Kerana ???
Wednesday, June 24, 2009
"Tipu... takkan Za tak kerja!" Kata Kak Nani kepada Kak Ida (sepertimana yang telah diceritakan oleh Kak Ida).
"Za, rugilah kalau tidak bekerja. Belajar tinggi-tinggi," kata Abang Ja pula sewaktu sedang minum di kedai Kak Ida. 'Terima kasih kak :)'. Setiap kali minum, mesti dapat minuman percuma. Al-maklumlah, teman lama.
"Za tak kerjalah sekarang? Rugilah," kata Ila sewaktu bertemunya di pasar. Wan Norsafazila merupakan rakan sewaktu belajar di Sekolah Menengah Sungai Tong (SEMESTI) sesi 1995-1997.
Rasanya, sejak berhenti kerja, inilah yang sering diperkatakan oleh sahabat-sahabat lama. Ada yang bersetuju dengan tindakan Muthiah, ada juga yang tidak bersetuju (dengan alasan Muthiah punya ijazah) dan ada yang setuju atau tidak tanpa suara. Dengan kata lain, 'No comment'.
Susah untuk diluah dengan kata-kata. Semenjak tamat pengajian di Universiti Malaya (UM) dalam tahun 2005 , Muthiah sudah mula berdikari. Beberapa hari selepas peperiksaan akhir semester, Muthiah sudah diterima bekerja sebagai PKS (pekerja khidmat singkat) di Putrajaya. Sekurang-kurangnya, Muthiah tidak duduk sahaja.
Kemudian, Muthiah bekerja di sebuah bank tempatan. Kali ini, dengan jawatan yang lebih baik dan masa depan yang lebih terjamin. Iyalah, sudah diserap menjadi pekerja tetap dengan pelbagai faedah diperoleh. Kerjanya agak banyak dan.... Namun, Muthiah tidak boleh komen banyak memandangkan expectation orang terhadap Muthiah dan jawatan yang disandang.
Mungkin disebabkan tidak serasi dengan kerja. Setelah setahun lebih berada di dunia perbankan, Muthiah beralih ke alam penulisan. Ya! Muthiah telah diterima bekerja di syarikat penerbitan akhbar dan berperanan untuk menyelia sebuah majalah yang diberi nama 'Konsep'. Terima kasih bos kerana memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Muthiah :) Terima kasih juga kepada teman-teman seangkatan ; Peja [artis grafik bahagian majalah], Kak Anne, Abang Najib, Ley, Hamdy [bahagian editorial akhbar], Huda, Qma, Bie dan Aniqh [bahagian pengurusan] atas ikatan ukhwah yang terjalin.
Kali ini, Muthiah merasakan bahawa Muthiah sudah menjumpai 'cinta' Muthiah. Muthiah benar-benar serasi dengan kerja ini walaupun terpaksa berhadapan dengan dateline (yang kadang-kadang memeningkan kepala). Muthiah berkata dalam diri bahawa Muthiah akan terus berjuang di sini. Mungkin kerana minat dan mungkin juga kerana suasana kerja yang menyenangkan. Bos pula agak pemurah orangnya.
Akan tetapi, tidak ada sesiapa pun yang mampu menidakkan ketetapan Tuhan. Kita merancang, Allah merancang dan sebaik-baik perancang adalah Allah yang Maha Esa. Setelah tujuh bulan menjadi ahli keluarga YMH (singkatan nama syarikat Muthiah bekerja), Muthiah mengambil keputusan tekad untuk BERHENTI KERJA buat kesekian kalinya. Ya! Muthiah benar-benar tekad dan sama sekali tidak menyesal dan kecewa (cuma Muthiah sedikit terkilan kerana majalah yang pernah Muthiah hasilkan diberhentikan penerbitannya selepas itu).
Muthiah tidak rasa rugi ke? Jawapannya : TIDAK!
Muthiah tidak menyesal? Jawapannya : Pastinya TIDAK!
Kenapa?
Jawabnya... KERANA CINTA. Ya! Muthiah tidak betah membiarkan suami sendiri (suami bekerja di Perak, Muthiah pula sewaktu itu berada di Kuala Lumpur). Hidup tidak tenang. Kerisauan sering mencengkam jiwa. Lebih-lebih lagi pabila suami sering berulang-alik dari Perak ke Kuala Lumpur (hampir setiap minggu). Kos satu hal dan yang paling utama, pasti letih. Muthiah rasa serba salah tatkala memikirkan suami yang sering makan di kedai, bajunya digosok sendiri dan banyak perkara dibuat sendiri.
Memanglah... sebelum kahwin, sudah biasa membuat apa-apa sendiri tetapi itu sewaktu belum punya isteri. Bagi Muthiah, biarlah susah dan senang sama-sama. Yang penting, perlu tetap bersama. Moga-moga, Allah kan pelihara rumahtangga kami selama-lamanya :)
Muthiah : Teringat dengan cerpen 'Hati seorang isteri' yang pernah Muthiah hasilkan sewaktu masih belajar.