Pengharapan


Salam. Entah kenapa hari ini agak buntu untuk berbicara. Tidak tahu apa yang Muthiah fikirkan. Entahlah...

Insya-Allah, Muthiah tetap mahu menulis ... meski hanya secebis coretan. Walaupun tidak seberapa asalkan punya manfaatnya. 'Sampaikanlah walau satu ayat.'

Ya... 'Sampaikan walau seayat.' Sebarluaskan kebaikan di mana-mana. Mungkin dengan kebaikan yang sedikit itu bisa membantu kita pada hari kiamat kelak. Kita tidak tahu mana satukah amalan kita yang diterima Tuhan tetapi sebagai hamba Allah, perlu sentiasa bersangka baik dengan-Nya. Hendaklah selalu mengharapkan rahmat-NYA kerana hanya dengan rahmat Ilah kita mampu menjejakkan kaki ke syurga.

Bercakap tentang pengharapan, mintalah kepada Tuhan dengan penuh harap. Jangan sekali-kali berputus asa bilamana doa kita tidak dimakbulkan-NYA. Boleh jadi apa yang kita inginkan itu tidak sesuai/ baik untuk kita (Al-Baqarah : 216). Boleh jadi belum sampai masanya... dengan kata lain, Allah tahu kita belum bersedia. Contohnya, mahu menikah tetapi masih belum ketemu insan yang sesuai... atau belum cukup wang... atau dan atau. Ada hikmah yang tersembunyi dan sesungguhnya Allah itu amat teliti.

Sebenarnya, Muthiah mahu berkongsi kisah yang berlaku 12 tahun sudah (1995-1997). Sewaktu Muthiah berada di tingkatan tiga, bersekolah di SEMESTI. Bukan itu sahaja, bermula dari tingkatan satu lagi... apa agaknya yang boleh dikongsi bersama?

Satu ketika di tingkatan 3KA

Muthiah... biasa-biasa orangnya. Bukanlah seorang individu yang tinggi ilmu agama. Cuma, waktu itu Muthiah berada di kelas yang mengambil mata pelajaran Bahasa Arab. Sepanjang tempoh tiga tahun, alhamdulillah... tidak ada teman yang mampu mengatasi pencapaian Muthiah dalam akademik. Kiranya waktu itu, Muthiahlah pelajar terbaik (jika dinilai mengikut pencapaian akademik untuk tingkatan) di sekolah.

Banyak yang kata, Muthiah pandai, cerdik, bijak... walaupun agak nakal, juga tidak menampilkan ciri-ciri seorang muslimah... satu perkara yang Muthiah pegang erat ialah PERGANTUNGAN kepada Allah. Dahulu, Muthiah pun tidak faham erti pergantungan tersebut. Namun, dari sisi lain, untuk MEMINTA sesuatu... Muthiah YAKIN lagi PASTI bahawa hanya ALLAH yang dapat membantu Muthiah.

Jadi, bagaimana mahu kekal menjadi yang terbaik? Takut... khuatir dengan pengharapan keluarga dan rakan-rakan. Sejak dari sekolah rendah, Muthiah sentiasa berada di puncak menyebabkan Muthiah tidak bersedia untuk berada di bawah.

Selain daripada belajar (tetapi, Muthiah kira... Muthiah bukanlah ulat buku tetapi banyak bertanya di dalam kelas), perkara utama yang Muthiah lakukan ialah BERDOA. Satu lagi... Muthiah tidak pernah tinggal solat fardhu walaupun solat yang dilakukan sering kali dibuat tanpa penghayatan dan pemahaman.

Ya! Berdoa dan terus berdoa dengan penuh pengharapan. Walaupun masih jahil tentang banyak perkara, Muthiah dapat rasakan bahawa KEKUATAN itu hanya daripada ALLAH. Muthiah tahu, Muthiah banyak membuat silap tetapi sudah tidak ada tempat lain untuk mengadu. Waktu itu, walaupun banyak perkara yang perlu didoakan, Muthiah lebih memberi keutamaan dalam berdoa untuk mendapat nombor satu serta menjadi yang terbaik di sekolah (tergelak sendiri pabila mengenangkan).

Setiap kali selepas peperiksaan awal dan akhir tahun, Muthiah selalu bernazar. 'Kalau dapat nombor satu, hendak...'Muthiah pun tidak pasti dari mana datangnya info berkenaan tetapi ia merupakan amalan rutin Muthiah setiap kali mahukan sesuatu. Minta dan minta dengan Allah agar mendapat nombor satu. Ia berlarutan sehingga Muthiah tingkatan tiga. Alhamdulillah, dengan keyakinan itu, Muthiah berjaya mengekalkan kedudukan Muthiah. (Muthiah kurang yakin bahawa Muthiah akan berjaya tanpa doa walaupun sudah berusaha).

PMR? Tertekan juga sebab daerah tempat Muthiah belajar, belum ada pelajar yang mendapat 9A. Cikgu memberi harapan... ibu bapa apatah lagi. Huhuhu...

Sekiranya sahabat-sahabat berada di tempat Muthiah, agaknya rasa apa ya? Hmmm... benar! Rasa tidak tenang, takut jika tidak mendapat 9A, khuatir memusnahkan harapan cikgu-cikgu. Cikgu-cikgu terlalu baik dan banyak berjasa kepada Muthiah (Terima kasih Cikgu Hamid (BM), Cikgu Zamri (M3), Teacher Sabariah (BI), Cikgu Harun (Sej), Cikgu Zakari (Geo), Ustazah Maziah (PI), Ustazah Zaiton (BA merangkap guru tingkatan), Cikgu Rohana & Norhayati (KH) dan cikgu Sains Muthiah. Juga, cikgu-cikgu lain yang terlibat secara langsung dan tidak langsung kepada kami yang bakal menduduki peperiksaan ini.)

OK sambung bab pengharapan. Sesudahnya tamat PMR, Muthiah bernazar lagi(dan nazar tersebut perlu Muthiah laksanakan sebelum peperiksaan SPM). Bukan itu sahaja, setiap kali solat fardhu, Muthiah akan solat hajat (termasuk sesudah Subuh dan Asar)... mohon agar mendapat 9A.

Muthiah tahu, tidak ada seorang manusia pun yang mampu membantu Muthiah. Peperiksaan juga telah berakhir. Jadi... usaha pun sudah, doa pun sudah (tetapi tetap doa). Maka, perlu bertawakal penuh kepada Tuhan...

Seawal pagi, Muthiah sudah keluar dari rumah (hendak ambil keputusan PMR). Akan tetapi, Muthiah tidak ke sekolah terus tetapi lepak di rumah seorang teman (Masitah namanya). Hehe... biasalah budak nakal tetapi baik (naik lif tekan sendiri). Kemudian, setelah bersedia kami pun berjalan kaki menuju ke sekolah.

Tiba-tiba, Cikgu Muhammad telah menegur Muthiah. Katanya, "Pok Na (datuk Muthiah) kena sembelih lembu.' Alhamdulillah... Muthiah berjaya dan semua orang gembira. Huhu... Muthiah minta motor Cagiva Mitto daripada papa tetapi dapat....

***

Moralnya... bukan tentang 9A... bukan juga perihal yang terbaik tetapi BERDOA dan MINTA kepada ALLAH dengan PENUH PENGHARAPAN. Waktu itu, Muthiah masih jahil. Banyak yang Muthiah tidak tahu (kalau tidak, masakan boleh solat sunat sesudah Subuh dan Asar) namun, Allah TETAP memberi bilamana kita memintanya. Perlu diingat bahawasanya ALLAH lebih tahu apa-apa yang terbaik untuk kita.

Kesimpulannya, ketahuilah wahai teman. Bukan kita yang hebat tetapi ALLAH. Bukan kita yang cerdik, pandai, bijak tetapi DIA yang mencipta dan menjadikan. Dengan kuasa-Nya, segala sesuatu boleh berlaku. Kisah ini merupakan satu contoh kecil yang boleh diambil iktibar. Walaupun kita merasakan diri kita kerdil (atas kejahilan kita), jangan ragu-ragu untuk terus minta dan bermohon kepada ALLAH.

Muthiah kira, apa yang Muthiah hendak sampaikan dari hati, tidak tersampai sebenarnya (rasa celaru dengan susunan ayat dan bahasa) tetapi apa pun, bukan kita kan yang memberi hidayah. Selamat membaca :)

Renung-renungkan dan fikirkan .... DOA dan HARAP.
Labels: | edit post
2 Responses
  1. amir Says:

    baru kutahu 'rahsia' itu...

    btw..kenapa gambar ahmad, yahm dan mar semua dr belakang? low profile ke?

    -Amir Azham-


  2. :) Hanya gambar itu yang aku ada, Mir...