Parkir lagi... Alahai, Muthiah...

Assalammualaikum. Apa khabar? Tiba-tiba Muthiah rasa hendak menyanyi dan menari pula. Mahu turut serta? Namun sebelum itu, pastikan tidak ada siapa yang melihat. Maluuuu...


Hehe... baru-baru ini, Muthiah ada urusan di Taiping. Suami pula meminta Muthiah membereskannya sendiri. Katanya, buat apa ambil lesen mahal-mahal kalau tidak mahu memandu? Oleh sebab Muthiah hendak jadi isteri yang jurus (chewah), Muthiah pun patuh dengan kata-kata suami.

Di lokasi pertama...

Muthiah tercari-cari tempat parkir yang paling mudah. Dengan kata lain, senang hendak masuk parkir dan senang juga hendak keluar. Kalau boleh, biar tempat parkir yang keluasannya boleh muat 20 buah kereta itu, buat letak kereta Muthiah sahaja. Alhamdulillah. Ada. Haaaa... kena bayar parkir! Mesti bayar. Dalam hati, Muthiah sudah berniat untuk meletakkan sepuluh sen (bersamaan sepuluh minit) di dalam mesin tersebut (tidak tahu hendak panggil apa). Hmmm... hanya niat. Keluar dari kereta, Muthiah terus ke tempat yang hendak Muthiah tujui. Siap urusan, Muthiah kembali ke tempat letak kereta. Alamak! Terlupa bayar parkir!!!

Lokasi kedua...

Alahai... macam mana boleh terlupa? Muthiah pun berlalu ke tempat yang kedua. Kali ini, Muthiah tekad. Muthiah akan bayar parkir! Duit sudah Muthiah keluarkan siap-siap. Dua puluh sen. Sebagai ganti parkir tadi yang tidak dibayar. Sampai sahaja ke destinasi, Muthiah pun berjalan ke arah mesin (tempat bayar parkir). Apa lagi, duit siling tersebut Muthiah masukkan. Aik. Kenapa jarum tidak jalan? Muthiah berfikir sendiri. Rosak agaknya. Lantas, Muthiah pun berlalu dari situ.

Sekembalinya ke rumah, Muthiah memberitahu suami. Suami tergelak seraya berkata, "Kalau sehari tidak buat lawak, tidak boleh?"

Kemudian, suami menambah, "Mula-mula masuk duit. Lepas itu kena pulas..."

Muthiah menceber. "Oh, begitu ke?" Kata Muthiah bersahaja.

Kesimpulannya???


Muthiah : Sukar untuk melupakan...
Labels: | edit post
0 Responses