Mencari Naurah (Bab 8 ~ Samb.)


“Kak Rose dah agak dah,” ujar Rose pendek. Dia kelihatan tenang walaupun ada sedikit kerut pada dahinya. Terkejut agaknya. “Kak Rose tahu yang Anuar menyukai Asha dan Kak Rose dapat agak bahawa dia sendiri akan meluahkannya kepada Asha,” Rose berterus-terang.

“Tetapi, kak... bukankah dia selalu berpesan kepada junior-junior kita untuk menjaga itu dan ini? Dia selalu nasihat macam-macam, namun...” aku menyampuk, sedikit beremosi.

“Bila mana dia bernama manusia, dia adalah lemah. Dia terlupa dan kadang-kadang alpa. Sebab itu kita perlu sentiasa mengingatkannya,” Rose cuba meredakan perasaanku.

“Manusia itu punya keterbatasan. Dia punya akal dan nafsu. Tindakannya sepatutnya didasari dengan iman, namun sebagai insan yang lemah, kadang-kadang nafsu menguasainya. Ditambah dengan peranan iblis laknatullah yang menjadikannya semakin jauh daripada TUHAN. Walaupun dia solat, puasa sunat Isnin dan Khamis, dia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Dia bukan malaikat yang sepenuhnya menurut perintah ALLAH. Dia juga bukan Nabi yang maksum,” tambah Rose panjang lebar.

Aku kembali diam.

“Sha...” Rose menyebut namaku lembut. “Asha tahu cabaran utama bagi seorang pendakwah?” Dia bertanya sambil tersenyum manis.

“Istiqomah,” jawabku pendek.

“Lagi?” Rose menyoal lagi.

“Ikhlas,” aku mengerutkan dahi. Aku memandang mata Kak Rose dalam-dalam. Letih untuk berfikir sebenarnya dan aku mengharapkan pengertian Kak Rose.

“Betul, sayang...” Rose masih lagi mengukir senyumannya yang begitu manis. “Firman ALLAH dalam surah as-Saff ayat 2 dan 3 yang bermaksud, wahai orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi ALLAH bila mana kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan.

Seorang pendakwah mengajak manusia kepada kebaikan. Pendakwah itu menyeru manusia lainnya kepada TUHAN dan menyuruh mereka menghindari maksiat. Namun, kadang-kadang dia mungkin teralpa. Sifat manusiawinya yang sering lupa sukar untuk dihapuskan... melainkan dia sentiasa berusaha memperbaharui niat... Antara cabaran seorang pendakwah adalah...” Rose memegang bahuku erat.

“Adalah memelihara hati. Menjaga hati daripada maksiat yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera. Dia mungkin hebat di pentas dakwah tetapi punya kelemahan dalam menyucikan hatinya. Mata yang memandang sama sekali tidak dapat menilai atau mengetahui isi hati seseorang. Mungkin dia sedang gundah gulana dek maksiat tersirat yang sedang berlegar-legar di dalam jiwanya,” jelasnya panjang lebar. “Asha dah bersedia?” Tiba-tiba, soalan cepu emas ini terpacul dari bibirnya.

~bersambung~

0 Responses