Mencari Naurah (Bab 86)
Saturday, April 13, 2013
Novel | Mencari Naurah
Foto : Sekadar gambar hiasan
“Asha
kerja mana sekarang?” soal Anuar sungguh-sungguh.
“Buat
akaun di syarikat Dato’ Ghazali,” aku menjawab bersahaja.
“Ooo...
syarikat ayah arwah, bukan?” dahinya berkerut.
“Ya...”
balasku ringkas.
“Saya
pun tidak tahu perihal musibah yang menimpa arwah,” berhati-hati Anuar
mengeluarkan butir katanya. Aku hanya diam.
“Maknanya,
Asyraf meninggal dunia sebelum Maria dan Iskandar dilahirkan?” Ia masih mahu
bertanya. ‘Anuar tetap Anuar,’ desis hatiku.
“Ya,”
jawabku pendek. Aku terus menggaul nasi buat Iskandar dengan ikan yang telah
kuhancurkan.
“Kasihan
anak-anak. Tidak sempat mengenali...” kata-kata Anuar terhenti di situ.
“Maafkan,
saya,” wajahnya berubah. Berasa serba salah agaknya.
“Sampai
bila hendak menjanda?” Anuar sememangnya Anuar. Dari alam kampus sehinggalah
aku sudah bergelar isteri dan sekarang menjadi janda, lelaki ini acap kali
menyoalku dengan soalan cepuk emas yang bisa membikin jiwa meronta-ronta.
“Tidak
fikir langsung tentang kahwin,” aku berterus-terang. Tidak mahu berselindung
dengannya.
“Lagipun,
siapalah yang hendak kahwin dengan janda beranak dua ini?” Ya, lelaki teruna mana yang mahukan isteri yang pernah
bernikah sebelumnya?
“Saya
mahu,” suara Anuar dengar tidak dengar. Cukup perlahan.
“Apa?”
Mataku yang sedia sepet membulat. Tidak cukup jelas butir bicaranya.
“Tidak
ada apa-apa,” balas Anuar sambil tersenyum nakal.
“Insya-Allah.
Ada jodoh adalah,” tambahnya lagi.
“Insya-Allah,”
ujarku pendek. Aku sudah letih sebenarnya...
“Kasihan
anak-anak. Tidak dapat merasai belaian kasih seorang bapa,” Anuar berbasa-basi.
Masih tidak habis-habis lagi lelaki ini...
“Lama-kelamaan,
mereka akan dapat biasakan diri,” sanggahku menyedapkan hati sendiri. Aku
sebenarnya mengakui kebenaran kata-kata lelaki ini.
“Umi!!!”
jerit Maria.
“Maria
lupa baca doa makan,” anak gadisku nampak pucat. Matanya semakin mengecil
seperti hendak menangis.
‘Lor,
makanan sudah hendak habis baru teringatkan doa yang belum dibaca,’ aku
merungut sendiri. Salahku juga. Tidak prihatin terhadap tindakan mereka. Bukan
mudah menjadi ibu sebenarnya.
“Bismillahi
awalu waakhiru,” Anuar berkata perlahan.
“Betul,
betul, betul...” sampuk Iskandar.
“Umi
sudah ajar,” tambahnya lagi sambil tersenyum menampakkan giginya yang rongak.
“Awak
pula macam mana? Sudah lanjut usia, Pak,” aku bertanya sambil tersenyum penuh
makna. Anuar hanya membatu. Ia nampaknya begitu ralit memerhatikan gelagat
anak-anakku yang sedang bertungkus-lumus mengasingkan nasi yang sudah digaul
dengan sayur. Bertuah punya anak.
“Tengok.
Sudah boleh bawa anak buah jalan-jalan lagi,” aku memandang tepat anak matanya.
“Tidak
lama lagi, jadi suami serta punya anak sendiri pula. Insya-Allah,” sambungku
lagi.
“Umur
seorang lelaki bermula pada usia empat puluh tahun,” Anuar tiba-tiba
bersuara.
Senyuman tidak lekang dari
bibirnya. Ia masih tampan seperti dahulu dan perangai kebudak-budakannya masih
lagi tidak berubah.
“Awak,
baik cari pengganti cepat. Anak-anak perlukan belaian kasih seorang bapa,”
lelaki ini begitu bijak mengubah topik perbualan. Argh... dahulu, kini dan
selamanya. Selalu sahaja aku kalah kepadanya.
“Lebih
baik sebelum mereka memasuki alam sekolah,” Anuar kemudiannya menyambung dalam
nada yang lebih serius.
“Zaman
sekarang, tidak macam dahulu,” ujarku perlahan.
“Janda
ini terlalu jahat. Janda itu terlalu hina pada kaca mata orang sekeliling...”
“Para
isteri pula menganggap mereka sebagai perampas ...”
“Takut
suami mereka dirampas oleh golongan janda...”
“Dengan
kata lain, semua orang takutkan si janda. Bahkan, ketakutan mereka melebihi
rasa takut kepada Tuhan,” aku menambah.
“Tidak
macam zaman dahulu. Sayidatina Khadijah adalah seorang janda yang berhati
mulia, telah dijanjikan syurga oleh Allah. Berkahwin pula dengan Nabi SAW,
penghulu segala Nabi di atas muka bumi. Hafsah pun seorang janda sebelum
menjadi isteri Nabi. Siapa lagi?” soalku.
Tanpa
menunggu jawapan daripada Anuar, aku menyambung, “Tengok sahaja Ummu Sulaim
yang maharnya begitu mahal di sisi Tuhan. Ia juga merupakan seorang janda
sebelum bernikah dengan Abu Thalhah.”
“Bijak
ustazah berbicara,” sampuknya sambil ketawa perlahan.
“Umi...”
rengek Maria. Aku melihat jam di lengan. Oh, ya. Sudah hampir sampai waktu
tidurnya.
“Anuar,
maafkan saya. Saya kira perlu beransur dahulu. Insya-Allah, ada rezeki kita
jumpa lagi,” kataku sambil mendukung Maria.
“Saya
faham. Insya-Allah, ada jodoh kita jumpa lagi,” balas Anuar sambil tersenyum.
“Arisya.
Jom balik,” ia memimpin tangan anak buahnya erat.
Aku
pun membawa Iskandar dan Maria menuju ke tempat memarkir kereta.
‘Abang,
Asha rindukan Abang,’ aku berkata sendiri. Ya, tiba-tiba rasa rinduku terhadap
arwah suami menyelubungi hatiku. Ia pergi meninggalkanku dan pasti tidak akan
kembali...
Nota : Di atas adalah karya asal sebelum disunting untuk penambahbaikan.
Berminat? Boleh e-mel Muthiah di xpdcsolehah99@gmail.com. RM17 termasuk kos pos.