Mencari Naurah (Bab 87)
Sunday, April 14, 2013
Novel | Mencari Naurah
Foto : Sekadar gambar hiasan
“Sampai
bila War hendak membujang?” Datin Kamariah bertanya suatu hari. Anuar hanya
diam seribu bahasa. Fikirannya melayang jauh. Wajah Natasha tiba-tiba bermain
di fikirannya. Semakin lama, wajah itu semakin hampir dan terus mendekat.
“Natasha...”
ia menyebut nama gadis idamannya itu perlahan.
“Khairul
Anuar!!! War sedar atau tidak bahawa Natasha sudah bersuami???”
“Anuar
jangan main-main...” Datin Kamariah nampaknya betul-betul bengang.
“Anuar
lebih tahu daripada Mama,” Datin Kamariah membulatkan matanya. Mana mungkin
anak terunanya ini masih lagi tergila-gilakan Natasha. Bukankah ia sudah
memiliki suami? Jadi, Anuar tidak boleh dibiarkan memasang angan-angan yang
pasti akan mengecewakannya. Satu impian kosong yang bisa mungkin menjadi
kenyataan.
Anuar
tersenyum sendiri. Seolah-olah ibunya tidak berada di sisi. Ia memandang pasu
bunga yang terletak di tepi akuarium. Kali ini, wajah putera puteri Natasha
hadir bermain-main di fikirannya. ‘Hahaha... alangkah bagus bilamana bernikah
dengan si janda beranak dua. Baru sahaja melafazkan akad, sudah ada penyeri
hidup,’ Anuar berbisik sendiri.
“Anuar
sayang,” Datin Kamariah memanggil nama Anuar lembut.
“Mama
sayang, War. Mama sedih War jadi begini. Warlah satu-satunya anak teruna
kesayangan Mama,” sebak Datin Kamariah mengucapkan ungkapan itu.
Ya,
sejak Natasha bernikah dengan lelaki pilihan hatinya enam tahun sudah, Anuar
terlalu banyak berubah. Ia tidak lagi ceria seperti dahulu. Perubahan ketara
Anuar menyebabkan hati kecil Datin Kamariah terusik. Si mulut murai kini sudah
tidak punya idea untuk berkata-kata. Ditanya sepatah, dijawab sepatah.
Kadang-kadang, tidak menjawab langsung.
Salah
siapa? Adakah mahu menuding jari kepada Natasha yang menolak cinta anak lelaki
kesayangannya? Tidak! Natasha tidak bersalah. Cinta sama sekali tidak boleh
dipaksa. Bibir mampu berdusta namun tidak hati. Siapakah yang mampu membeli
hati seorang manusia?
Andaikata
hati itu mampu dibeli dengan wang berjuta-juta, Datin Kamariah sanggup membeli
hati milik Natasha. Kemudian, ia pasti akan mengarahkan hati tersebut untuk
menyintai Anuar. Ia mahu hati itu bersatu dengan hati anak teruna yang dikasihinya.
Datin Kamariah mahu kembalikan senyuman puteranya yang sudah begitu lama
menghilangkan diri. Seolah-olah sudah merajuk untuk kembali.
Namun,
tiada jual beli hati di dalam dunia... melainkan hati ayam, lembu. Bukan hati
itu yang diingininya. Begitu unik hati ini. Kalau tidak, masakan disebut
berulang-ulang di dalam Al-Quran.
“War
masih cintakan Natasha, Mama,” perlahan-lahan Anuar bersuara. Anuar memandang
Datin Kamariah meraih simpati. Ibu merupakan manusia yang paling dekat
dengannya sementelah Dato’ Baharin begitu sibuk dengan urusan perniagaan. Hanya
ibu yang menemaninya tatkala ia berduka. Ibu jua yang dapat menyelami hati
lelakinya.
‘War
cinta Asha,’ bisik hatinya. Air matanya menitik ke pipi. Sudah lama ia tidak
mengalirkan air mata. Cinta ini sukar untuk diterjemah dengan kata-kata. Yang
pasti, Anuar terlalu menyintai Natasha. Sejak dahulu hinggalah ke saat ini, ia
masih sayang dan kasihkan gadis comel itu. Hatinya tidak pernah berubah.
Cintanya buat Natasha tetap utuh. Dahulu, kini dan selamanya...
“Sayang,
Natasha sekarang isteri orang,” tersekat-sekat Datin Kamariah bersuara. Matanya
mula berkaca. Ia mahu anaknya kembali. Ia mahu Anuar menjadi seperti Anuar yang
ia kenal dahulu. Anuar yang ceria, Anuar yang bersemangat waja. Bukan Anuar yang
lemah hatinya. Lemah semangatnya.
Sudah
berpuluh anak gadis diperkenalkan namun Anuar tetap membisu. Pelbagai alasan
diberikan. Hendak kumpul hartalah, belum bersedialah, tidak berkenanlah. Ada
sahaja yang tidak kena pada mata Anuar. Pening kepala Datin Kamariah dibuatnya.
Apa lagi yang puteranya ini inginkan?
Itu,
enam tahun lalu. Bukan sekadar enam tetapi lima, empat, tiga, dua dan satu
tahun sudah. Anuar sering mengemukakan helah yang tidak masuk akal. Ikutkan
kata hati, mahu sahaja ia memaksa Anuar memilih calon pilihannya tetapi naluri
seorang ibu tidak sanggup berbuat demikian. Tidak sampai hati untuk mendera
perasaan anaknya.
Hari
ini, Anuar akhirnya berterus-terang. Datin Kamariah pasti! Anuar masih mahu
membujang kerana hatinya telah mati dek cinta yang tidak kesampaian. Ia sendiri
tidak dapat menyelami hati kecil Anuar meski sudah mengandungkannya selama
sembilan bulan. Benar, hanya Allah SWT yang dapat menyelami hati-hati
manusia...
‘Dan
kepunyaan Allah-lah timur dan barat. Maka, ke manapun kamu menghadap, di
situlah wajah Allah. Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatnya) lagi Maha
Mengetahui...’
“Jangan
macam ini, Sayang,” diam sejenak. Datin Kamariah mahu menyusun kata-kata yang
paling halus buat anaknya. Ia tidak mahu Anuar semakin tertekan. Cukuplah
penderitaan perasaan yang dialaminya. Anuar yang ia kenal seolah-olah telah
bertukar jasad dengan orang lain. Si pengecut yang takut menghadapi kenyataan.
“Natasha
memang gadis yang baik untuk dijadikan isteri, ibu kepada anak-anak. Namun,
ketentuan Tuhan telah menetapkan bahawa jodohnya bukan dengan War. Mama pun
suka Natasha. Mama pun berkenan jika Natasha dijadikan menantu rumah ini.
Tetapi...” Datin Kamariah tidak dapat meneruskan kata-katanya. Ia begitu pilu
mengenangkan Anuar. Suaminya pula tidak pernah ambil peduli. ‘Inilah lelaki.
Sering kali memandang enteng sesuatu perkara,’ bisik Datin Kamariah sendiri.
“Tetapi
apa, Ma?” Anuar merenung tajam mamanya.
“Natasha
sudah punya suami. Cuba War letakkan diri War di tempat suami Natasha. Sudah tentu
War akan kecewa...”
“War
jangan jadi macam Mama,” ujar Datin Kamariah perlahan.
Anuar
yang tadinya berbaring segera duduk, “Jangan jadi macam Mama?”
“Jom
teman Mama jogging. Sudah lama tidak mengeluarkan peluh,” Datin Kamariah
cepat-cepat berdalih. Ia mahu melupakan kisah itu. Biarlah kenangan pahit
tersebut berlalu pergi. Nyahlah dalam kehidupan ini. Meskipun ia menangis air
mata darah sekalipun, tetap tidak dapat menebus dosa yang pernah dilakukannya.
Nasi sudah menjadi bubur. Ya! Kesilapan lalu yang banyak menyedarkannya.
‘Hidup
ini bukanlah untuk kepentingan sendiri,’ Datin Kamariah merenung jauh.
Nota : Di atas adalah karya asal sebelum disunting untuk penambahbaikan.
Berminat? Boleh e-mel Muthiah di xpdcsolehah99@gmail.com. RM17 termasuk kos pos.