Sambung belajar

Assalammualaikum. Salam Ramadan al-Mubarak. Moga hidup kita semua lebih baik dari sebelumnya, insya-ALLAH. Muthiah... Alhamdulillah. Berkondisi baik, insya-ALLAH.

Sungguh! Lama benar Muthiah membiarkan teratak kesayangan yang dekat di hati tetapi jauh dari papan kekunci ini bersawang. Masa agak mencemburui. Huh! Ada sahaja alasan diberi. Meskipun cukup jelas dengan kata pepatah yang menyebut 'Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih', masih tidak berjaya untuk istiqamah.

Lalala... hendak tulis apa ya?

Pejam celik, pejam celik, Muthiah telah pun melepasi satu semester pengajian yang diikuti. Perasaan? Alhamdulillah. Muthiah selalu menyebut dalam hati (untuk tujuan motivasi diri sendiri), Insya-ALLAH apa-apa yang telah ditentukan oleh ALLAH, itulah yang terbaik untuk diri kita.

Sambung belajar?

Perjalanan yang masih panjang. Sesuatu yang tidak juga dirancang. Sebenarnya, dari dahulu lagi suami telah menyarankan Muthiah melanjutkan pelajaran namun serius! Muthiah hendak tidak hendak, sungguh dan tidak sungguh sahaja. Sebab?Muthiah memikirkan hal kewangan - Yuran pengajian serta segala kos yang berkaitan. 

  1. Sebagai seseorang yang tidak mempunyai pendapatan tetap, Muthiah tidak berani untuk mengambil sebarang risiko. 
  2. Muthiah tidak mahu berhutang! (Syukur sewaktu di UM dahulu Muthiah mendapat tajaan JPA). 
  3. Muthiah juga tidak mahu menyusahkan suami (suami cakap, mana ada menyusahkan!). Lagipun, sebagai suami beliau yang akan membantu Muthiah.
  4. Muthiah gusar dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. 
  5. Kos awasan. 
  6. Paling utama, Muthiah hendak menulis sebab dari situ, Muthiah akan beroleh pendapatan sekaligus dapat membalas jasa keluarga (walau tidak terbalas jasa mereka) di kampung. 


Macam-macam yang Muthiah fikir. Banyak perkara yang mengganggu benak. Alhamdulillah, setelah menangis dan hilang mood blablabla akibat  tidak berjaya mendapat tajaan Mybrain15 (pada awalnya), Muthiah akhirnya mampu tersenyum apabila permohonan kali kedua diterima. Setidak-tidaknya, fikiran Muthiah sedikit lapang. Sesungguhnya, ALLAH Maha Mengetahui. 

Full stop

Berbalik kepada detik-detik awal sebelum Muthiah berada di sini. Pada tahun-tahun sebelum ini Muthiah pernah juga merisik khabar di UM untuk melanjutkan pengajian di sana. Lantas seorang pensyarah meminta Muthiah menyediakan proposal untuk tujuan itu. Mungkin dek kerana Muthiah sendiri yang tidak bersungguh-sungguh (atas sebab yang dinyatakan di atas), Muthiah tidak membuatnya sampai ke sudah. Hehe...


Muthiah bersama Che Lah, pensyarah penyelia untuk kelas Seminar Pengajian Melayu.

Sehinggalah pada tahun lepas, suami menyarankan Muthiah melanjutkan pengajian buat kesekian kali. Kata suami, beliau pun hendak sambung belajar sama. Sungguh! Hati berat dan Muthiah tidak berminat. Biarlah suami melanjutkan pelajaran berseorangan, Muthiah boleh menulis dan support apa yang patut. Sehinggalah suami berkata, "Macam mana kalau Abe dapat sambung dan ada awek cun sama-sama di tempat studi?"  Fuh! Apa lagi, hati yang berat tadi terasa ringan. Semangat yang tiada jadi membara serta-merta. Maka kami pun sama-sama berusaha mencari  ruang untuk melanjutkan pengajian di IPTA pilihan. Namun dengan izin ALLAH, hanya Muthiah yang mendapat peluang ini. Suami pula tidak mendapat apa yang beliau mahukan.

Hmm... perencanaan ALLAH yang tidak terjangkau dek fikiran kita yang terbatas. Walaupun masih tidak dapat membuang sepenuhnya rasa bimbang, takut dan macam-macam rasalah... kaki Muthiah tetap juga melangkah. Bak kata murabbiah satu ketika dahulu, "Jalan aja." Doakan yang terbaik buat Muthiah, suami dan keluarga ya kerana insan-insan ini adalah manusia yang amat Muthiah kasihi. Tidak lupa juga kepada semua yang menyayangi serta mendoakan yang baik-baik untuk Muthiah.

Akan datang - Bila duduk menumpang (luahan hati seorang nenek)...


2 Responses
  1. puteri Says:

    tahniah akak... selamat belajar!


  2. Terima kasih, Puteri. Doakan ya. Salam Ramadan :)