya… setelah bercerita, akan berasa lebih nyaman dan tenang.

….

Bilamana sudah berumahtangga… manusia yang paling dekat dengan kita adalah suami kita. Hendak bercerita dengan kawan-kawan atau keluarga… segan. Maklumlah, sudah dimiliki (sementara) sebelum kembali kepada-Nya. Alhamdulillah, Muthiah dikurniai Allah suami yang memahami dan penyayang.

Namun… pernah atau tidak (bagi mereka yang sudah berumahtangga)… ada juga sesuatu yang tidak dapat diceritakan kepada suami kita? Bahasa mudah, tidak dapat dikongsi bersama suami…

Sebelum bernikah… kita mempunyai beberapa orang teman yang bisa menjadi pendengar kata hati kita. Ibu bapa kita… sahabat-sahabat karib… teman sepejabat… murabbiah…
Selepas bernikah??? Lain pula rasanya hendak berkongsi cerita… Akan tetapi, bagaimana pula halnya bilamana kita tidak mampu untuk meluah rasa???


Ya, betul… Inilah kelebihan orang yang beriman. Orang yang tahu bahawa ada yang lebih dekat dengannya… yang selalu melihat dan menjaganya. Tidak lain dan tidak bukan, Allah yang Maha Esa.

Adoi… lari tajuk. Sebenarnya, Muthiah ingin berkongsi tentang ‘Cara menghadapi tekanan’. Muthiah dapat daripada rancangan Wanita Hari Ini. Isu yang dikupas ~ Tekanan Farawahida : Apakah kesudahannya (huhu… lupa tajuk sebenar).

1-Dekatkan diri kepada Allah.
2-Luahkan masalah dengan orang yang dipercayai.
3-Percayalah bahawa setiap masalah itu akan berakhir jua. Cuma masa yang menentukan.
4-Jangan duduk bersendirian.
5-Penuhkan diri dengan aktiviti berfaedah.

Jadi… tepuk dada tanya iman.

Muthiah : Selamat bermujahadah dalam menghadapi tekanan :)

Entah... aku memang penghasad... (ii)


Assalammualaikum. Kabare piye? Hehe… baru-baru ini, Muthiah sudah menulis tentang hasad. Ada ingat? Hmmm… hari ini… Muthiah hendak tambah informasi lagi. Selamat membaca dan selamat koreksi diri (sama-samalah kita).

Sebab hasad :
1-Permusuhan, kebencian dan perseteruan.
2-Inginkan kemuliaan dan ketinggian ~ tidak rela berada di bawah.
3-Memiliki sikap takabur, ujub, riyak serta sombong ~ lupa bahawa ada yang lebih tinggi daripadanya yakni Allah yang Esa.
4-Takut tidak tercapai matlamat/ tujuan ~ khuatir ada penghalang di hadapan.
5-Terlalu cintakan dunia ; pangkat dan kedudukan ~ tidak mahu orang lain lebih tinggi daripadanya.
6-Memiliki hati yang busuk, buruk jiwa (makhluk perosak) ~ tidak mati dengan semburan Ridset.

Pendirian orang yang dihasad :
1-Kembalilah kepada Allah ~ perbaharui taubat.
2-Bertawakal kepada-Nya ~ mohon kekuatan daripada Dia yang menjadikan.
3-Tidak membalas sikap jahat dengan kejahatan ~ namun, jangan sampai diperkotak-katikkan.
4-Berdoalah kepada Allah ~ Allah itu Maha Teliti penghitungan-Nya.
5-Berbuat baik serta berlaku adil kepada orang yang hasad ~ moga-moga ia akan insaf dengan kebaikan yang dilakukan.
6-Banyakkan berzikir kepada Allah ~ dengan mengingati Allah hati kan menjadi tenang.

Ubat penghasad :
1-Jangan membenci ~ bersihkan hati (dengan istighfar dan taubat) daripada sifat-sifat mazmumah.
2-Ketahuilah bahawasanya hasad itu memudaratkan diri sendiri.
3-Usah segan untuk memuji orang lain (tetapi jangan sampai ia terleka).
4-Beri salam ~ rendahkan diri dan hati di hadapan sesiapa sahaja.
5-Gunakan akal yang diberi Tuhan.

Muthiah : Hmmm...
Labels: 0 comments | | edit post

Bodohkah aku???


Assalammualaikum semua :) Ada sihat? Muthiah… Alhamdulillah… ‘ala kullihal ALHAMDULILLAH… Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih lagi mengizinkan Muthiah merasai nikmat KASIH dan SAYANG yang hakikatnya datang daripada-Nya.

Semalam, Muthiah dan suami ke Ipoh ~ ada urusan sedikit. Alhamdulillah, Allah gerakkan hati Muthiah untuk mengikut suami. Dalam perjalanan… suami mengantuk bangat… risau pula kalau ia memandu sendirian. Huhu…Kemudian, selesai segala urusan, kami ke Ipoh Parade.

Hmmm… hari ini, Muthiah ingin berkongsi serba-sedikit tentang jahil @ jahiliah. Tahukah kita apa itu jahiliah?

1- Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat ~ jahil bererti BODOH, TIDAK MENGETAHUI (ajaran agama Islam dan lain-lain) serta CETEK PENGETAHUAN.

Jadi, bilamana TIDAK TAHU… berusahalah untuk belajar agar menjadi TAHU. Kalau malas belajar dan tidak mahu ambil tahu… kekallah diri kita sebagai seorang manusia yang JAHIL atau… bahasa yang tidak sedap didengar ~ BODOH!

Fikir-fikirkan… renung-renungkan. Di manakah kita meletakkan diri kita… dalam membuat PEMILIHAN serta PENILAIAN? Hidup PAKATAN :) Opsss… Hahaha… (Tidak ada kaitan... tidak ada kaitan)...

2- YAKINI SESUATU SECARA SALAH

Rasanya sudah betul tetapi hakikatnya… realitinya tetap SALAH! Macam Robin Hood yang mencuri harta orang kaya untuk membantu golongan miskin (kalau mencuri harta orang miskin untuk menambahsenangkan orang kaya, apatah lagi). Pada kaca matanya, tidak salah berbuat demikian ~ untuk kebaikan juga namun… SALAH TETAP SALAH! Mencuri secara terbuka / tersembunyi itu sememangnya SALAH. Bukan sahaja SALAH dari sisi undang-undang dunia bahkan ISLAM juga mengharamkan umatnya MENCURI. Sesungguhnya, matlamat sama sekali tidak menghalalkan cara.

3- MELAKUKAN SESUATU YANG SALAH DAN BERTENTANGAN DENGAN ALLAH DAN RASUL

Fikirkanlah dari mata hati. Apakah yang bertentangan dengan Allah dan Rasul???

ARAK, JUDI, SEMBAH BERHALA - “Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.” Al-Maidah ayat 90.

ZINA -“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.” Al-Isra’ ayat 32.

Hmmm… banyak lagi, bukan? Menganiaya orang yang lemah, menindas mereka yang tidak berdaya, menipu, mencuri, rasuah dan ….

……
Selamat membaca dan berfikir ;)

Muthiah : Mohon maaf atas keterlanjuran kata dan bahasa. Sesungguhnya, gambaran ISLAM dapat dilihat daripada KEINDAHAN AKHLAK penganutnya. Yang baik, jadikan teladan... yang tidak elok... jadikan sempadan.
Labels: 0 comments | | edit post

Didiklah diri untuk AMANAH


Assalammulaikum semua. Apa macam kehidupan hari ini? Ada baik? Muthiah? ‘Ala kulihal… ALHAMDULILLAH. Syukur ke hadrat Ilahi kerana dikurniakan nikmat Islam dan iman. Masih lagi teguh terhadap kepercayaan dan keyakinan terhadap Allah yang Maha Esa, insya-Allah. Sesungguhnya, KEKUATAN itu hadir dan datang daripada Allah yang mencipta dan menjadikan ;)

Hmmm… hendak tulis tentang apa ya? Sebenarnya, Muthiah cuba edit artikel (yang pernah Muthiah tulis satu ketika dahulu). Namun, banyak pula kesilapan tatabahasa ~ jadi makin pening. Hehe…

Jom…

Terkenang zaman muda-muda dahulu. Muthiah kira, sewaktu Muthiah berada dalam darjah dua atau tiga. Hehe… papa sudah beri elaun bulanan. Muthiah lupa berapakah nilainya tetapi yang pasti, jika sewaktu darjah dua Muthiah dapat RM30 sebulan… darjah tiga Muthiah akan dapat lebih daripada itu. Boleh jadi RM40 atau RM50… boleh beli Ferrero Rocher…

Persoalannya, bukan tentang elaun bulanan tetapi…

Tersebutlah kisah satu cerita… bilamana masuk gaji papa, bermakna masuklah elaun Muthiah. Sebagai kanak-kanak, mestilah gembira. Sudah terbayang-bayang coklat kegemaran Muthiah. Bukan itu sahaja, sudah meleleh air liur terkenangkan ais krim ‘banana split’ yang dijual di kedai kek bersebelahan Giant (lama).

Dipendekkan cerita, sebelum papa menyerahkan duit tersebut kepada Muthiah, terlebih dahulu Muthiah mengambilnya. Bagi Muthiah, tidak ada salahnya sebab Muthiah pasti akan memperolehinya juga. Kemudian, papa menegur Muthiah. Katanya lebih kurang… “ADABNYA, Muthiah tidak boleh ambil sendiri… biar papa yang beri.”

Hmmm….

Fikir-fikirkan… (Contoh kes) :

1- Ibu menyuruh kita belikan gula. Aduh aduh… tidak ada duit kecil. Ambillah RM5.00 dahulu… Bakinya???

a) Kita pulangkan kepada ibu kita dan menantikan khabar gembira daripadanya. Mana tahu, ibu kan berkata, “Ambillah bakinya. Buat upah beli gula.” Apa lagi… beraya sakanlah kita. Alhamdulillah…

b) Kita terus ambil duit tersebut dan buat tidak tahu… seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Bukan duit orang lain… ‘Duit mak aku juga!’


2- Kita diamanahkan untuk menjual sesuatu barang oleh adik kita. Modalnya, adiklah yang keluarkan. Setelah bertungkus-lumus berniaga… Alhamdulillah, dapat hasilnya. Hasil jualan…

a) Kita beri kepada adik kita. Dalam hati, pasti mahukan habuan (tidak salah, bukan?). Iyalah… bukankah kita sudah berpenat-lelah membantunya. Kiranya, ‘win win situation,’. Adik untung, kita pun untung. Alhamdulillah… adik seorang yang memahami dan mengerti. Diberinya kita upah berniaga. Bukan sedikit, tahu?

b) Tanpa berfikir panjang… kita belanjakan hasil jualan yang kita terima tanpa memikirkan sesuatu selain daripadanya. Diakan abang… jadi, apalah sangat. Duitmu, duitku juga. Air dicencang tidak akan putus. Hehe… Lagipun... "Aku kan abang!!"

3- Kita hendak balik kampung tetapi duit tidak ada. Huhu…sedihnya… Nasib baik kita punya kakak yang mengerti dan memahami. Tanpa lengah, si kakak pun bank in duit buat adik kesayangannya.

Kita, apa lagi? Bersorak gembiralah… yahoo…. Namun, kita merancang, Allah juga merancang. Sebaik-baik perancang adalah Allah yang Maha Esa. Tup-tup… ayah kita outstation… berhampiran pula dengan tempat kita bekerja/ belajar. Jadi, balik dengan ayahlah. Duit yang diberi kakak tadi???

a) Kita pulangkan kepada kakak kita. Kita menurut budi bicara kakak sama ada mahu berikan (duit tersebut) pada kita atau menyimpannya kembali. Horay… kakak hadiahkan kepada kita.

b) Kita minta izin daripada kakak untuk menggunakan duit tersebut bagi tujuan lain. Maklumlah, sedang pokai. Kakak mesti faham punya. Yang penting, minta izin dahulu! Dan… kakak sememangnya faham.

c) Kita buat tidak tahu. Duit itu… AKU YANG PUNYA. KAKAK AKU YANG BERI!!!

Apapun keadaanya…
DIDIKLAH diri untuk AMANAH.
BELAJAR untuk menjadi seorang yang AMANAH.

Perkara yang kecil jangan terlalu dipandang enteng. Benar… ada perkara lain yang lebih besar yang harus/ mesti kita fikirkan tetapi bayangkan… jika AKHLAK sebegini yang kita amalkan… sejak dari KECIL… sehingga DEWASA dan BERTERUSAN setelah menjadi ibu/ bapa… akhirnya, lahirlah TABIAT BURUK dalam diri kita.

Lebih malang lagi bilamana tidak ada sesiapa yang mahu mengingatkan kita. Tidak ada siapa yang berani menegur kita kerana sememangnya kita sukar untuk menerima teguran. Akhirnya, jadilah kita diri kita… yang kita kira sudah cukup baik tetapi hakikatnya…

Setelah menjadi isteri dan ibu…

Huhu… kita hendak guna duit tetapi bujet bulanan sudah habis. Macam mana ya? Ah, buat apa hendak risau? Poket suami kan sentiasa penuh. Lagipun, sejak kecil… kita sudah terbiasa untuk MENGAMBIL DAHULU/ MENGAMBIL SESUATU tanpa izin. Bukan dengan orang lain (keluarga kita sendiri) dan akhirnya… pasti dan tetap menjadi milik kita.

(Ingatlah… bukan mudah menjadi isteri solehah yang AMANAH terhadap harta benda suami. Namun, sekiranya kita berusaha untuk itu… insya-Allah, Allah pasti akan memberi jalan. Perlu diingat! Walaupun suami tidak berkira, maklumkanlah kepadanya terlebih dahulu.)

Cepat-cepat kita menyeluk poket sang suami. Ada pun note RM50.

Tanpa sedar, hendak dijadikan cerita… si anak memerhati dari jauh. Ibu buat apa, ya? Oh, sedang ambil duit ayah. Ayah pula sedang tidur… kepenatan setelah seharian di tempat kerja. Hmmmm… anak kecil ini sedang belajar sebenarnya. Daripada siapa? Tidak lain, ibu yang mengandung dan melahirkannya…

Rasanya… apakah yang telah kita lakukan, wahai ibu?

Ya, kita telah MENDIDIK anak kita secara tidak langsung. Dalam fikiran si kecil … “Hmmm… tidak apa. Bukan duit orang lain.” Sayang sekali… kita telah MENGAJAR anak kita untuk menjadi seorang yang TIDAK AMANAH. Puncanya adalah dari dalam diri kita sendiri.

Bilamana anak sudah meningkat dewasa, kita pula semakin berusia…


“Eh, mana duit yang aku simpan bawah bantal?” Kita bertanya sendiri. Hmmm… “Mesti Leman yang ambil. Anak aku yang seorang ini…..”

Salah siapa? Salah siapakah sebenarnya.

Huhu… Muthiah pun tidak pasti sama ada apa yang Muthiah hendak sampaikan ini tersampai atau tidak dalam hati semua namun pasti… Muthiah mahu menyeru sahabat-sahabat (termasuk diri Muthiah sendiri) untuk…

1- Menjaga amanah.

2- Tidak terlalu memandang enteng sesuatu perkara namun jangan terlalu membesarkan perkara lainnya. Nanti, diri sendiri yang stres. Setiap manusia, lain didikannya… lain juga penerimaannya.

3- Tidak salah meminta izin dahulu sebelum mengambil sesuatu yang bukan milik kita walaupun barang itu kelak pasti akan menjadi hak kita.


Muthiah : Selalu melihat dan memerhati dan …

Mati!!!!



Teringat sewaktu berusia lima tahun. Sebelum tidur, mama mendodoiku dengan lagu asmaul husna (nama-nama Allah). Selain itu, mama juga mengajarku zikir-zikir munajat yang tidak kuketahui maknanya. Hmmm… bukan itu sahaja bahkan mama turut mendidikku melazimkan diri memberi salam kepada ahli kubur. Kemudian, menyedekahkan al-Fatihah buat mereka di sana. Mama oh mama. Moga rohnya dicucuri rahmat.

“Siapakah Tuhan kamu? Siapakah Nabi kamu? Apakah agama anutanmu?...”

Terasa senang soalan di kuburan. Tuhanku Allah, nabiku Muhammad SAW dan agamaku anutanku, Islam. Setelah dewasa, aku berfikir kembali, sesenang itukah sewaktu temuduga yang diajukan malaikat Allah? Maka, boleh kuhafal dari awal lagi. Adakah cukup sekadar menghafal jawapan itu? Tidak!! Tidak sama sekali. Sebenarnya, perlu bekal yang secukupnya.

Jika mahu mendapat 4.0, perlu bersedia dari awal sebelum tiba waktu peperiksaan. Kuliah perlu dihadiri, hendaklah fokus di dalam kelas, mesti menyiapkan tutorial dan membuat pelbagai latihan. Semua ini adalah sebagai persediaan sebelum menempuh peperiksaan akhir. Dengan kata lain, perlu study smart dan tidak study last minute.

Benar, ada yang mampu cemerlang, gemilang dan terbilang meskipun belajar pada saat-saat akhir tetapi tidak semua orang mendapat kelebihan dan keistimewaan itu. Setelah membuat persedian rapi (well prepared), kita sendiri pastinya akan yakin tatkala memasuki dewan peperiksaan. Ditambah dengan keakraban dengan pensyarah yang mengajar. Membolehkan kita mendapat tips yang tidak semua pelajar (lain) perolehinya.

Bagaimana pula persiapan kita dalam menghadapi mati? Adakah kita telah well prepared sebelum berhadapan dengannya? Abul Laits ada menyebut, “Siapa yang yakin akan mati, maka seharusnya bersiap sedia menghadapinya dengan melakukan amal yang soleh dan meninggalkan amal kejahatan. Hal ini kerana, tidak seorang pun yang mengetahui bilakah mati itu akan datang kepadanya.”

Maka, bersediakah kita? Atau kita masih ragu-ragu sama ada kita akan kekal hidup di dunia atau akan mati bertemu Tuhan. Ingatlah! Tidak ada sesuatu pun yang kekal di alam fana ini melainkan Allah yang Esa. Kata-kata hukama ada menyebut, “Wahai manusia, dahulu saya bercita-cita. Namun ajal merintanginya. Taqwalah kepada Allah semata. Yang menentukan tercapai tidaknya amalan kita.”

Mati itu pasti cuma tidak kita tahu waktu dan ketikanya. Sampai waktu, nyawa kita akan diambil oleh Dia yang mencipta. Entah bagaimana diri kita waktu itu. Adakah kita mati dalam keimanan atau sewaktu sedang alpa melakukan kemaksiatan? Nauzubillah. Moga Allah melindungi kita daripada azab-Nya.

Salman al-Farisi pernah berkata, “Ada perkara yang menghairankanku sehingga aku ketawa dan ada perkara yang menyedihkanku sehingga aku menangis. Adapun yang membuatkanku ketawa ialah:

i) Orang yang panjang angan-angan dalam hidupnya padahal ia dikejar maut.

ii) Orang lupa terhadap maut padahal maut tidak pernah melupakannya.

iii) Orang yang ketawa padahal ia belum mengetahui sama ada Allah redha terhadap perbuatannya atau tidak.

Sedangkan yang membuatkan aku menangis:

i) Aku akan berpisah dengan sahabat-sahabat dan kawan-kawan.

ii) Memikirkan kelak apabila berhadapan dengan Allah, ke mana aku akan ditempatkan.”


Kita sedar bahawa kita akan kembali kepadanya tetapi kita seolah-olah telah dilupakan oleh tingginya angan-angan dan cita-cita. Kita berusaha mengejar impian sehingga lupa bahawa hidup ini ada batasannya, ada hadnya. Kita terlalai bahawa apabila sampai waktu yang telah ditetapkan, tiada siapa yang dapat membantu kita. Firman Allah di surah Yunus ayat 49 yang bermaksud, “…apabila tiba ajal seseorang kamu, tidak akan terdahulu dan tidak akan terkemudian sedetikpun dari waktu yang telah ditetapkan.”

Kita lupa dengan bekalan yang kita bawa sebelum menempuh peperiksaan yang lebih besar daripada peperiksaan yang ada di atas dunia ini. Sebagaimana kita bersungguh-sungguh untuk mendapat 4.0 dalam peperiksaan, kita juga perlu bersungguh-sungguh dalam mengejar syurga Allah.

Kelihatan, seolah-olah sama pengaplikasiannya tetapi sebenarnya jauh berbeza. Andai kita gagal dalam peperiksaan, kita boleh mengulang kertas (repeat paper) berkenaan. Akan tetapi, dalam berhadapan dengan Tuhan, kita hanya punya dua pilihan. Sama ada kita kan masuk ke dalam syurga atau akan dicampakkan ke dalam api neraka. Jika syurga tempat kita ditempatkan, beruntunglah kita. Akan tetapi, jika nerakalah yang menjadi tempat diam kita, rugilah kita selamanya.

Firman Allah di dalam al-Quran (tidak pasti surah apa), “Setiap jiwa akan mengalami mati dan tidak akan disempurnakan balasan terhadap amal perbuatanmu melainkan pada hari kiamat. Oleh itu, barangsiapa yang dijauhkan dari neraka dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya dia adalah orang yang beruntung. Ketahuilah olehmu bahawa kehidupan dunia ini hanyalah tipu daya yang mempesonakan.”

Mati oh mati. Mereka sering ketawa seolah-olah mati itu tidak akan kunjung tiba. Mereka mengadu domba, memfitnah dan mencela. Di manakah kita meletakkan diri kita?

Sedarlah. Dengan mengingati mati, hati pasti kan tenang. Hati tenang kerana kita tahu hala tuju hidup kita. Kita sedar akan adanya pengakhiran penghidupan kita dan kita punya matlamat yang perlu dicapai. Kita tidak punya masa untuk melakukan kemungkaran yang boleh menghancurkan kita setelah dijemput Tuhan. Kemaksiatan yang menyebabkan Allah tidak memandang kita.

Abu Hamid al-Lafaf ada menyebut, “Sesiapa yang mengingati mati akan dimuliakan dengan tiga macam:

i) Segera bertaubat
.
ii) Tidak tamak.

iii) Rajin beribadah.

Sedangkan orang yang lupa mengingati mati akan terkena penyakit tiga macam :

i) Menunda-nunda taubat.

ii) Tamak dalam mencari rezeki.

iii) Malas beribadah.”

Maka, usahlah kita leka. Bertaubatlah atas kemaksiatan yang dilakukan. Pohonlah keampunan Allah sentiasa. Tidak rugi andai kita rajin membasahi lidah dengan istighfar. Tidak salah andai kita mengorbankan waktu tidur kita dengan solat menghadap Ilahi. Hal inilah yang kelak membantu kita di hadapan Tuhan.

Sesungguhnya, hidup di dunia bersifat sementara. Kita perlu berusaha dalam mengecap kehidupan dunia tetapi jangan sampai dunia melekakan kita dan mendorong kita menjadi seorang yang tamak dan haloba.

Kita mencari rezeki di bumi Allah tetapi tidak pernah mahu membelanjakannya ke jalan yang diredhaiNya. Kita lupa terhadap pengabdikan kepada Tuhan yang Esa. Ibadah itu ditunda-tunda. Kita berkira-kira untuk kembali mendekatkan diri kepada Allah apabila usia bertambah sedang kita lupa bahawa ajal tidak pernah mengenal umur dan usia. Justeru, renung-renungkanlah wahai teman…

Sumber : Kasmuri Selamat MA, Darul Nu’man, 1001 Mutiara Hikmah & Kata Nasihat

Salam ~ Assalammualaikum


“Assalammualaikum ya ukhti. Assalammualaikum ya akhi.”

Ucapan ‘Assalammualaikum’ merupakan doa KESEJAHTERAAN dan KESELAMATAN yang harus dilafazkan ketika seorang Muslim bertemu dengan Muslim yang lain. Di samping itu, salam itu sendiri membawa maksud aman, sejahtera, selamat dan sebagainya.

Menjawab salam hukumnya wajib. Ia merupakan sunnah Rasulullah yang semakin dilupakan. Ia berperanan untuk membina PERPADUAN dan KESELAMATAN di kalangan umat Islam. Sabda Nabi SAW, “Apakah kamu mahu aku tunjukkan sesuatu apabila kamu lakukan, kamu bersatu padu dan berkasih sayang… iaitu sebarkan ucapan ‘assalammualaikum’ di atara kamu,” HR Muslim.

Sayangnya… dewasa ini, para remaja dan masyarakat lebih gemar mengucapkan ‘Good morning’, ‘Good evening’, ‘Hai, Sayang’ berbanding ungkapan yang diamalkan Rasulullah .Tidak salah untuk melafazkan yang sedemikian tetapi adalah lebih baik andai kita dapat mengikuti apa yang diamalkan Nabi SAW dalam pengucapan.

Bukan itu sahaja, berlaga pipi dan hidung juga seolah-olah telah menjadi trend masa kini~ begitu masyhur dipraktikkan. Ditambah-tambah… ditokok-tokok dengan rancangan hiburan terkini turut mempromosikan cara dan gaya hidup yang diamalkan oleh Barat ini.

Mungkin mereka merasakan bahawa cara ini lebih bertamadun dan dapat mengakrabkan perhubungan. Bukankah negara Barat merupakan negara maju yang harus diikuti? Ya! Amerika Syarikat merupakan pemegang kuasa dunia tetapi kita sering kali terlupa tentang kehancuran akhlak muda-mudi di sana serta kezaliman yang dilakukan mereka atas nama keamanan sejagat.

Adakah kita mahu menjadi seperti mereka? Jika hal sebegini berterusan, maaf cakap tidak mustahil satu hari, amalan bercium di khalayak ramai menjadi trend baru yang melanda muda-mudi harapan bangsa. Hmmm… tengoklah facebook… friendster… tidak ada lagi rasa segan memaparkan gambar-gambar yang… Nauzubillah…

Teman, tanyalah pada diri. Apakah yang kita mahukan di dalam kehidupan ini? Adakah kemajuan dan kemegahan SEMATA-MATA tanpa melihat kepada keberkatan Ilahi? Jangan tertipu dengan duniawi yang menghancurkan. Kembalilah kepada fitrah kita yakni agama Islam itu sendiri. Amalkan Islam secara keseluruhan dari sebesar-besar aspek sehinggalah kepada aspek yang kecil. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud, “Wahai orang-orang beriman, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya…”

Menyebarkan salam contohnya. Sekali pandang, bukanlah perkara yang besar. Tiada keringat yang dikeluarkan. Hanya perlu mengungkapkan “Assalammualaikum.” Mudah bukan? Akan tetapi, masih ada yang mempersoalkan. Kenapa perlu menitikberatkan perihal salam sedang banyak lagi hal yang lebih besar yang harus difikirkan?

Benar! Banyak perkara yang lebih penting harus diutamakan tetapi ketahuilah bahawa hal yang kecil ini turut memberi impak kepada perkara yang besar. Melalui salam, ukhwah akan bersemi. Daripada ukhwah terpaut rasa sayang dan cinta. Apabila ikatan hati itu kuat, pastinya umat Islam itu mampu membina kekuatan dalam mengharungi cabaran hidup masa kini. Justeru, berilah salam… Firman Allah dalam suruh Yunus ayat 10, “Doa mereka di dalamnya (syurga) ialah ‘Subhanakallahumma’, dan salam penghormatan mereka ialah ‘salam’.”

Ibrahim bin Adham ada menyebut bahawa ucapan salam yang ikhlas akan menghindarkan kita daripada kejahatan dan musibah sebagaimana ucapan fitnah akan menimbulkan dosa dan malapetaka. Apa yang boleh diperhatikan di sini ialah keikhlasan dalam memberikan salam. Perlu bagi kita untuk menyebarkan salam semata-mata kerana Allah dalam merapatkan ukhwah sesama kita.

Apabila hati ini bersih dalam mengharapkan keredhaan Allah, pastinya Allah akan mentautkan hati-hati kita sekaligus memberi keamanan kepada kita semua. Tiada rasa benci dan busuk hati sesama manusia. Setiap makhluk ciptaan Tuhan punya kelebihan dan kelemahan masing-masing dan Allah itu Maha Adil dalam memberikan kurniaan-Nya.

Imam ar-Razi telah mengaitkan ucapan salam dengan tiga sifat orang Mukmin iaitu:

i) Jika engkau tidak dapat memberi manfaat kepadanya, maka jangan engkau menyusahkan dia.

ii) Jika engkau tidak mahu menyusahkan dia, maka jangan engkau mendukakan dia.

iii) Jika engkau tidak mahu memuji dia, maka jangan engkau mencela dia.

Maka, usah gusar untuk menyebarkan salam. Jangan segan dan malu. Rendahkan diri di hadapan seseorang yang hendak kita ungkapkan salam kepadanya. Tidak salah memberi salam kepada orang yang kita rasakan lebih rendah darjat atau kedudukannya daripada kita. Ingatlah! Manusia yang paling mulia di sisi Allah ialah mereka yang bertaqwa.

Bilamana orang lain sibuk mempraktikkan cara salam ala Barat, kita harus menegakkan SYIAR kita dengan terus mengamalkan sunnah Rasulullah. Memang Islam itu kelihatan asing (masa kini) pada mata manusia tetapi janganlah kita menjadikan ia asing pada pandangan hati kita.

Yang penting ialah penilaian Allah. Allah tahu apa-apa di dalam jiwa kita. Allah tahu kita berusaha untuk terus mengamalkan sunnah Nabi ini meskipun kadang-kadang terasa janggal di hadapan manusia. Moga kita kan menjadi orang yang ‘hebat’ itu di sisiNya.

“ASSALAMMUALAIKUM….”

Muthiah : Teringat tatkala bekerja di bank dahulu. Bilamana memberi salam (kepada sesama Muslim), orang nampak pelik tetapi bilamana orang bersin dan berkata, “Excuse me…” hmmm…
Labels: 0 comments | | edit post

Hati ~ Raja


“Ketahuilah bahawa di dalam badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, maka baiklah badan keseluruhannya. Dan apabila ia rosak, maka rosaklah keseluruhannya. Ketahuilah! Itulah HATI.” HR Bukhari dan Muslim.

Sukarnya menjaga hati. Kadang-kadang, serasa berhadapan dengan tohmahan persekitaran lebih mudah dihadapi daripada berhadapan dengan persoalan hati. Hati itu sering kali sakit dan berdenyut kencang. Hati yang acap kali dikotori oleh debu-debu dosa yang mencacatkan keikhlasan dalam perjuangan. Hati yang tidak suci menyebabkan perjalanan dakwah terbantut dan tersekat. Begitu lemah hamba ini. Hanya mengharapkan nusrah dan kekuatan daripada-Nya.

Hati! Kebaikan dan kejahatan seseorang bergantung kepada hatinya. Hati adalah pusat yang menerbitkan tenaga perbuatan menurut arahannya, sedang anggota-anggota lain bertindak untuk melaksanakan pekerjaan yang diarahkan dan bekerja sebagai khadamnya. Wah! Begitu hebat kuasa hati.

Hati yang baik menyebabkan seluruh badan menjadi baik. Hati itu sentiasa ingat kepada Allah dan mematuhi segala perintah-Nya. Hati itu takut melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah. Ia hanya mahu melakukan kebajikan agar dirinya diterima oleh Tuhan yang mencipta. Apa yang Allah suka, itulah yang dikejarnya.

Manakala hati yang rosak adalah hati yang dipengaruhi serta dikuasai sepenuhnya oleh hawa nafsu serta syahwat jahat sehingga tidak lagi mengendahkan segala apa yang haram. Dia lupa ada malaikat yang mencatit setiap amal yang dilakukannya. Ia teralpa bahawa Allah itu adalah sebaik-baik Pengawas buat makhluk-Nya. Maka, rosaklah seluruh anggota badan angkara hati yang rosak. Akibatnya, membawa bencana bagi diri dan kehormatannya. Pendek kata, hati adalah raja bagi sekalian anggota.

Justeru, cuba koreksi hati kita. Adakah hati kita tergolong dalam lingkungan hati yang sihat atau pun hati yang sakit? Andai hati kita sihat, jagailah ia sentiasa agar tidak terjerumus bersama-sama hati yang sakit, hati yang mati. Bagaimana mahu mengenalpasti hati yang sihat? Mari kita kongsi bersama. Renung-renungkan… Banyak tanda orang yang sihat hatinya. Antaranya ialah:

i) Hati itu sentiasa mencintai Allah yakni sering mengingati-Nya. Dengan kata lain, setiap perbuatan, didahulukan dengan meletakkan Allah di hadapan. Bak kata pepatah Inggeris, “Where ever you go, what ever you do, always put Allah in front of you.”

Bilamana kita sentiasa meletakkan Allah di hadapan kita dalam setiap tindakan, pastinya kemaksiatan akan dapat kita hindari kerana kita yakin bahawasanya ada yang sedang mengawasi dan memerhatikan diri kita.

ii) Hati yang sentiasa mendorong orang yang memilikinya untuk selalu kembali dan bergantung kepada-Nya. Dia menjadikan Allah sebagai Tuan Punya yang memiliki segala apa di atas muka bumi ini termasuklah dirinya. Allahlah tempat bergantung, Dialah tempat berharap dan kepada Dia juga kita memohon pertolongan serta perlindungan. Firman Allah, “Kepada Engkau kami mengabdikan diri dan kepada Engkau kami memohon pertolongan.” Al-Fatihah ayat 4.

iii) Hati yang fizikalnya berasa letih dalam melakukan ketaatan kepada Allah tetapi hati (sendiri) tidak pernah jemu dalam interaksi itu(antara dia dan Tuhannya). Dia garang terhadap dirinya dalam melakukan ketaatan dan berusaha menghindari kemungkaran yang mendatangkan kemurkaan-Nya.

Dia tidak mahu yang dicintainya itu tidak senang dengan tindakan yang ia lakukan. Melihat kepada Nabi SAW, beliau sendiri bangun bermunajat kepada Allah sehingga bengkak kakinya. Sedangkan Nabi itu adalah maksum dan terpelihara daripada perbuatan keji dan noda. Sabdanya dalam HR Bukhari, Tirmidzi dan Nasa’i, “Tidakkah kamu suka jika aku menjadi hamba yang selalu bersyukur kepada Allah?”

iv) Hati yang merindukan saat untuk berkhidmat kepada Allah melebihi segalanya. Apabila seseorang merasakan manisnya berinteraksi dengan Tuhannya, ia akan berusaha sedaya upaya untuk meneruskan ketaatan itu.

Tatkala ia terlupa dan teralpa, pastinya dadanya kan menjadi tidak keruan. Rasa sesak dan sebak di dalam dada hanya Tuhan yang tahu. Muhammad bin Abdullah as-Syibli pernah menyebut, “Jika engkau ingin merasai betapa manisnya berhubung dengan Tuhanmu, maka engkau harus garang terhadap dirimu. Apabila engkau telah merasai kemanisan perhubungan itu, tahulah engkau betapa pahitnya apabila engkau berpisah dengan-Nya.”

v) Hati itu akan tenang tatkala mengerjakan solat. Ia lupa permasalahan dunia yang menyesakkan fikiran. Dengan kata lain, hati yang sihat itu akan berasa damai dan tenteram apabila berada dalam solat. Ia tahu bahawa ia sedang berinteraksi dengan Pencipta yang Maha Tahu apa-apa yang terbaik buat dirinya. Sabda Nabi SAW, “Dan jadikanlah mataku sejuk dalam solat.” HR Nasa’i.

vi) Hati itu sentiasa memberi perhatian terhadap kualiti amal berbanding kuantitinya. Ia sering mahu melakukan yang terbaik untuk dihadapkan kepada Tuhannya. Dari semasa ke semasa, ia sering memperbaiki amalannya demi mengharapkan redha Tuhannya. Kata seorang pakar motivasi, “Andai ada 100 umat terbaik, aku adalah salah seorang daripadanya. Andai ada 50 umat terbaik, aku adalah salah seorang daripadanya. Andai ada 25 umat terbaik, aku adalah salah seorang daripadanya. Andai ada 10 umat terbaik, aku adalah salah seorang daripadanya. Andai ada 5 umat terbaik, aku adalah salah seorang daripadanya. Andai ada SEORANG umat terbaik, akulah orang itu.”


Teman… Tempatkanlah hati kita pada lokasi hati yang sihat. Hati yang sihat ini, meskipun tidak berjumpa dengan doktor pakar, tetap perlu dipelihara tahap kesihatannya (sentiasa). Mana tahu, kalau-kalau hati itu sedang sakit, nazak atau mahu mati umpamanya. Kena pula penyakit barah. Begitu mudah merebak dengan sekelip mata. Dikhuatiri, kelak akan menyukarkan diri untuk mengubati hati yang sedang tenat itu.

Maka, menjadi kewajiban bagi diri kita untuk sentiasa memelihara kesucian hati. Jangan sampai ia kotor dan usah dibiarkan ia sakit. Pepatah Inggeris ada menyebut, “Prevention is better than cure.”

Jadikanlah hati itu sebagai raja yang baik agar sekalian rakyat kan beroleh kemanfaatan daripadanya. Ingatlah! Hatilah tempat dipusatkan keimanan dan keyakinan terhadap Allah. Maka, janganlah dicemari. Jangan dibiarkan nur Ilahi sukar menembusi dada kita bilamana ia dikotori oleh debu-debu dosa yang merugikan. Sabda Nabi SAW, “Tidak lurus iman seorang hamba hingga lurus (terlebih dahulu) hatinya.”

Ibrahim bin Adham ada menyebut, “Hati orang yang beriman adalah bersih seperti cermin, kerana syaitan tidak dapat memperdayakannya dengan sesuatu, sebab ia lebih dahulu melihatnya. Akan tetapi, apabila ia sekali melakukan dosa, Allah campakkan ke dalam hatinya satu tompok hitam. Kalau ia bertaubat, hilanglah warna kehitaman itu. Andaikata ia kembali berbuat dosa, dan tidak bertaubat, timbullah semula tompokan hitam itu sehingga seluruh hatinya menjadi hitam. Waktu itu, tidaklah berguna lagi nasihat yang diberikan kepadanya.”

Muthiah : Sukarnya memelihara hati...

Adakah kita seorang PENGHASAD? (i)


Peringatkanlah… kerana ingat memperingati bisa memberi manfaat kepada orang lain.

Jom renung… eh! Renung dan fikir… eh! Fikir dan muhasabah kembali ;)

Pernahkah kita memiliki perasaan hasad? Hmmmm… ‘Not sure…’

Pengertian hasad :

1-Bercita-cita agar nikmat yang dimiliki orang (yang dihasad) itu hilang.
2-Beimpian mahu memiliki sesuatu yang dimiliki orang yang beroleh nikmat itu (bukan dalam konteks persaingan sihat).
3-Berasa benci serta marah apabila melihat kebaikan atas orang yang dihasad.

Pembahagian hasad :
1-Bencikan nikmat yang dimilikinya (orang yang dihasad) secara mutlak [perbuatan yang dikeji syarak]. Apabila ia marah, ia sakit dengan apa yang dibenci malahan membawa penyakit ke dalam hatinya.
2-Bencikan kelebihan yang dimiliki (orang yang dihasad) sedang kenimatan itu tidak ada pada dirinya bahkan ia mahukan yang lebih baik daripada itu.

Hakikat hasad :
1-Berasa putus asa dengan kebaikan/ kelebihan yang dimiliki orang lain.
2-Berbeza dengan ‘berlumba-lumba’ (dalam mengejar kebaikan). Persaingan sihat dalam memperoleh sesuatu yang baik adalah digalakkan ~ sunat.
3-Menurut Jauhari, “Hakikat hasad ~ Cita-cita menghilangkan nikmat yang diberikan kepadanya (orang yang dihasad).”
4-Imam Nawawi ada menyebut, “Yang hakiki, sesiapa yang bercita-cita menghilangkan nikmat mereka yang diberi nikmat ~ hukumnya haram.”

Manusia yang hasad :
1-Mereka yang menafikan qadak dan qadar Allah SWT.
2-Sahabat kepada iblis laknatullah.

Jadi… di manakah kedudukan kita? Istighfarlah sentiasa agar terpelihara daripada sifat keji ini. Sesungguhnya, hidup seorang manusia ini tidak lama. Sampai waktu, ia pasti kan kembali kepada Pencipta.

Muthiah : Sedih mengenangkan mereka yang hasad…
Labels: 0 comments | | edit post

Maaf ....


Dalam peristiwa pembukaan Mekah, Muhammad bertanya kepada kaum Quraisy, “Apakah yang kamu rasa aku akan lakukan kepada kamu semua?”
Berkata Quraisy, “Kamu adalah saudara yang mulia dan anak kepada saudara kami yang mulia.”
Kata Muhammad, “Kamu semua bebas.”

Begitu mulia pekerti Nabi junjungan, Muhammad SAW. Walaupun disakiti, dimusuhi dan ditentang sekian lama, mereka semua tetap mendapat kemaafan daripadanya.

Bagaimana pula halnya dengan kita yang mengakui membawa perjuangan Nabi? Adakah kita juga mudah memaafkan orang walau diri dihina dan dikeji? Mudahkah kita menguntum senyuman dengan ikhlas di hadapan insan-insan yang pernah membuatkan kita MENANGIS dan KECEWA? Muthiah…. Sukar tetapi… entahlah…

Teringat peristiwa Perang Uhud. Muhammad SAW menangis teresak-esak tatkala melihat mayat Sayidina Hamzah yang dibunuh dengan kejamnya oleh Wahsyi. Bukan itu sahaja malahan hati beliau dimakan manakala telinga dan hidungnya dipotong oleh Hindun binti Utbah, isteri Abu Sufyan yang telah bersumpah untuk membalas dendam terhadap Sayidina Hamzah yang menyebabkan kematian bapanya, bapa saudaranya serta abang kandungnya.

Berkata Muhammad SAW, “Demi Allah! Belum pernah aku lalui dalam hidupku sesedih suasana ini.”

….

Hmmm… contohilah Rasulullah. Peribadi baginda terbukti begitu mulia. Akhlaknya tersohor merata-rata. Indahnya Islam dipamerkan melalui kecantikan tingkahlaku baginda yang membawa imej agama tauhid itu sendiri. Nabi SAW tidak berdendam… tidak dan tidak…

Seorang pendakwah perlu MENDIDIK DIRI dengan AKHLAK MULIA. Bilamana ia bergerak sebagai penyebar agama Allah, secara tidak langsung ia mencerminkan apa yang dibawa. Walaupun Islam itu cantik dan indah, akan nampak hodoh lagi jelek disebabkan oleh ketidakprihatinan pendokongnya terhadap agama Islam itu sendiri.

Mereka lupa, titik hitam yang kecil pada sehelai kertas lebih mudah disedari orang berbanding warna putih yang terdapat pada keseluruhan kertas itu. Dengan kata lain, orang lebih mudah melihat kesalahan dan keburukan daripada kebajikan yang kita lakukan.

Orang lebih ingat rasa sakit berbanding kesenangan yang dikecapi. Sepertimana seseorang itu lebih mudah meratapi kesakitan yang dialami sekali-sekala berbanding mengingati nikmat sihat yang telah Allah anugerahkan kepadanya. Ingatlah wahai teman! Kata-kata dusta mengenai kejelekan peribadi kita kan dapat ditangkis dengan akhlak sebenar diri yang tinggi lagi mulia.

Antara akhlak mulia yang harus dimiliki oleh setiap insan ialah sifat PEMAAF. Mudah untuk diperkata tetapi sukar untuk dipraktikkan dalam kehidupan. Lebih-lebih lagi apabila KESAKITAN yang dirasai meninggalkan kesan yang mendalam di dalam hati.
KEBENCIAN yang meluap-luap menyebabkan syaitan bersuka ria. Sukar untuk tersenyum ekoran dendam yang membara.

Rasa meluat, semuanya ada. Perasaan ini lahir disebabkan rasa marah dalam diri. Sukar untuk mengungkap maaf. Kadang-kadang, rayuan kemaafan sukar diterima. Sehingga ada yang berkata, “Andai parut ini tidak hilang. Sampai bila-bila tak kan memaafkan.”

Nah! Itulah manusia. Sukarnya memberi maaf sedang Allah yang Maha segalanya itu mudah sekali membuka ruang keampunan buat hamba-Nya yang sering lalai kepada-Nya ~ Boleh rujuk artikel bertajuk ‘Akhlak Nabi Junjungan, 28 September 2009,’.
Moga-moga kan dapat memotivasi dan mendorong diri kita dalam melembutkan hati kita untuk memberi kemaafan kepada orang lain.

Udah rujuk? Hehe…

Justeru, janganlah berasa sukar untuk memberi maaf. Maaf itu ibarat sebutir permata yang amat tinggi nilainya malahan lebih berharga daripada itu. Memaafkan orang bukan sahaja dapat menenteramkan hati orang yang membuat silap terhadap kita bahkan boleh melapangkan dada kita. Apabila hati kita bersih dan suci daripada sebarang kekotoran, hidayah kan mudah menyerap dalam lubuk hati kita. Maka, usahlah lepaskan peluang keemasan ini…

Akhir sekali, renung kembali. Kenapa sukar untuk memberi maaf? Letakkan diri kita sebagai pesalah. Lantaran cahaya yang Allah beri, kita menginsafi kesalahan lalu lantas bertindak untuk memohon kemaafan daripada orang yang telah kita aniaya. Tiba-tiba, maaf yang kita harapkan ditolak. Semangat yang berkobar-kobar dalam diri dalam memperbaiki diri mungkin sedikit luntur…

Huhu…bukan mudah untuk memaafkan orang lain tetapi ingatlah, Allah itu sentiasa dekat dengan orang-orang yang bersabar. Ingatlah! Maaf itu sesungguhnya lebih baik. Orang yang gagah itu bukanlah dikatakan orang yang menang di gelanggang lawan (gusti) tetapi ia dikatakan hebat kerana murah memberi kemaafan kepada orang yang menzaliminya.

Maka, siapakah yang mahu kita ikut? Adakah kita lebih mengutamakan keinginan desakan nafsu atau teladan yang ditunjukkan nabi SAW? Seorang teman pernah menyebut, “ Kenapa sukar memberi maaf? Allah yang Maha Esa, diengkari dan tidak ditunaikan hak-Nya masih murah dengan kurniaan-Nya. Inikan pula diri kita sesama manusia yang tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan.”

Muthiah : Berbelit rasanya menulis. Al-maklumlah… lama bercuti… RAYA..

Mengajar/ dakwah melalui teladan (beratur)


Salam. Apa khabar semua? Hmmm… Muthiah sekarang sedang bertungkus-lumus menyiapkan P-SAKM. Baru siap muqaddimah dan mahu berehat seketika. Jadi, Muthiah ambil kesempatan ini untuk menulis blog. Mana tahu, ajal menjemput. Banyak pula yang belum dikongsi atau disampaikan.

Sewaktu Muthiah bekerja di YMH, satu pengalaman berharga yang pernah Muthiah kutip ialah bilamana berpeluang menemuramah mereka yang dikenali. Antaranya ialah Dato’ Harun Din, Dato’ Dr. Khoo Kay Kim, M. Nasir serta Amy Search. Banyak yang Muthiah belajar walaupun tidak terlalu mahir dalam dunia kewartawanan.

Pertama kali menemui Dr. Khoo Kay Kim, Muthiah rasa… ‘teruja bangat’. Sebabnya, papa Muthiah pernah bercerita tentang beliau. Maklumlah, anak didik Prof (Prof. Emeritus). Sesampainya di Universiti Malaya, Muthiah dibawa ke sebuah bilik (pantri), mungkin untuk keselesaan Muthiah (memandangkan bilik Prof. berselerak dengan buku).

Hmmm… yang ingin Muthiah ceritakan di sini ialah bilamana Prof. membukakan pintu bilik (pantri tersebut) serta memberi laluan kepada Muthiah. Awalnya, Muthiah menolak dengan lembut (untuk menghormati Prof. yang lebih tua). Bagi Muthiah, lebih baik mendahulukan beliau memandangkan Prof. bukanlah calang-calang orang. Akan tetapi, Prof. tetap meminta Muthiah jalan dahulu.

Menurut kata Prof., “Pada waktu kecil, saya diajar sebegitu. Saya diajar untuk sentiasa memberi laluan. Namun, situasi kini jauh berbeza. Di kantin, pelajar memotong laluan tanpa rasa apa-apa. Mereka sudah DIDIDIK begitu.”

Tambah Prof. lagi, “Zaman dahulu, kita dididik untuk MENGHORMATI ORANG TUA tetapi tidak zaman sekarang. Nilai sosial tidak lagi dititikberatkan. Ia tidak lagi penting dalam sistem pendidikan. Ibu bapa juga ‘KURANG AJAR’. Sebab itu anak-anak menjadi begitu.”

“… zaman dahulu, golongan muda perlu diajar. Sekarang, mana ada?” tokok beliau menjelaskan frasa ‘kurang ajar’ yang disebut.

Dapat tangkap atau tidak maksud yang tersurat dan tersirat daripada kata-kata Prof.? Fikir-fikirkan dan renung-renungkan… Hehe…

Dush dush. Di sini, Muthiah ingin berkongsi satu cerita yang mungkin dipandang enteng oleh masyarakat umum. Apalah sangat… bukan memberi kesan kepada diri pun? Tidak luak pun? Apa lagi???

Sewaktu Muthiah berbuka puasa di surau, kami perlu beratur untuk mengambil makanan (ala-ala buffet). Panjang juga barisan Muslimat hari itu. Tiba-tiba, datang seorang kakak (yang Muthiah kira usianya dalam lingkungan 30-an) memotong barisan Muthiah. Di belakangnya, 2 orang puteri sedang menuruti.

Muthiah? Muthiah senyap sahaja, tidak berkata apa-apa. Muthiah hanya memerhati tindakan kakak berkenaan. Ia mengambil makanan untuk dirinya dan juga 2 orang anak perempuannya (usia dalam 7 dan 10 tahun, mungkin). Hmmmm…

Apakah pengajaran yang boleh diambil?

1- Tidak mudah menjadi ibu sebenarnya. Ada mata yang memerhati setiap gerak-gerinya. Mata siapakah itu? Ya, tidak lain dan tidak bukan adalah anak-anaknya. Khuatir… kita khuatir akhlak yang tidak baik itu menjadi ikutan kepada anak-anak. Salah siapa?

2- Usahlah memandang enteng sesuatu perkara. Contohnya ialah potong barisan (tidak kira sewaktu mengambil makanan, di bank atau sewaktu ingin menaiki kenderaan awam). Ingat!!! Tidak semua orang boleh redha dengan tindakan jelik kita.

Bayangkan… sekiranya si Polan bin Polan sudah beratur selama lebih 1 jam untuk mendapatkan teksi. Kemudian, kita yang baru sampai terus memotong barisan dan mengambil haknya. Tidakkah zalim namanya itu? (Zalim : Tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya). Bayangkan jika Polan bin Polan itu menyumpah seranah diri kita. Bukankah satu doa yang tidak baik begitu?

Bukan itu sahaja… kita khuatir, tindakan tanpa sedar kita itu bisa mengundang FITNAH kepada agama kita. Renung-renungkan… kita berpakaian Muslimah namun… membuang sampah merata-rata, tidak beratur dan banyak lagi. Rasanya, siapakah yang akan dipersalahkan?

Ambil contoh mereka yang memakai tudung tetapi melakukan sesuatu yang dilarang Allah, dibenci masyarakat. Acap kali kita mendengar suara-suara berkata, “Tengok, budak pakai tudung pun buat macam itu. Aku yang tidak pakai tudung…” Manusia ini lupa… yang salah, bukanlah tudung, tetapi insan yang memakai tudung itu (Boleh jadi ia lupa, alpa mahupun jahil). Jadi???

3- Islam itu merangkumi segala aspek kehidupan. Kadang-kadang, kita prihatin terhadap sesuatu perkara tetapi mengabaikan perkara lainnya. Bukankah setiap kita ini pendakwah? Dan dakwah yang paling baik ditonjolkan melalui perilaku dan tindakan. Kita berbicara tentag menghormati orang lain tetapi tanpa sedar kita sebenarnya tidak menghormati mereka yang berada di sekeliling kita. Bukan itu sahaja bahkan kita sebenarnya tidak menghormati diri kita sendiri (dengan menjatuhkan maruah diri).

Justeru… jom kita beratur… Hehehe…

Muthiah : Teringat iklan di dalam radio (kisah seorang budak). ‘Tidak apa membuang sampah ke luar kereta.’ Ia nampak orang di sekelilingnya berbuat demikian. Akan tetapi, timbul konflik dalam diri. Apa yang ia nampak tidak sama dengan apa yang diperkata gurunya, ‘Entah apa yang dilihat betul atau cikgu yang betul???’

.... Oh.... biarkan si luncai terjun dengan labunya...

Sesudah Ramadhan melabuhkan tirainya


Salam. Apa khabar semua? Bagaimana dengan sambutan hari raya? Banyak dapat duit raya atau… banyak mengeluarkan duit raya? Hehe… biasalah… bilamana usia bertambah, banyak yang berubah. Kalau dahulu, kitalah yang mengira duit raya tetapi tidak kini.

Sudah mula puasa enam? Cayok-cayok. Jangan lepaskan peluang yang sedia ada. Sementara masih lagi bernyawa, kutiplah terus mutiara yang tersimpan, yang disediakan Allah buat kita makhluk-Nya. Katakan tidak pada sifat “PUTUS ASA”… usah sekali-kali berputus asa dalam mendapatkan rahmat-Nya. Usah sekali-kali berputus asa dalam memohon keampunan daripada-Nya.

Hmmm… hendak tulis apa ya? Lama tidak menulis santai. Jom koreksi diri :

1- Bagaimana pengibadatan kita sesudah raya? (ibadah khusus) – makin baikkah atau makin merudum? Masih sudikah membaca kalamullah (yang kita berkejar-kejar mahu mengkhatamnya sewaktu bulan Ramadhan). Ada sahabat Muthiah, awal Ramadhan sudah khatam, Alhamdulillah.

Sekiranya… sewaktu bulan Ramadhan… kita berlumba-lumba mengaji Al-Quran (kita mahu khatam sih), melakukan solat sunat, berinfak dan banyak lagi amalan-amalan yang disukai Allah… usahlah menamatkannya pada penghujung Ramadhan.

Usah sekali-kali meletakkan date-line (macam editor pula). Dengan kata lain, kita menganggap bahawa 1 Syawal bersamaan tarikh MERDEKAAN (bagi diri kita)… Bukan bukan… silap begitu. Dateline kita bukan pada 29/ 30 Ramadhan tetapi sehingga sebelum ajal menjemput kita.

2- Akhlak kita? – Kelemahan Muthiah ialah cepat marah atau cepat membenci. Bilamana Muthiah marah, lambat sungguh mahu reda. Begitu juga halnya dengan membenci. Muthiah beritahu suami, lepas raya… mahu jadi lebih sabar dan sabar. Huhuhu.... berkuatkuasa (29 September 2009 - Apa da???)

Entahlah. Harap-harap berjaya. Kalau tidak, semacam sia-sia pentarbiyahan Ramadhan yang Muthiah perolehi. Kenapa Muthiah berkata sedemikian? Kerana Muthiah tidak menjadi lebih baik sesudah Ramadhan. Bukankah bulan Ramadhan itu bulan tarbiyah??? Yang sepatutnya bisa mendidik manusia ke arah lebih baik. ~ Peringatan buat diri dan orang lain juga ;)

3- Keazaman kita? – Hmmm… sejauh manakah kita meletakkan keazaman dalam diri untuk menghindari maksiat daripada Allah? Kita mahu menjadi lebih baik dari hari semalam dan kita mahu menjadi yang terbaik di sisi Allah.

Bukan itu sahaja bahkan kita mahu menjadi seorang isteri/ suami/ pekerja yang jujur, amanah dan bertanggungjawab. Kerana pasti! Setiap apa yang kita lakukan, akan dipertanggungjawabkan oleh Allah kelak. Kita tidak mahu menjadi orang yang merugi pada hari akhirat, bukan?

Hmmm… justeru, marilah sama-sama kita berusaha untuk menjadi lebih baik. Biar sentiasa baik pada pandangan Allah, juga manusia lainnya.

Satu ketika dahulu, ada seorang teman bertanya, “Kenapa letak Habibatullah (kekasih Allah) di penghujung nama Siti Muthiah?”… Layakkah Muthiah? Muthiah terdiam tetapi jauh di sudut hati… Muthiah memegang satu kata-kata. Entah dari mana Muthiah memperolehinya, hehe Muthiah lupa.

Katanya… KEKASIH ALLAH merupakan hamba Allah yang selalu bertaubat kepada-Nya setiap saat dan ketika. Tidak kira sama ada sewaktu ia melakukan dosa nyata atau sebaliknya. Ia khuatir, ada kesilapan yang dilakukan tanpa sedar… Hmmm…

Muthiah : SUKARNYA namun, insya-Allah kerana Allah….