Mencari Naurah (Bab 8 - Samb.)

“BANYAK dapat SMS, pakwe mana satu yang hantar?” tegur Kak Rose ketika aku leka membaca SMS yang dihantar Anuar.

“Eh, tak adalah, kak. SMS dari kawan aje. Dia saja-saja hantar SMS, nak isi masa terluang yang banyak dibazirkan... mungkin,” aku memberi helah. Aku tidak menipu. Anuar adalah sahabatku dan dia memang saja-saja mengirimkan aku SMS.

“Sejak akhir-akhir ini, akak tengok Asha banyak mengelamun,” kata Kak Rose lagi. Buku Cinta Sang Ratu yang dibawa diletakkannya di atas meja belajar.

Aku sekadar memerhati apa yang Kak Rose lakukan. Kak Rose datang menghampiriku dan duduk berhadapan denganku. Dia memandang mataku lantas bertanya, “Ada sesuatu yang Asha sorokkan daripada Akak?”

Nah! Inilah sahabat sejati. Dia mudah menangkap permasalahan yang dihadapi oleh sang teman yang sedang gundah di hadapannya.

“Erm...” diam. Lidahku kelu untuk berkata-kata. Tidak tahu bagaimana untuk memulakan.

“Sahabat itu adalah sahabat suka dan duka,” ucap Kak Rose ringkas tetapi padat dengan pengertian tersirat. “Ikatan persahabatan kerana ALLAH mengajar kita untuk sentiasa prihatin terhadap mereka yang dekat dengan kita,” dia menambah.

Aku masih diam.

“Erti sebuah persahabatan bukan sekadar mengetahui nama sahabatnya tetapi dia perlu tahu banyak hal tentang teman yang dikasihinya. Dia memahami sahabatnya itu dan dia akan sentiasa dekat untuk memberikan pertolongan,” tokok Kak Rose lagi.

Kali ini, lebih panjang nasihatnya. Kak Rose memang lulus dalam menghayati rukun-rukun persahabatan. Ikatan itu bukan setakat perlu taaruf, tetapi perlu tafahhum dan takaful... kenal, faham dan tolong!

Aku tidak mampu untuk berahsia lagi. Ya! Apa yang terpendam perlu kuluahkan. Tidak mahu sakit sendiri sedangkan aku punya teman yang begitu prihatin terhadap diriku dan permasalahan yang aku alami.

Dengan linangan air mata, kuceritakan satu per satu SMS yang aku terima daripada Anuar. Tidak ada yang tertinggal satu pun. Sudah begitu lama aku pendam perasaan ini. Rasa bersalah kepada PENCIPTA kerana gagal memelihara hati daripada titik-titik hitam meskipun secara zahirnya, seolah-olah aku berjaya melepasinya. Namun, sebagai makhluk ALLAH yang lemah, aku tidak mampu untuk mengawal perasaanku. Entah! Aku tidak tahu...

Aku tidak punya rasa kasih mahupun cinta terhadap Anuar tetapi entah kenapa hatiku sentiasa berdegup kencang. Aku sendiri tidak pasti sebab degupan itu. Lainlah tatkala bertembung dengan...

~bersambung~

0 Responses