Nasi kerabu (mudah)

Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah... Alhamdulillah. Baik-baik sahaja. Bagaimana dengan malam-malam terakhir Ramadan? Kalau kita tidak mampu buat semua, usah ditinggal segalanya ya. 

Semalam, Muthiah berkira-kira untuk menulis tentang #TipBahagia (1) - Mendekatkan diri kepada ALLAH. Namun dengan tidak semena-mena, terasa ingin berkongsi pengalaman semalam pula. #SukaDukaAlamRumahTangga.

Jeng jeng jeng....

Hendak dijadikan cerita, apabila jarum pendek jam sudah mendekati angka 6.00 petang, suami lalu menghampiri. 

"Malam ni, Abe nak berbuka dengan nasi kerabu, boleh?" kata beliau.

Mata Muthiah membulat. Nasi kerabu? Bahan masakan tiada. Lauk basah di rumah tidak banyak, sahaja sementelah suami cakap hendak makan biasa-biasa sahaja untuk iftar dan memberi fokus kepada ibadah. Jadi, lauk asas sahaja yang boleh didapati di dalam peti sejuk dan rak makanan.

"Bo... boleh tapi kena cari ulam dan bahan-bahanlah," balas Muthiah dengan harapan suami bertukar fikiran. Iyalah. Hendak cari bahan-bahannya, kena ke Pekan Dengkil. Perjalanan sahaja sudah mengambil masa. Mesti kelam-kabut!

Suami tersenyum lantas bersuara, "Okey, jom!"

Haha. Terkedu juga Muthiah dibuatnya. Kemudian, Muthiah dan suami bergegas ke Kedai Pak Aji, Dengkil. Nampak gaya, bahan yang dicari tiada. Kemudian, kami ke Kedai Acheh. Hmm... serainya kecut. Bunga kantan dan daum kesum tiada. Kata tauke kedai, bunga kantan mahal. RM3.50 sebatang untuk pekedai. Hendak jual berapa?

Suami berkata, "Kita buat nasi kerabu dengan apa yang ada sahajalah."

Muthiah mengangguk-angguk.

Sesampainya di rumah, jam sudah menghampiri pukul 7.00 petang. Apa lagi, bergegaslah masuk dapur... 

Jom buat nasi kerabu!

Nasi putih

2 pot beras
Air

Cara membuatnya

Masak nasi macam biasa.

Bagi Muthiah dan suami, 2 pot beras ni cukup untuk 3 kali makan, 2 orang.

Sambal

1 biji bawang besar (merah) - nak letak banyak lagi baik. Muthiah hendak cepat. Capai sahaja bawang yang sedia ada.
3 ulas bawang putih.
1@2 batang serai - diketuk.
5 helai cili kering - rendam dengan air panas.
1 inci halia - Muthiah tidak ukur berdasarkan inci pun.
1@2 keping asam gelugur @keping.
Garam.
Gula Melaka.
Budu.

Cara membuatnya


  1. Kisar bawang merah, bawang putih, halia dan cili kering.
  2. Tumis semua bahan dikisar dengan serai sampai naik bau. Letak air sedikit.
  3. Masukkan santan, asam keping, gula melaka, sedikit garam dan budu. Kalau sudah masin, tidak payah letak garam. Dan... siap!
Ulam-ulaman

  1. Timun batang.
  2. Kacang panjang.
  3. Taugeh.
  4. Bunga kantan - yang ni tak ada semalam.
  5. Daun kesum - yang ni pun tak ada.
  6. Serai - yang ni lupa semalam.
Ada juga yang jadikan kacang botol dan kubis sebagai ulam-ulaman.

Ulam-ulaman ni perlu dihiris nipis.

Kelapa parut

1 biji kelapa parut
1 biji bawang merah (tidak letak pun tidak apa rasanya).
1@2 ekor ikan kembung@selar.
1@2 batang serai.
Sedikit garam.

Cara membuatnya

  1. Goreng tanpa minyak kelapa parut di dalam kuali. Agak-agak sudah kuning, angkatlah - semalam hangit sedikit sebab Muthiah letak dalam kuali dan tinggalkan sahaja. Huhaha...
  2. Kemudian, tumbuk kelapa parut yang sudah siap digoreng dengan bawang merah, serai serta ikan  - semalam, Muthiah guna pengisar sekali harung.
  3. Masukkan garam dan gaul sampai rata. Okey, siap!
Lauk Pauk

  1. Ayam bakar.
  2. Daging bakar.
  3. Telur masin.
  4. Solok lada.
Semalam, Muthiah hanya buat ayam bakar sahaja.

Ayam Bakar

2 ketul ayam.
Kunyit.
Garam.

Cara membuatnya.

  1. Gaul ayam dengan kunyit dan garam.
  2. Bakar di dalam oven atau pemanggang ajaib - Oleh sebab Muthiah tidak mahu 'jaga' ayam yang dibakar, Muthiah guna oven. Letak dalam 20 minit, kemudian balikkan ayam dan bakar lagi selama 20 minit.
Akhirnya, boleh dimakan. Ehe. Perkongsian apa ni, ya? Pasal kisah #SuamIsteri atau boleh jadi resipi mudah yang boleh dibuat di rumah. Selamat mencuba.

p/s : Gambar tiada.


2 Responses
  1. Salam ziarah. Sengih pulak saya baca entri ni. Resepi + nota italic kat tepi. Haha.

    Salam Ramadan buat akak dan keluarga.


  2. Huhaha. Itulah pasal. Salam Ramadan dan Selamat Hari Raya buat Wanep serta famili.